Tahun 2025 hampir ke penghujungnya.
Dan di hujung-hujung ini, hidup terasa sedikit carca-marba; seperti benang yang terurai setelah lama digenggam. Sebulan yang lepas, tubuh diuji. Lemah, perlahan, dan tidak lagi secekap dulu. Namun di setiap langkah kecil untuk sembuh, ada doa yang tidak pernah putus.
Kini, bila tenaga mula kembali walau perlahan, aku belajar untuk bersyukur pada hal-hal kecil, dapat memandu dengan tawakal, dapat memasak walau sekadarnya, dapat mendengar suara anak-anak walau rumah belum sepenuhnya terurus. Semua itu tanda bahawa aku masih diberi peluang untuk terus berperanan, terus menjadi “aku”.
Masuknya November ini, aku ingin menyusun semula yang berserabut. Bukan untuk jadi sempurna, tetapi untuk kembali pada rentak yang menenangkan. Untuk sihat semula, berfungsi semula, mencipta semula kebahagiaan kecil dalam rumah ini.
Aku mahu menutup 2025 dengan senyum yang jujur. Dengan hati yang damai. Dengan cerita-cerita gembira yang lahir daripada kesungguhan, walau dari sisa kepenatan.
Kerana aku tahu, yang berantakan juga boleh kembali indah, bila hati memilih untuk tenang.

0 comments:
Post a Comment