Tuesday, 10 May 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 100516

Hari kedua abi di Labuan. Anas, Mussaab dan ummi seperti biasa meneruskan hari dan aktiviti di rumah. Hanya di dalam rumah.

Anas bangun jam 6.30 pagi. Bangun menangis, memanggil ummi. Seperti biasa, terus menangis selagi ummi tak menyahut panggilannya. Lepas dengar suara ummi barulah ok. Masuk ke bilik mainan dan bermain sendirian. Mussaab masih lena.

Kemudian Anas turun ke bawah bersama kereta mainannya. Kini dah berwajah ceria. Anas mendekati ummi yang tengah online depan komputer. Kemudian mengambil kertas dan melukis. Ummi biarkan saja.

Selepas itu ummi ajak Anas naik ke atas untuk mandi dan niatnya nak kejutkan Mussaab juga. Anas mandi dan main air. Ummi cuba kejutkan Mussaab, tapi tak berjaya. Masih lena tidurnya. Ummi biarkan Mussaab dan pakaikan baju dan seluar Anas. Kemudian turun semula untuk breakfast. Pagi ini breakfast dengan roti bakar dan roti nutella saja.




Jam 8.30, Mussaab bangun dari tidurnya, tapi tidak terus turun ke bawah. Seperti biasa, dia akan bermain dulu di bilik mainan. Dah puas baru turun ke bawah, breakfast bersama. Anas sambung melukis bertemankan Mussaab yang tengah makan. Lepas tu Mussaab turut membelek buku di samping Anas yang asyik melukis. Bacaan juzuk amma sedia terpasang sejak dari tadi untuk diperdengarkan pada Anas dan Mussaab.







Ummi keluar jemur kain. Mussaab dan Anas turut keluar. Kemudian masuk semula. Masa untuk mandikan Mussaab pula. Sama sama naik ke atas. Mussaab mandi, Anas leka di bilik mainan. Lepas mandi, Mussaab juga bermain sama. Ummi selesaikan solat dhuha dan membaca al Quran. Kemudian turun semula ke bawah bersama sama.

Jam 10.10 pagi, ummi masuk ke dapur untuk siapkan lunch. Buka video train untuk Anas dan Mussaab. Ummi masak nasi ayam simple, dan lunch bersama jam 11 pagi. Masih awal, tapi dek kerana perut dah lapar, makan sajalah. Anas makan berselera. Mussaab banyak makan ayam.

Pukul 11.30, selesai makan dan kemas meja dan dapur. Anas melukis lagi. Kemudian membaca pula. Alhamdulillah dah semakin lancar membaca. Tapi perlu lebih latihan lagi. Mussaab kembali menonton video. Tak lama kemudian minta nak makan roti nutella. Makan lagi.

Jam 12.30, naik ke atas. Tukar pampers Mussaab dan mandi sekali lagi. Ummi berehat di katil sementara menanti waktu zohor. Biarkan. Anas dan Mussaab leka bermain di bilik sebelah.

Masuk waktu, ummi solat zohor sementara Anas dan Mussaab masih leka bermain. Lepas solat, baca buku 'brain games kids' atas permintaan Anas. Sambung di muka surat yang belum dibaca. Anas and Mussaab like the book :)




Mata ummi dah mengantuk. Bersedia untuk rehat dan tidur. Mussaab pula minta nak minum susu. Ummi buatkan susu untuk Mussaab memandangkan hari ini belum minum susu. Kemudian naik ke atas semula untuk tidur. Agak sukar untuk melelapkan mata. Anas dan Mussaab kekal aktif dan tak mahu tidur. Ummi juga tak dapat nak tidur. Dihimpit dan dihempap oleh 2 hero. Kesian baby dalam perut ummi :)




Akhirnya dapat juga ummi lelap sekejap bila keduanya ke bilik sebelah untuk bermain. Lepas tu masuk ke bilik semula, kejutkan ummi yang dah terlelap. Masing masing tak mahu tidur. Ummi juga dah tak mengantuk. Jam 3.30 petang, turun ke bawah. Makan roti dan minum kopi. Lepas tu makan mangga cicah kicap. Anas dan Mussaab join sekali. 




Lepas makan ummi keluar angkat kain di jemuran. Anas dan Mussaab tak lepaskan peluang bermain di luar. Bermain basikal dan kereta mainan, hingga masuk waktu asar.

Naik ke atas semula untuk tunaikan solat asar. Hujan mula turun. Anas dan Mussaab bermain lagi. Hingga kedengaran guruh yang kuat. Mussaab menangis ketakutan. Tak berhenti menangis. Kelihatannya dah mengantuk akibat tak tidur siang tadi. 

Pukul 5.30, turun ke bawah. Ummi buka TV dan on computer. Buka video dibo untuk Mussaab. Ummi baring menonton TV. Anas pula asyik menatap buku. Mussaab yang sudah sangat mengantuk terlena akhirnya. Giliran Anas pula menonton dibo. 

Mujur sekejap saja tidur Mussaab. Bangun semula dan tak menangis. Ummi masak nasi goreng. Makan malam bersama. Lepas makan dan berkemas, naik ke atas. Sudah masuk waktu maghrib. Mandikan Mussaab. Anas dah mandi kat bawah tadi.

Ummi solat Maghrib, Anas dan Mussaab bermain. Lepas solat ajar Anas dan Mussaab al Quran. Ummi juga baca al Quran. Lepas tu berehat di bilik. Rasa dah mengantuk, tapi Anas dan Mussaab masih nak bermain. Mussaab minta susu, sekali lagi turun buatkan susu dan naik semula. Solat Isyak dan turun lagi memandangkan Anas dan Mussaab masih tak mahu tidur. Menonton video TuTiTu pula atas permintaan Mussaab. Anas melukis lagi, walaupun sebenarnya dah mengantuk.

Lebih kurang pukul 9.30 malam, ummi ajak naik tidur. Tutup lampu dan pintu. Mussaab gelisah masih tak mahu tidur. Layan Anas dan Mussaab bercakap dan berceloteh. Anas tertidur, diikuti Mussaab. Alhamdulillah..

Ummi juga sudah mengantuk sangat. Sampai di sini untuk hari ini. Semoga lena dan sihat anak anak ummi. Hari ini, ummi tetap tak sempurna buat kalian. Semoga Anas dan Mussaab dapat memaafkan segala kekurangan ummi dalam usaha menjadi ummi yang terbaik buat kalian. I love u sayang... 
Monday, 9 May 2016 0 comments By: Naemah

HOP ON HOP OFF: JALAN JALAN KL



080516
Alhamdulillah dapat bersama sama suami dan anak anak menikmati keindahan kota raya Kuala Lumpur dengan menaiki hop on hop off.

Info tentang hop on hop off ini aku dapati daripada seseorang yang berkongsikan pengalaman beliau bersama anak anak menaiki bas tersebut.

Kebetulan cuti suamiku hanya satu hari, kami bercadang untuk membawa anak anak berjalan, dan merancang juga untuk ke pesta buku yang diadakan di MAEPS. Namun kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat berjalan jalan di sekitar KL dengan menaiki bas 2 tingkat hop on hop off tersebut.

Kami bertolak dari rumah di semenyih jam 9 pagi menuju ke Terminal Bersepadu Tasik Selatan. Kereta ditinggalkan di situ, dan kami menaiki komuter menuju ke KL central untuk menaiki hop on hop off di situ. 





Sampai di Kl Central, jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Kami membeli makanan di kedai Subway dan makan di situ kerana anak anak sudah lapar. Sempat juga ke toilet sambil menanti bas tiba. Terlepas 2 buah bas, dek kerana anak lapar nak mengisi perut dan sakit perut untuk membuang air.

Kami akhirnya menaiki bas jam 12 lebih. Hari sudah panas, namun tak mengapa, anak excited nak naik bas 2 tingkat. Kami ke bahagian yang tidak berbumbung di tingkat atas. Cuaca panas, tapi terasa selesa ditiup angin sepoi bahasa. Anas dan Mussaab terpegun  dan leka menikmati pemandangan luar sepanjang perjalanan.

Terdapat 23 perhentian hop on hop off, penumpang boleh menaiki bas di mana mana perhentian dan tiket boleh dibeli di kaunter yang disediakan, atau membelinya di atas bas. Harga tiket ialah rm19 untuk 24jam (untuk pemengang mykad) dan percuma untuk kanak kanak di bawah usia 5 tahun. 

Antara tempat perhentian bas tersebut ialah di KL central (tempat kami naik), Muzium Negara, Istana Negara, Masjid Negara, KL Tower, Taman Tasik Perdana, Taman Burung, KLCC dan banyak lagi. Semuanya tempat yang menarik untuk dikunjungi.








Perhentian kami yang pertama ialah di Masjid Negara, jam 1 petang. Kebetulan sudah hampir waktu zohor, dan Mussaab juga perlu ditukarkan pampersnya, kami membuat keputusan untuk turun di situ. Selesai urusan solat dan uruskan si kecil, kami menunggu bas untuk meneruskan perjalanan. Sempat membeli minuman untuk menghilangkan dahaga.






Lebih kurang pukul 2 petang, bas tiba dan kami menaiki bas tersebut. Sekali lagi menuju ke bahagian yang tidak berbumbung untuk menikmati pemandangan di Kuala Lumpur. Penumpanga agak ramai, dan hampir kesemuanya adalah pelancong dari luar. 

Perjalanan diteruskan. Kali ini kami tidak turun di mana mana perhentian memandangkan hari sudah petang. Niat asalnya nak ke KLCC, tapi tak jadi. Insya Allah lain kali pula. 













Jam 3 petang, hujan mula turun. Kami masuk ke bahagian yang berbumbung. Tak dapat lagi menikmati angin sepoi bahasa di luar. Kini menikmati dingin air cond pula. Anak anak yang kepenatan tertidur akhirnya. Hingga akhirnya tiba di perhentian KL Central, perjalanan kami berakhir di situ. Sudah hampir masuk waktu asar, kami perlu bersegera untuk kembali ke TBS. Kali ini menaiki tren KLIA Transit, menuju ke TBS.

Di TBS kami menunaikan solat asar dan makan malam di restoren KFC kerana anak anak sudah merengek lapar. 

Jam 6 petang, selesai segala urusan dan kami menaiki kereta untuk pulang. Kerana kepenatan dan aku juga sudah mula sakit kepala, kami tidak singgah ke pesta buku walau pada awalnya sudah berjanji dengan Anas untuk membeli buku untuknya juga. Kami terus pulang ke rumah, dan tiba di rumah ketika azan maghrib berkumandang. 

Hari yang penat dan menyeronokkan buat kami terutamanya anak anakku yang menikmati pengalaman baru. Insya Allah jika ada peluang akan membawa lagi anak anak menaiki bas tersebut. Lebih baik naik di waktu pagi, kerana cuaca masih sejuk dan teduh. Di samping itu, boleh singgah di banyak perhentian juga :D
Thursday, 5 May 2016 0 comments By: Naemah

AKU DAN KAMU

PICTURE: here



Kamu.. Saat dihimpit dengan ujian yang begini berat, pastinya aku mengerti, dirimu mengharapkan agar dapat segera bebas dari belenggu yang menyakitkan ini..


Mengapa kamu yang diuji begini, dan mengapa bukan aku???


Kerana Allah lebih tahu, kamu lebih kuat berbanding aku dalam menanggung kesulitan ini. Kamu pasti dapat menempuhnya, sedang aku...belum pasti.


Rawan hatiku melihat dirimu sendirian menempuh semua itu. Berat aku memandang, pasti berat lagi kamu memikulnya.


Namun, kerana itu kamu, dan kerana Allah memilih dirimu, pasti kamu mampu memikul segala beban itu. Aku... Hanya mampu bersimpati dan berdoa.


Aku bebas dari ujian itu, bukan bererti aku tidak diuji. Ujian buatku dalam bentuk yang berbeza. Apa yang mudah bagimu hari ini,pasti ada yang sukar buatku.


Aku dan kamu, sama saja... Ada ujian yang perlu ditempuh. Mudah bagimu, barangkali  sukar bagiku. Mudah bagiku, barangkali sukar bagimu.


Namun yakinlah akan ada hikmah di sebalik ujian ini. Bersama kesusahan ini, akan ada bersamanya kesenangan. Dalam menempuh kesulitan ini, kita akan temui jalan keluarnya. Insya Allah.


Berhenti membandingkan aku dan kamu. Kita sama sama hamba, tak terlepas dari ujianNya. Cuma ujian kita berbeza. Namun kita sama sama perlu menempuhnya. 

Semoga aku dan kamu dapat melepasi ujian dunia ini. Bagaimana untuk membuktikan taqwa, andai diri tidak diuji???

Sunday, 1 May 2016 0 comments By: Naemah

SIHATLAH SAYANG

Jam menghampiri 11 malam. Anak anak sudah tidur, rumah juga sudah bergelap.
Namun tidur si anak tidak terlalu lena. Suara batuk dan tangis silih berganti. Menghadirkan rasa kerisauan hati seorang ibu.

Sudah lama anak anakku tidak batuk begini. Badan juga masih hangat, walau tak sepanas 2-3 hari lepas. Malam asyik terganggu, batuk dan menangis kerana tidak selesa. Abi pula tiada bersama.

Mungkin kerana musim panas dan kering ini, menyebabkan demam, batuk dan selesema. Orang dewasa juga tak selesa, apatah lagi kanak kanak.

Kesian anak anakku. Tidak aktif seperti biasa. Makan juga kurang berselera. Hari ini langsung tak menjamah nasi. Meskipun lapar, menolak untuk disuap nasi.

Hatiku tak tenteram mendengar suara batuk yang belum reda. Semoga anakku akan kembali sihat seperti biasa. Tidak demam, dan tidak batuk lagi. Ceria bermain, berselera makan.

Semoga hari esok akan lebih baik..aameen.
Saturday, 30 April 2016 0 comments By: Naemah

WANITA CANTIK

Wanita dan kecantikan...tak dapat dipisahkan. Semua wanita ingin menjadi cantik, dan dipandang cantik. Apalagi di hadapan insan yang dicintai, pasti mengharapkan dirinya yang tercantik.

Cantik itu subjektif. Orang memandang cantik dalam sudut yang berbeza. Kita mungkin menyatakan dia cantik, tapi orang lain menyatakan sebaliknya.

Ramai wanita cantik yang dapat kita lihat di kaca TV. Mira Filzah, Nora Danish, Fasha Sandha, Erra Fazira, dan ramai lagi yang menjadi sebutan dan glamor kerana cantik. Kerana dipandang cantik, dianggap cantik, ramai wanita menjadi kagum, cemburu dan ingin memiliki wajah secantik itu.

Ya, wajah yang cantik. Tubuh badan yang cantik. Sering menjadi kekaguman ramai wanita, yang kemudian bermimpi dan berusaha untuk menjadi cantik seperti mereka. Apatah lagi iklan di TV memfokuskan kecantikan wajah dan tubuh badan wanita, memaksa setiap wanita menjadi cantik seperti itu. Malah menggoda hati dan nafsu lelaki, dengan kecantikan yang seumpama itu.

Semua wanita mengejar kecantikan rupa dan wajah. Hingga lupa kecantikan yang lebih utama iaitu kecantikan akhlak. Kita akui, tak semua orang dianugerahkan wajah yang cantik. Tapi ia tetaplah ciptaan Allah yang yang paling baik dan sempurna. Namun percayalah, semua orang boleh memiliki akhlak yang cantik.

Akhlak mengatasi rupa. Akhlak yang cantik tetap memberi pesona, meski tanpa wajah yang cantik. Akhlak yang buruk, tetap tiada maknanya meski memiliki wajah yang cantik. Apatah lagi akhlak dan wajah yang cantik beriringan, menambahkan lagi pesona dan seri diri seorang wanita.

Kita tahu ramai lelaki mendambakan wanita cantik untuk menjadi pasangannya. Tapi apakah semua mereka berbahagia kerana memiliki isteri yang cantik? Tak juga..kerana cantik wajah bukanlah segalanya.

Perhatikan pasangan yang bahagia, apakah kerana mereka mempunyai pasangan yang cantik rupa semuanya? Tentulah tidak semuanya. Kerana jaminan sebuah kebahagiaan itu bukan bergantung pada rupa yang cantik.

Maka bersyukur lah wahai wanita. Walau memiliki wajah yang bukan dalam kategori cantik, kita tetap berhak untuk memiliki bahagia. Bukan semua lelaki memandang kecantikan rupa. Tak perlu bersusah payah untuk menata wajah semata mata kerana ingin dipandang cantik. Lebih baik berusaha perbaiki akhlak dan peribadi agar setiap insan senang dan bahagia mendampingi kita.

Cantik itu tetap subjektif. Tak perlu mengharap untuk dipandang cantik. Bersyukur andai kita sentiasa senang dan tenang dipandangan orang. Bukan kerana kita cantik, tapi kerana kita baik.

Sama sama kita perbaiki diri, perbaiki akhlak, percantikkan tabiat dan perangai. Kerana wanita yang cantik, belum tentu akhlaknya baik. Kita semua ada peluang untuk memiliki akhlak yang cantik dan menyenangkan. Kita ada hak untuk bahagia dan disayangi, meski bukan kerana kita cantik.


picture: here

Friday, 29 April 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 300416

Hari ini berada di rumah Mek di kampung. Hari ini juga abi akan terbang ke KL dan seterusnya ke Labuan untuk menyambung tugas.
Anas bangun seawal jam 5.30am saat abi tengah bersiap untuk ke KB. Abi bertolak sebelum azan subuh kedengaran. Anas bersalaman dengan abi. Alhamdulillah tak menangis ditinggal abi. Mussaab masih lena tidur. Abi bertolak ke KB selapas menunaikan solat subuh di masjid. Sampai di KB jam 7.30am.

Anas yang dah tak mengantuk bermain dengan mainan yang dibeli semalam. Badan dah kurang panas. Alhamdulillah. Tapi masih batuk batuk. Selepas bermain, melukis pula. Mussaab bangun jam 7am. Tumpang bermain dan melukis bersama Anas.

Selepas itu masuk ke dapur untuk sarapan. Makan nasi berlaukkan gulai daging. Anas makan sedikit, Mussaab juga kurang berselera. Makan sekejap, keluar melukis lagi.

Jam 8.30am, mandi dan sambung bermain. Asyik dan seronok dengan permainan baru. Sehingga jam 9.30am, Mussaab minta air dan semua masuk ke dapur. Ummi gorengkan keropok lekor dan makan bersama. Anas ambil mamee di kedai Mek dan minum vitagen yang abi beli semalam.

Kemudian keluar dan sambung bermain lagi. Anas ambil mangkuk kertas dan minta ummi buat lukisan season. Anas sambung dengan lukisan weather. Mussaab berbaring di tepi ummi dan akhirnya terlena jam 11am. Anas terus bermain sendiri. Bosan bermain, melukis lagi. Ummi lelap sekejap. Kemudian terjaga dan menemani Anas yang asyik melukis. Ummi tolong Anas melukis. Flight abi ke Labuan jam 11.50am.

Jam 12pm, masuk ke dapur dan suap Anas makan nasi. Mussaab masih lena. Sudah makan, Mussaab juga bangun dari tidur. Mussaab tak nak makan, hanya mengunyah mangga muda dan minum air. Lepas tu makan pula gula gula mentos.

Jam 1pm, masuk ke bilik untuk solat dan berehat. Anas masih aktif dan tak mahu tidur. Mussaab yang baru bangun kembali aktif dan bermain. Memanjat juga menjadi kesukaan Anas dan Mussaab. Kemudian berebut iPad pula. Leka pula dengan ipad. Ummi tidur sehingga jam 3pm. Mussaab kejutkan ummi nak minum air.

Masuk ke dapur dan minum air. Ummi gorengkan nugget memandangkan Mussaab tak nak makan nasi. Roti juga tak nak. Makan nugget dan keropok di kedai Mek. Makanan tak berkhasiat lg :( dah la keduanya tengah batuk dan kurang sihat. Lepas makan masuk ke bilik semula. Cuaca yang sangat panas membuat rasa tak selesa berada di luar. Sangat membahang. Duduk dalam bilik ber aircond lebih menyamankan.

Masuk waktu asar, ummi mandikan Anas dan Mussaab. Juga bersiap solat asar. Kemudian tunggu cik datang, untuk sama sama ke Majlis kenduri kawin kawan ummi. Jam 5pm, cik datang. Anas dan Mussaab bersama ummi, cik, Abg faris dan Kak zana ke majlis kenduri. Kemudian singgah ke rumah cik, dan balik ke rumah Mek. Mussaab kurang ceria, hanya mahu didukung.

Di rumah, bermain lagi dengan Abg Faris dan Kak Zana. Mussaab banyak merengek. Mungkin kerana dah mengantuk. Ummi dukung Mussaab dan Mussaab terlena di pangkuan ummi. Anas masih mahu bermain. Kemudian minta pen untuk melukis lagi.

Ummi solat maghrib dan biarkan Anas yang asyik melukis bersama kawan. Mussaab yang sudah tidur juga kerap bangun menangis. Batuk dan tak selesa. Anas yang dah sangat mengantuk juga masuk tidur bersama Mussaab. Tidurnya kerap terjaga dan menangis. Batuk makin kuat, badan juga dah panas semula. Risau ummi dibuatnya. Silih berganti Anas dan Mussaab bangun menangis. Dua kali Mussaab minta air. Allah.. Kesian anak anak ummi. Apa yang perlu ummi lakukan. Hanya belaian dan doa..semoga Anas dan Mussaab cepat sihat. Ummi nak buat kerja lain pun dah takde semangat. Turut berbaring bersama Anas dan Mussaab.

Tidurlah Sayang. Semoga lena. Semoga esok kembali sihat dan ceria.. Insya Allah









Thursday, 28 April 2016 5 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ABDULLAH MUSSAAB

Abdullah Mussaab di hari pertamanya


Di entri yang lepas telah aku ceritakan kisah kelahiran anak sulungku: ANAS ZAYDAN

Kini akan ku sambung kisah kelahiran anak keduaku, Abdullah Mussaab b. Mohd Suzainizam pula. Alhamdulillah putera keduaku selamat dilahirkan pada 19 Januari 2014. 

Kisah Mussaab telah kucatat rapi dalam buku catatanku sepanjang berada di wad HUSM hingga saat kelahirannya. Alhamdulillah kelahirannya yang kedua ini lebih mudah berbanding yang pertama.

Sama seperti kehamilan pertama, aku berhadapan dengan masalah GDM juga. Bermakna juga tidak boleh overdue untuk bersalin. Aku dijangka bersalin pada 22 Januari 2014.

Permulaan kisah ini hampir sama dengan kisah sebelumnya, iaitu selepas doktor melihat result bsp ku, dan kala itu juga dia menasihatkan aku untuk induce. 


15/01/14 (4 hari sebelum bersalin)
Hari ini membawa result bacaan bsp ke klinik desa kg Kijang. Bacaan seperti biasa, ada yang cantik dan ada yang kurang cantik. Aku diarahkan ke Klinik Kesihatan Badang untuk mendapatkan nasihat doktor. Berjumpa dengan doktor yang sama seperti 2 tahun lepas, dan mendapat nasihat yang sama darinya agar aku serah diri di hospital Kota Bharu untuk diinduce. Aku sekali lagi dilanda resah dan takut kerana sejarah seperti sedang berulang kembali. Bermacam gambaran hadir mengganggu ketenteraman hati. Tambahan, pengalaman lalu agak menyerikkan. Suami yang setia menanti diberitahu.

Kali ini kami tidak terus ke hospital. Suami cuba menenangkan aku dengan membawaku berjalan jalan di pantai dan pulang ke rumah untuk makan dan rehat. Kami mengambil keputusan untuk ke hospital pada keesokan harinya, agar hatiku lebih tenang. Kami juga membuat keputusan untuk ke HUSM setelah mempertimbangkan sebaiknya. Tak lupa meminta advice dari birasku doktor Nasibah.

16/01/14 (3 hari sebelum bersalin)
Aku, suami dan anakku Anas bertolak ke HUSM seawal jam 8.30 pagi. Selesai urusan pendaftaran, aku ditempatkan di wad 2 Baiduri. Wad yang kosong dan sunyi kerana tiada pesakit lain pada ketika itu. Suasana sangat tenang, sangat berbeza dengan pengalaman pertama dulu. Namun hatiku tetap bercampur rasa takut, sedih dan sayu. Tambahan pula terpaksa berpisah buat sementara dengan anak sulungku yang masih menyusu badan. Sedih yang amat. Oleh kerana bukan waktu melawat, suami dan anakku terpaksa pulang terlebih dahulu. Kepulangan mereka membuatkan hatiku benar benar terasa sunyi. Aku menangis sendiri. 

Di sini, tekanan darahku diperiksa, kemudian dipasang alat ctg, diambil darah dan bukaan jalan dicek. Masih tiada bukaan.  Di saat keseorangan ini aku menghabiskan masa dengan membaca al Quran. 

Jam 11.30 am cek bacaan bsp (5.3). Lepas tu lunch dan menanti waktu zohor dan waktu melawat. Suamiku datang bersama Anas, menemaniku hingga tamat waktu melawat. Ketika ini juga katil di wad sudah ada ramai penghuni. Seorang demi seorang masuk ke wad dan semuanya menanti masa untuk bersalin. Ada juga kes sepertiku, menanti masa untuk diinduce. Sempat aku berkenalan dengan jiran sebelahku yang bernama Suhaili. Dia juga akan diinduce sepertiku. Bezanya dia di minggu ke 38 kehamilan dan aku sudah di minggu ke 40. Dia juga GDM insulin, aku pula GDM on diet control. DIa menjadi sahabat yang paling akrab denganku sepanjang berada di dalam wad.   

Jam 2-5 petang, aku tak dapat nak lelapkan mata meskipun agak mengantuk. Berfikir banyak perkara. RIndu yang amat pada Anas yang tak pernah berpisah denganku. Aku menatap handphone dan membaca al Quran sehingga masuk waktu asar.

Jam 5-7 petang, waktu melawat. Suami dan anakku setia datang menemani. Aku juga menikmati makan malam dan cek bsp lagi (5.7). Selepas itu ambil darah untuk kali kedua. Kemudian mandi dan solat maghrib serta solat hajat. Hati masih sayu merindui suami dan anak di rumah. Selepas itu aku dipanggil untuk lakukan scan. Anggaran berat baby ialah 3.3kg. Kemudian solat Isyak dan baca al Quran. Tekanan darah juga diambil.

Jam 10pm sekali lagi cek bsp (6.3). Minum susu kambing higoat, vco dan makan sedikit kurma. Jam 11pm bersedia untuk tidur. Masih dalam keadaan sihat dan tiada sebarang tanda untuk bersalin.


17/01/14 (2 hari sebelum bersalin)
Hari Jumaat. Pagi ini dimulakan dengan mengambil tekanan darah pada jam 5.45am. Jam 6.15am aku mandi dan solat subuh. Jam 6.40 aku menghubungi suamiku dan membaca al Quran. Aku juga diberitahu bahawa induce tidak akan dilakukan pada hari Jumaat dan Sabtu. Bermakna aku perlu berada lebih lama di wad sementara menunggu hari Ahad untuk diinduce. Aku bertanya juga kalau kalau boleh balik ke rumah dulu, dan akan datang semula pada hari Sabtu. Tapi nampaknya memang tak boleh. Tambah sedih aku dibuatnya. Terpaksa berpisah lebih lama dengan anakku. Menangis memikirkan bagaimana keadaan dia tanpaku. Alhamdulillah dia bersama suamiku, insan yang paling aku percayai. 

Jam 7.30am cek bsp (5.3). Jam 10am cek bukaan jalan. Rupanya dah buka 3cm, Alhamdulillah. Namun belum ada sebarang tanda lagi. Kontraksi juga masih belum ada, hanya terasa dia mengeras seperti biasa dan tidak menyakitkan. Ini juga bermakna, aku tidak perlu diberi ubat induce lagi memandangkan jalan sudah terbuka. Hati rasa lega yang amat, kerana pengalaman lepas memberi kenangan yang menakutkan. Kini hanya perlu menunggu saat melahirkan anak keduaku. Hati lebih tenang, dan aku tak lepas peluang untuk bersyukur, membaca al Quran dan tetap berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Cek bsp buat kesekian kalinya (4.7) jam 11.30am. Dalam pukul 12pm aku mula rasa sakit seperti senggungut. Tapi tak terlalu kuat sakitnya. On dan off. Masih bebas bergerak dan berjalan.

Jam 11am-2pm waktu melawat pula. Suami dan anakku datang seperti biasa. Kemudian abang sulungku dan family. Masing masing bertanya keadaanku. Yang pastinya aku masih belum merasakan kontraksi yang sebenar dan tiada tanda tanda untuk bersalin lagi. Aku makan, mandi, solat dan baca al Quran seperti biasa. 

Petang ini sudah keluar lendiran bersama sedikit darah ketika membuang air kecil. Hati sedikit berdebar, kerana tidak ada pengalaman seperti ini ketika mengandungkan yang pertama. 

Jam 5 petang, suami dan anakku berkunjung lagi. Kakakku juga datang melawat. Jam 5.30 cek bsp (5.0). Malamnya pula seperti malam sebelumnya, tekanan darah diambil, habiskan masa dengan solat, baca al Quran, berbual dengan teman teman seperjuangan dan berjalan jalan ke sana sini dengan harapan laluan bersalin akan lebih terbuka. Yang pastinya malam itu hati lebih tenang dan tidak gelisah lagi. Tidur juga lena.


18/01/14 (sehari sebelum bersalin)
Bangun pagi seperti biasa, ambil tekanan darah jam 5.45am, mandi, solat subuh dan membaca al Quran. Cek bsp (5.9) jam 7.30am dan breakfast. 

Pukul 10.15am, cek bukaan jalan sekali lagi. Hari ni dah 4cm. Namun aku masih tidak rasa sakit. Doktor menyuntik ubat untuk buang air besar. Kemudian ambil tekanan darah lagi. 

Pukul 11-2, masa untuk melawat tiba. Suamiku datang bersama anakku. Anak saudaraku dan juga datang, kemudian ibu mertuaku.

Habis waktu melawat serta solat zohor, aku hanya duduk berehat dan berbual bual dengan mereka yang menjadi teman di dalam wad itu. Kontraksi masih seperti semalam. Tidak terlalu kuat.

Jam 5pm, sekali lagi waktu melawat. Suami setia datang berkunjung dan menemaniku. Aku dan suami mula mengira kontraksi bersama. Keadaanku masih ok, kontraksi dalam kiraan 5 minit sekali. Tidak terlalu sakit dan masih boleh bertahan. 

Selepas melaksanakan solat asar, aku muka rasa lenguh yang menjalar ke atas belakang. Kontraksi yang kuat masih tidak rasa. Aku melakukan rutin biasa. Solat, membaca al Quran, berbual dengan teman teman, dan berjalan ke sana sini agar anakku turun ke laluan dengan cepat. 

Hingga jam 11pm, nurse mendekatiku dan bertanya keadaanku. Aku hanya menjawab keadaanku masih biasa biasa. Belum rasa sakit. Memandangkan bukaan sudah 4cm, dan ada labor room yang kosong, dia minta aku turun bersamanya ke labor room. 

Sebaik mendengar arahan itu, badanku terus seram sejuk. Gementar dan pucat. Saatnya hampir tiba, tapi aku masih belum rasa nak bersalin. Aku tanya kalaulah boleh tunggu esok hari, tapi dia nasihatkan untuk turun malam itu juga. Aku akur akhirnya.

Aku mencapai beg pakaian anakku dan beriringan berjalan dengan nurse ke labor room. Kebiasaannya orang lain dihantar dengan menggunakan kerusi roda, tapi memandangkan aku ini masih sihat dan dapat berjalan, aku tidak perlu menggunakan kerusi roda. Maka kami menaiki lif bersama turun menuju ke labor room. Hatiku penuh dengan debaran. Dek kerana terlalu takut, tekanan darahku naik serta merta. Nurse bertanya kenapa tekanan darahku naik tiba tiba. Aku nyatakan rasa takutku. Tambahan pula kiri dan kanan bilikku kedengaran suara ibu ibu yang sedang menanggung sakit untuk bersalin. Nurse nasihatkan aku untuk bertenang, lagipun aku sudah ada pengalaman. Tak sepatutnya terlalu takut.

Di labor room, aku berbaring di atas katil yang disediakan untuk bersalin. Mesin ctg dipasang dan aku tidak boleh bergerak ke mana lagi. Dalam keadaan hp yang hampir nak kehabisan bateri, aku menghubungi suamiku agar segera datang ke labor room. Dia yang terkejut dan dah hampir nak tidur segera datang kepadaku meninggalkan Anas yang sudah lena.


19/01/14 (detik bersalin)
Jam 12.45am. Doktor masuk ke bilik aku ditempatkan untuk cek laluan sekali lagi dan ketuban dipecahkan. Bukaan ketika itu masih 4cm. Aku risau, kalau kalau bukaan lambat terbuka sepenuhnya, dan takut akan menanggung sakit yang lama. Suami tiba selepas ketuban dipecahkan. Kemungkinan aku akan bersalin waktu subuh 6-7am, mengikut jangkaan doktor.

Aku ditemani suamiku. Sesekali bidan yang bertugas masuk untuk memantau keadaanku. Aku berbual dengan suamiku yang sudah mengantuk. Entah berapa lama lagi akan menunggu. Dia minta keluar untuk tidur di ruang menunggu kerana terlalu mengantuk, tapi aku tak benarkan dia keluar memandangkan hanya dia yang ada bersamaku. Aku risau kalau tiba masanya, tiada siapa di sisiku.

Jam 1am aku sudah mula rasa kontraksi yang kuat. Dari 5 minit sekali, ke 2 minit sekali. Suami cuba berbual bual denganku dan berlawak jenaka agar aku tidak fokus pada kesakitan itu. Namun sakit tetap sakit. Mulut terkumat kamit membaca doa dan surah agar Allah permudahkan urusanku. Sekali lagi lengan suamiku menjadi mangsa cubitanku yang tidak tahan menanggung sakit kontraksi.

Hinggalah jam 4am, kontraksi semakin kuat dan sakit. Aku mula rasa nak meneran. Aku maklumkan pada suamiku. Dan ketika itu hanya ada dia bersamaku. Bidan yang tadinya kerap datang melihat keadaanku tidak muncul pula. Keadaan dalam labor room agak  kelam kabut sedikit seperti tidak cukup kakitangan. Suamiku menjenguk keluar. Tiada seorang pun yang kelihatan untuk diminta pertolongan. Aku dah tak tahan nak meneran.

Akhirnya muncul bidan tadi dan suami menyatakan situasiku. Dia cek laluan bersalin. Sudah 9cm. Dia minta aku teran sekuatnya. Aku mencuba. Tak pasti berapa kali aku cuba push, tapi kali ini tak sebanyak yang pertama dulu. Mungkin 3-4 kali sahaja. Aku cuba sedaya upayaku. Suami di sisi memberi semangat yang tak putus.

Akhirnya, jam 4.19am aku selamat melahirkan bayi lelaki. Ketika itu juga aku baru mengetahui jantina anakku kerana sebelum ini ia adalah rahsia buat kami. Suami yang mengharapkan anak perempuan tetap redha dan syukur menerima kelahiran putera kedua kami ini. Suami melaungkan azan dan iqamah ke telinganya, dan anak diletakkan ke dadaku untuk sentuhan ibu dan anak. Sekali lagi hatiku terbuai sayu penuh kesyukuran. Rasa sakit aku lupakan. 

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Aku bersalin lebih awal dari waktu yang dijangkakan. Laluan cepat terbuka, sakit kontraksi juga tak lama seperti dulu. 

Anak keduaku diberi nama Abdullah Mussaab b. Mohd Suzainizam. Kini membesar sihat dan cerdik seperti abangnya juga.

Menempuh dua kali pengalaman bersalin, aku dapat simpulkan bahawa yang kedua ini lebih mudah. Ya, kerana sudah ada pengalaman dan mungkin, kerana kali ini laluan terbuka sendiri tanpa ubat induce. Sakit yang datang semulajadi, bukan sakit yang dipaksa.

Yang pertama dulu, aku anggarkan sakit kontraksi adalah selama 7-8jam. Yang kedua ini pula 3-4 jam sahaja. Pukul 1am sakit, pukul 4.19am sudah selamat bersalin. Alhamdulillah, 2 pengalaman yang berbeza namun keduanya tetap bermakna dan membahagiakan. 

Anas Zaydan dan Abdullah Mussaab, 2 permata hati kami suami isteri. Detik indah melahirkannya pasti tak akan aku lupakan. Aku sangat menyayangi anak anakku. Semoga anak anakku menjadi hamba Allah dan anak yang soleh. Aameen