Petang Jumaat. Trip terakhir hari ni, jam 5.45 petang ambil Mussaab di SRIPN. Miqdad, Suri dan Nuha macam biasa akan ikut sekali. Manakala Anas, tamat waktu sekolahnya jam 6.40 petang (pergi dan balik berbasikal).
Sebaik ambil Mussaab, bawa anak-anak ke Family Mart untuk beli makan malam di sini. Saja nak belanja si angah yang akan menghdapi UPKK minggu depan.
Tengah duduk menunggu order siap, kedengaran suara ibu memarahi anaknya yang tak sengaja tumpahkan makanan di lantai. Ibu yang tadinya nampak tenang-tenang saja, tiba-tiba naik darahnya bila anaknya buat kesalahan. Anaknya pun bukan kecil lagi, lebih kurang sebaya Mussaab saja. Si ibu marah-marah tak hiraukan orang di sekeliling.
Tak, aku bukan nak judge tindakan si ibu. Aku rasa aku faham. Mungkin dia penat, di petang hari, baru lepas ambil anak-anak dari sekolah (2 anaknya berpakaian sekolah seperti Mussaab). Sama ada dia ibu bekerja atau tidak bekerja, aku percaya dia dalam keadaan penat setelah seharian melaksanakan tanggungjawabnya.
Namun aku kesian melihat wajah anaknya bila dimarah-marah seperti itu. Entah apa rasanya. Seperti terlihat wajah anakku sendiri.
Hakikatnya, aku juga adakalanya menjadi seperti ibu itu. Kesalahan kecil si anak dihambur dengan marah yang tak sepadan. Cuma ia tak pernah berlaku di tempat awam yang mengundang perhatian orang ramai. Tapi, untuk si anak, mungkin sama saja rasanya saat dimarah-marah si ibu. Biarpun di mana tempatnya.
Namun kejadian tadi membuat aku terfikir akan tindakan aku sendiri. Aku kesian pada anak tadi. Apa yang dia rasa, mungkin sama jugalah dengan apa yang anak-anakku rasa di saat ibunya beremosi melampau.
Dan hari ini, ada beberapa kejadian kecil yang mengundang rasa tak tenteram di hati. Emosi turun naik, namun berjaya tahan agar tak bertindak di luar kawalan. Banyak memilih senyap, kerana bila bersuara, bimbang tak kerkawal nada. Dan anak-anak pula, seperti biasa, bermacam ragam dan peelnya masing-masing.
Buat ibu tadi, aku doakan hatinya cepat sejuk dan kembali memandang anak tadi dengan penuh kasih sayang, dan kembali tenang berbicara. Aku percaya dia ibu yang baik, cuma kadang-kadang kepenatan atau ada sesuatu yang menjadikan dia sedikit beremosi. Semoga anak itu juga faham akan situasi ibunya, dan tak simpan dalam hati tentang kata-kata ibunya tadi.
Ya, aku faham. Faham sangat. Marahnya si ibu tak memberi makna benci,cuma mungkin hatinya yang letih dan penat , namun percayalah kasihnya sedikitpun tak berkurang.


0 comments:
Post a Comment