Awal-awal dulu sibuk menjaga anak-anak yang masih kecil. Bermula dengan 3 anak lelaki yang jaraknya 2 tahun setiap orang, membesar bersama-sama. Masa tu jadi ibu kepada anak lelaki yang lumrahnya lasak dan banyak akal. Fokus hanya pada mereka, ketika belum ada yang lain.
Kemudian Allah hadirkan yang perempuan pula. Ingatkan seorang, rupanya dua. 3 lelaki berderet di atas, dan 2 seterusnya perempuan. Dulu sibuk mengasuh yang lelaki, kini belajar memahami anak perempuan pula.
Sejujurnya tak mudah, tapi dengan izinNya, dapat dilalui segalanya. Tambahan pula pada saat bersendirian menguruskan anak-anak (ketika suami di laut), amat mencabar sekali. Allah sajalah yang tahu. Dan Allah sajalah tempat bergantung.
Hari ini menjadi ibu kepada 5 anak dari peringkat usia baby (dah hampir 2 tahun usianya) hinggalah remaja (tak lama lagi genap usianya 14 tahun). Masya Allah, rupanya dah melalui banyak..
Teringat kenangan melahirkan dan menyusukan mereka. Dan kini yang paling kecil itu pun masih lagi menyusu badan. Teringat kenangan menyuap makan mereka, dan kini tinggal yang paling kecil dan kakaknya sesekali minta disuap makan. Kenangan menukar lampin, berkejar nak pakaikan baju, kenangan meleraikan pergaduhan dari hal-hal kecil sekecil berebut mainan dan tempat duduk, kenangan mengajar mereka mengenal dan menyebut objek, mengenal nombor dan huruf, kenangan membuat aktiviti bersama, dan banyak lagi kenangan, dari yang sulung hinggalah yang bongsu ini.
Kini yang sulung pun dah besar. Dah boleh diharap pada banyak perkara. Berkemas rumah, membuang sampah, mengutip dan membasuh baju, urus pakaian sekolah sendiri, kemas bilik sendiri, jaga adik bila ummi perlu keluar, dan insya Allah lebih banyak lagi seiring masa berjalan. Yang adik-adik juga ada hal yang boleh diminta tolong, walaupun seringkali dalam keterpaksaan. Paling tidak, ada hal tertentu yang ummi rasa lebih ringan, bila ada yang sudi membantu.
Pun begitu, buat masa ini anak-anak masih perlukan ummi dalam banyak perkara. Nak makan, sudah tentunya ummi yang perlu masak. Nak bangun pagi, punyalah kena kejut berkali-kali. Hal-hal berkaitan sekolah yang perlu diingatkan berkali-kali, yang selalu menjadi isu di pagi hari. Stokin hilang, buku tak jumpa, songkok lupa letak mana, jadual tak susun lagi, buku teks hilang, masih menjadi masalah yang berulang.
Dan kini masih perlahan-lahan mengenal anak perempuan pula. Yang kakak, kuat rajuknya bila ada yang tak kena (hal yang tak terjadi pada anak lelaki). Nak uruskan rambut ke sekolah pagi-pagi pun mencabar juga. Nak begitu, nak begini. Tak ikut kehendak, muncung pula. Itu baru cerita pagi. Ya Allah.. inilah cabaran berurusan dengan anak perempuan. Abi jelah yang banyak sabar melayan ragam dia.
Baby yang dah tak baby sangat dah ni, kini makin cerdik dan banyak akalnya. Pada usia yang nak mengikut orang je kerjanya (terutama abi). Pantang abi bangun, bersiap, bergerak, buka pintu, dialah yang terlebih dulu bangkit nak ikut. Tak bawa dia kan, meraung menangis. Dia juga yang pantang tengok kain bersusun elok, ditarik-tariknya sampai bersepah. Hai, penat ummi melipat dan menyusun. Dia yang sentiasa berkejar nak dimandikan, dipakaikan pampers dan baju, dia yang tika ummi nak ajar abang kakaknya mengaji, masa tu jugalah dia minta disusukan. Tak dilayan, habis ditarik helaian al-Quran hingga koyak. Dan banyak lagilah peelnya si kecil ini, di usia ini. Persis saja abang kakaknya sewaktu kecil dulu.
Memang beginilah lumrahnya dunia ibubapa. Nak tunggu besar tiap seorang, panjang, berulang dan bersambung-sambung kisahnya. Bila semua dah lepas dari tanggungjawab, mungkin masa tu dah tak ada apa lagi yang ummi nak catat tentang mereka semua.
Maka ummi, buat masa dan ketika ini, selagi mereka masih bersama-sama dan masih bergantung pada ibubapa, sabarlah dalam melayani, ikhlaslah dalam memberi, bertahanlah atas segala ujian dan cabaran yang sentiasa ada.
Kerana akan sampai masanya nanti, bila mereka sudah membesar dewasa dan punya haluan kehidupan sendiri, mereka mungkin dah tak perlukan kita lagi untuk segala urusan hidup mereka. Tiada lagi suap menyuap, tiada lagi kutip dan basuh baju mereka, tiada lagi nak fikir hari-hari menu masakan yang mereka suka, tiada lagi pertanyaan tentang kerja sekolah, tiada lagi kejut pagi yang berulang dan berkejaran memandu ke sekolah hantar seorang demi seorang, dan tiada lagi hiruk pikuk, dan perkelahian yang mahu dileraikan.
Namun yang tetap ada, adalah doa seorang ibu yang akan terus mengiringi perjalanan hidup anak-anaknya. Doa ibu yang sentiasa mengharapkan anak-anaknya akan hidup dengan sangat baik, dan jauh lebih baik dari dirinya sendiri. Doa seorang ibu yang mengharapkan perjalanan hidup anak-anaknya dipermudahkan, perjalanan yang akan menemukan anak-anaknya pada kebahagiaan dan kejayaan, bukan yang sebaliknya.
Begitulah realitinya. Pada akhirnya, semua ini akan menjadi kenangan terindah pada hati seorang ibu.

0 comments:
Post a Comment