Friday, 1 January 2021 By: Naemah

PEMUDA YANG MENCINTAI MASJID

Entri pembuka tahun 2021
:)

Antara yang mendapat naungan Allah di hari kiamat nanti adalah ‘seorang pemuda yang hatinya terikat dengan masjid’- petikan hadis.


Situasi sebelum kemunculan covid-19: masjid-masjid beroperasi dan dibuka pada setiap 5 waktu solat. Ummat islam (yang hatinya terikat pada masjid) akan berusaha untuk mengunjungi masjid untuk solat berjemaah dan menghidupkan majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak masjid. Alhamdulillah.


Aku juga bersyukur dikurniakan seorang suami yang hatinya dekat dengan masjid. Mungkin dia kurang dikenali di kalangan ahli masjid (sebab jarang-jarang ada kat rumah) tapi bila ada di rumah, masjid akan menjadi destinasi wajib untuknya setiap waktu solat terutamanya solat subuh, maghrib dan isyak. Alhamdulillah. Malahan pada pandangan mata seorang isteri, dia paling kacak dan gagah perkasa di saat pulangnya dari masjid (terlebih nur gitu :b) Masya Allah. Bukankah pulangnya  dari rumah Allah itu membawa bersama rahmat dan berkat untuk dinikmati bersama anak isteri?  Dan aku sangat merindukan saat-saat itu untuk berulang lagi. Rindu sangat.


Situasi sekarang (selepas diuji dengan Covid-19): Masjid tak bebas beroperasi seperti dulu lagi. Pernah ditutup terus kepada para jemaah, kemudian dibuka dengan bersyarat- dan tak semua ‘terpilih’ untuk mengunjungi masjid. Apatah lagi kanak-kanak, masjid bukan lagi tempat mereka. Sudah berbulan lamanya anak-anak tak pijak masjid, tak menikmati solat berjemaah yang mana sepatutnya dari situ mereka dilatih untuk menjadi pemuda yang mencintai masjid.


Jauh di sudut hati, aku bimbang akan anak-anak lelakiku bila masjid tak lagi menjadi tempat untuk dikunjungi bersama abi mereka (seperti sebelum ini). Bimbang ‘masjid’ tak menjadi tempat yang akan melekat di hati mereka. Bimbang ia menjadi satu tempat yang asing pada mereka di kemudian hari. Nau’zubillah.


Hakikatnya amalan solat berjemaah masih boleh dididik di rumah. Namun bertambah gusarnya aku, bila situasi hari ini mengurangkan masa suami untuk bersama keluarga. Tak mampu untuk hidupkan solat jemaah setiap hari di rumah. Tambahan sekolah pun ditutup, pendedahan kepada solat berjemaah juga kian terbatas.( kalau kat sekolah Anas akan solat berjemaah setiap hari)


Yang perlu memainkan peranan kini, adalah aku! Perlu titik berat soal solat awal waktu, sempurna wuduk, pergerakan solat dan bacaan, saban waktu perlu ingatkan dan perhatikan. Namun perlu aku akui, sering juga aku terlepas pandang, acuh tak acuh mendidik bab solat, asalkan anak solat bila masuk waktunya itu dah cukup! Memang kekesalan sentiasa menghantui. Aku sedar, jika tak benar-benar mendidik, natijahnya nanti tak akan seperti yang diharapkan. Bak kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya. Sama juga bab solat, jika tak dididik dari kecil, besarnya nanti akan semakin sukar.


Semoga Allah kurniakan aku kekuatan untuk mendidik anak-anak yang akan sentiasa teguh mendirikan solat. Semoga akan sampai masanya, anak-anakku juga, akan membesar menjadi pemuda yang mencintai masjid, yang terikat hatinya pada masjid. Insya Allah.


Permudahkan ya Allah!

آمين



Merindukan saat seperti ini


0 comments:

Post a Comment