Sunday, 10 August 2025 0 comments By: Naemah

TERUS MEMBURU IMPIAN

 


Setiap insan mengimpikan keluarga sempurna. Suami yang memimpin penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Isteri yang taat, lembut bicara, penyejuk mata. Anak-anak yang patuh, mendengar kata, menghibur hati.

Rumah yang dipenuhi tenang, sejahtera, dan damai. Alangkah bahagianya.


Namun realiti tidak selalu secantik impian. Ujian dan cabaran hidup datang silih berganti. Suami yang penyayang boleh bertukar baran, suka berdiam dan menjauh, dingin melayan anak dan isteri, seakan segalanya serba tak kena.


Isteri yang setia memendam, menyimpan luka di hati tanpa suara. Kadang marah meletus, kadang rasa ikhlas bagai menghakis sedikit demi sedikit.


Anak-anak pula membesar dengan ragam dan kerenah yang menguji kesabaran saban hari, hingga watak-watak indah yang diimpi bagai hilang dalam kabus tebal.


Rumahtangga yang dulunya diharap menjadi syurga dunia terasa jauh dari bayangan itu. Hari-hari berlalu dalam struggle yang melemaskan, tak mampu lagi menimbang dengan akal waras, dan tak tahu mahu memulakan semula dari mana.


Namun di celah retak dan luka ini, masih ada doa yang bergantung di langit. Masih ada harapan, bahawa setiap jiwa yang rapuh boleh dipulihkan, jika cinta itu kembali berpaut pada-Nya.


Setiap seorang-suami, isteri dan anak-anak-perlu menyedari dan mengambil peranan. Setiap kita perlu bermuhasabah, dan berusaha ke arah kebaikan bersama. Tak ada kehidupan yang sempurna dan hidup tenang bahagia sentiasa di dunia. Semua teruji. Tak ada yang terkecuali. Tak perlu kita membandingkan kehidupan ini dengan sesiapapun. Perhatikan kehidupan sendiri, dan berusaha memperbetulkan mana yang dirasakan silap dan menyimpang dari yang sepatutnya. 


Selamat berjuang menuju bahagia sejati. 


OGOS: MASIH SAMA


 Ogos. 10 hari berlalu. Pun tiada cerita luar biasa untuk ditulis di sini. Sekadar menjalani rutin yang sama setiap hari. 

Alhamdulillah abi ada di sisi, dah  seminggu balik dari laut. Dan masih ada cuti lagi untuk teruskan hari bersama, ringankan beban kerja di rumah, melayan si kecil yang asyik nak mengekor abi tu, mengangkut anak-anak pergi dan balik sekolah, dan cukupkan kepeluan rumah yang dah menyusut. Alhamdulillah. 

Sabtu (9/8/2025) hari temasya sukan SKKR. Mussaab terlibat dengan perbarisan (tapi tak masuk acara). Datang jugalah tengok Mussaab buat perbarisan. Miqdad pula setiap Sabtu training bola sepak untuk perlawanan minggu depan (wakil seksyen 6 Bandar Rinching 8-10 tahun). 

Ahad (10/8/2025) pula, hari sukan SRIPN. Mussaab tak pergi sebab katanya tak main apa-apa. Kebetulan pula hari ni nak hantar Kak Zawiah (anak saudara abi yang datang ke rumah) ke Shah Alam, maka decide terus ke Shah Alam pagi ni, hantar Kak Zawiah dan balik semula ke Semenyih. 

Ahad dah hampir menutup hari. Esok Isnin, akan kembali semula ke sekolah. Ulangi lagi rutin yang sama. Cuma Mussaab masih bercuti esok (cuti peristiwa SKKR dan SRIPN). Boleh la rehat sehari lagi.

Alhamdulillah untuk permulaan Ogos ini yang meskipun biasa, tetap lancar segala urusan. Dikurniakan kesihatan, dan dicukupkan rezeki. Dapat meneruskan hari ke hari seterusnya dengan baik, dan sudah tentu pada setiap harinya ada ujian dan cabaran yang tersendiri yang perlu ditempuh. 

Tetap bersyukur pada Allah yang masih memberi peluang untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri pada setiap harinya. Semoga peluang yang ada ini tidak kita sia-siakan. Insya Allah.