Lamb mandy & Chicken mandy untuk jamuan raya (wow sangat bunyinya!)
Sekadar nak cerita jamuan raya-anjuran persatuan penduduk Seksyen 6 yang diadakan pada 5 April 2026/16 Syawal 1446H (di Surau Istiqamah).
Untuk jamuan ni, abi perlu masak nasi mandy kambing sekali lagi (tahun lepas dah buat tapi dalam kuantiti tak banyak sangatlah). Tahun ni nasi mandy jadi menu utama, maka nak kena masak dalam jumlah yang lebih banyak.
Sehari sebelumnya, semua bahan untuk masak dah siap dibeli. Kambing seekor, beras 20kg, serta bahan-bahan yang lain.
Pada malam harinya, ummi siapkan bahan acar dulu (potong-potong timun, carrot, bawang, dll). Abi rebus kambing (entah pukul berapa abi tidur nak tunggu daging masak). Pukul 5 pagi dah dengar abi sibuk-sibuk kat dapur. Ummi pun bangun juga, tolong apa yang patut. Jam 5.30 masak nasi untuk 5kg beras dulu. Pukul 6 dah masak.
Lepas Subuh abi keluar beli ayam (rasa macam tak cukup kambing seekor ni). Ummi siapkan sambal untuk nasi mandy. Abi balik, ummi terus cuci ayam, dah siap terus rebus. Abi pula masak nasi kali kedua (lebih kurang jam 8 pagi). 10 kg beras/nasi dan sambal dah beres.
Dalam pukul 10 pagi masak round ketiga pula (mandy ayam pula). Acar pun siapkan juga. Hampir jam 11 pagi, kawan abi datang rumah dan bawa dulu mandy kambing (10 kg beras), acar dan sambal yang dah siap. Mandy ayam tinggal dulu kat rumah.
Dah masak yang ketiga, sambung yang keempat pula (pukul 11 lebih). Abi hantar dulu yang dah masak tadi ke surau. Jamuan dah mula pukul
12 tengahari. Alhamdulillah sebelum pukul 12 dah ready semua. Ummi dan anak-anak pun boleh bersiap ke surau juga untuk beraya.
Dalam pukul 12.30, menuju ke surau untuk menjamu selera. Alhamdulillah, banyak juga menu yang tersedia. Di samping nasi mandy, ada bihun sup, lemang dan rendang, ayam gunting, char kue teow, aneka pilihan air dan ais krim, roti jala, cheese tart, buah dan lain-lain lagi.
Dalam pukul 1.30 macam tu, abi cakap lauk dah nak habis. Daging dan ayam, berbaki tak banyak. Maknanya portion lauk tak sepadan dengan nasi yang dimasak (maklumlah tak pernah masak untuk ‘sekampung’ macam ni). Mujurlah ada wakil (kawan abi juga) yang tolong keluar belikan ayam kat luar (ayam baker,s cottage)-lupa dah berapa ekor yang dibeli. Sempatlah top up, cukuplah untuk orang yang masih tak putus datang beraya.
Hampir pukul 2, ummi ready nak balik rumah dah. Anas, Mussaab dan Miqdad dah balik dulu. Ummi bawa balik Nuha (Suri masih nak stay kat surau). Ummi balik sekali dengan mak Aireen (kawan Suri), tadi pun datang sekali.
Masa nak balik ni, nasi dah tinggal tak banyak. Makanan sampingan lain pun dah tinggal sikit. Lepas ummi balik, abi pun balik juga untuk ambil seperiuk lagi nasi yang dimasak tadi. Alhamdulillah masih ada lagi. Risau pulak nasi tak cukup, sedangkan baru pukul 2 petang (jamuan raya sampai pukul 4 petang).
Dah balik rumah, ummi dah tak ambil tahu apa cerita kat surau tu. Rehat dan tidur je dengan Nuha. Doa jugalah, semoga dipermudahkan urusan abi dan kawan-kawan abi di sana. Lagipun, rasanya dah makin kurang orang yang datang. Dah nak ‘tutup kedai’.
Abi balik rumah hampir jam 4 petang. Abi bawa balik lebihan nasi (separuh periuk juga la). Itupun sebab lauk semua dah habis licin. Tinggal nasi ni jelah. Acar dan sambal pun habis.
Alhamdulillah, walaupun tak sempurna, agak berpuas hati jugalah dapat sediakan hidangan istimewa ni pada penduduk Seksyen 6. Selalu masak sikit, ummi je yang masak. Untuk majlis besar ni, boleh dikatakan 90% abi yang buat dari awal hingga akhir part nasi dan lauk. Ummi tolong sikit-sikit je (acar dan sambal je bahagian ummi seorang).
Abi cakap, anggaran tetamu yang datang lebih kurang 500 orang. Agak ramai juga. Alhamdulillah.
Ia jadi pengalaman berharga buat ummi dan abi. Bukan mudah ya, nak sediakan makan besar macam ni. Hanya masak berdua. Risau tak menjadi, dan tak sedap macam biasa masak dalam kuantiti kecil. Risau tak menepati selera orang, risau tak cukup (memang tak cukup lauknya), dan banyak lagi risau. Tapi tawakkal jelah. Buat saja, ikhlas kerana Allah. Nak jamu orang makan. Mana yang terkurang, insya Allah akan diperbaiki di masa akan datang. (Dah tak kisah kalau-kalau ada komen negatif di belakang, sebab kita dah buat dan beri yang terbaik).
Jadi tamatlah cerita raya di Seksyen 6 tahun ini. Alhamdulillah, syukur atas nikmat dan rezeki dari Allah. Semua hidangan sedap dan menyelerakan. Terima kasih pada semua yang bertungkus lumus menyediakan juadah untuk jamuan besar ini. Ya, bukan kita saja yang penat, orang lain pun juga, sama penat nak menjayakan majlis jamuan raya tahun ini.
Tak banyak ambik gambar.
0 comments:
Post a Comment