Wednesday, 30 September 2020 0 comments By: Naemah

ESOK AKAN LEBIH BAIK



Menutup tirai September 2020. 9 bulan telah berlalu. 9 bulan yang sangat menguji banyak orang. Covid-19 menjadi penyebab utama. Bermula dengan PKP, PKPB, dan kini masih dalam tempoh PKPP. Namun kisah covid-19 masih belum ada tanda untuk tamat. Bahkan kini makin menular di Semenanjung selepas sekian lama banyak negeri berada di zon hijau (bebas covid-19). Kembali ke 3 angka kes harian, ia memang menakutkan. Bimbang jika negara akan kembali kepada episod PKP yang terdahulu- tak boleh merentas sempadan negeri, sekolah ditutup semuanya, tak boleh keluar tanpa sebab yang dibenarkan, ramai yang tak boleh keluar bekerja, anak-anak pula 24 jam setiap hari hanya terkurung di dalam rumah. 


Aku sendiri, jujurnya sudah sangat penat dengan situasi sekarang. Situasi yang bukan di dalam kawalan, yang aku percaya banyak pihak yang terkesan kerana ujian covid-19.


Untuk keluarga kami, PKP semakin mengurangkan ‘masa bersama’ aku dan anak-anak dengan suami. Di musim covid-19 ini, suamiku tetap perlu berkhidmat seperti biasa. Cuma kesan dari penularan wabak ini, dia perlu menjalani kuarantin di hotel sebelum menjalankan tugas. Kalau sebelum wabak ini paling lama dia pergi pun mungkin dalam seminggu je, kini dah jadi lebih dari 2 minggu, especially bila perlu bertugas di Sabah atau Sarawak. Bayangkan dalam sebulan, lebih dari separuh bulan kami perlu berjauhan. Kesian anak-anak yang ‘kehilangan’ masa bersama Abi mereka.


September ini hanya 11 hari saja suamiku ada bersama. Bukan kata nak balik kampung jenguk orang tua, nak bersama family sendiri pun hampir tiada masa. Kebetulan bulan ni tak ada cuti sekolah, lagilah kami tak mampu nak balik kampung masa suami aku balik sekejap hari tu. Tapi sempatlah juga dia bawa anak-anak bercuti sekejap, keluar dari Semenyih ni :)


Dalam tempoh ini, ujian dirasakan berganda bila aku terpaksa bersendirian menguruskan anak-anak dan segala hal di rumah. Tak ada sesiapa yang dekat yang aku boleh minta tolong ataupun nak mengadu, terpaksa harung semua sendirian dengan anak-anak yang tak sepenuhnya mengerti. 


Tak ingin mengeluh, tapi tetap aku perlu akui bahawa menguruskan anak-anak sendirian memang sangat mencabar dan sangat menguji. Bukan sahaja tentang mereka yang perlu aku ambil berat, tapi juga tentang hal ehwal rumahtangga yang lain juga, yang sangat memerlukan kesabaran dan ketahanan mental yang kuat. 


Kadang-kadang akan menangis seorang, bila rasa tak berdaya. Anak-anak saksi yang bila-bila masa saja ibu mereka ini boleh bertukar watak. Serta merta boleh jadi garang macam singa, serta merta pula boleh bertukar lembut dan penyayang. Semuanya atas emosi yang kadang-kadang sukar nak dikawal. Fizikal penat, mental lebih penat lagi. Tapi syukur setakat ini masih terkawal dan tak adalah melampau sangat (kan anak-anak?)


Aku tahu bukan aku seorang yang berdepan dengan ujian. Aku faham, suamiku juga tak ingin tinggalkan keluarga lama-lama begini. Aku tahu orang lain juga ada kemelut hidup mereka yang tersendiri. Aku sedar, Allah menguji mengikut kemampuan setiap hambaNya. Dan aku percaya ujian ini adalah untuk tingkatkan ‘kualiti’ aku sebagai insan dan sebagai hamba.


Aku sedar aku sering kalah dengan emosi. Sering jatuh dan kemudian cuba untuk bangkit lagi. Ujian sering mendatangi. Aku tiada tempat mengadu kecuali padaNya. 


Kesian anak-anakku. Setiap kali abi pergi, tiada jawapan pasti bila abi akan kembali. Hanya tunggu dan lihat saja. Semoga Allah kurniakan pengertian juga buat mereka. Bahawa ini bukan kehendak sesiapa. Tapi kerana takdir semata. Dan kita perlu sentiasa akur dengan takdir. Bersangka baik sentiasa. Sabar dan redha tiap masa. Pasti ada hikmahnya. Sabar ya semua. 


Seperti selalunya, meskipun perlu berpisah lebih lama, yang didambakan adalah pertemuan yang akan menyusul selepas episod perpisahan demi perpisahan. Semoga Allah satukan kami kembali. 


Semoga Allah permudahkan urusan suamiku di sana. Semoga Allah permudahkan urusan aku dan anak-anak di sini. 


Insya Allah, kehidupan yang lebih baik akan menyusul 

Allah Maha Pengasih :)

Monday, 28 September 2020 0 comments By: Naemah

MALAM SELASA YANG CEMAS




Hari ni hari ke-3 suamiku di laut. Balik dari Bintulu hari tu sempat la bermalam di rumah 2 malam. Lepas tu ke Terengganu pula. Memang bulan ni paling kurang masa kat rumah. Tapi takpelah, kami anak beranak cuba untuk faham dan redha dengan kerjanya yang sebegitu. Semakin teruji bila covid-19 menyerang satu dunia. 


Oklah back to the topic. Malam tadi selepas Anas selesai solat isyak, kami semua turun ke bawah untuk minum air. Anas yang dari tadi batuk dan bersin tak henti, aku minta turun untuk makan ubat (ubat sinus yang selalu dia makan). Suri dah tidur lepas Maghrib tadi. Miqdad pun turun, Mussaab yang paling last turun. 


Masa kat bawah, tiba-tiba ‘gedegang’!!! Bunyi macam ada benda terjatuh. Kuat dan agak terkejut la juga masa dengar tu. Tapi tak tahu apa benda yang jatuh. Dah settle kat bawah, terus naik ke atas. Anak-anak memang dah biasakan mereka untuk tidur awal. Lepas isyak memang semua akan masuk tidur. 


Sampai bilik Anas, masa nak tolak buka pintu bilik- alamak! Tak boleh buka. Terbuka sikit je. Ada benda yang menghalang dari dalam. Rupanya pintu almari pakaian (yang dicabut dari almari sebab longgar, dan disandar di dinding) terjatuh dan menghalang pintu. Pintu tu tersandar melintang-jatuhnya menyebabkan pintu bilik tak dapat dibuka. Boleh tolak sikit je. Tangan pun tak muat. 


Ya Allah. Aku buntu. Apa nak buat ni? Anak-anak pun terpinga-pinga. Masing-masing cuba nak menolong. Tapi apa sangatlah yang dapat dibantu. Aku tanya juga la kalau-kalau mereka ada idea macam mana nak masuk. Ada la juga yang bagi idea, tapi itulah.. tak mampu selesaikan juga masalah (Tq semua sebab cuba juga nak tolong termasuk Miqdad, walaupun dalam cemas tu ummi sedikit kasar).


Nak tak nak, aku whatsapp suami yang berada di laut. Jauh tuu.. apa yang boleh dia buat. Tapi dia la tempat aku nak mengadu pun kan, siapa lagi, walaupun aku tahu dia tak dapat terbang balik segera (dan memang lambat lagi pun dia nak balik). Berwhatsapp dengan suami sambil ‘berusaha’ dengan anak-anak untuk buka pintu. Dah la kat dalam tu lampu, kipas dan aircond semua terbuka. Anas pula nak kena susun jadual untuk sekolah esok. Alahai.. nak menangis rasanya sebab tak tahu nak minta tolong siapa.


Tapi masa ni Alhamdulillah dalam cemas, kalut dan tak senang duduk ni masih lagi boleh tenangkan diri dan bergantung seluruhnya hati ni pada Allah. Pasti Ada jalan dengan pertolonganNya. Pasti ada! Walaupun aku masih tak nampak...


Last sekali suami suruh aku tendang je pintu sampai tercabut. Alahai.. aku dah cuba. Tapi kudrat seorang perempuan setakat mana sajalah.. termenung dan terus berikhtiar. Tak lupa doa pada Allah dengan penuh pengharapan. 


Akhirnya aku cuba untuk menendang lagi dengan sekuat hati. Mesti boleh! Aku tendang kat bahagian bawah. Sekali, merekah pintu tu. Hah! Tendang lagi dan lagi. Rupanya kayu dia tak la kuat sangat. Anak-anak perhati je ummi mereka tengah tendang pintu tu. Akhirnya ‘tembus’ juga pintu tu, ngam-ngah muat badan Mussaab yang halus tu. Lega.. 


Mussaab masuk ke dalam dan angkat pintu almari yang terjatuh tu. Alhamdulillah, pintu dapat dibuka dengan jayanya. Tamat episod cemas malam selasa ni. Lega tak tahu nak cakap. Terima kasih ya Allah- yang tak pernah menghampakan hambaNya yang berharap padaNya. 


Anas dan Mussaab masuk ke bilik dan ready untuk tidur. Masa tu sekitar jam 8.30 malam. Masih awal lagi. Alhamdulillah dapat keluar dari masalah. Alhamdulillah Allah bantu hambaNya yang berusaha dan berdoa. Walaupun macam tak nampak jalan, tapi tetap ada jalanNya yang kita mungkin tak sangka. Yelah, tak terfikir yang aku ni berkudrat nak pecahkan pintu tu. Anak-anak pun tiba-tiba boleh kagum tengok ummi boleh jadi ‘kuat’ macam tu. :D


Alhamdulillah. Tak tahu nak ungkap macam mana. Walaupun aku rasa aku tak ada siapa-siapa yang dekat dengan aku untuk mengadu dan minta tolong, hakikatnya aku masih ada Allah yang tak pernah jauh dengan aku Tiap saat Allah ada dekat dengan aku. Tiap detik Dia bersama dengan aku. Tiap ketika pertolongan Dia ada untuk aku. Dia dengar suara hati aku. Dia faham susah payah aku. Dia tak pernah tinggalkan aku terkapai sendiri untuk tempuhi hidup ini :’


Dan aku tahu, suamiku di sana juga mendoakan aku. 


Ok anak-anak, kisah ini kita simpan sebagai kenangan. Kenangan saat jauhnya abi. Kita perlu tempuh semuanya sendiri. Tapi jangan lupa, Allah sentiasa ada untuk kita. 


Untuk segalanya. Syukur kupanjatkan kepada Allah yang sentiasa baik pada hambaNya ini.




Besar ni saja boleh buka. 




Usaha membuahkan hasil

Alhamdulillah :)



 



Serpihan kenangan :)

Friday, 18 September 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 180920




Hari ke-2 Abi di Bintulu. Berkuarantin lagi, tapi mungkin tak selama seperti yang lepas (harap-haraplah).


Hari ni semua bangun pagi hampir serentak, seperti biasa. Anas tak bersekolah hari ni kerana sekolah ‘merehatkan’ semua student atas sebab-sebab tertentu. Mussaab bersiap untuk ke sekolah seperti biasa. Breakfast roti telur cheese dan nasi goreng lebihan semalam. Jam 8 ummi hantar Mussaab ke sekolah ditemani Miqdad dan Suri. Anas tinggal di rumah menonton YouTube.


Balik dari hantar Mussaab ummi cuci lantai di luar rumah. Miqdad, Suri dan Anas juga tolong sama. Best dapat main air sampai basah semua. Masuk ke dalam rumah, tengok tv sekejap kemudian naik ke atas jemur kain. Miqdad dan Suri macam biasa akan ekor ke mana ummi pergi. Anas di bawah, main game pula. Siap kerja- hampir jam 10 pagi, ummi tidurkan Suri. Miqdad turun ke bawah sertai Anas. Lepas tu naik semula ke atas, minta itu dan ini. Suri juga dah terbangun. Turun semula  ke bawah.


Jam 11 ummi masak, Suri main kat luar dan sesekali masuk ke dapur. Anas siapkan exercise math, Miqdad menonton video Bing di YouTube. Jam 11.30 siap masak nasi beriani simple, makan sama-sama. Semua dah kelaparan, tak sempat tunggu Mussaab balik. Jam 12 ambil Mussaab di sekolah, dan terus balik ke rumah. Mussaab makan roti nuget dan nasi sikit. Lepas tu semua lepak depan tv. 


Zohor, ummi naik ke atas solat dan tidurkan Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad setia di bawah dengan hal masing-masing. Ummi juga tidur bersama Suri. Tak lama juga tidur bila Miqdad asyik keluar masuk bilik, menangis dan ‘buat hal’ kat bawah. Jam 3 lebih, ummi pun turun ke bawah join semua. Suri masih tidur di bilik. Anas minta nak makan nasi, Mussaab dan siap goreng nuget (pakai air fryer) dan makan dengan roti, Miqdad pun makan juga. Asyik lapar jelah semua kan. Sambil duduk santai ummi bersoal jawab sifir dengan Anas. Masih belum betul-betul lancar, perlu usaha lebih lagi ya Anas. 


Jam 4 Suri bangun dari tidur dan ummi bawa turun ke bawah. Buka cerita Bing lagi, sampai masuk waktu asar. Solat dan terus melepak di depan tv. Hafiz datang bermain dengan Mussaab sehingga jam 6.30 petang. Main bayblade dan berbasikal. Ummi sediakan makan malam, makan bersama-bersama. Kemas meja makan, cuci pinggan mangkuk, kemas segala ruang sambil kerah tenaga semua, lepas tu naik ke atas. Mandi dan ready untuk solat Maghrib.


Lepas Maghrib sesi melipat kain baju masing-masing sambil video call abi. Malam ni cuti baca Quran. Dah selesai semua, ummi tidurkan Suri. Miqdad yang langsung tak tidur siang tadi juga tidur bersama Suri. Anas dan Mussaab dengan aktiviti sendiri di bilik mereka. Mussaab main Lego, Anas pula baca buku.


Masuk waktu isyak, solat dan ready untuk tidur. Ummi temankan Anas dan Mussaab sekejap sehingga jam 9 malam. Alhamdulillah tidur juga keduanya. Suasana kembali sunyi dan sepi dari suara anak-anak ummi. 


Semoga tidur lena semuanya. Mimpi yang indah, dan esok bangun dengan ceria dan sihat sejahtera. Ummi love you all. Semoga Allah sentiasa merahmati keluarga kita. Semoga dapat jumpa abi lagi, dan spend masa bersama-sama lagi. Insya Allah.

Thursday, 17 September 2020 0 comments By: Naemah

KEPUTUSAN UKS MUSSAAB



Pada 15/8/2020 Mussaab menjalani Ujian Kelayakan SRAI di SRAI Pekan Beranang. Alhamdulillah, selesai menjalani ujian dengan baik.


3 minggu kemudian, iaitu pada 7/9/2020 keputusan UKS keluar. Seperti yang sebelum ini juga (time Anas dulu) penuh debaran di dada ummi nak tengok result Mussaab. Dalam hati sangat berharap agar Mussaab berjaya mendapat tempat di SRAI bersama Anas. Tetapi takdir Allah tetap mengatasi- Mussaab tak berjaya. Hampa dan kecewa sudah tentu, walaupun sebelum tu memang dah cuba untuk pasrah dan terima apa jua keputusan. Tapi mungkin sebab sangat berharap, rasa kecewa tu datang juga. Tapi tetap ajarkan hati untuk redha dan terima ketentuan Allah-yang pasti terbaik. 


Tapi itu hanyalah kekecewaan ummi (dan abi juga barangkali). Mussaab cool and steady je :D dapat atau tak dapat, Mussaab cakap ok je! 


Kebetulan hari cek result tu abi di laut, baru habis kapal. Abi pun tak sabar nak tahu result Mussaab. Abi whatsapp tanya ummi, dan ummi maklumkan result Mussaab. Abi juga redha dan terima saja. Apa boleh buat lagi kan?


Sudah tiada rezeki. Tapi masih ada peluang untuk buat rayuan. Ummi segera printkan surat rayuan dan mengisi borang tersebut. Borang rayuan dah selamat dihantar ke sekolah. Alhamdulillah. Bermakna masih boleh mengharap dan berdoa. Apapun tetap tergantung pada rezeki. Allah jualah yang menentukan. 


Tak mengapa Mussaab, tak berjaya bukan bermakna gagal kan? Ummi pun tak pasti kat mana tempat ‘terbaik’ untuk Mussaab. Kita usaha, Allah yang menentukan. Lagipun penilaian tu berdasarkan akademik semata. Setiap orang dah tentu ada kelebihan mereka yang tersendiri. Kalau bukan dalam akademik, pasti dalam sudut yang lain. Dan pasti Allah dah aturkan takdir yang terbaik untuk Mussaab. Dan jangan lupa, doa ummi sentiasa mengiringi langkah Mussaab. 


Oklah, sampai di sini catatan tentang keputusan UKS Mussaab. Ummi dah tak fikir sangat dah. Dah berlalu, dah tersurat. Tetap sabar menunggu keputusan rayuan. Ada doa dan harapan, tapi tetap serahkan segalanya pada Allah. Allah knows best, kan?


Walau bagaimana pun takdir, semoga langkah Mussaab akan teratur sempurna menuju lkejayaan dan kecemerlangan dunia dan akhirat. Aameen

Tuesday, 8 September 2020 0 comments By: Naemah

BERTEMU SELEPAS BERPISAH

Selepas 17 hari di Bintulu, Sarawak suamiku akhirnya pulang. Sekali lagi, penantian yang sangat lama. 


Anak-anak sudah sering bertanya bila Abi akan balik? Tiada jawapan pasti, hanya mampu meminta mereka agar bersabar menunggu kepulangan Abi. 


Akhirnya hari ini (juga dimaklumkan oleh suami hari ni juga) dia kembali kepada kami yang sangat merinduinya. Alhamdulillah balik dari kapal semalam,  boleh terus balik ke rumah hari ni. Tak perlu kuarantin kali ke-2 (dah kuarantin 14 hari sebelum naik kapal). 


Sesampai Abi di rumah, girang dan seronok sangat semuanya, seperti selalunya juga. Tapi tempoh perpisahan yang lebih lama, memberikan rasa seronok yang lebih juga. Suri juga tergamam tengok Abi muncul di rumah. Bagai mimpi agaknya. Duduk dipangku Abi tanpa sepatah kata. Tapi bila ummi nak ambil, tak nak pula. Seronok dapat duduk atas Abi :)


Selepas waktu asar, Abi bawa anak-anak ke taman South Creek yang tak jauh dari rumah. Dah lama tak ke taman. Seronok main di taman sampai diajak berkali-kali untuk balik, masih tak puas bermain. Termasuk juga suri. Hai, kesiannya semua. Dunia hanya rumah dan sekolah. Miqdad dan Suri pula, di rumah semata sepanjang ketiadaan Abi. Sekali dua ikut ummi ke kedai runcit dan hantar Mussaab sekolah. Itu sajalah. 


Jam 6.30 petang, semua akur bila diajak balik. Hari dah hampir maghrib. Singgah beli nasi lemak dan takoyaki, terus balik ke rumah. Malamnya, tidur awal dan tidur lena semuanya termasuk Abi yang penat travel siang tadi. 


Alhamdulilah untuk hadiah pertemuan hari ini. Allah saja yang mengerti hati ini. Betapa kepulangan suami merupakan satu rahmat buat kami sekeluarga. Bahagianya aku melihat kegembiraan anak-anak hari ini. Bahagianya melihat mereka yang seronok bermain (macam tak pernah ke taman permainan lagaknya). Bahagia melihat suami yang setia melayan dan cuba untuk menggembirakan anak-anak yang sangat mengharapkan kepulangannya. Terima kasih ya Allah, atas nikmat dan rahmat MU. 


Hari ini juga ada kejutan, bila kes baharu covid-19 mencatat ke 3 angka (100 kes). Sedikit sebanyak gusar, mungkinkah akan PKP lagi? Malahan untuk keluarga kami, barangkali akan menempuh perpisahan yang lama lagi, gara-gara covid-19. Covid-19 yang memberi kesan pada banyak orang, yang merubah banyak kehidupan.


Namun tetap kembalikan hati kepada Allah. Allah jualah sebaik-baik Penolong. Tiada ujian melainkan di dalam kemampuan hamba untuk menempuhnya. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua dalam apa jua situasi. Insya Allah.



Kegembiraan hari ini;