Alhamdulillah bertemu Ramadan tahun ini. Alhamdulillah, masih Allah panjangkan usia dan masih dibekalkan dengan kudrat dan kesihatan yang baik.
Tahun ini berbeza, kerana menyambut 1 Ramadan di kampung, di Kota Bharu bersama keluarga di sini (keluarga abi). Masih dalam tempoh cuti sekolah (raya cina), jadi masih di kampung. Tapi juga menyambutnya tanpa abi, kerana abi sudah kembali bekerja.
Pagi 1 Ramadan, bersahur bersama ahli keluarga nenek yang ramai. Ada keluarga Pak Teh, keluarga Pak Lang, keluarga Pak Cu, keluarga Acik, di samping nenek, Mak De dan Mak Su. Alhamdulillah bersahur bersama, dengan rezeki yang Allah kurniakan. Suri juga ummi kejut bangun bersahur, sebab sebelum ni dah kerap ingatkan Suri bahawa Ramadan dah dekat, dan Suri pun katanya nak puasa juga.
Alhamdulillah Suri berjaya puasa hari pertama, walaupun beberapa kali mengadu lapar. Siap menangis lagi. Namun akhirnya berpuasa penuh juga buat pertama kalinya. Syabas kakak!
Suasana berbuka di rumah nenek sangatlah meriah. Alhamdulillah sempurna puasa hari pertama semua.
2 Ramadan, bersahur di rumah nenek, dan bertolak balik ke rumah mek di Jeli pula. Tanpa abi, terpaksalah ummi drive sendiri, diiringi tangisnya Nuha, dan Alhamdulillah sampai juga di rumah mek.
Petang ini insya Allah berbuka puasa dengan keluarga mek pula. Tak semua ada, tapi insya Allah masih ramai.
Dan esok sehari lagi akan berada di rumah mek. 4 Ramadan kita akan kembali ke rumah menaiki bas. Cuti sekolah dah tamat. Abi masih di laut, entah untuk berapa lama lagi tak pasti. Semoga Allah mudahkan urusan abi di sana, dan semoga Allah mudahkan urusan kita semua.
Ya, Ramadan kali ini kita sambutnya berbeza. Di kampung, tanpa abi dan dalam suasana cuti sekolah. Alhamdulillah untuk puasa yang telah kita sempurnakan, bersahur dan berbuka dengan keluarga besar di kampung. Dan kini fokus untuk hari-hari yang seterusnya pula. Perbaiki mana yang kurang dalam ibadah kita. Insya Allah nanti akan bertemu abi, dan berkumpul bersama keluarga kecil kita pula.
Semoga Ramadan tahun ini memberi 1001 makna dan kebaikan buat seluruh kehidupan kita. Ameen.




















