Friday, 18 October 2024 By: Naemah

DEBARAN YANG SAMA

Masih terkesan dengan perjalanan panjang hari tu. Bawa Anas exam di Bagan Datuk tanpa abi, bagai mengulangi ‘debaran’ 6 tahun yang lalu. 


Ya, 6 tahun lalu ketika Anas masih berusia 6 tahun, di bulan-bulan terakhir di alam tadika, juga perlu menjalani ujian kemasukan tahun satu (di SRAI Pekan Beranang). 


Di Beranang tu je. Berdebar apanya? Ya.. itulah kisah debaran yang dulu. Ketika ummi masih tak ada keberanian untuk memandu jauh. Tahun 2018 hanya ada Anas, Mussaab, dan Miqdad. Arah ummi hanyalah ke tadika Little Diamond Kindergarten yang hanya beberapa langkah dari rumah. Dan sebelum tu (2017) ketika baru-baru berani nak memandu bila Anas bersekolah di tadika Genius Aulad. Jarak dalam 1 km je dari rumah. Sesekali ke kedai runcit, pun tak jauh dari rumah. Sekadar itu sajalah. Tiada keperluan untuk pergi jauh dari itu. Dan sudah tentu, ada ketakutan untuk memandu di jalan raya yang sibuk.


Tetapi pada hari Anas perlu menduduki ujian UKS di SRAI Pekan Beranang, takdirnya abi berada di laut. Ummi mencari keberanian untuk memandu ‘jauh’ dari kebiasaan (7km jarak dari rumah). Takut, ya takut dan berdebar tu pasti ada. Pada hari tersebut ummi ‘berjaya’ bawa Anas exam ditemani Mussaab dan Miqdad (yang keduanya tengah lasak dan perlu dikawal sentiasa). Berjaya pergi dan balik dengan selamat, perasaaan lega dan happy tu tak tahu nak cerita macam mana. 


Dan syukur Alhamdulillah, Anas sudah tahun ke-6 (tahun akhir) belajar di SRAI Pekan Beranang. Dengan kerjaya abi di laut, berulang alik ke sekolah Anas setiap hari, saban tahun, bukan lagi satu ketakutan. Malahan sudah biasa. Kini bukan lagi hanya ada Anas, Mussaab dan Miqdad, ditambah lagi dengan Suri dan Nuha. Selain menempuh kesibukan di jalan raya, di dalam kereta tak kurang juga sibuk dan kecohnya dengan suara anak- anak yang kian membesar.


6 tahun berlalu, mengulangi ‘debaran’ itu sekali lagi. Malahan lebih mencabar keberanian dan nekad seorang ummi. Anas yang bakal ke tingkatan satu perlu menjalani ujian demi ujian (berdasarkan sekolah pilihan). Yang pertama hanya di Semenyih, yang kedua pula di Perak. Dan takdirnya lagi, abi berada di laut. Sama seperti kes 6 tahun lalu. Boleh memilih untuk tidak pergi, tetapi kerana semangat Anas untuk menduduki exam, ummi memilih untuk pergi. Jauh. Kali ini lebih jauh. Dan tak pernah ummi memandu sejauh itu. Syukur, ianya telah selamat ditempuh. Semuanya dengan izin dan pertolongan Allah.


Benarlah, Allah takkan meletakkan kita pada situasi yang tak mampu kita tempuh. Dan setiap yang berjaya kita lepasi, semuanya dengan izinNya.


Ia menyedarkan ummi bahawa anak sulung ummi sudah semakin besar dewasa. Dari nak daftar masuk tadika, kemudian masuk tahun satu, dan rupanya dah nak masuk ke tingkatan satu, dari anak sulunglah ummi dihadiahkan rasa yang sebegini. Rasa yang tak mampu ummi nak describe. Excited ada. Sedih sayu pun ada. Entahlah…


Mungkin akan ada exam yang lain lagi. Dan tak pasti abi akan ada atau tiada. Tapi insya Allah, akan berjaya kita lepasi seperti yang sudah kita lalui.


Ummi mendoakan yang terbaik untuk Anas. Semoga perjalanan mencari ilmu dipermudahkan Allah. Diberikan tempat terbaik, mendapat sahabat dan guru terbaik, dan seterusnya cemerlang dalam akademik, agama dan sahsiah diri, dan cemerlang dunia dan akhirat. Ameen. 




Julai 2018

Ummi bawa Anas (6 tahun) duduki exam UKS di SRAIPB.




Oktober 2024

6 tahun kemudian. Anas (12 tahun) menduduki ujian UKKM di MRSM Bagan Datuk, Perak.




Juga Oktober 2024

Ujian PKSK di SK Semenyih

(Sebelum UKKM)


Semoga yang terbaik saja untuk Anas!

Ameen.


0 comments:

Post a Comment