Sunday, 24 September 2017 47 comments By: Naemah

SINCERO PRESSURE COOKER




Sincero pressure cooker- kami beli pada bulan Jun 2017 di cj WOWshop secara online. Konon-kononnya nak guna  untuk masak pada hari raya puasa.  Tapi tunggu punya tunggu periuk tak sampai-sampai. Lepas raya barulah kami pergi tuntut di pejabat GDEX. 

Puas aku google resepi yang menggunakan pressure cooker ni. Tapi satu pun tak jumpa. Agak terkulat-kulat juga la nak pakai sebab baru kan :) walaupun ada manual tapi masih blur-blur juga. Tapi try juga la. Kalau resepi noxxa dan philips berlambak orang share. Boleh juga buat panduan, tapi ada perbezaannya. 

Pertama kali, guna untuk masak nasi beriani. Sangat mudah dan cepat. Sama je rasanya dengan periuk noxxa yang famous tu. Cuma yang ini lebih murah dan kurang menjadi sebutan :) kalau ikutkan, banyak jenis pressure cooker yang terdapat di pasaran, yang datang dari pelbagai jenama. Tapi harganya boleh tahan juga :) Alhamdulillah, syukur rasanya dapat sambar satu :D

Lepas guna untuk masak nasi beriani tu, terus tak guna dah. Simpan je dalam kabinet dapur. Entahlah, mungkin sebab masak dalam jumlah yang sikit, rasa tak berbaloi nak guna periuk yang besar tu :)

Semalam, sempena hari raya aidiladha, periuk tu sekali lagi membantu memudahkan kerjaku. Untuk hidangan pagi raya, aku masak nasi dagang dengan menggunakan pressure cooker. Secepat 12 minit (lebih kurang), siap nasi dagang yang diharapkan. Petangnya pula, masak daging singgang dengan menggunakan pressure cooker sekali lagi. Masukkan daging dan bahan-bahan semua, tak sampai sejam singgang dah siap untuk disantap. Daging juga lembut dan empuk. Sedap sangat!

Alhamdulillah. Terima kasih suamiku kerana berkorban wang ringgit untuk pressure cooker ini. Insya Allah, nanti akan cuba masakan yang lain lagi. Pastikan pelaburan ini berbaloi ;)



My sincero pressure cooker




Percubaan pertama: Nasi Beriani




Singgang daging

AWAL MUHARRAM: BALIK KAMPUNG

1 Muharram 1439 hijrah jatuh pada hari Jumaat. Hari ini juga sekolah Anas bercuti sempena menyambut tahun baru hijrah. Kami memilih untuk balik ke kampung. 

Kalau kebiasaannya kami bertolak selepas Anas balik sekolah, kali ni kami memilih untuk bertolak awal pagi. Kami meninggalkan rumah jam 4.45 pagi (hari jumaat). Subuh kami di Bentong, dan breakfast kami juga di Bentong. Damai rasanya menikmati nasi lemak dan nasi dagang di padang berhadapan masjid Bentong. Anak-anak masih dengan pakaian tidur mereka, menikmati hidangan di bawah langit yang masih gelap. 












Selepas menikmati sarapan kami meneruskan perjalanan yang masih jauh. Isi petrol di Raub, dan berhenti mandikan anak-anak di r&r Benta. Sempat juga singgah makan sekali lagi di gerai di Kuala Lipis untuk memenuhi permintaan Anas yang nak makan roti canai. Sekali lagi mengisi perut hingga kekenyangan. Alhamdulillah. Perjalanan diteruskan.






Perhentian seterusnya ialah di air terjun Stong. Aku dan suami pernah datang sekali dulu, ketika aku mengandungkan Anas. Maka ini kali kedua untuk kami dan kali pertama untuk anak-anakku. Anak-anak seronok mandi manda si sungai yang jernih. Kebetulan kami sampai lebih awal, masih tiada pengunjung di situ. Suamiku melayan anak-anak mandi. Batu di dalam sungai agak licin dan agak berbahaya. Anak-anak perlu diawasi setiap masa. 















Jam 12.45, kami meninggalkan air terjun Stong dan terus balik ke kampung legeh, rumah ibuku. Kami sampai jam 1.30. 

Perjalanan hari ini agak panjang (lebih kurang 9 jam), namun Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Perjalanan kali ini juga agak santai, tidak terlalu mengejar masa. Anak-anak ada ketikanya baik-baik saja di dalam kereta, ada ketika juga riuh rendah saling mengusik dan kebosanan di dalam perjalanan. Tapi biarlah mereka melalui pengalaman ini, yang nanti pasti dirindui. 

Sungguh, musafir ini merapatkan dan mendekatkan. Dan dalam musafir ini, ada banyak ibrah yang boleh dikutip dan difikirkan. Memandang pada keindahan ciptaanNya, membuat hati terdetik Maha Hebatnya ALLAH.

DERITANYA SAKIT GIGI

Bila kali terakhir anda sakit gigi, dan bila kali terakhir cabut gigi? Kalau yang belum pernah sakit gigi dan belum pernah ke klinik gigi untuk mencabut gigi, mungkin kali terakhirnya adalah ketika anda budak-budak dulu kan? Ingat-ingat lupa barangkali.

Dulu rasanya sakit gigi tak sama macam sakit gigi bila dah dewasa ni (rasanya la). Dan selalunya gigi tu bergoyang, then tercabut sendiri. 

Tapi sakit kali ni lain macam. Sangat mengganggu tidur malam. Berdenyut-denyut, tak tahu nak buat macamana. Sakit gigi dah lama, dah lebih sebulan. Tapi selalunya sakit tu tak lama. Kadang-kadang berkumur dengan air garam, rasa sakit tu makin berkurang dan hilang. Tapi sejak seminggu lepas sakit gigi makin kuat. Tiap malam mengganggu tidur. Berkumur air garam pun tak membantu.

Akhirnya buat keputusan untuk cabut gigi. Klinik gigi as-Syifa’ di Bukit Bunga (kampung) menjadi pilihanku. Pertama kali menggunakan khidmat di sini. Dulu pernah temankan suami. Kini giliran aku pula. Alhamdulillah gigi geraham bawah (yang dah pecah sebahagiannya) akhirnya selamat dicabut. Hilang derita sakit gigi. Insya Allah.

Terima kasih pada doktor gigi yang memberikan khidmat terbaik. Harganya juga sangat murah iaitu rm30 sahaja untuk cabut gigi. Terima kasih suamiku yang bawa aku ke klinik gigi, dan tolong jagakan anak-anak. 

Sesiapa yang giginya masih cantik dan elok, jagalah baik-baik ya. Jangan sampai gigi tu rosak, sakit gigi ni sangatlah seksa nak tanggung. Kalau dah mula sakit, cepat-cepat jumpa doktor gigi untuk tampal atau cabut. 

Oklah. Sampai sini saja tentang ‘gigi’. Take care ya :)






Tuesday, 19 September 2017 0 comments By: Naemah

KAKAK IPAR

Terasa nak menulis tentang kakak ipar pula :) hmm..siapa kakak ipar? Kakak ipar kita dah tentulah isteri abang-abang kita atau boleh jadi juga kakak kepada suami kita :) semua orang pasti tahu kan.

Aku ada 3 orang kakak ipar (isteri abang). Yang pertama dan yang kedua memang aku tak sedar bila mereka hadir dalam hidup aku. Sebab jarak umur antara aku dengan abang sangat jauh. So, bila masa mereka kahwin aku langsung tak ingat :D

Yang ketiga pula agak lama juga, masa aku tingkatan tiga mereka berkahwin. So,aku sedarlah tentang kehadiran kakak ipar yang seorang ni :)

Nak highlight kan, bahawa aku sayang kakak-kakak ipar aku. Lepas aku sendiri berumahtangga dan menjadi kakak ipar, aku lebih menyedari hakikat seorang ‘kakak ipar’ dan lebih menghargai kewujudan mereka dalam hidup aku :)

Kenapa? 
Sebab aku sendiri tak mampu nak jadi seorang ‘kakak ipar’ sebaik mereka. Baik sangat ke? Hmm... ye baik. Jauh lebih baik dariku.

Yang pertama, yang sangat berlemah lembut denganku dari aku kecil sampai aku tua bangka :b yang kedua, yang tak pernah ambil hati dengan sikapku yang kadangkala agak ‘kurang sopan’ pada seorang yang bernama kakak. Tak berubah layanan dan sapaan setiap kali bersua :) Yang ketiga, yang ramah menyapa, rajin bertanya khabar dan berkongsi cerita , dan baik setiap masa. Yang pasti, dari aku kecil sampai sekarang belum ada episod aku sakit hati atau terasa hati dengan mereka :) Dan mereka tak ada pula menunjukkan tanda yang mereka juga sakit hati dan tak suka padaku. Yelah, dulu kecik-kecik perangai pun agak tak senonoh dan suka buat hal juga :b

Kini, bila aku sudah berumahtangga dan dapat title ‘kakak ipar’ pada 5 orang adik ipar...wah. Aku rasa aku perlu banyak belajar untuk menjadi kakak ipar yang baik pada adik-adik iparku *_* 

Dan sesungguhnya aku belajar; untuk tidak terlebih dahulu mengharap orang baik dengan kita, sebaliknya kita dulu yang perlu cuba beri yang terbaik untuk mereka. Dan yang penting, jaga hubungan dengan mak mertua setiap masa. 

Namun begitu, kita adalah kita. Bagaimana kita kagum pada orang lain, kita akan lebih selesa menjadi diri sendiri. Usah paksa jadi peramah jika selama ini kita seorang yang pendiam. Tak perlu banyak bercerita jika memang kita bukan jenis banyak mulut. Tak perlu juga nak pening kepala memikirkan macamana nak jadi kakak mithali kalau kita sememangnya tak pernah ada adik :D just be ourself. Dan jauhi sikap yang boleh membuat orang sakit hati.

Buat adik-adik ipar, mohon maaf atas kekurangan sebagai seorang ‘kakak’. Seriously rasa kekok sangat bila anak bongsu yang tak pernah rasa jadi kakak tiba-tiba kahwin, jadi kakak ipar pulak :) terasa sangat tak mampu nak buat adik-adik sayang dan gembira ada kakak seperti ini. Tapi tak apalah, selagi diri ini diterima seadanya dalam keluarga itu, dah cukup untuk aku rasa aku sebahagian dari mereka semua ;)

Insya Allah, mana yang kurang kita sama-sama perbaiki :)





Monday, 18 September 2017 0 comments By: Naemah

TAK TAKUT LAGI

Sedar tak sedar dah hampir setahun Anas bersekolah. Dalam tempoh hampir setahun ini, akulah yang ulang alik hantar dan ambil dia dari sekolah yang jaraknya lebih kurang 1km. Sesekali suamiku yang ambil tugasku, tapi kerana kekerapan suami bertugas, akulah yang setia menggalas tanggungjawab. Kadangkala suami akan tolong jagakan anak yang kecil, dan kebanyakan masanya aku perlu bawa sekali Mussaab dan Miqdad ke sekolah. 

Oleh kerana hampir setiap hari 'memandu' ke sekolah, maka hari ini skill memandu dah semakin baik. Alhamdulillah. Oleh kerana 'terpaksa', dapat juga aku buktikan pada diri sendiri yang aku mampu memandu seperti wanita lain juga.

Bukan nak berbangga, tapi inilah hakikatnya. Dulu takut sangat nak pandu kereta. Lesen memandu yang aku dapat tahun 2010, tahun 2017 barulah dirasakan berguna dan berbaloi :D Benarlah orang cakap. Awal-awal je takut-takut. Bila hari-hari bawa, hilang dah rasa takut tu.

Ya. Inilah pengalaman aku. Aku akui masih belum cekap, tapi yang penting rasa takut di jalan raya sedikit demi sedikit hilang. Bukan sekadar ke sekolah Anas, aku juga pernah memandu lebih jauh dari itu. Tapi taklah jauh sangat. Dalam lingkungan 5km saja kot :D Itupun jika terpaksa.

Ada lebih kurang 2 bulan lagi Anas akan bersekolah sebelum bercuti panjang. Tugasku menghantar dan mengambil dia masih diteruskan. Berbanding awal persekolahan dulu, sekarang dah semakin 'berani'. Rasa takut dan teragak-agak berjaya diatasi. Alhamdulillah, sepanjang tempoh memandu tiada insiden yang tak diingini berlaku. Moga Allah lindungi. Apatah lagi dengan membawa anak-anak, aku harapkan Allah sentiasa menjaga kami. 

Insya Allah, di masa akan datang akan lebih baik. Aku juga bukan nak ke mana-mana. Cuma bila ada keperluan mendesak, dan ketika suami tiada di rumah, sekurang-kurangnya aku tak rasa sukar untuk bergerak dan memenuhi keperluan :) 




Kereta kami yg comel :)





Penumpang setia yang sentiasa comel :)


Sunday, 17 September 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 180917



Hari ini abi ke airport seawal jam 5.30 pagi ketika anak-anak masih lena. Seperti biasa, abi memberikan ciuman kasih pada anak-anak yang sedang tidur sebelum bertolak pergi. 

Miqdad bangun jam 6.30. Menonton video a ba ta dan turun ke bawah bersama ummi. Mussaab juga bangun kemudiannya. Ummi suapkan Miqdad nasi goreng dan masakkan burger untuk Mussaab. Lepas makan Mussaab dan Miqdad bermain. Ummi tangkap gambar dan hantarkan pada abi yang sudah berada di airport. Jam 8.30, penerbangan abi ke Bintulu. 

Ummi buka video untuk Mussaab. Miqdad dah mula menangis dan tak mahu lepaskan ummi. Ummi susukan Miqdad. Cuba untuk tidurkan Miqdad tapi kemudiannya cergas kembali bermain. Anas masih belum bangun dari tidur. Hampir jam 9 pagi barulah Anas turun menyertai adik-adik.

Ummi masakkan roti tortilla cheese untuk Anas dan Mussaab. Miqdad merangkak dan berjalan (berpaut) merata. Ummi cuba buat kerja setakat yang sempat sementara Miqdad asyik bermain. Sudah makan, Anas dan Mussaab mandi. Lepas mandi, naik ke atas dan menonton video. Video 'tech insider' sering menjadi pilihan Anas. 

Ummi susukan Miqdad lagi dan pukul 10, Miqdad lena kembali. Ummi biarkan Anas dan Mussaab di atas menonton video bersama. Kemudian Miqdad turun ke bawah. Boring tak tahu nak buat apa, Mussaab menghampiri Miqdad yang tengah lena. Beberapa kali ummi angkat Mussaab keluar, tapi masuk juga. Merajuk bila ummi marah. Anas turun ke bawah dan ambil hp ummi. Miqdad bangun bila dengar bising di luar.

Dah siap masak, ummi suapkan Anas dan Miqdad makan jam 11.30. Mussaab hanya makan ayam. Sambil tu buka video little baby bum untuk Miqdad. Selesai makan dan kemas, ummi gosok baju sekolah Anas. Lepas tu mandikan Miqdad. Anas dan Mussaab masih menonton. Abi call dari hotel Bintulu. Cakap sekejap dengan abi. Ummi naik mandi dan bersiap untuk hantar Anas ke sekolah. Siapkan Miqdad dan Mussaab juga. Akhir sekali, siapkan Anas. 

Jam 1, bertolak ke sekolah. Sempat buatkan roti butter gula Mussaab. Lepas hantar Anas terus balik ke rumah. Ummi solat dan tidurkan Miqdad. Mussaab juga terlena di sisi Miqdad. 

Ummi bangun jam 4 petang. Mussaab juga bangun dan turun ke bawah bersama ummi. Mussaab baring di sofa sementara ummi makan biskut dan minum kopi. Azan asar kedengaran, Miqdad menangis dan memanggil-manggil. Segera ummi bawa Miqdad turun dan solat asar. Lepas solat ambil Anas di sekolah, dan terus balik ke rumah.

Jam 5, makan nasi dan tortilla cheese lagi. Mussaab masih tak mahu makan nasi. Lepas makan, Anas layan video lagi bersama Mussaab. Miqdad teman ummi menonton tv di bawah. Sesekali menangis minta perhatian. 

Jam 6, Anas, Mussaab dan Miqdad mandi. Lepas mandi sambung menonton tv lagi. Mussaab minta roti butter gula. Ummi buatkan 3 keping untuk Mussaab. Itulah makanan kesukaan Mussaab setiap hari. Hari ni langsung tak menjamah nasi. 

Jam 7, naik ke atas dan bersiap untuk solat maghrib. Anas dan Mussaab menonton video di pc pula. Miqdad bermain sendiri. Lepas maghrib ummi ajar Anas baca al-Quran. Anas mengadu sakit gigi. Miqdad pula dah merengek mengantuk nak tidur. Lepas ummi baca al quran, ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab masih di depan komputer. Banyak video yang sudah diulang tengok. Video Thomas, tech insider,  dan dr Binocs. 

Lepas Miqdad tidur, ummi turun makan. Lapar sangat rasanya. Anas dan Mussaab masih layan video, tak pedulikan ummi di bawah. Ummi solat isyak, dan ajak Anas dan Mussaab tidur di bilik. Ummi temankan Anas dan Mussaab tidur seperti biasa. Berbicara dan melayan pertanyaan, dan akhirnya tidur juga semuanya. Jam 9.30, suasana dah sunyi sepi. Moga semua akan bangun awal esok :)

Alhamdulillah atas kehidupan hari ini. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Insya Allah.

MELAKA KAMI DATANG LAGI

Sabtu 16/09/17

Kami sekeluarga berpeluang menjejakkan kaki sekali lagi ke Melaka. Bukan sekadar melawat negeri yang masyhur dengan sejarahnya ini. Tapi Melaka juga tempat kami sekeluarga pernah mencipta sejarah dan kisah manis bersama. Maklumlah, hampir 3 tahun menetap di sana. Dari Anas kecil hingga lahirnya Mussaab, tentu banyak kisah dan cerita kami di sini :)

Kami bertolak dari rumah jam 10.30 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami singgah makan di sebuah kedai makan di Tg Agas (sempadan negeri 9 dan melaka). Asam pedas claypot menjadi pilihan di samping lauk pauk yang lain. Alhamdulillah. Berselera makan semuanya. Selepas makan, kami menyambung perjalanan ke Melaka

Pantai Pengkalan Balak menjadi destinasi pertama kami. Anas dan Mussaab seronok mandi dan bermain di pantai. Miqdad juga seronok dapat main pasir dan air bersama abang-abang. Agak lama kami di pantai. Memang niat asalnya nak bawa anak-anak ke pantai. Dan kami tiada merancang untuk ke mana-mana memandangkan kami tak bercadang untuk bermalam di Melaka. 




Seronok main pantai


Selepas mandi di pantai, suamiku membawa kami ke Tanjung Bidara. Kami menyusur masuk ke Taman Bidara Palma, menjenguk rumah sewa pertama kami dahulu. Masih sama keadaannya, tiada yang berubah. Cuma mungkin penduduknya lebih ramai memandangkan banyak rumah baru yang dulunya terbengkalai kini sudah ada penghuni. Kami juga ke pantai Tanjung Bidara, sekadar melihat keadaan di sana.

Rumah sewa taman bidara palma


Kemudian sambung perjalanan. Singgah solat di masjid berdekatan pantai puteri, dan ke bandar melaka. Juga tak singgah ke mana-mana, hanya melihat suasana bandar Melaka dari dalam kereta. Jalan juga agak sesak dengan kehadiran ramai pengunjung. Parking tiada, maka kami teruskan perjalanan untuk balik. Tak dapat nak tunaikan permintaan Anas untuk naik ke menara taming sari.  

Coconut shake klebang pastinya tak dilupa. Walau terpaksa beratur panjang, relakan juga. Alhamdulillah. Dalam cuaca yang agak panas, coconut shake terasa sangat nikmat :)

Dalam perjalanan balik, lalu pula Taman Bertam setia, rumah sewa kami yang kedua. Sekadar melihat dari jauh. Nak masuk pun tak boleh :)

Selepas itu kami meneruskan perjalanan balik. Singgah solat dan makan, dan tiba di rumah lebih kurang jam 9 malam.

Alhamdulillah, sebuah perjalanan yang dipermudahkan. Yang penting anak-anak happy dapat mandi pantai. Dan aku pula, terasa terimbau kenangan lalu bila dapat menjejaki tempat-tempat yang pernah menjadi kenangan kami satu ketika dulu.

Syukur pada Allah di atas kehidupan lalu dan kehidupan hari ini. Alhamdulillah.





Cahaya mata penyejuk hati. Anas dan Mussaab pernah tinggal di Melaka. Miqdad pula kali ke2 menjejakkan kaki ke Melaka.