Wednesday, 11 December 2024 By: Naemah

14 TAHUN YANG AKU SYUKURI



11/12/2024

Ulangtahun perkahwinan yang ke-14.

Ulangtahun kelahiran suami yang ke-42

Alhamdulillah.


Di hari ulangtahun ini berkumpul bersama dalam keadaan yang masih sihat bertenaga. Alhamdulillah.


Suami tercinta, memulakan harinya seperti biasa dengan berjemaah subuh di surau. Sentiasa jadi yang pertama ‘bangkit’ walaupun malamnya adalah yang terakhir lelap. 


Balik surau, sibuk pula di dapur. Hidangan nasi lemak jadi santapan sekeluarga. Oh ya, hari ni juga cuti umum sempena keputeraan Sultan Selangor. Maka, semuanya berada di rumah pagi ni. Berselera menikmati juadah nasi lemak ayam goreng crispy air tangan abi.


Pagi ni anak-anak dikerah mengemas rumah serapinya. Kalau tak, tak dapat nak pegang hp sorang satu. 


Selesai, terlena ‘dia’ di sofa. Penangan nasi lemak barangkali. Anak-anak khusyuk dengan ‘game’ di tangan. Yang sulung perlu dihantar untuk perjumpaan dengan kawan sekumpulan (untuk buat persembahan esok). Ummi lah yang hantar, syukur yang kecil tu lena di lengan abinya selepas disusukan. 


Sampai masa, kejutkan suami untuk ambil yang sulung yang dah selesai berdiskusi. Isterinya dah mula sibuk di dapur. Nak masak special sikit hari ni. Alhamdulillah, terhasil nasi beriani kegemaran satu keluarga (yang nombor dua tu je tak kena dengan selera dia). 


Oops. Sebelum menjamu selera kita bergambar kenangan dulu. Hari ni kan hari istimewa ummi dan abi. Terima kasih semua, bagi kerjasama. Yang penting muka ada senyum walau terpaksa :) ok done!


Sekali lagi, menikmati makan tengahari bersama-sama. Nikmatnya ya Allah, bila semua berkumpul dan makan berselera. Walaupun tetap ada ‘kecoh’nya di meja makan ini. 


Masuk waktu zohor, anak-anak lelaki dibawa solat berjemaah di surau. Balik rumah, dan sambung game lagi. Fikir main sajalah, mentang-mentang UASA dah tamat semua kan? (Dah berminggu tak pegang hp).


Petang hari, juga tiada ke mana-mana. Cuaca juga agak sejuk dan bergerimis. Teruskan dengan hal sendiri-sendiri. Sebab banyak pegang hp, kurang sikitlah ‘kecoh’ hari ni. 


Maghrib dan isyak, juga berjemaah di surau. Hanya apabila abi ada, solat berjemaah di surau/masjid menjadi satu kewajipan. Tanpa abi (sebab masih tak harap untuk lepas anak-anak pergi surau sendiri), solat di rumah sajalah semua.


Berlalulah satu hari yang dinikmati bersama. Hanya secebis kisah biasa, tapi perlu disimpan untuk diingat kembali, bahawa hari ini kita telah melalui hari ‘istimewa’ kita dengan baik walaupun seadanya saja.


Hari ini ada ‘dia’ bersama isteri dan anak-anak. Ceria melayan si kecil, kian bertegas dengan yang lebih besar atas alasan ‘mendidik’, membantu meringankan tugasan di rumah yang tak pernah sudah, mencukupkan segala keperluan, dan sentiasa berusaha sehabis baik untuk rumahtangga ini. Itulah ‘dia’. 


Ya Allah, syukurnya di sisi masih ada dia, yang 14 tahun dulu mengikat janji bersama. 

Syukurnya anak-anak masih ada bersama, sebelum esoknya mereka akan melangkah dengan tujuan masing-masing.


Penuh syukurku padaMu ya Allah, untuk 14 tahun yang terindah, biarpun di sepanjang perjalanannya ada duri dan ranjau. 


Terima kasih ya Allah untuk 14 tahun yang telah berlalu. Mungkinkah ada 14 tahun lagi ya Allah? ku mohon padaMu agar kau ‘indah’kan rasa ini pada tiap takdirMu yang mendatang.


Ya Allah, rahmati suami tercintaku.

Aku bersaksi bahawa dia sudah berbuat baik pada isteri dan anak-anaknya. Penuh bertanggungjawab, meskipun dia sendiri ‘lelah’ dengan ujian sebagai ketua keluarga. Kurniakanlah syurga buatnya ya Allah.

Ameen.



0 comments:

Post a Comment