Tuesday, 29 January 2019 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 290119

Catatan ‘diari anakku’ yang pertama untuk tahun ini :)


Rutin tahun baru, Anas, Mussaab dan Miqdad perlu bangun pagi lebih awal tahun ini terutamanya bila abi tiada di rumah, sebab ummi perlu ‘angkut’ semua untuk hantar Anas ke sekolah yang letaknya lebih kurang 6km dari rumah. 


Pagi ni semua bangun jam 6 pagi. Siap mandi, berpakaian sekolah, sarapan dan bersiap untuk ke sekolah Anas. Seperti biasa ummi memandu keluar bersama anak-anak jam 6.50 pagi. Perjalanan lebih kurang 20 minit, kereta dah banyak di jalan, traffic light pun lupa nak kira berapa banyak ,:) lebih baik keluar awal dari ‘sangkut’ jem dan terlewat sampai. Kalau dengan abi takpe, naik motor 10 minit dah sampai.


Sampai di sekolah Anas sekitar jam 7.10 minit. Ummi hantar sampai ke pagar sekolah, bersalam dan berpesan macam biasa. Dalam hati ummi masih risau dan rasa perlu banyak berpesan, memandangkan Anas sekarang bukan di sekolah tadika lagi. Bimbangkan banyak perkara. Tapi insya Allah segalanya baik saja.


Lepas tu terus memandu balik ke seksyen 6 Bandar Rinching. Mussaab ummi hantar terus ke sekolah walaupun masih awal (sekitar jam 7.30-7.40 dah sampai sekolah Mussaab). Lepas tu terus balik ke rumah bersama Miqdad. Moga Mussaab juga baik-baik di sekolah. 


Di rumah, layan Miqdad sebelum buat kerja rumah yang bertambun. Lepas tu buka video ‘dinosaur’ untuk Miqdad yang tengah obses dengan dinosaur. Hari-hari minta nak tengok dinosaur. Pening ‘: sementara Miqdad menonton ummi siapkan kerja dapur, menyapu lantai dan menjemur kain. Lepas tu pujuk Miqdad tutup tv (sebab bila dah mula menonton, agak mencabar nak suruh stop. Baik jangan offer dulu, atau alihkan pada benda lain dulu sebelum tv!) Dapat juga tutup tv dan lepas tu tidurkan Miqdad sekitar jam 10.30. Jam 11, abi whatsapp dah naik pesawat untuk penerbangan ke KLIA hari ni.


Jam 11.30 keluar membeli keperluan dapur di kedai runcit. Tepat jam 12 sampai di sekolah Mussaab, tunggu sekejap Mussaab yang belum selesai mewarna di kelas, lepas tu terus balik ke rumah. Mussaab dan Miqdad menonton tv sementara ummi memasak sekejap. Lepas tu makan tengahari. Mussaab tak nak makan nasi, nak habiskan bihun goreng lebihan sarapan pagi tadi. Miqdad pula kenyang makan pisang yang dibeli di kedai tadi, dah tak nak makan nasi. Mussaab kemudian mengambil iPad dan asyik sebentar dengan iPad. Tv juga terpasang. Ummi naik ke atas untuk mandi dan rehat.


Mussaab dan Miqdad juga naik ke atas. Puas main kat atas turun semula ke bawah, katanya nak tunggu abi, sambil menonton boboiBoy dan video dinosaur. Miqdad pun dah tak mengantuk, turut turun ke bawah nak ‘tunggu Abi’. Sesekali dengar suara Miqdad menangis dan meraung, adalah tu bergaduh dan berebut apa-apa. Ummi kepenatan sangat, tak daya nak turun ke bawah.


Jam 3 lebih, Miqdad dan Mussaab naik ke atas. Buat ‘aktiviti’ kat atas sekejap, lepas tu sama-sama turun ke bawah. Abi dah berada di sekolah Anas untuk ambil Anas yang tamat sessi persekolahan jam 3.30 petang. Mussaab dan Miqdad menonton tv lagi sementara menunggu Anas dan abi sampai.


Hampir jam 4 petang, abi dan Anas sampai. Miqdad dan Mussaab menyambut riang. Teman abi makan dan berbual dengan abi. Banyak pula permintaan nak itu, nak ini bila abi balik. Pening abi nak melayan :D


Mussaab yang mengantuk tertidur di pangkuan abi yang juga penat dan mengantuk . Keduanya lena di sofa. Anas dan Miqdad layan video dinosaur dan Minecraft. Sesekali Anas keluar dan berbasikal.


Jam 6 petang main di luar. Hafiz datang bersama adiknya. Semua asyik bermain dan berbasikal di luar, dan perlu sentiasa dipantau. Jam 7, panggil masuk semua (termasuk Hafiz yang masih tak nak balik). Anas, Mussaab dan Miqdad mandi. Hafiz dan adiknya kemudian balik bila hari beransur gelap. 


Masuk waktu Maghrib, solat berjemaah bersama. Kemudian Anas baca Al-Quran dan hafazan seperti biasa. Mussaab pula baca iqra’ dan buku reading bersama abi. Miqdad juga seperti biasa menyelit antara keduanya, mahu diajar juga :) dah selesai semua, ummi tidurkan Miqdad yang dah sangat mengantuk. Abi temankan Anas dan Mussaab di bilik. Anas lena terlebih dahulu. Mussaab yang tadinya dah tidur masih segar mata, tak mahu tidur. Abi ajak Mussaab ke masjid untuk solat isyak berjemaah. Sampai rumah, siap bawa balik nasi goreng USA lagi. Amboi. Ada upah juga. Mussaab makan bersama abi hingga kenyang. 


Jam sudah pukul 10, Mussaab berbaring di depan tv. Tak nak naik ke bilik lagi, nak tunggu abi. Akhirnya terlena di depan tv. Abi kemudian angkat Mussaab naik ke bilik. Alhamdulillah sudah lena semuanya. Biasanya pukul 9 malam  rumah dah sunyi sepi, tapi malam ni Mussaab pula yang terlajak akibat dah tidur banyak siang tadi.


Semoga lena dan bermimpi indah semuanya. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad dan kita semua. Insya Allah. Ummi sayang semua :)



Ini saja gambar yg sempat dirakam hari ni :D



Tengah layan mengantuk




Tengah layan tv


Monday, 28 January 2019 0 comments By: Naemah

SEBULAN SUDAH BERLALU






Sebulan sudah pun berlalu. Kini sudah di hari-hari terakhir di bulan Januari 2019. Sudah masuk minggu ke-5 persekolahan.


Alhamdulillah sebulan berlalu tanpa sebarang masalah (sikit-sikit tu adalah). Anas dan Mussaab masih sedang membiasakan diri dengan persekitaran baru dan kawan-kawan baru di sekolah. Alhamdulillah, setakat ini kehadiran ke sekolah masih penuh. Kesihatan baik, komen negative pun tak ada sangat :D


Anas tahun ini melangkah ke tahun satu di SRAI Pekan Beranang, menimba pengalaman baru yang nyata banyak berbeza dengan zaman tadikanya dulu. Sekolah lebih besar, jumlah pelajar lebih ramai, guru-guru juga ramai, perlu beli makan sendiri di kantin, lebih banyak matapelajaran yang perlu difokuskan, banyak ‘duduk’ dalam kelas, jam pengajian yang lebih lama, dan lain-lain lagi. 


Alhamdulillah setakat ini tak ada masalah sampai tak nak ke sekolah. Cuma komennya, kena belajar benda yang dia dah tahu. Amboi. Sabar la. Biasa la awal-awal tahun ni mesti kena belajar yang basic dulu. Nanti insya Allah akan belajar banyak lagi benda baru yang Anas tak tahu. Percayalah, dalam banyak yang Anas tahu, banyak lagi yang Anas tak tahu. Sebab ilmu itu tersangat luas. Bukan saja pelajaran di dalam kelas, kemahiran yang lain juga Anas akan belajar dan terus belajar juga, insya Allah. Yang penting jangan jemu dan bosan untuk belajar ya!


Anas sekarang dah pandai ‘membeli’, dah tak nak bawa bekal ke sekolah sebab kawan-kawan tak bawa bekal. Hari-hari beli di kantin sekolah pada waktu rehat. Pada rehat ke-2 pula pihak sekolah sediakan makanan, so tak perlu bagi duit banyak sangat. Rm 3 sehari dah kira oklah tu kan :)


Segala info dari pihak sekolah Anas perlu sampaikan sendiri pada ummi dan abi sebab tak ada group whatsapp sekolah (tapi ada group yang parents buat sendiri). Alhamdulillah kebanyakan info dari guru ‘sampai’ melalui Anas :)


Cerita Mussaab pula di Little Diamond Kindergarten :)


Masuk tahun ke-2 Mussaab di sekolah yang sama. Tak banyak beza sangat dengan tahun lepas, cuma sekarang dah tak ada abang di sekolah, kawan-kawan lebih ramai, dan dah jadi ‘senior’ sikit :) 


Setakat ini kehadiran Mussaab ke sekolah juga penuh. Mussaab tak banyak songeh :D dan mudah bersiap untuk ke sekolah. Selalu juga ummi tanya best ke tak ke sekolah, sebab takut dah mula ‘boring’, maklumlah umur 4 tahun dah masuk sekolah. Alhamdulillah jawapan Mussaab melegakan. Mussaab masih cakap best, alasan dia sebab ‘banyak aktiviti ‘ di sekolah. Ya la ummi tahu Mussaab memang suka sangat beraktiviti dan berkreativiti :) dan mungkin aktiviti masa 4 tahun dulu berbeza dengan 5 tahun sekarang ni. 


Yang sering Mussaab rungutkan ialah ‘Mussaab tak ada kawan/Semua orang tak nak kawan dengan Mussaab/ada kawan ‘buat’ Mussaab’, alahai kesiannya dengar. Ummi tak pasti sejauh mana kebenarannya. Ummi hanya mampu memujuk dan berpesan. Alhamdulillah, setakat ini rungutan itu tak adalah sampai buat Mussaab tak nak ke sekolah. All is well, insya Allah. Mussaab perlukan masa, Mussaab akan seronok berkawan dan beraktiviti dengan kawan. Ada kemungkinan Mussaab ‘tenggelam’ sikit dengan hadirnya ramai kawan tahun ni :) Insya Allah ummi percaya Mussaab akan menyerlah dengan kelebihan yang tersendiri :) 


Apapun masih di bulan pertama. Ummi doakan dan harapkan Anas dan Mussaab akan terus bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. Insya Allah ummi akan setia memberi pesan dan semangat. Ummi tak jemu mendoakan agar sekolah itu akan menjadi antara tempat yang akan memberikan keseronokan dan kebahagiaan dalam diri Anas dan Mussaab. 


Semoga Anas dan Mussaab sentiasa diberikan kesihatan, dilapangkan dada, diterangkan hati dalam menuntut ilmu. Semoga diberi sahabat yang baik dan menyenangkan, juga guru-guru yang ikhlas dan menyayangi. Semoga akan belajar banyak perkara setiap hari. Semoga bahagia dan cemerlang dunia dan akhirat


آمين







Sunday, 27 January 2019 0 comments By: Naemah

BANDAR RINCHING: TEMPAT MENARIK YANG BERHAMPIRAN UNTUK SPEND MASA BERKUALITI BERSAMA ANAK-ANAK

Masuk tahun ke-4 kami sekeluarga menetap di Semenyih. Alhamdulillah.


Kami mula berhijrah ke sini pada Januari 2016 (Belum mengandungkan Miqdad lagi). Kami menyewa rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, sementara menunggu rumah yang kami beli (rumah sekarang) siap. Setahun menyewa, akhirnya pada Januari 2017 kami mendiami rumah yang sekarang ini hingga sekarang. Begitulah cerita ringkasnya.


3 tahun dah pun berlalu. Boleh dikatakan sudah ‘serasi’ dengan tempat ini walau sebelum ini tak pernah terfikir pun yang kami akan membeli rumah di Semenyih dan menjadi antara ‘warga Semenyih’ :)


3 tahun di sini, sebenarnya tak arif sangat tempat-tempat menarik di sini, terutamanya tempat yang sesuai untuk membawa anak-anak. Awal-awal dulu, memang kami sering ‘keluar ‘ dari Semenyih untuk spend masa bersama anak-anak. Paling dekat kami ke Kajang, tak pun ke KL, menuju tempat-tempat menarik dan memang terkenal seperti Stadium Kajang, Taman Tasik Perdana, Planetarium Negara, Taman Botani di Shah Alam, dll.


Itupun jika suami ada di rumah. Jika dia ke laut, melepak di rumah sajalah jawabnya. Sebab sebelum ni memang aku tak berani nak drive (anak belum sekolah), dan sudah tentu tak tahu nak ke mana-mana.


Tapi kat sini mungkin aku boleh share sikit tempat-tempat menarik yang berdekatan sini (kami tinggal di Seksyen 6 Bdr Rinching) yang aku rasa berbaloi untuk bawa anak-anak habiskan masa luang mereka, terutamanya pada hari cuti sekolah (kalau tak nak biarkan anak terperap di rumah dan habiskan masa dengan tv dan seumpamanya).




Aisha Kidz Planet (indoor)



Ianya terletak di Beranang, berdekatan dengan Mara Japan Industrial Institute- MJII (satu bangunan dengan restoren Nasi Kukus Tok ‘We dan tadika al-Baghdadi Tasik Kesuma). Di sini anak-anak boleh bermain dengan bebas dengan segala alatan permainan yang disediakan. Ianya berbentuk indoor activity, dilengkapi hawa dingin, tv, free wifi, surau dan tandas, dan boleh dikatakan sangat selesa untuk anak-anak bermain dan ibubapa juga takkan penat atau jemu menemani anak-anak :)


Pertama kali kami ke sini ialah pada September 2017, masa ni hanya perlu bayar untuk 2 orang anak (Miqdad belum 2 tahun, free je masuk). Bayaran yang dikenakan ialah sebanyak rm 10 untuk satu jam, atau rm 15 untuk unlimited time (sah untuk hari tersebut saja ye)


Sudah kali ke-5 Anas dan Mussaab ke sini (sekali dengan rombongan sekolah), dan Miqdad pula sudah 4 kali. Boleh dikatakan anak-anak enjoy dan seronok setiap kali ke sini. Mungkin sesuai dengan usia mereka, tempat ini mampu memberikan mereka kegembiraan dan keceriaan dalam bermain; melompat di atas trampoline, menyusun blok, bermain pasir, bermain slide dan ‘berenang’ di dalam kolam bola- bola kecil, bermain pondok-pondok, membawa kereta mini, bermain jongkang jongket dan banyak lagi.


Pendek kata, Aisha Kidz Planet boleh dijadikan pilihan untuk ibubapa membawa anak-anak meluangkan masa dengan aktiviti yang berfaedah yang mampu memberikan keseronokan pada mereka. Anak-anak seronok, Mak ayah pula releks dan santai saja menunggu :)


Update: Aisha Kidz  Planet dah berpindah ke Ecohill Taipan, Bandar Rinching


Update terkini (2023)- Dah tak beroperasi di Semenyih

























The Parc, Setia Ecohill 1 (outdoor)


Tempat ini adalah yang paling dekat dengan rumah kami. Ia menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah di hari minggu seperti berjogging atau sekadar berjalan mengeluarkan peluh. Kawasannya juga agak luas dan berbukit. Memang berpeluh la kalau nak jalan kat semua tempat di situ :)


Selain aktiviti berjogging, di sini juga disediakan kemudahan untuk anak-anak beraktiviti lasak seperti memanjat, mendaki dan bergayut. Memang sesuai sangatlah untuk anak-anak yang suka melasak :) cumanya ia mungkin tak sesuai untuk anak-anak kecil seperti Miqdad (2 tahun), sebab tak ada permainan yang mesra budak kecil kecuali buaian :) nak main slide pun bukan main mencabar sebab tak ada tangga, kena panjat macam nak mendaki :D


Tapi oklah, kalau tak ada tempat lain nak pergi, di sini pun boleh saja. Yang penting anak-anak enjoy dan dapat bermain sepuasnya di sini.



















Adventure Park, Setia Ecohill 2 (outdoor)


Adventure Park adalah antara tempat pilihan kami untuk membawa anak-anak beriadah dan melakukan aktiviti sihat. Kat sini tak adalah banyak tempat bermain, dan bukan tempat yang ideal jika nak lepaskan anak bermain. Kerana tempat ini agak berbukit, bercerun dan luas, dilengkapi trek untuk berjalan/berlari/berbasikal. Ia pada asalnya adalah sebuah kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang dijadikan sebagai tempat beriadah oleh pihak pemaju. Tempatnya yang berbukit dan bercerun, boleh dikatakan ‘bahaya’ juga untuk lepaskan anak berlarian tanpa dipantau, apatah lagi untuk berbasikal. Tapi kalau nak berbasikal pastikan basikal yang digunakan itu memang yang telah direka khas untuk kayuhan di tempat yang berbukit sebegini :)


Walau sekadar berjalan, sudah mampu buat kita bermandi peluh. Pun begitu, ada juga disediakan perhentian demi perhentian untuk pengunjung berehat melepaskan lelah di sepanjang trek yang disediakan, terdapat juga taman permainan ‘mini’ untuk anak-anak memanjat dan bermain, juga satu kawasan lain untuk melakukan aktiviti lasak (siap boleh flying fox lagi) dan bersenam. 


Pendek kata, tempat ini boleh dijadikan pilihan untuk membawa keluarga sekali-sekala untuk beriadah mengeluarkan peluh dan melakukan aktiviti sihat. Kawasannya luas, tenang dan dikelilingi pohon-pohon yang menghijau dan meneduhkan. Anak-anak yang sukakan kebebasan dan beraktiviti lasak, pasti suka untuk datang ke sini. 























South Creek, Ecohill 2 (outdoor)


Ini satu lagi tempat yang sesuai untuk melepaskan anak-anak untuk bebas bermain dan meneroka. Kawasannya agak luas, cantik dan menenangkan. Tambahan pula terdapat tasik di sini, menjadikan landskapnya menarik dan mendamaikan. Juga dibina di sini sebuah ‘menara’ khas untuk pengunjung naik ke atas dan meninjau kawasan di sekitar tempat ini secara menyeluruh.


Di sini terdapat playground, trek dan kawasan untuk berbasikal, boleh juga melakukan aktiviti senaman, berjogging atau sekadar berjalan dan bersantai. Terdapat juga kawasan yang lapang, di sini anak-anak boleh bermain layang-layang, atau pelbagai aktiviti yang bersesuaian.


Rasa-rasanya inilah tempat yang paling memberikan keseronokan buat anak-anak kami, sebab boleh lakukan banyak aktiviti yang mereka suka di sini. Boleh berbasikal, boleh bermain di playground dan boleh bebas berlarian di kawasannya yang luas dan cantik :)


(Ada di sebahagian tempat ini masih di dalam penyelenggaraan, mungkin akan tampil lebih menarik dan cantik lepas ni)



















Bukit Broga


Yang ini paling famous rasanya di Semenyih ni, jarang orang tak tahu :) kami sekeluarga baru sekali mendaki Bukit Broga ni (tahun 2015), masa ni baru anak dua. Anas masa tu 3 tahun lebih, dan Mussaab setahun lebih, macam tak percaya Anas boleh sampai ke puncak dengan kudratnya sendiri. Mussaab pula, dah tentulah abinya yang kendong sampai ke atas dan turun semula ke bawah :)


Walaupun baru sekali (suami dah dua kali), tetap nak tulis juga di sini :) Bukit Broga ini boleh dijadikan pilihan untuk melakukan aktiviti bersama keluarga di sekitar Semenyih ini.


Mendaki memang penat, tapi perasaan bila dah sampai ke puncak tu, Masya Allah tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula hari tu kami mula mendaki sekitar jam 6.30 pagi (dah lupa berapa minit tempoh mendaki, mungkin dalam 30 minit) sampai je di puncak dapat menikmati cantiknya matahari terbit. Memang satu momen indah untuk dikenang :) dari puncak itu juga dapat melihat ‘Semenyih’ dengan pandangan menyeluruh. Best sangat! Bukan selalu dapat peluang macam ni kan?


Tapi itu cerita lama dah. Teringin nak mendaki lagi dengan suami dan anak-anak. Tapi belum ada kesempatan. Dan entahlah... masihkah larat :D


Oleh sebab dah lama sangat, gambar pun tak ada dalam simpanan. Semua dah transfer ke hard disk. Belanja gambar yang satu ni je lah :)






Oklah, setakat ini sajalah dulu yang dapat dikongsikan di sini. Kami pun masih agak ‘baru’ juga di sini, belum explore seluruh tempat. Mungkin ada tempat lain lagi yang menarik dan sesuai untuk spend masa bersama anak-anak di sekitar Semenyih ini kan. 


Semenyih yang kini tengah ‘naik’ makin ramai penduduk, makin banyak rumah-rumah yang sedang dibina, moga seiring dengan perkembangan ini juga akan bertambah juga la tempat-tempat menarik yang berbentuk rekreasi dan santai untuk ibubapa spend masa berkualiti dengan anak-anak. Tak perlulah nanti nak keluar jauh, cukup sekadar di sini :) Insya Allah.








Saturday, 19 January 2019 0 comments By: Naemah

BINGKISAN DI HARI LAHIR ABDULLAH MUSSAAB


19.1.19



Hari ini (19.1.19) genap usia Mussaab 5 tahun. Dah besar ye Mussaab :) ummi masih nampak Mussaab ni kecil dan comel sangat lagi.


Tahun ni masuk tahun kedua Mussaab bersekolah. Alhamdulillah setakat ini ummi tengok Mussaab masih bersemangat untuk ke sekolah walaupun Anas tak lagi bersama. Mussaab senang bangun pagi dan tak susah bersiap untuk ke sekolah. Cumanya, tahun ni Mussaab dah tak berjalan kaki lagi ke sekolah. Kalau ada abi mesti nak naik motor dengan abi, dan kalau abi tiada, Mussaab ikut ummi hantar Anas dulu ke sekolah, kemudian balik drop Mussaab pula di Little Diamond Kindergarten. Begitulah kisah rutin sekolah Mussaab tahun ni :)


Mussaab masih anak ummi yang mudah diuruskan, tak banyak ragam. Tapi ada juga waktu dan ketikanya tingkah Mussaab yang menguji kesabaran. Biasalah, Mussaab baru nak kenal dunia, melakukan kesalahan demi kesalahan itu sudah lumrah kan. Namun ummi juga kesal, sering ummi jadi ‘kasar’ dan terlebih menghukum Mussaab yang masih belum sepenuhnya mengerti . Maafkan ummi Mussaab. Adakala rutin yang sibuk dan memenatkan menjadikan ummi hilang rasional. Istighfar demi istighfar, moga Allah ampunkan ummi dan menuntun hati ummi untuk lebih berhikmah dalam mendidik.


Mussaab yang hari ini ummi lihat sangat menyukai aktiviti yang memerlukan kreativiti. Sering ummi kagum dengan ‘hasil tangan’ Mussaab dalam merekacipta sesuatu. Bagi lego, macam-macam model kapal terbang yang terhasil. Kertas, gunting ,pensel, gam, jadi teman potong dan tampal sana sini. Pengepit baju di ampaian pun jadi ‘bahan’. Sering rumah bersepah-sepah dengan bahan dan hasil kreativiti Mussaab. Adakalanya pening kepala ummi dibuatnya. Hai...


Mussaab anak yang tengah, ada adik dan ada abang. Pada kebanyakan masa Mussaab memilih untuk mengalah pada keduanya. Tapi ada masanya Mussaab meluahkan rasa tak puas hati, terasa ummi dan abi banyak lebihkan abang dan adik. Allah.. ujian buat ummi dan abi bila Mussaab merasakan begitu. Mussaab yang banyak tenang dan mudah diuruskan, mungkin itu puncanya (ummi tak perlu berlebih-lebih risau dan pesan macam-macam). Entahlah, yang pasti kasih sayang ummi tak sedikit pun kurang pada Mussaab berbanding Anas atau Miqdad. Barangkali ummi perlu lebih bijaksana untuk memenangi hati Mussaab.


Mussaab yang sangat baik hati dan penyayang. Itu ummi tak nafikan. Mussaab sayang pada Miqdad, paling rajin melayan Miqdad (ada juga part bertingkah, biasalah tu). Mussaab paling pandai melayan Miqdad dan rajin pula berjenaka sampai tak henti ketawa Miqdad. Mussaab juga tak kedekut untuk share apa saja kepunyaan dengan Miqdad. Pendek kata, Mussaab dah boleh diharap untuk menjaga dan melayan Miqdad time ummi sibuk. Terima kasih Mussaab :)


Kalau nak cerita lagi, panjang lagilah cerita Mussaab. Cukup sampai sini dululah :)


Di akhir baris kata ini, untuk kesekian kalinya ummi ingin nyatakan bahawa ummi sangat menyayangi Mussaab, sama seperti sayang ummi pada Anas dan 

Miqdad. Namun mungkin ada yang terlebih dan terkurang dalam membuktikan cinta ummi ini. Maafkan ummi andai banyak yang terkurang untuk Mussaab. Ummi tak pernah bermaksud. Kerana tak mungkin berbeza, ummi sayangkan semua.


Doa ummi sentiasa, semoga Mussaab membesar dengan sentiasa sihat dan cerdas. Belajar banyak perkara, menjadi apa yang Mussaab nanti mahu jadi. Moga sentiasa disenangi dan disayangi oleh sesiapapun, moga dihiasi dengan akhlaq dan peribadi Mulia. Moga dekat hati dengan Allah, dan moga mampu meraih cinta Allah yang paling agung. Semoga anakku..


آمين


 

Birthday picnic di tepi rumah 











Monday, 14 January 2019 0 comments By: Naemah

HILANG FOKUS DAN TARGET





Tahun baru dah berlalu 15 hari. Lagi 2 minggu, masuklah bulan baru pula. Cepat sangatlah masa ni berjalan kan? Rupanya kita pun dah mendekati tahun 2020 dah :D


Aku masih begini. Masih sedang cuba untuk membiasakan diri dengan rutin baru di tahun baru ini. Teruk sangatlah bunyinya. Apalah yang mencabar sangat di tahun baru ni. Hehe.


Terus terang, tak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana aku begitu excited bila nak masuk tahun baru, sebab tahun baru sentiasa ada hal baru dan cerita baru yang akan tercipta . Dari zaman single, ke zaman berdua, kemudian ada anak-anak kecil, kemudian anak-anak masuk sekolah, dan sebagainya. Tahun baru, sentiasa mencipta rutin dan kenangan baru dan berbeza. Dan aku bersedia, siapkan fizikal dan mental untuk tempuh semua.


Seperti tahun-tahun yang dulu di mana aku takut nak pegang stereng kereta dan berada di jalan raya, perlahan- lahan (kerana terpaksa dan kerana keperluan seiring masa yang berjalan) aku kemudian jadi lebih berani dan suami dah lega lepaskan aku ke mana-mana atas urusan anak-anak dan keperluan yang lain. Subhanallah. Masa yang berjalan banyak mengubah diri dalam banyak aspek. Jika direnung, kita hari ini banyak berbeza dengan kita yang dulu.


Awal tahun ini, aku jadi hilang arah. Bukan tak bersedia, sedangkan dari awal dah siapkan mental nak tempuh tahun baru. Perbezaan ketara tahun ini adalah Anas yang tidak lagi belajar di kindergarten. Anas dah melangkah ke tahun satu, dan sekolah pula letaknya jauh dari rumah. Ya, dah siap sedia dengan rutin tahun baru, menghantar dan mengambil dia dari sekolah setiap hari, menempuh perjalanan 15-20 minit, dan menempuh kesesakan di jalan raya yang sebelum ni tak pernah merasa pun.


Lagi, setiap hari juga perlu mengejutkan anak-anak lebih awal dari tahun sebelumnya, terutama time suami tiada di rumah, segalanya aku lah yang perlu bertanggungjawab untuk lakukan. Awal pagi dah kecoh dan kalut , macam tulah gambarannya :)


Dah 2 minggu berlalu, nak kata teruk sangat tu tak adalah, cuma merasakan diri ni belum cukup bersedia nak melalui hari-hari. Rasa macam berat nak jalankan tugas harian, rasa macam rela dalam terpaksa. Entah, nak describe macam mana lagi ya..


Mungkin juga masih di awal tahun baru. Mungkin perlu mengambil lebih masa. Planner langsung tak update, tahun ni tak plan apa-apa bab pendidikan dan aktiviti anak-anak di rumah, setakat ni hanya konsisten mengajar al-Quran dan iqra saja setiap hari. Lain-lain, anak-anak beraktiviti sendiri. 


Azam tahun baru? Biasanya carry forward je azam tahun lepas :D dan selalunya fokus je pada azam tu. Tapi tahun ni azam pun tak terfikir. Hehe. Apalah teruk sangat ni.


Tapi dah tentu ada cerita di sebalik lemah dan lemaunya diri ini. Mungkin lain hari tulis lagilah di sini apa sebabnya. Hakikatnya nak menulis pun ‘malas’ semacam. Rasa tak nak buat apa-apa, tapi jangan mimpilah kan. Tahap mana malas pun, ada tanggungjawab yang tak boleh diabaikan. Hadaplah semua dengan paksa dan rela. Kuatkan semangat, pujuk hati, mohon kekuatan dan keampunan DIA yang Maha Mengerti.


Pun begitu, aku harap dan aku percaya semua ini takkan lama. Akan aku cuba kumpul semangat dan cipta kekuatan untuk menempuh hari-hari. Demi anak-anak, demi suami yang meletakkan harapan, demi Allah yang bukan saja-saja menyerahkan amanah besar dalam hidup ini untuk aku jaga dan laksanakan tanggungjawab.


Moga seiring masa berjalan, aku juga semakin siap untuk menggalas tanggungjawab dan menempuh hari yang lebih mencabar. Anak-anakku, nanti ummi jadi kuat dan jadi yang lebih baik ya. Suamiku, doakan aku untuk jadi yang lebih baik dari diri aku yang sebelumnya. Kerana pasti, kau lebih mengenali baik dan buruknya aku.


Ya Allah, berikan petunjukMu, pinjamkan aku kekuatan untuk gagah melangkah, untuk terus mencuba dan menjadi yang terbaik untuk keluargaku, dan moga dengan tangan ini juga, ada bakti yang mampu aku curahkan untuk anak bangsa dan agamaMu yang mulia. 


Kerana aku juga impikan syurga. 

Meski aku kerdil tak punya apa.

Saturday, 12 January 2019 0 comments By: Naemah

BINGKISAN DI HARI LAHIR ANAS ZAYDAN




12.01.19



Assalamualaikum kesayangan ummi


Bingkisan ini untuk Anas, anak sulung ummi bersempena hari kelahiran Anas yang je 7 tahun.


Mengimbas kembali 7 tahun yang lalu iaitu pada 12.1.12, ummi selamat melahirkan Anas setelah berjuang dengan sesungguhnya. Perjuangan yang diiringi keringat dan air mata, yang disusuli dengan kesyukuran dan kebahagiaan. Anak yang ummi kandung akhirnya berada di dalam dakapan ummi.


Hari ini genap sudah usia Anas 7 tahun. Alhamdulillah. Masa berlalu begitu pantas, tak terkejar. Anas semakin membesar, Alhamdulillah sihat dan cerdas. 


Tahun ini Anas sudah melangkah ke tahun satu. Sudah bertukar uniform, bukan budak Kindergarten lagi. Apa saja pengalaman pertama yang Anas tempuh, segalanya mengujakan buat ummi. Maklum saja anak sulung, pengalaman pertama Anas juga bermakna pengalaman pertama buat ummi. Saat mengandungkan Anas, melahirkan, melihat Anas pertama kali bangun dan berjalan, bercakap, membaca dan mengira, menulis dan melukis, melangkah ke alam persekolahan, segalanya adalah detik yang bermakna dan terakam rapi dalam ingatan dan tulisan ummi.


Anas kini bukan anak kecil lagi. Anas juga merupakan abang kepada adik-adik, yang wajar menjadi contoh terbaik untuk mereka. 


Ketahuilah bahawa ummi sangat bersyukur dan bahagia di atas kehadiran Anas di dalam kehidupan ini. Kebahagiaan yang sukar untuk ummi gambarkan. Bahagia sejak mula mengandungkan Anas, hingga kini dapat menjaga dan melihat wajah Anas saban hari. Bahagia melihat banyak perkembangan baik Anas, di samping cuba bersabar di atas setiap kekurangan Anas yang hakikatnya sedang belajar untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari. Segala salah dan silap itu biasa, moga Anas akan terus belajar saban masa, menjadi insan yang lebih baik dan berakhlak terpuji.


Di kesempatan yang ada juga, ummi ingin memohon maaf di atas banyaknya kekurangan, salah dan silap ummi pada Anas dalam menjaga dan membesarkan Anas selama ini. Ummi tahu, silap ummi sangat banyak. Kesabaran ummi tak cukup kuat. Sering ada yang tidak kena dalam usaha mendidik dan memberi yang terbaik. Maafkan ummi ya sayang.


Di akhir baris kata ini, ummi ingin nyatakan bahawa ummi sentiasa redha pada Anas dengan keredhaan yang sepenuhnya. Moga redha Allah akan sentiasa mengiringi hidup Anas bersama redhanya ummi. 


Masih jauh perjalanan Anas. Semoga sentiasa diterangi dan dilapangkan hati Anas dalam menuntut ilmu. Semoga dikurniakan ilmu sebanyaknya buat Anas, dan dapat melakukan dan menjadi apa yang Anas suka. Moga sentiasa ditemani sahabat dan teman yang baik, jadi ‘abang long’ yang baik dan bertanggungjawab, jadi anak soleh ummi dan abi, dan yang paling penting jadi hamba Allah yang bertaqwa dan memberi manfaat untuk Agama dan ummah. Insya Allah. 


Untuk kesekian kalinya, ummi ingin nyatakan sekali lagi bahawa ummi sangat sayangkan Anas. Terlalu sayangkan Anas, permata hati ummi selamanya. 


Anas, Mussaab dan Miqdad, 

(Dan abi juga)

Selamanya ummi sayang dan cinta

Moga bersatu dan bersama hingga syurga


آمين



Anas request nak makan lasagna di hari lahirnya 






Petang hari spend masa bersama di Adventure Park














Sunday, 6 January 2019 0 comments By: Naemah

DI PERMULAAN TAHUN BARU: 2019

Selamat menyambut tahun baru 2019. 


Pejam celik-pejam celik dah hampir seminggu kita berada di tahun baru. Dan ini adalah entri yang pertama di blog ini :)


Awal tahun ini sangat berbeza dengan tahun lalu. Tahun lepas rasa semangat lain macam, planner semua siap isi dan catat tarikh-tarikh penting. Tetapi tahun ini sangat-sangat berbeza. Rasa macam tak berapa nak ready sangat. Awal tahun yang sibuk, tambahan tanpa suami di sisi, Anas masuk darjah satu, segalanya perlu uruskan sendirian. 


Catatan yang pertama ini kira rangkum semua ceritalah ya :)


Anas dengan rasminya bergelar pelajar tahun satu di SRAI Pekan Beranang pada tahun ini. Hari orientasi diadakan pada 31/12/18. Aku hadir bersama Miqdad menemani Anas di sekolah pada hari ini. Mussaab terpaksa ditinggalkan di sekolahnya Little Diamond Kindergarten, sebab rasa macam sukar nak handle jika bawa keduanya. Bawa Miqdad seorang pun agak mencabar, berpeluh-peluh dibuatnya :)


Alhamdulillah hari orientasi berjalan lancar. Anas seronok di sekolah barunya.


Persekolahan sessi 2019 pula bermula pada 2/1/19. Anas dan Mussaab keduanya memulakan persekolahan pada hari ini. Sehari sebelumnya dah padat jadual, berkejar nak selesaikan urusan dan cukupkan keperluan sekolah Anas. Oleh kerana tak ada pengalaman, tercungap juga la nak settlekan semua. Nak isi dokumen yang diperlukan, menampal lencana dan tag nama, ke kedai gambar untuk buat gambar passport, mencari keperluan yang baru disenaraikan pada hari orientasi, dan terkial-kial pula belajar cara memakai neck tie di YouTube :D yelah, sebelum ni tak pernah ambil tahu pun kan. 


Penat dan kalut, sebab ke mana pergi ketiganya perlu dibawa bersama. Namun tetap bersyukur, segalanya selesai juga. 


Di hari persekolahan, Anas, Mussaab dan Miqdad terpaksa bangun pagi lebih awal dari kebiasaaan. Ketiganya perlu segera disiapkan. Dan pagi ini ketiganya ke SRAIPB untuk hantar Anas. Bertolak dari rumah jam 6.50 pagi, dan tiba di sekolah sekitar jam 7.15 pagi. Tak segera balik, perlu pastikan Anas baik-baik saja di sekolah, dan perlu pesankan banyak perkara juga di samping mendengar sedikit taklimat yang disampaikan oleh guru (taklimat untuk students di hari pertama persekolahan).


Hampir jam 8.30 pagi, meninggalkan sekolah Anas dan bergegas pula ke sekolah Mussaab (Little Diamond Kindergarten). Mussaab dah terlewat, sekolah bermula jam 8 pagi. Hari ini juga merupakan hari orientasi buat Mussaab. Tapi tak apalah, Mussaab pun sudah setahun bergelar pelajar di sini, jadi tak adalah kalut sangat. Mussaab dah ‘biasa’ dengan sekolahnya. Terlewat sikit orientasi, tak apalah Mussaab kan :)


3 hari pertama persekolahan sudah pun berlalu. Alhamdulillah segalanya baik. Suamiku pun dah balik. Dia dah pun mengambil alih tugas menghantar dan mengambil anak sekolah. Pagi-pagi dah boleh releks sikit, tak perlu drive, tak perlu susah-susah kejutkan ketiga anak sekaligus. Mungkin tak lama, sebab nanti suami akan kembali bekerja lagi, dan tugas akan kembali beralih padaku. Semoga aku akan lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab, insya Allah.


Beginilah cerita di permulaan tahun baru 2019. Cerita yang berbeza, dan pengalaman yang berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. Seiring masa berjalan, cabaran demi cabaran yang ditempuh, moga ia membantu diri untuk menjadi insan dan hamba yang lebih matang, cekal dan kuat untuk menempuh segalanya Yang mendatang. Insya Allah.


Anas sudah pun masuk darjah satu, kini di sekolah baru, dan berjumpa kawan-kawan baru. Semoga segalanya baik untuk Anas. Begitu juga Mussaab, tahun ni tak lagi bersama Anas seperti tahun lepas. Mussaab juga dah ada kawan baru, lebih ramai, semoga makin seronok bersekolah. 


Doa ummi sentiasa, moga diterangkan hati Anas dan Mussaab dalam menuntut ilmu, berjumpa kawan-kawan yang baik, disayangi guru, diberi kesihatan yang baik, dan belajar banyak perkara di sekolah. 


آمين









Hari orientasi










 hari pertama persekolahan  2019