Tuesday, 13 December 2022 0 comments By: Naemah

LD: ANNUAL CONCERT & GRADUATION DAY 20


10/12/2022


Annual Concert & Graduation Day Little Diamond Kindergarten. 


Masya Allah cepat masa berlalu. Miqdad akhirnya tamat pengajian di sekolah pertamanya Little Diamond Kindergarten. Dulu ikut ummi berjalan hantar Anas dan Mussaab ke tadika, kini Miqdad sendiri pun dah tamat belajar di tadika yang sama. Tahun depan semua dah berada di sekolah rendah, menempuh fasa seterusnya di alam pengajian.


Terima kasih pada Teacher Zeeda yang meng’awal’kan majlis ke tarikh ini yang sepatutnya diadakan pada minggu berikutnya. Dek Miqdad yang perlu balik kampung (dan mungkin tak kembali ke sekolah dah), teacher awalkan tarikh, dan Alhamdulillah dapatlah Miqdad join majlis graduasi dengan kawan-kawan.


Hari ni kita sekeluarga hadir untuk meraikan hari graduasi anak-anak Little Diamond Kindergarten. Anas dan Mussaab (ex-student LD) turut hadir dan bertugas membantu teacher untuk majlis tersebut. 


Tema majlis hari ini ialah ‘Family Show’. Seakan santai menonton tv bersama keluarga, di mana ‘show’ tersebut dipersembahkan oleh anak- anak Little Diamond. Siap ada remote tv, dan kudap-kudapan untuk para penonton :)


Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan perasmian. Majlis hari ini dirasmikan anak-anak 6 tahun yang bakal meninggalkan Little Diamond kindergarten. 


Hari ini ibubapa disajikan dengan persembahan terbaik dari anak-anak 4-6 tahun. Ada lakonan berbentuk movie, ada nyanyian, dikir, news, masakan, iklan barangan, dan banyak lagi. Anak-anak sudah usaha yang terbaik, dan comel-comel semuanya. Cuma adalah part bercakap yang kurang jelas didengar. Apatah lagi kami duduk di seat belakang. Tapi takpelah, faham. Tak mungkin nak mengharapkan kesempurnaan dari anak-anak kecil ini. Apa yang mereka beri memang sudah yang terbaik. Satu pujian untuk keberanian mereka. 


Selain dari persembahan anak-anak, ada juga slot untuk lucky draw, dan satu lagi ibubapa hari ni dapat belajar bahasa isyarat yang disampaikan oleh penceramah jemputan. 


Seterusnya anak-anak membuat persembahan terakhir bersama-sama, dan akhir sekali adalah majlis penyampaian sijil/hadiah pada semua pelajar. Dengan ini rasmilah Miqdad menamatkan pengajiannya di Little Diamond Kindergarten. Walaupun kawan-kawan Miqdad masih terus ke tadika sampai hujung tahun ni (dan ada yang sambung sampai tahun depan sebelum masuk darjah satu), tapi Miqdad tak dapat hadir dah sebab nak spend lebih masa dengan keluarga di kampung sempena cuti panjang ni.


Alhamdulillah segalanya sudah lancar berjalan. Terima kasih buat Teacher Zeeda dan semua teacher Little Diamond Kindergarten yang bertungkus lumus menjadikan majlis ini satu kenyataan. Terima kasih raikan anak-anak kami dan menjadikan ini sebahagian dari momen terindah mereka di alam tadika. 


Miqdad dah tamat belajar di sini, tahun depan ummi tak hantar anak ke tadika dah. Ummi pula rasa sebak, rutin ummi dah berubah sedikit tahun depan, berbanding tahun-tahun sebelum (sejak zaman tadika Anas dan Mussaab lagi).


Apapun doa ummi akan sentiasa mengiringi langkah perjalanan Miqdad. Tahun depan Miqdad akan belajar di sekolah Anas. Miqdad akan belajar perkara baru, akan jumpa kawan-kawan baru, dan akan berdepan dengan cabaran baru, seterusnya mengumpul kenangan dan pengalaman yang baru juga. 


Moga terus sukses anak-anak ummi di masa yang akan datang. Cemerlang dunia dan akhirat. Insya Allah. 



Foto kenang-kenangan











































Monday, 12 December 2022 0 comments By: Naemah

12 TAHUN BERSAMAMU




(11/12/2010-11/12/2022)

Alhamdulillah genap 12 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suamiku tercinta. 


Baru berkesempatan aku untuk mencoret di sini, bingkisan di hari anniversary dan hari lahirmu.


Tahun ini agak berbeza suasana kita ‘menyambut’ ulangtahun perkahwinan. Sehari sebelum tarikhnya, adalah hari graduasi Miqdad di Little Diamond Kindergarten. Waktu petangnya, selepas asar kita sekeluarga ke stesen MRT Sungai Jernih untuk menaiki tren ke KL Central, seterusnya ke Gemas dan menghala ke kampung. 


11/12/2022 kita di dalam perjalanan ke kampung. Menikmati pengalaman pertama menaiki tren balik kampung. Agak panjang perjalanan balik kampung kita kali ini. Tiket dah beli beberapa bulan awal, kini tiba harinya, demi untuk mencipta kenangan bersama dan memberikan anak-anak pengalaman yang mereka tak pernah rasa. Walaupun pada hakikatnya ketika itu, hati meronta nak balik cepat sebab mek sedang terlantar di hospital. 


Alhamdulillah akhirnya ini menjadi kenangan manis di hari ulangtahun kita. Anak-anak happy, dengan pengalaman pertama mereka ini. Kita ibubapa juga happy, dapat tepati janji dengan anak-anak yang dah lama teringin nak balik kampung dengan keretapi.


Terima kasih suamiku. Kau sentiasa berusaha untuk memberikan ‘hadiah’ terbaik untukku dan anak-anak. 


Selamat ulangtahun perkahwinan kita yang ke-12. Semoga Allah panjangkan jodoh kita hingga ke syurgaNya. Aku sentiasa ingin hidup bahagia bersamamu. 


Dan selamat hari lahir suamiku. Genap 40 tahun usiamu. Kata orang, umur ini kita dinilai pada apa yang kita beratkan (baik atau buruk). Masa untuk kita lebih memberatkan pada hal kebaikan dan bersedia menuju kematian. 


Aku mendoakan agar Allah kurniakanmu kesihatan yang baik, untuk menjaga dan memimpin keluarga kita. Semoga rahmat dan kasih Allah sentiasa melimpah untukmu. Dilorong langkahmu pada kebaikan dan kebajikan, dan seterusnya mendapat husnul khatimah. Ameen. Insya Allah.


Aku menyayangi dan mencintaimu setulus hatiku duhai suamiku. 








Wednesday, 30 November 2022 0 comments By: Naemah

WELCOME DECEMBER!




Selamat datang Disember. Selamat tinggal 11 bulan yang telah kita jalani bersama. 31 hari saja lagi menuju tahun baru 2023. 


Masa terus berjalan, tak menunggu walau sedetik pun. 11 bulan yang telah berlalu, sudah tentu banyak suka dan duka juga yang telah ditempuh. Detik bahagia sudah tentulah detik ketika bersama-sama, walaupun yang kita lalui itu bukanlah indah semua. Berdamai dan berkonflik, itu resam dalam berkeluarga. 


Meninggalkan November, dengan kenangan yang banyak, di mana bulan ini anak-anak bukan hanya bersekolah, malahan juga menyertai aktiviti dan pertandingan di luar sekolah. Mencabar dan menguji diri walaupun bersama kekurangan yang ada.


Disember, kini di minggu terakhir persekolahan sebelum bercuti panjang dan seterusnya melangkah ke tahun baru. Miqdad akan tamat pembelajaran di sekolah tadika, Anas dan Mussaab akan selangkah lagi ke depan, meneruskan pengajian dan mengutip pengalaman. 


Disember juga adalah bulan anniversary ummi dan abi, syukur yang tak terhingga, sampai ke usia ini ikatan cinta dan kasih. Bulan ini juga bulan kelahiran abi. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekuatan buat abi untuk memimpin keluarga ini. 


Disember, kita punya plan juga. Selagi bersama, selagi itu kita punya peluang untuk mencipta kenangan dan memperbaiki hubungan. Mudah-mudahan, setiap saat bersama menjadi saat yang sentiasa berharga untuk kita kenang di masa akan datang.


Selamat datang Disember! Semoga dapat mencipta kenangan manis dan terus berjalan ke depan dengan langkah yang gagah dan yakin.


Ya Allah, rahmati dan berkati langkah perjalanan kami.







Wednesday, 16 November 2022 0 comments By: Naemah

SWIMMING COMPETITION AT RELIANCE SWIMMING ACADEMY



Pada 13/11/2022 berlangsung pertandingan berenang di Reliance Swimming Academy di mana pertandingan ini terbuka untuk semua pelajar di akademi ini.


Abi daftarkan nama Anas, Mussaab dan Miqdad untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan. Anas, Mussaab dan Miqdad mula belajar di sini sejak Februari lepas. Dah hampir setahun, kiranya dah banyak belajar juga la. Anas dan Mussaab masuk kategori freestyle (8-15 tahun), Miqdad pula masuk kategori kicking board (6-8 tahun). Satu lagi kategori yang dipertandingkan ialah breast stroke (8-15 tahun). 


Pada hari pertandingan, kebetulan pula abi perlu ke Kemaman untuk kembali bertugas. Sempat jugalah abi datang sekejap dan sempat tengok Anas dan Miqdad beraksi. Abi tak sempat tengok Mussaab sebab turn Mussaab lambat sikit, berbanding yang lain. 


Pendaftaran seawal jam 8.30 pagi, dapat 3 baucer minuman (coklat, teh dan kopi). Minum dulu sebelum acara bermula. Pada jam 9.30 bermula dengan acara kategori kicking board. 3 peserta beraksi untuk satu pusingan. Miqdad bertanding dalam pusingan kedua dan berjaya mendapat tempat pertama. Alhamdulillah. 


Dah selesai kicking board, tiba giliran untuk kategori freestyle (kategori ni paling banyak penyertaan). 4 peserta untuk satu pusingan. Anas hanya berjaya dapat tempat ketiga. Mussaab pun tempat ketiga juga. Alhamdulillah. Syukur juga.


Berakhir dengan acara pertandingan kategori breast stroke. Selepas rehat seketika, majlis berakhir dengan acara penyampaian sijil dan pingat kepada semua peserta. Alhamdulillah, masing-masing berjaya bawa pulang sijil dan pingat, dan paling penting adalah pengalaman dan kenangan atas keberanian untuk mencuba.


Tahniah Anas, Mussaab dan Miqdad! Mungkin bulan ni adalah bulan terakhir belajar di sini. Sedikit sebanyak dah dapat ilmu, dan dah dapat keberanian. Tak risau sangat dah ummi dan abi nak lepas main di pantai, sungai atau kolam. Tapi tetaplah perlu sentiasa berhati-hati ya!


Terima kasih Reliance Swimming Academy atas peluang yang diberikan. Anak-anak mendapat pengalaman, dan mendapat ilmu di sepanjang mereka belajar di sini. Terima kasih atas tunjuk ajar buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga semua yang dipelajari di sini dapat diaplikasikan di luar sana. 











Wednesday, 9 November 2022 0 comments By: Naemah

HUJUNG MINGGU BERSAMA SURAU ISTIQAMAH



Hujung minggu yang lepas (5-6/11/2022) anak-anak tak melepaskan peluang menyertai program Karnival Cinta Rasul yang dianjurkan surau Istiqamah Seksyen 6, Bandar Rinching. Ia bermula pada bulan September lagi, dan banyak pertandingan yang dianjurkan kepada peduduk setempat termasuk anak-anak.


Anak-anak menyertai pertandingan sepak penalti, azan dan bacaan surah al-Fatihah, hafazan, mewarna dan kehadiran ke masjid (kumpul cop terbanyak). Buat persediaan seadanya saja, anak-anak paling seronok part berjemaah di surau sebab setiap kali pergi dapat cop :) tarikh cop diambil bermula pada 28/9/2022 dan berakhir pada 5/11/2022. Kalau abi tak ada, ummilah yang ambil tugas hantar dan ambil anak-anak dari surau. Hari tu cuti sekolah seminggu, tak dapatlah cop seminggu. 


Kemudian masuk sepak penalti (semua), hafazan surah lazim (Anas), azan dan bacaan surah al-Fatihah (Anas dan Mussaab) dan mewarna ( Miqdad). Semua pertandingan ni hanya dapat hadiah saguhati. Alhamdulillah. Syukur juga walaupun tak menang. Boleh cuba lagi di masa akan datang. Oh ya, abi pun join juga sepak penalti dengan kaki yang masih tak sihat lagi tu. 


Untuk kehadiran ke surau, Anas di tempat ke-8, Miqdad ke-10 dan Mussaab ke-12. Pun bersyukur juga. Semua penyertaan dapat hadiah berbentuk wang tunai (kecuali sepak penalti dapat medal). Dapatlah juga bawa balik hadiah. Duit macam biasa, simpan dalam tabung untuk kegunaan masa depan.


Hari penutup Karnival Cinta Rasul berlangsung pada 6/11/2022. Hari ni diadakan perarakan maulidurrasul, persembahan silat, pertandingan mewarna dan busana muslim, sesi tazkirah, dan terdapat juga gerai jualan di perkarangan surau. Hari ini juga anak-anak dapat hadiah untuk semua penyertaan mereka. Alhamdulillah. 


Tahniah anak-anak atas penyertaan. Tak menang takpe, yang penting semua berani mencuba. Insya Allah tahun depan cuba lagi yang lebih baik ya!



Gambar buat kenang-kenangan;