Thursday, 30 April 2026 By: Naemah

AMANAH DAN TAWAKKAL


Catatan penutup April.

April yang panjang-dipenuhi dengan hari-hari persekolahan yang langsung tiada rehat dan cuti (kecuali hari minggu).

….


Bangun pagi bersama tanggungjawab di pundak. Yang kadangnya terasa ringan, yang kadangnya terasa berat amat.


Ummi yang bukanlah seorang yang mampu terlalu awal untuk bangkit dan bersedia dengan rutin harian. Namun setiap kali mata terbuka, yang hadir dahulu bukan rasa segar, tetapi sedar, bahawa hari ini ada amanah yang perlu dipikul, dari pagi hingga ke malam. Di pundak sendiri, seorang diri, ketika memang tiada siapa yang boleh bergantung dan bergandingan membahagi tanggungjawab.


Pagi bermula dengan langkah yang sentiasa perlu cepat. Kejut mandi dan subuh, masak dan hidang makan, hidupkan enjin kereta dan meredah kesesakan pagi bersama anak-anak. Tiada ruang untuk lengah, kerana setiap minit ada akibatnya.

Usai menghantar, rumah pula menanti. Walau tidak sempurna, biarlah terjaga. Sekurang-kurangnya setiap ruang di rumah menjadi sedikit rapi, tiada sampah di laluan, tiada pemandangan yang menyakitkan mata. Kain baju kotor tak boleh dibiar terus menimbun, yang dah bersih tak boleh biar membukit tanpa disentuh dan diletak pada tempatnya. 

Dalam kesibukan itu, si kecil juga perlu didukung dengan kasih, dimandikan, disuap makan, ditemani dengan perhatian.

Makan minum anak-anak perlu disiap sedia. Tak boleh tak ada. Anak-anak yang balik dari sekolah, jarang tak lapar. Penat juga setiap hari nak fikir ‘hari ni nak masak apa?’. Ya, sesekali beli, tapi tak boleh selalu. Walaupun rasa macam hari-hari nak ‘gantung kuali’ sebab penat keluar masuk rumah, menghantar dan mengambil satu demi satu.


Bukan tak ada langsung ruang untuk diri. Masih boleh duduk termenung, masih boleh hirup kopi dan isi perut yang lapar, masih boleh lelap sebentar di siang hari, ya masih boleh…


Namun sampai malam harinya, lelah itu terasa juga. Satu hari mengharung semua. Alhamdulillah, berjaya mengharung satu hari demi satu hari, dengan izin dan pertolonganNya.


Malam yang dah tak mampu untuk menahan mata untuk tidur lambat seperti dulu. Lelap bersama anak-anak. Kadang lelap dalam ‘jaga’, fikirkan esok akan menempuh rutin yang sibuk lagi. Rutin yang tak dapat ditinggal atas alasan apa pun. Ada yang utama, yang tetap perlu diutamakan. 


Rutin ini, yang ketika anak-anak masih kecil, masih sekolah, dan masih perlukan bakti seorang ummi. Ketika abi jauh demi sesuap rezeki, ummi perlu berdiri sendiri dengan kudrat yang ada, untuk pastikan anak-anak di sini terurus baik, sampai sekolah pada waktunya, diambil pada waktunya, diberi makan secukupnya, dirawat pada saat sakitnya, dicukupkan keperluan hariannya, dipastikan dalam keadaan baik-baik sentiasa. Dalam tak sempurna, ummi cuba berikan yang terbaik. Namun maafkan ummi, kerana tetap ada pincangnya di setiap hari dari apa yang ummi berikan.


Esok harinya, kitaran itu akan bermula lagi. Tak mudah, tapi segalanya Lillah. Pergantungan ummi hanya kepadaNya. Dan sentiasa, hari demi hari, ‘lulus’ ummi melaluinya. Dengan izinNya. Alhamdulillah.

0 comments:

Post a Comment