Sunday, 15 February 2026 By: Naemah

KENAPA HANTAR ANAK DI SEKOLAH YANG BERBEZA?


Ringkasan tentang sekolah dan sessi persekolahan anak-anakku tahun 2026.


Anak sulung- sessi petang di SMK Bandar Rinching. Anak kedua- sessi pagi di SK Kampung Rinching dan sessi petang di SRI Permata Nusaybah. Anak ketiga-satu sessi sahaja (pagi) di SRAIPB. Anak keempat-sessi pagi di KAFAI Al-Mustaqim dan sessi petang di SK Kampung Rinching. 


Semua anak dihantar dan diambil sendiri oleh abi atau ummi (jika abi di laut). Berulang-alik berkali-kali sehari, pagi hingga petang.


Kan mudah jika semua anak belajar dalam satu sekolah je! Sekali hantar, sekali ambil, atau mungkin yang berbeza hanya sessi pagi dan petang sahaja. Kan jimat banyak masa tu!


Tapi apa yang boleh aku katakan, inilah takdir! Allah yang tentukan di mana tempatnya anak-anak ini belajar. 


Bermula dengan sulung, mencuba nasib memohon ke SRAIPB, sekolah yang perlukan persaingan sengit untuk mendapatkan tempatnya yang terhad. Istimewanya ia, kerana digabungkan silibus KKM dan JAIS sekaligus dalam satu sessi sahaja. 


Alhamdulillah rezeki buat yang sulung, diterima masuk ke SRAIPB melalui ujian kelayakan yang diadakan. 


Dan kini sulung dah bersekolah di sekolah menengah. 


Anak kedua juga, dah tentulah nak dihantar ke sekolah yang sama. Dan perlu lalui ujian kelayakan juga. Cuma tahun ni berbeza sikit (musim covid), takde ujian lisan, hanya ujian bertulis. Dan tak ada rezeki untuk yang kedua ini untuk diterima belajar di sini. 


Maka dia ke sekolah harian biasa. Perlu kepada 2 sessi, pagi dan petang di sekolah yang berbeza; SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah untuk KAFA. 


Kemudian mencuba lagi untuk anak yang ketiga. Ambil ujian kelayakan SRAI, dan dapat masuk belajar bersama yang sulung. 


Anak keempat pula, tak sempat nak memohon SRAI. Pendaftaran dibuka saat abinya sibuk dengan kerja. Tak selalu ada di rumah. Nak daftar online lagi, nak ke sana sini dapatkan pengesahan lagi, memang selalunya abilah yang buat. Maka, ambil keputusan tak memohon. Pasrah saja,ke sekolah harian biasa seperti abang keduanya. Dan perlu kepada dua sessi juga, pagi dan petang. 


Memilih sekolah KAFA yang berbeza dengan abangnya, atas alasan lebih murah (abangnya di sekolah swasta), dan ada kawan (dari tadika) yang belajar sekali. 


Begitulah kisahnya, mengapa akhirnya anak-anak bersekolah di sekolah yang berbeza, bukan bawah satu bumbung.


Oleh kerana sekolah berbeza, banyak sessi pula tu, maka banyaklah trip pergi dan balik sekolah yang ummi/abi nak kena hadap setiap hari.


Walaupun sekolah tak sama, tak ada niat nak membezakan sekolah mana lebih baik, kerana setiapnya ada kelebihan tersendiri. Apatah lagi nak bandingkan kepandaian anak-anak, tentunya tidak! Masing-masing ada ‘masa dan ruang’ mereka sendiri untuk mencapai setiap sesuatu dalam hidup mereka. Dan pada akhirnya, anak-anak sendiri yang perlu berusaha untuk kecemerlangan masing-masing. Insya Allah, setiap guru memberikan yang terbaik, setiap sekolah menyediakan yang terbaik, untuk menjamin anak-anak menerima yang sepatutnya pada setiap sessi pembelajaran mereka.


Ya, inilah takdir. Allah yang menentukan di mana tempat anak-anakku belajar. Biar mungkin berbeza setiapnya, namun semuanya ada potensi besar untuk menjadi pelajar yang cemerlang tak kira di sekolah mana berdirinya anak-anak semua. Insya Allah. 

0 comments:

Post a Comment