Januari 2024
Sebulan Januari berlalu pantas. Menutup Januari, menyusul pula Februari. Masya Allah. Tak terkejar masa kan?
Bulan ini, 2 minggu pertama abi ada bersama. 2 minggu menutup Januari, abi di laut mencari rezeki. Semoga Allah rahmati abi yang sentiasa ikhlas dan berjuang untuk keluarga ini. Semoga berkat Allah sentiasa ada bersama rezeki yang dikurniakan.
Anas, Mussaab, dan Miqdad sebulan lagi meneruskan sessi persekolahan (2023/2024) sebelum mengakhirinya tak lama lagi. Di hujung sessi ini sibuk dengan exam, buku teks, jamuan dan aktiviti selain dari belajar. Semua dah lega sebab dah habis exam. Result-Alhamdulillah semuanya tak mengecewakan. Namun tetaplah perlu terus giatkan usaha di masa akan datang.
Oh ya, Anas juga menghadapi UPKK bulan ni. Alhamdulillah, dah selesai dan semoga Allah berikan kecemerlangan buat Anas dan kawan-kawan.
Kandungan ummi sudah berusia 35 minggu. Alhamdulillah ummi dan baby ok saja. Dah tak lama penantian ini. Insya Allah baby akan selamat dilahirkan bulan depan. Berdebar juga menanti saatnya, semoga Allah permudahkan segalanya.
Dan tak lupa, selamat hari lahir buat Anas (yang ke-12 tahun) dan buat Mussaab (yang ke-10 tahun). Semoga Allah sentiasa merahmatimu anakku.
Di tahun baru ini, tetap ada ujian yang mendatangi dari pelbagai sudut. Namun kita tetap dapat jalani kehidupan dengan baik. Segalanya dicukupkan, segalanya dipermudahkan. Semoga kita banyakkan lagi syukur kita, dan tetap positif menjalani hari. Berdoa dan bersangka baik sentiasa pada Allah ya! Insya Allah, takdirNya sedang membawa kita kepada kehidupan dan masa depan yang lebih baik dan lebih bahagia.
Februari 2024
Februari menutup tirainya. 29 hari sudah pun berlalu. Februari ini memberikan banyak kenangan manis buat kita semua.
Bermula cuti sekolah, dan bersedia ummi untuk melahirkan zuriat yang dikandung. Awal cuti sekolah, sempat bercuti di Cameron Highland, dan seterusnya balik kampung.
Kali ini berkesempatan untuk spend masa lebih lama di kampung. Tak ke mana-mana, kerana ummi juga menunggu hari bersalin. Mulanya di rumah mek untuk beberapa hari. Kemudian ke rumah nenek sehingga umni bersalin dan sehingga menutup Februari ini. Alhamdulillah, anak-anak dapat spend masa dengan sepupu yang ada.
Syukur pada Allah Februari ini menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga kita. Hadiah terindah dari Allah. Masya Allah! 9 bulan mengandungkannya terasa begitu pantas.
Dari 4 kini menjadi 5. Zuriat kesayangan ummi dan abi. Semoga Allah pimpin ummi dan abi untuk menjaga dan mendidik amanah Allah sebaiknya.
Tak lama lagi bakal meninggalkan kampung. Tinggalkan kenangan di sini, dan balik menyambung rutin dan kesibukan di sana pula.
Mac dan Ramadan yang bakal tiba. Moga ada sinar yang lebih indah buat kita semua. Ameen.
Mac 2024
Mac pun berlalu. Alhamdulillah menyambut Mac ber’tujuh’ tahun ini dalam situasi yang berbeza dari tahun lepas.
Dari kampung, balik ke Semenyih. Anak-anak masuk sessi persekolahan baru. Baby Nuha, dari usia beberapa hari hinggalah mencecah usia sebulan pada 25/3. Alhamdulillah Nuha membesar sihat dan mudah dijaga.
Bulan ni juga sambut Ramadan. Anak-anak bersekolah dan berpuasa. Cuaca juga agak panas, namun sehingga hari ini (20 Ramadan) anak-anak dapat laksanakan ibadah puasa sepenuhnya.
Sempat balik kampung pada cuti Nuzul Quran. Dapatlah berbuka dengan mek dan nenek. Insya Allah, dekat raya nanti kita balik lagi.
Abi juga kembali bekerja selepas bercuti lama (sejak Nuha belum lahir). Ummi pun kembali ambil tanggungjawab hantar dan ambik anak sekolah untuk beberapa hari. Sedikit mencabar, namun Allah permudahkan juga. Alhamdulillah.
Syukur pada Allah, bulan ni tak diuji sakit demam. Semua sihat saja, dapat berpuasa dan bertarawih (kecuali ummi).
Syukur, Allah hadirkan Nuha menambah seri dalam keluarga ini. Semoga dapat jalani hari yang mendatang dengan baik-baik saja. Baki 10 malam terakhir Ramadan. Semoga kita beroleh malam al-Qadar yang yang mulia. Ameen.
April 2024
April sampai ke penghujungnya. Alhamdulillah untuk sebulan lagi yang telah kita lalui bersama.
April ini Ramadan berakhir, dan Syawal pula menjelang. Kita sekeluarga meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
Lepas raya Anas dah mula kelas tambahan. Waktu balik sekolah pun dah kembali ke waktu biasa seperti sebelum Ramadan. Alhamdulillqh, kehadiran sekolah penuh. Kesihatan juga baik. Syukur pada Allah. Semua sekolah juga mengadakan majlis hari raya untuk meraikan bersama semua pelajar dan guru.
Abi masih dengan rutin kerja di laut. Dan banyak masa juga di rumah. Alhamdulillah.
Nuha dah pun berusia 2 bulan. Sihat, baik perkembangan dan mudah dijaga. Alhamdulillah.
Oh ya, bulan ni dapat result UPKK Anas. Anas berjaya dapat 7A1B. Not bad, tetap terbaik, Alhamdulillah.
Boleh dikatakan semuanya baik-baik saja, di balik ujian yang kita semua tak mampu lari darinya. Kerana sebagai hamba kita akan sentiasa diuji. Namun yang pasti, rahmat dan kasih sayang Allah jauh lebih besar. Biar bagaimana diuji, kita tetap bisa menjalani hari dengan baik, dan cukup semuanya. Alhamdulillah.
Semoga keadaan akan lebih baik pada hari-hari yang mendatang. Diberi kesihatan, dimurahkan rezeki, dikurniakan tenang dan bahagia, diterangkan hati, dipermudahkan langkah, dan sama-sama menuju jalan keredaan Allah. Ameen.
Love you all.
Mei 2024
May sudah sampai ke penutupnya. Mei yang punya ceritanya yang tersendiri.
Abi yang sibuk dengan kerja dan kursus. Buat grab, kursus menternak, daftar perniagaan, dll. Persediaan untuk melepaskan kerja yang sekarang (?). Wallahua’lam. Takdir menentukan segalanya. Yang pasti, abi terus bekerja keras untuk menafkahi keluarganya. Semoga Allah rahmati abi sentiasa.
Anak-anak meneruskan persekolahan seperti biasa. Diuji tak sihat, batuk dan selesema (termasuk Nuha) namun Alhamdulillah semakin beransur baik.
Di penghujung Mei, sekolah bercuti selama 1 minggu. Alhamdulillah sempat balik kampung walaupun sekejap cuma, sebab abi perlu bekerja. Dapatlah juga jumpa dan main dengan sepupu, main bowling dan mandi pantai sama-sama.
Balik rumah, abi terbang ke Miri. Anak-anak habiskan baki cuti di rumah. Lakukan aktiviti sendiri, seadanya. Mussaab sempat join program sekolah agama 2 hari.
Syukur pada Allah, masih menjalani kehidupan yang sangat baik, biarpun bersama ujian dan cabaran hidup yang datang dan pergi. Alhamdulillah masih Allah cukupkan segalanya buat kita. Tak ada yang kurang dari rezekiNya. Moga kita sentiasa jadi hambaNya yang bersyukur. Semoga perjalanan hidup kita dipermudahkan olehNya.
Jun 2024
Sebulan Jun sudah pun kita lalui. Setengah tahun 2024 sudah pun berlalu. Masya Allah masa terus berjalan pantas.
Bulan ni abi ada banyak masa di rumah. Tetapi busy juga dengan urusan itu dan ini.
Kerja renovation dapur dan bilik bawah berjalan selama 2 minggu. Selama itu juga tak dapat masak, dan rumah agak tak terurus. Alhamdulillah kerja dah selesai. Masa untuk mengemas rumah serapinya.
Sempat balik sambut Aidiladha di kampung walaupun cuti sekejap saja. Selebihnya, anak-anak menjalani rutin biasa dan bersekolah. Agak sibuk juga, sehari-harian. Alhamdulillah tetap dipermudahkan segalanya.
Berakhirnya Jun, Julai pula kan menyusul bersama cabaran baru. Hanya pada Allah tempat bergantung sesungguhnya. Semoga dapat jalani hari yang lebih baik, dan menjadi hamba yang lebih taat. Ameen.
Julai 2024
Alhamdulillah, Julai pun berlalu.
Satu bulan yang anak-anak penuhi dengan sessi persekolahan. Belajar dan exam. Julai yang agak memenatkan.
Abi pula, masih dengan rutin kerja, di rumah dan di laut. Di samping kerja ‘part time’ abi untuk menampung keperluan. Alhamdulillah, masih Allah cukupkan segalannya atas usaha dan kerja keras abi.
Bulan ini banyak cerita di rumah dan sekolah, dan sempat sekali sampai ke Melaka untuk hadiri kenduri. Sekejap cuma, dan itulah ‘jalan jauh’ kita untuk bulan ni. Nak balik kampung langsung tak sempat. Oh ya, menerima tetamu (family pok muda) setelah lama tak ada yang bertamu. Seronok kan bila ada family datang?
Alhamdulillah semuanya baik saja. Diuji sakit demam yang tak berlarutan panjang. Sakit dan sembuh, syukur pada Allah yang Maha Baik. Tercukupkan rezeki, syukur pada Allah yang Maha Pemurah. Tiada yang kurang dalam hidup ini, melainkan Allah cukupkan segala yang kita perlu.
Semoga terus baik-baik saja, kita semua. Semoga sihat dan sembuh, semoga cukup apa yang perlu, semoga hidup dengan selesa, tenang, aman dan bahagia. Semoga dipimpin jalan ke arah redaNya. Ameen.
Ogos 2024
Menutup 31 hari Ogos. Allah, masa terus berjalan pantas. Ogos yang juga sibuk dengan banyak perkara.
Anak-anak sibuk dengan persekolahan, dan abi juga sibuk dengan kerja dan urusan yang lain. Ummi pula, dengan rutin harian yang hampir sama setiap harinya.
Alhamdulillah semuanya dikurniakan kesihatan yang baik, dan dilindungi dari musibah.
Sempat balik kampung sekejap bulan ni setelah hampir 2 bulan tak balik. Singkat masa di kampung, namun syukur dapat menjenguk orang tua dan berjumpa ahli keluarga yang lain.
Bulan kemerdekaan, sudah tentu ada program-program berkaitan merdeka di sekolah anak-anak. Ada juga join pertandingan dan aktiviti anjuran sekolah.
Bulan ni telah dibuka pendaftaran untuk masuk tingkatan 1 (SBP dan MRSM). Akan jalani ujian bila tiba masanya. Ummi mendoakan yang terbaik untuk Anas. Anak sulung ummi dah besar kan?
Tiada banyak nak tulis dan update, yang penting bersyukur atas kehidupan yang dijalani bersama. Masih Allah cukupkan segalanya bersama kesihatan yang baik. Tiada kesulitan melainkan yang mampu diharungi. Terima kasih ya Allah. Semoga kehidupan mendatang Kau kurniakan yang lebih baik. Ameen.
*hari ni abi perlu ke Terengganu untuk kembali bertugas di laut*
September 2024
September pun berakhir sudah. 3 bulan terakhir 2024 bakal kita teruskan.
September, tetap juga sibuk dengan urusan sekolah anak-anak, exam dan aktiviti yang lain. Tapi Alhamdulilah ada break seminggu untuk balik kampung jumpa keluarga, sambut hari keluarga dan berjalan-jalan seadanya. Dapatlah keluar sekejap dari rutin biasa.
Alhamdulillah juga, abi bercuti lama. Dapat uruskan anak-anak dan rumahtangga bersama-sama. Tak lama lagi, akan ke laut lagi mencari rezeki. Itu sudah tanggungjawab.
Selepas seminggu bercuti, kini kembali kepada rutin persekolahan dan hari-hari yang biasa. Menutup September dengan penyertaan aktiviti di surau Istiqamah. Alhamdulillah dapat bawa balik hadiah lagi (sebelum ni dapat hadiah dari family day dan hadiah sekolah).
Masa untuk kembali fokus pada pembelajaran. PSRA Anas semakin hampir. Yang lain-lain pun kena fokus untuk exam akhir tahun juga. Sedar tak sedar, dah makin ke penghujung tahun.
Anak-anak, semoga dapat kumpul semangat dan bermotivasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan menggapai kecemerlangan. Usaha, insya Allah berjaya. Sungguh-sungguh, di samping doa dan tawakkal, insya Allah cemerlang dan terbaik!
Melangkah ke Oktober. Semoga Allah permudahkan urusan, melimpahkan rahmat dan rezeki, membawa keluar dari segala kesulitan dan bebanan hutang, dan semoga ada khabar gembira buat kita dalam apa bentuk jua. Dan semoga seluruh ahli keluarga dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan hari-hari kita. Ameen.
Oktober 2024
Oktober pula menutup tirainya bersama cerita suka dukanya.
Oktober ini terasa ‘berat’. Ada ujian tersendiri yang sudah dan sedang dijalani. Bulan yang banyak masa abi habis di laut, dan ummi pula memikul tanggungjawab sendirian di rumah. Abi berhadapan dengan ujian di laut, dan ummi pula dengan ujian di rumah bersama anak- anak.
Anas berdepan dengan exam kemasukan ke tingkatan satu (PKSK dan UKKM), dan exam besar PSRA. Alhamdulillah sudah selesai. Tawakkal kepada Allah untuk hasilnya. Kini perlu fokus untuk UASA pula. Begitu juga Mussaab dan Miqdad.
Oktober yang ummi rasa sedikit ‘terhimpit’ kerana banyak berkejaran dengan waktu untuk urusan setiap anak. Alhamdulillah, pada setiapnya dapat bernafas lega kerana sentiasa ada pertolongan dariNya.
Ada diuji tak sihat badan, ummi dan anak- anak. Alhamdulillah tak melarat.
Juga menerima tetamu (nenek, makde dan maksu) yang dah lama tak berkunjung.
Menempuh perjalanan jauh (ke Bagan Datuk) tanpa abi, dan ia adalah satu hal yang tak terjangka. Semua dengan izinNya jua. Kemudian Anas pula ikut perkhemahan sekolah di Kuala Selangor buat pertama kalinya.
Menutup Oktober, abi selamat pulang ke pangkuan. Ngam-ngam cuti deepavali. Dapatlah balik kampung sebentar. Ummi pun dapatlah keluar dari rutin ummi yang sibuk dan penat.
Alhamdulillah berakhir Oktober di dalam suasana keramaian, bersama ahli keluarga nenek. Meriah di kampung, biarpun tak semua ada.
Untuk apa yang telah ditempuh, syukur kepadaNya kerana tiada satu pun kesulitan yang tak mampu diatasi. Semua kerana belas dan kasihanNya. Semua dengan petunjukNya. Semua kerana DIA yang tak pernah pergi meninggalkan hambaNya.
Untuk cabaran dan ujian yang akan datang, pasti kita juga akan mampu mengatasi dengan pertolonganNya.
November 2024
November berakhir sudah. Disember pula menjengah tiba.
Syukur untuk November yang tetap penuh dengan warna warni dan hitam kelabunya. November yang bermula di kampung, dan diteruskan hari-harinya di rumah dengan rutin yang sama.
Lepas cuti Deepavali, persekolahan berjalan sepenuhnya. Malahan bulan ini juga Anas, Mussaab dan Miqdad berdepan dengan UASA. Bersedia seadanya, semoga keputusannya nanti cemerlang dan terbaik. Ameen.
2 minggu pertama abi ada bersama. Alhamdulillah meringankan urusan harian setelah menempuh Oktober yang agak berat. Tapi kemudian abi kembali bekerja. Dan ummi kembali kepada kesibukan yang biasa.
November yang biasa-biasa. Anak-anak, sekolah dan exam. Abi, mencari rezeki dan cuba mencukupkan segala keperluan isi rumah. Ummi, urusan anak-anak dan yang selayaknya sebagai suri rumahtangga. Begitulah kita semua mengulangi hari.
Alhamdulillah, kita berjaya harungi semua hingga ke hari ini. Ada hari baik, ada yang sebaliknya. Ada manis dan pahitnya. Ada tenang dan ributnya. Yang nyata, beginilah kehidupan.
Menutup November dengan menikmati masa berkualiti bersama-sama. Jalan-jalan KL, pagi sampai petang, sebelum abi kembali ke laut pada esok harinya pula. Sabar dan reda untuk episod perpisahan selanjutnya. Semoga dipermudahkan urusan, dan kembali bersua lagi. Insya Allah.
Berbaki sebulan lagi untuk menuju tahun 2025. Semoga Allah tetapkan kita pada jalanNya. Dipelihara iman, dipermudahkan urusan, dimurahkan rezeki melimpah ruah, diberi kesihatan yang baik, dan semoga kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik, dan sentiasa bersyukur atas kurniaNya yang melimpah. Ameen.
(Doa buat Pantai Timur yang dilanda banjir besar dan luar biasa. Semoga keadaan di sana bertambah baik. Ameen)
Disember 2024
Disember pun berakhir jua. Alhamdulillah, setahun berlalu dalam keadaan yang baik-baik saja. Namun di sepanjang perjalanannya tetap ada banyak cerita yang bukan indah semuanya.
Disember ini genap 14 tahun usia perkahwinan ummi dan abi. Alhamdulillah, syukur hanya kepadaNya yang masih meminjamkan usia dan jodoh.
Disember ini anak-anak meneruskan hari-hari persekolahan yang masih berbaki tak lama. Masing-masing dah dapat result UASA. Alhamdulillah dan tahniah untuk semua pencapaian yang membanggakan.
Disember ini juga keluar result PSRA Anas dan Anas berjaya dapat Mumtaz. Alhamdulillah dan tahniah untuk Anas yang sudah berusaha sebaiknya.
Disember ini Suri dah tamat belajar di kelas 5 tahun, Januari nanti akan naik kelas 6 tahun. Dah selesai majlis graduasi dan Suri juga terlibat dengan persembahan. Tahniah, puteri ummi pun dah membesar dengan pantasnya.
Disember yang lebih santai, sebab dah tak belajar di sekolah. Tapi masih ada aktiviti lain yang perlu disertai.
Disember ini juga ada break seminggu untuk balik kampung jumpa keluarga. Tapi tak dapat balik lama sebab abi perlu kerja. Sekejap pun dah syukur sangat.
Anas di hari-hari terakhir di SRAIPB. Tahun depan masing-masing akan berpisah (atau sebahagiannya akan masih bersama). Semoga Anas dapat nikmati hari-hari terakhir bersama kawan-kawan. Cipta kenangan manis bersama.
Menutup 2024 tanpa abi di sisi, yang sedang jauh mencari rezeki. Semoga kan kembali bersua lagi, insya Allah.
Dan akhirnya, semuanya baik-baik saja. Tetap ada hal baik dan kurang baik, ada urusan yang lancar dan berliku, ada kegembiraan dan kesedihan, ada segalanya.
Namun sedarlah kita. Hakikat kehidupan, memang beginilah.
Selamat tinggal 2024. Selamat datang 2025. Semoga setahun yang mendatang dapat kita manfaatkan dengan lebih baik. Insya Allah.