Monday, 18 March 2019 By: Naemah

WEEKEND: GOTONG ROTONG, ICITY, PERTANDINGAN MEWARNA


Weekend terakhir sebelum cuti sekolah- pertengahan penggal 1 minggu depan. Bermula dengan gotong royong di sekolah Anas SRAI Pekan Beranang pada hari Sabtu, 16/3/19, lepas tu ke Shah Alam pada petang harinya, dan esoknya pula menyertai pertandingan mewarna di surau al-Mukhlisin Taman Pelangi Semenyih 2. Alhamdulillah terisi juga masa dengan aktiviti berfaedah, takdelah melepak dan menonton video saja di rumah :)


Gotong Royong di SRAI Pekan Beranang diadakan pada hari Sabtu, 16/3/19 di mana semua ibubapa dijemput hadir untuk sama-sama bergotong-royong membersihkan sekolah. Ia bermula dari jam 8.00 sehingga 12.30 tengahari.


Pada pagi ini suamiku masih berada di Bintulu,  menanti penerbangannya jam 11.30 pagi. Makanya dia tak dapat menyertai aktiviti gotong-royong ini. Kalau ikutkan aku pun ‘malas’ juga nak pergi (dah tentulah kena bawa semua anak-anak) tapi kalau tak pergi rasa serba salah juga. Dahlah mesyuarat PIBG hari tu pun tak pergi (suami kerja juga). Dalam rasa serba salah tu akhirnya pergi juga, bawa bersama anak-anak yang memang tak boleh ditinggalkan ni.


Kami berada di sekolah dari jam 8.30 pagi sehingga 11 pagi. Sempat buat kerja mana yang patut, Anas dan Mussaab turut membantu walaupun sekejap, selebihnya bermain sajalah. Sudah dijangka :) maklumlah bila dah bertemu kawan-kawan. Miqdad pun Alhamdulillah ok je, ikut rentak abang-abang bermain dan tak kacau ummi buat kerja. 


Jam 11 pagi, bila parents dah start nak buat kerja mengecat aku mengajak anak-anak balik. Bimbang juga bila ramai-ramai bermain dan bergurau nanti mengganggu kerja mengecat pula.













Lebih kurang jam 2.30 petang suamiku sampai. Sudah plan nak ke Shah Alam, ada jemputan kenduri kawan suamiku di sana. Alang-alang, kami plan nak bawa anak-anak ke icity selepas ke rumah kawan suamiku itu. 


Jam 5 petang sampai di rumahnya yang terletak di Seksyen U2, makan-makan sekejap selepas itu terus ke icity Shah Alam.


Icity Shah Alam- sudah agak lama tidak ke sini. Rasa-rasanya tahun 2015 kali terakhir ke sini. Miqdad belum ada, makanya kali pertama buat Miqdad. Anas excited, Mussaab pula ingat-ingat lupa barangkali :)


Kami berada di sini dari jam 6.30 petang sehingga 9.30 malam. Anak-anak gembira dapat spend masa di sini. Tak semua permainan dapat main, especially Miqdad yang masih kecil. Tapi ‘terbang’ juga la rm150 untuk bermain di sini. Tak termasuk makan minum lagi tu :)


Sampai masanya, semua pun dah mengantuk (walaupun tak puas main lagi) maka beransur baliklah kami. Ketiganya yang memang sudah penat dan mengantuk, lena di dalam perjalanan. Aku dan suami tak kurang penatnya, belum sempat berehat lagi sejak dari pagi. 


















Esoknya (Ahad) pagi, lepak di rumah saja. Jam 2-3.30 petang Anas dan Mussaab menyertai pertandingan mewarna di Surau Al-Mukhlisin, Taman Pelangi Semenyih 2. 


Pertandingan mewarna ini dianjurkan oleh pihak masjid, dan ini kali kedua Anas dan Mussaab menyertainya selepas yang pertama dulu (Mac, 2018). Tahun lepas Anas menyertai pertandingan azan juga, tapi tidak tahun ni :) 


Tamat mewarna, sempat membeli keropok lekor dan air yang dijual di gerai di perkarangan masjid sementara menunggu penyampaian hadiah untuk pertandingan mewarna. Alhamdulillah dapat juga hadiah walaupun tak menang :D 


Selepas Anas dan Mussaab mengambil hadiah masing-masing, terus balik ke rumah. Dah lama tinggalkan Miqdad bersama abinya di rumah. 















Tamatlah sudah cerita aktiviti di hujung minggu ini. 2 hari yang terisi baik, insya Allah. Jarang dapat ‘keluar’ pada hujung minggu memandangkan suamiku banyak bekerja pada hari tersebut. Alhamdulillah minggu ni dia ada di rumah. Dapatlah ‘berjalan’ jauh sikit. 


Tinggal lagi seminggu sessi persekolahan. Lepas tu cuti sekolah pula seminggu. Insya Allah, kampung halaman jadi destinasi pilihan. Semoga dipermudahkan semuanya.

0 comments:

Post a Comment