Sunday, 22 January 2023 By: Naemah

2023 SEPINTAS LALU




Sedar tak sedar dah pun berada pada tarikh 23 Januari 2023. 23 hari melangkah ke tahun baru, siapa sangka sampai ke usia ini kita meniti kehidupan di dunia. Aku yang semakin berusia, anak-anakku yang semakin membesar, suamiku yang sudah masuk ke fasa usia 40an. Masya Allah. Jauh sudah kita mengembara di bumi Allah. Apakah kita sedar? Apakah kita bersyukur?


23 hari berada di tahun baru, sungguh aku katakan mood aku masih ke laut dalam. Aku tak bermula dengan semangat yang berkobar. Sampai ke hari ni, aku masih mencari semangat dan kekuatan untuk terus berjalan. Impian aku, sudah tentu ingin mencipta lebih banyak kenangan manis dan berharga bersama keluarga tercinta.


Apa punca semangat ini merudum tak kunjung tiba? Pertama, sudah tentu aku masih terkenangkan ibuku (yang sakit) sejak lebih sebulan yang lepas. Kini hanya mampu bertanyakan khabar pada kakakku. Syukurlah aku terima berita yang baik saja tentang keadaan ibuku. Serba salah juga aku, hanya aku satu-satunya anak yang jauh dari ibuku. Syukurlah, 3 abang dan kakakku tinggal dekat dengan ibuku dan dapat selalu menjenguk dan menjaga. Tapi sungguh, selagi aku tak balik hati aku masih belum tenteram. 


Keduanya, kerana awal tahun ini diuji dengan tidak sihat badan satu keluarga. Demam yang bermula dengan Miqdad, seorang demi seorang, sampailah Suri yang terakhir. Alhamdulillah semua sudah beransur sihat. Tapi ya Allah, demam kali ini lain macam. Dah baik dari demam pun, still badan masih lemah dan rasa malas nak buat apa. 


Kini Allah hadirkan semangat dan kekuatan sedikit demi sedikit. Tambahan suami sudah kembali bekerja, maka aku perlu lebih kuat untuk bersama anak-anak. Alhamdulillah, rasa seperti dah hampir kembali ke rentak yang dulu. Dah tak rasa ‘malas’ sangat dah. Boleh buat aktiviti dengan anak-anak, walaupun sekadarnya saja.


Aku harapkan esok dan hari mendatang akan lebih baik. Tahun ni belum berpeluang balik kampung, insya Allah akan sampa masanya untuk balik juga. Semoga kesihatan seluruh ahli keluarga juga semakin baik. Allah sekadar menguji hamba-hambaNya. Pelangi kan hadir selepas gerimis. Insya Allah. Kita akan jalani kehidupan yang lebih baik. 


Alhamdulillah atas nikmat dan ujian dariNya.

0 comments:

Post a Comment