Wednesday, 29 November 2023 0 comments By: Naemah

THANKS NOVEMBER


30 November.

Sudah menutup bulan 11, dan berbaki 1 bulan lagi menuju ke tahun baru (2024). Masya Allah.


Menutup bulan ini dengan menjalani kehidupan bersama anak-anak sahaja. Genap seminggu sudah, suami berada di laut mencari rezeki. Pun begitu, cuaca di sana masih tak mengizinkan dia untuk menjalanka tugas. Oleh itu, belum ada kepastian bila tugasnya akan selesai dan bila dia akan kembali. Tenang dan sabar sajalah menanti, Allah pasti membantu dan menjaga.


Seminggu ini boleh dikatakan agak memenatkan bila perlu uruskan anak-anak bersendirian dalam keadaan diri yang semakin sarat mengandung (dah 26 minggu). Tapi Alhamdulillah, syukur setakat ini dapat juga harungi semua walau dalam bermacam keadaan dan situasi yang Allah saja tahu.


Hari semalam (Rabu) menempuh hari yang memenatkan bila bertembung dengan temujanji klinik. Alhamdulillah, temujanji di KK Rinching Tengah saja, tak jauh. 


Ditakdirkan juga, hari semalam badan rasa kurang sihat, pening, mual dan sakit perut. Lemah dari pagi hari. Selesai urusan 4 beradik (hantar sekolah semua), baring di sofa rehat dan lelap sekejap. Tak jadi plan nak masak. Lepas ambik Mussaab di sekolah agama, beli saja makanan untuk dia dan Suri. 


Waktu petang pula, lepas hantar Mussaab di SKKR, ke klinik untuk check-up. Terpaksa bawa Suri sekalilah kali ni. Jam 2 sampai klinik, jam 3.15 selesai urusan. Segera ke SRAIPB ambil Miqdad (balik 3.30), balik rumah solat asar dan terlelap juga sekejap. Jam 5 ke SRAIPB sekali lagi ambil Anas dan terus ambil Mussaab di SKKR (balik 6 petang). Makan malam pun beli juga, tak daya dah nak masak. Telan panadol 2 biji siang, dan 2 biji malam. Tidur..


Alhamdulillah bangun pagi ni dalam keadaan baik dan sihat. kepala tak pening lagi. Badan tak lemah macam semalam lagi. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah. Sempatlah masak mi goreng untuk breakfast anak-anak. Juga sempat hantar anak-anak ke sekolah tepat pada waktunya. Alhamdulillah. 


Pagi ini juga sempat video call dengan suami di laut (Alhamdulillah ada line internet kat sana). Dia juga masih menunggu-nunggu waktu yang selamat untuk menjalankan tugasnya di laut. Semoga Allah mempermudahkan urusannya dan dapat segera kembali ke pangkuan keluarga. Ameen.


Anak-anak kini di sekolah semuanya. Sunyi sebentar suasana di rumah. Sekejap lagi Mussaab balik, lepas tu Suri. Begitulah hantar dan ambik anak-anak bergiliran seharian. Petang hari, selepas jam 6 barulah semuanya berkumpul di rumah. Tamatlah tugas ummi sebagai driver anak-anak bila hampir menjelangnya Maghrib. Penat, ya penat. Tapi Allah masih kurniakan kemampuan buat diri ini. 


Alhamdulillah untuk segalanya. Menutup November ini dengan rasa penuh kesyukuran atas segala kelebihan dan kekurangan, atas segala nikmat dan ujian. Pasti, segalanya adalah yang terbaik buat hambaNya ini.


Alhamdulillah.




ini pula cerita sebelum hari semalam.
Memang akan ada saja cerita dan kisahnya.

Inilah kehidupan.

Thursday, 16 November 2023 0 comments By: Naemah

DEWASA KERANA PENGALAMAN HIDUP

38 tahun lebih sudah hidup di dunia ini. Tak sedar pun masa itu berlalu. Hanya bila direnung sejenak, banyak sudah ‘zaman’ yang sudah dilalui. Setiapnya punya kisah dan cerita sendiri. Punya 1001 rasa yang tak mampu diterjemahkan.


Dari saat lahirnya ke dunia-ketika tidak mengerti dan tak mampu mengingati apa-apa. Malahan aku tiada kenangan berbentuk gambar atau tulisan. Hanya sedikit cerita dari orang tua, yang ada tersimpan dalam memori. Biarpun tak banyak, aku percaya waktu kecilku juga dililimpahi dengan cinta dan kasih sayang ibubapa dan ahli keluarga. 


Melangkah ke zaman kanak-kanak, ada juga memori yang aku ingat, ada juga yang tidak. Dan ketika itu, tak banyak juga momen berbentuk gambar yang dirakam. Maklumlah, zaman 80-90an. Orang kampung pula. Tak ada kelebihan di situ. Tapi zaman kanak-kanakku juga penuh ceria, biarpun bergelar yatim pada usia 3 tahun. Yalah, zaman tak memikirkan masalah dan kekurangan diri. Hanya mahu seronok-seronok saja. Ada sedih pun tak lama, sedih budak-budak, kerana hal-hal yang kecil saja. Syukurlah, kekurangan tak menjadikan zaman kanak-kanakku suram.


Melangkah pula ke zaman remaja. Zaman ‘berperang’ dengan segala rasa. Terbit rasa cemburu pada kelebihan orang, zaman ingin mencuba sesuatu yang baru tanpa mengimbangi baik dan buruk, zaman memilih-milih kawan dan sahabat yang serasi, dan zaman bergolaknya jiwa dan raga atas pelbagai alasan. 


Aku tetap aku yang sejenis ‘diam’ dan kurang bergaul. Namun pada ketika ini aku masih mampu membina persahabatan dan menjalani zaman remaja yang sederhana. Banyak buat silap juga, namun Allah tetap menjaga sebaiknya. Pelajaran masih yang utama. Maruah diri masih terpelihara. Bab cinta, memang aku tak mampu saingi yang lain. Tak ada apa yang menarik tentang aku untuk terjerumus dalam cinta monyet seperti kawan-kawan yang lain. Aku tak berpengalaman menikmati ‘sweet’nya bercinta ketika itu.


Sampai ke peringkat pengajian lebih tinggi pun, aku masih tetap aku. Sukar untuk aku menjadi orang lain yang lebih pandai bergaul dan bergaya, yang bijak bertutur dan berpenampilan, dan yang menyerlah di mata sesiapa. Gambaran tentang aku, hanya ‘gadis terpinggir’ yang sibuk dengan buku dan dunia sendiri. Ada atau tiada, tak siapa pun kisah kot!


Tapi zaman belajar ini juga zaman yang bebas dan enjoy! Hanya fikirkan diri sendiri dan belajar sahaja. Aku yang sentiasa selesa biarpun tika bersendiri. Ke kelas, library, cafe, outing, dan segalanya. Jika tak ada sesiapa untuk menemani, aku boleh saja bersendirian untuk semua itu. Dan aku juga tetap punya sahabat yang ikhlas mendekati. Ya, biaprpun tak ramai. Zaman remaja ku masih penuh dengan warna warni dan gelak tawa dengan kehadiran mereka. Cerita sedih dan kecewa tetap juga ada. Senyum, tawa dan tangis itu juga sebahagian dari kisah hidup. Itukan sudah lumrah.


Zaman remaja semakin meninggalkan. Tak sempat aku melangkah ke alam kerjaya, kerana jodoh terlebih dahulu menyapa. Zaman solo berakhir, masuk pula ke alam rumahtangga. Tak lagi bersendirian. Sudah ada teman sejati di sisi. Kalau boleh diulang, zaman awal perkenalan dan pernikahan inilah yang ingin aku ulang kembali. Zaman ber’dua’ yang belum puas dinikmati. Ketika inilah buat pertama kalinya merasakan manisnya bercinta. Syukurlah Allah tak izinkan aku bercinta di zaman remaja dulu. Tak ada peluang untuk aku membandingkan. Menikmati cinta seadanya, dengan hanya dia satu-satunya. Salam pertama yang dihulur, juga senyum manis yang menyapa suatu ketika dulu, menjadi kenangan terindah dalam hidup ini.


Alam perkahwinan ini juga melalui banyak fasa, dan dah tentu banyak kisah dan cerita juga. Saat berdua yang lebih tenang tanpa komitmen yang banyak, beransur menjadi lebih berat dengan kehadiran satu persatu cahaya mata, amanah dari Allah. 


Zaman anak seorang, situasinya lain, hadirnya yang kedua dan seterusnya, juga lain situasi dan keadaannya. Hampir 13 tahun usia pernikahan, menyaksikan banyak cerita hidup yang tak mampu ditulis dan dicatat semuanya. Ada jatuh bangun. Ada bahagia dan kecewa. Ada gembira dan sedih. Ada tawa dan tangis. Semua itu berlalu dan menjadi kenangan bersama menitinya hari. Yang berlalu biarkan ia berlalu. Kerana masih Allah pinjamkan usia, langkah ini perlu diteruskan jua. 


Masa lalu banyak mengajar erti kehidupan. Bukan sekadar untuk dilalui dan ditinggalkan. Yang baik jadi tauladan, yang tidak baik jadikan sempadan. Pengalaman lalu membina kematangan diri. Diri ini yang sekarang, banyak berbeza dengan yang terdahulu. Mudah-mudahan, semakin baik di sisiNya, bukan sebaliknya. 


Benarlah hidup ini tak lama. 38 tahun ini, hakikatnya sebentar cuma. Tak sedar pun masa berlalu. Sedar-sedar dah tua. Anak-anak makin membesar dewasa. Kalau masih dipanjangkan usia, sempatlah bergelar ‘nenek’ pula. Insya-Allah, mudah-mudahan kesihatan yang baik juga Allah bekalkan untuk meniti hari-hari yang berbaki. 


Semakin ke penghujung usia, tak lain yang  diharapkan melainkan keampunan dan keredaan Allah semata. Dah banyak berbuat dosa. Dah banyak mempersiakan waktu. Berulang taubat dan dosa. Turun naik iman, begitulah hakikatnya hamba yang hina ini. 


Moga di hujungnya nanti, seluruh dosa diampunkanNya. Biar penutupnya bersama taubat. Biar titik noktahnya usia ini adalah Husnul Khatimah!


AMeen ya Allah…



Satu-satunya gambar kenangan bersama ‘ayah’.

(Kalau tak silap tahun 1988- dan ayah ‘pergi’ juga tahun 1988)

Gambar kenangan bersama mek dan ayah & abang sulung dan isteri dan anak sulungnya

Wednesday, 15 November 2023 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: END TRIMESTER 2



Alhamdulillah genap sudah 28 minggu kehamilan, juga berakhir sudah trimester kedua (pada 13/12/2023). Masya-Allah masa berlalu pantas. Syukur padaNya, jalani hari-hari yang baik, meskipun tetap diiringi cabaran dan ujian.


Kesihatan ummi dan baby


Tiada episod cemas, hanya kepenatan biasa seorang ibu mengandung. Kencing manis yang boleh dikatakan terkawal, dengan bantuan ubat-ubatan, control makan, dan dengan nasihat doktor dan nurse. Tak dinafikan, selera makan sangatlah baik, boleh telan apa saja, dalam menjaga ada kalanya ‘terlebih’ juga. Dan bacaan gula harian pun, ada turun naiknya. Risau tu.. tetap ada. 


Result hba1c terkini: 5.3 

(5.8 pada bulan Julai lepas)


Hb terkini: 10.3

(3 bacaan terakhir bertulisan merah:bawah 11)


Sekarang problem dekat hb. Dah ambik darah untuk cek iron dalam darah (normal je). Dah jumpa pakar dietition, dah ambik ubat pada waktu yang betul juga. Tapi bacaan masih sama setakat ni. Mungkin kena cut terus cafein dan perlu lebih pengambilan sayur. Entahlah.. makan pun ikut selera sendiri je. Takde nak berdisiplin sangat.


Baby pula, setakat ini pembesarannya baik dan normal, mengikut ujian ultrasound yang dibuat (kali terakhir pada 13/12/2023). Alhamdulillah. Dan yang mengujakan, hari ni juga dapat kenalpasti gender baby. insya-Allah girl! Itulah kepastian setakat ini. Wallahua’lam. Ummi happy je, mana-mana pun :) Harapan ummi agar baby sihat sentiasa, selamat dan sempurna dilahirkan. Ameen.



Temujanji klinik dan hospital


Setiap 2 minggu, wajib memenuhi temujanji yang telah ditetapkan. Regular check-up di KK Rinching Tengah, ada ketikanya perlu jumpa doktor pakar di KK Beranang (dah 2 kali), dan ada ketikanya pula perlu jumpa pakar di Hospital Kajang (sudah 3 kali). Tak pastilah pula, apa beza kedua pakar tersebut. Sebab rasa macam tak ada beza bila jumpa keduanya. Entahlah, ikut sajalah kan. 


Next appointment is next week (18/12/2023)

Semoga dilancarkan dan dipermudahkan urusan jua. Insya Allah. 



Rutin harian


Rutin harian tetap tak berubah. Yang berbeza cuma antara abi ada di rumah dan tiada (ke laut). Bila abi ada, dah tentu lebih mudah. Banyak tugas dibahagi. Ummi tak perlu berkejaran dengan waktu dari pagi hingga ke petang hari. Dari kejut anak, siapkan sarapan, hantar dan ambik anak sekolah, masak, settle hal di rumah, dan sebagainya. Dan bila abi tiada, itulah semua yang perlu ummi lalui seorang diri. Lebih terkejar-kejar, bila bertembung dengan temujanji di klinik.


Tapi sudah tentu, setiap hari dan setiap kalinya, pertolongan Allah sentiasa ada. Tetap juga dapat dilalui semua biarpun mencabar. Sempurna? Tentulah tidak. Ada kalanya perlu ketepikan hal yang dirasakan bukan keutamaan. Kekemasan rumah, hmmm.. entahlah. Bergantung pada ‘rajin’. Dan bergantung pada kudrat. Adakalanya rasa mahu rehatkan diri saja.


Keseluruhannya, ummi sangat bersyukur kepada Allah. Takkan mampu untuk lalui semua, andai bukan kerana DIA. Kalau ikutkan rasa, berselang-seli hadir rasa kuat dan lemah. Ada hari-hari yang dijalani penuh semangat. Ada hari-hari terasa kelam saja. Segala rasa, Allah saja yang mengerti. Moga terus kuat. Moga terus ikhlas.


Sudah sejauh ini melangkah. Teruskan melangkah, selagi Allah mengizinkan. Insya-Allah kan melalui segalanya dengan baik-baik saja. 


Terus membesar sihatlah anakku. 



Sunday, 5 November 2023 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: CABARAN YANG BERBEZA

Mengandungkan Anas (2011)

Mengandung kali ke-2 selepas keguguran yang pertama. Sangat berhati-hati dan berjaga-jaga, dengan harapan tak berlaku kehilangan lagi. Dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan mudah. Temujanji di klinik tak jadi masalah. Klinik dekat, masa ni tinggal kat kampung lagi. Abi pun banyak masa terluang lepas resign dari company lama. Tiada komitmen, segalanya senang dan mudah diharungi bersama. Sampai masanya, Anas selamat dilahirkan (12/1/2012).


Mengandungkan Mussaab (2013)

Ketika ini Anas dah berusia 1 tahun lebih. Tengah melasak, tapi Allah permudahkan kehamilan ini. Paling mudah, seingat ummi :) Masa ni dah tinggal di Melaka, jauh dari keluarga. Tapi dapat jumpa abi setiap hari sebab abi dah tak belayar. Temujanji klinik pun setiap kalinya, abi dapat teman sambil layan Anas. Sampai masanya, balik bersalin di kampung. Mussaab lahir pada usia Anas genap 2 tahun (19/1/2014)


Mengandungkan Miqdad (2016)

Sebelum Miqdad, sekali lagi keguguran. Dan selepas itu mengandungkan Miqdad. Masa ni sedikit mencabar sebab abi dah kerja dengan company baru yang perlukan abi selalu travel ke Sabah dan Sarawak. Masih Allah permudahkan, walaupun dalam keadaan mengandung perlu juga jaga Anas dan Mussaab yang tengah lasak membesar bersama. Temujanji di klinik pun rasanya agak mudah, biarpun masa tu ummi tak berani drive lagi. Time abi ada, abi bawa ke klinik. Bila abi terpaksa kerja, abi hantar dulu balik kampung dan buat check up di kampung. Nak balik kampung pun takde halangan sebab Anas dan Mussaab masih belum bersekolah. Tiba masanya, balik bersalin di kampung (13/10/2016).


Mengandungkan Suri (2019)

Lebih mencabar sebab masa ni Anas dan Mussaab dah bersekolah di sekolah yang berbeza. Yang mana ummi dah kena beranikan diri untuk drive, hantar anak-anak sekolah dan drive sendiri ke klinik bila ada temujanji. Ummi jadi lebih berdikari kali ini. Tak terlalu bergantung pada abi. Abi ada atau tiada, ummi perlu uruskan segalanya sendiri. Urus anak sekolah, jaga Miqdad yang masih kecil, dan hal-hal yang lain juga. Dah tak boleh nak balik kampung selalu, sebab bergantung pada cuti sekolah. Dah dekat due bersalin, balik kampung dan selamat bersalin di kampung (15/8/2019).


Mengandung kali ini (2023)

Lebih-lebih lagi mencabar, bila empat yang di atas juga dah masuk sekolah semuanya. Boleh kata setiap hari berperang dengan masa. Ada masa releks, ada masa berkejaran. Lebih berdikari, banyak bergerak sendiri untuk setiap temujanji, hingga temujanji di Hospital Kajang. Pendek kata, tempoh kehamilan kali ini lebih menguji diri. Namun syukurnya (biarpun bersama kencing manis ini), 6 bulan kehamilan ini boleh dikatakan sangat baik. Takde masalah pada kandungan, penat lelah ummi pun, masih boleh dihadap dengan baik. Lumrah orang mengandung, adalah penat, sakit kepala dan lemah badan sesekali. Alhamdulillah tak serius. Allah sebaik-baik yang menjaga dan melindungi. 


Begitulah pengalaman mengandung yang telah dilalui, dulu dan sekarang. Allah memberikan ummi pengalaman yang berbeza, tak mudah semua, malahan makin mencabar, tapi setiap kesukaran yang dilalui, tetap ada bersamanya kemudahan, dan keseluruhannya adalah kemanisan yang ummi percaya akan ummi rindukan di masa-masa akan datang. 


Untuk anak ummi yang sedang ummi kandungkan kali ini, ummi minta maaf kerana kurang memberi perhatian khusus pada kandungan ummi ini, lantaran sibuknya hari ummi dengan urusan harian. Terima kasih kerana terus kuat di sini. Melalui hari-hari bersama ummi. ‘Saksi’ pada ‘huru-hara’ dalam rumah ini setiap

kali berkumpulnya semua. Saksi pada saat tenang dan kusutnya ummi, pada saat gembira dan sedihnya ummi…


Semoga kita berdua dapat melepasi tempoh kehamilan ini dengan baik. Ummi tak sempurna menjaga. Namun Allah jualah tempat ummi bergantung dan berharap. Semoga sihat sentiasa anakku! Insya-Allah, tiba masanya kita pasti bersua di dunia nyata ini. 




zuriat; anugerah dan amanah Allah yang semakin menganjak besar dan dewasa.
Cepat masa berlalu kan??