Semua hamba diuji. Tiada terkecuali. Tiada yang hidupnya baik-baik sentiasa. Bukankah ujian itu tanda kasih dan sayang Allah? Sebagai Muslim, kita perlu perakuinya. Berat atau ringan ujian itu, bergantung pada ketahanan kita untuk menanggungnya. Dan Allah lebih tahu, setakat mana ‘gagah’nya kita terhadap sesuatu ujian yang diberikan olehNya.
Dan aku? Malu rasanya untuk meratap panjang tentang kesusahan diri, kerana sedar di luar sana, ramai yang memikul ujian yang jauh lebih berat (pada penilaianku).
Namun apa yang terasa di hati tetaplah sebuah rasa yang ‘valid’ dan tak perlu dinafikan, kerana itu juga ujian untuk diri, sepadan dengan apa yang mampu aku tanggung, seperti mereka dengan bahagian mereka (yang mereka mampu tanggung juga).
Cuma pesanan buat diri, jangan terlalu tenggelam dalam ratapan, jangan terlalu banyak bercerita pada dunia.
Mungkin terlalu berat dan sarat rasa yang ditanggung, luahkan pada Dia Yang Maha Mendengar, yang tidak pernah jemu menerima setiap bisikan hamba-Nya. Walau tak terluah segalanya, tetap Dia mengerti seluruh rasamu.
Dan kita perlu belajar mendekat dan menyerahkan seluruh hati kepada-Nya, bukan hanya saat segalanya terasa berat, tetapi juga saat hidup terlihat baik-baik sahaja.
Kerana pada akhirnya, kita hanyalah hamba yang sering lemah, yang sering memerlukan DIA.
0 comments:
Post a Comment