Sunday, 10 August 2025 By: Naemah

TERUS MEMBURU IMPIAN

 


Setiap insan mengimpikan keluarga sempurna. Suami yang memimpin penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Isteri yang taat, lembut bicara, penyejuk mata. Anak-anak yang patuh, mendengar kata, menghibur hati.

Rumah yang dipenuhi tenang, sejahtera, dan damai. Alangkah bahagianya.


Namun realiti tidak selalu secantik impian. Ujian dan cabaran hidup datang silih berganti. Suami yang penyayang boleh bertukar baran, suka berdiam dan menjauh, dingin melayan anak dan isteri, seakan segalanya serba tak kena.


Isteri yang setia memendam, menyimpan luka di hati tanpa suara. Kadang marah meletus, kadang rasa ikhlas bagai menghakis sedikit demi sedikit.


Anak-anak pula membesar dengan ragam dan kerenah yang menguji kesabaran saban hari, hingga watak-watak indah yang diimpi bagai hilang dalam kabus tebal.


Rumahtangga yang dulunya diharap menjadi syurga dunia terasa jauh dari bayangan itu. Hari-hari berlalu dalam struggle yang melemaskan, tak mampu lagi menimbang dengan akal waras, dan tak tahu mahu memulakan semula dari mana.


Namun di celah retak dan luka ini, masih ada doa yang bergantung di langit. Masih ada harapan, bahawa setiap jiwa yang rapuh boleh dipulihkan, jika cinta itu kembali berpaut pada-Nya.


Setiap seorang-suami, isteri dan anak-anak-perlu menyedari dan mengambil peranan. Setiap kita perlu bermuhasabah, dan berusaha ke arah kebaikan bersama. Tak ada kehidupan yang sempurna dan hidup tenang bahagia sentiasa di dunia. Semua teruji. Tak ada yang terkecuali. Tak perlu kita membandingkan kehidupan ini dengan sesiapapun. Perhatikan kehidupan sendiri, dan berusaha memperbetulkan mana yang dirasakan silap dan menyimpang dari yang sepatutnya. 


Selamat berjuang menuju bahagia sejati. 


0 comments:

Post a Comment