Wednesday, 30 September 2020 By: Naemah

ESOK AKAN LEBIH BAIK



Menutup tirai September 2020. 9 bulan telah berlalu. 9 bulan yang sangat menguji banyak orang. Covid-19 menjadi penyebab utama. Bermula dengan PKP, PKPB, dan kini masih dalam tempoh PKPP. Namun kisah covid-19 masih belum ada tanda untuk tamat. Bahkan kini makin menular di Semenanjung selepas sekian lama banyak negeri berada di zon hijau (bebas covid-19). Kembali ke 3 angka kes harian, ia memang menakutkan. Bimbang jika negara akan kembali kepada episod PKP yang terdahulu- tak boleh merentas sempadan negeri, sekolah ditutup semuanya, tak boleh keluar tanpa sebab yang dibenarkan, ramai yang tak boleh keluar bekerja, anak-anak pula 24 jam setiap hari hanya terkurung di dalam rumah. 


Aku sendiri, jujurnya sudah sangat penat dengan situasi sekarang. Situasi yang bukan di dalam kawalan, yang aku percaya banyak pihak yang terkesan kerana ujian covid-19.


Untuk keluarga kami, PKP semakin mengurangkan ‘masa bersama’ aku dan anak-anak dengan suami. Di musim covid-19 ini, suamiku tetap perlu berkhidmat seperti biasa. Cuma kesan dari penularan wabak ini, dia perlu menjalani kuarantin di hotel sebelum menjalankan tugas. Kalau sebelum wabak ini paling lama dia pergi pun mungkin dalam seminggu je, kini dah jadi lebih dari 2 minggu, especially bila perlu bertugas di Sabah atau Sarawak. Bayangkan dalam sebulan, lebih dari separuh bulan kami perlu berjauhan. Kesian anak-anak yang ‘kehilangan’ masa bersama Abi mereka.


September ini hanya 11 hari saja suamiku ada bersama. Bukan kata nak balik kampung jenguk orang tua, nak bersama family sendiri pun hampir tiada masa. Kebetulan bulan ni tak ada cuti sekolah, lagilah kami tak mampu nak balik kampung masa suami aku balik sekejap hari tu. Tapi sempatlah juga dia bawa anak-anak bercuti sekejap, keluar dari Semenyih ni :)


Dalam tempoh ini, ujian dirasakan berganda bila aku terpaksa bersendirian menguruskan anak-anak dan segala hal di rumah. Tak ada sesiapa yang dekat yang aku boleh minta tolong ataupun nak mengadu, terpaksa harung semua sendirian dengan anak-anak yang tak sepenuhnya mengerti. 


Tak ingin mengeluh, tapi tetap aku perlu akui bahawa menguruskan anak-anak sendirian memang sangat mencabar dan sangat menguji. Bukan sahaja tentang mereka yang perlu aku ambil berat, tapi juga tentang hal ehwal rumahtangga yang lain juga, yang sangat memerlukan kesabaran dan ketahanan mental yang kuat. 


Kadang-kadang akan menangis seorang, bila rasa tak berdaya. Anak-anak saksi yang bila-bila masa saja ibu mereka ini boleh bertukar watak. Serta merta boleh jadi garang macam singa, serta merta pula boleh bertukar lembut dan penyayang. Semuanya atas emosi yang kadang-kadang sukar nak dikawal. Fizikal penat, mental lebih penat lagi. Tapi syukur setakat ini masih terkawal dan tak adalah melampau sangat (kan anak-anak?)


Aku tahu bukan aku seorang yang berdepan dengan ujian. Aku faham, suamiku juga tak ingin tinggalkan keluarga lama-lama begini. Aku tahu orang lain juga ada kemelut hidup mereka yang tersendiri. Aku sedar, Allah menguji mengikut kemampuan setiap hambaNya. Dan aku percaya ujian ini adalah untuk tingkatkan ‘kualiti’ aku sebagai insan dan sebagai hamba.


Aku sedar aku sering kalah dengan emosi. Sering jatuh dan kemudian cuba untuk bangkit lagi. Ujian sering mendatangi. Aku tiada tempat mengadu kecuali padaNya. 


Kesian anak-anakku. Setiap kali abi pergi, tiada jawapan pasti bila abi akan kembali. Hanya tunggu dan lihat saja. Semoga Allah kurniakan pengertian juga buat mereka. Bahawa ini bukan kehendak sesiapa. Tapi kerana takdir semata. Dan kita perlu sentiasa akur dengan takdir. Bersangka baik sentiasa. Sabar dan redha tiap masa. Pasti ada hikmahnya. Sabar ya semua. 


Seperti selalunya, meskipun perlu berpisah lebih lama, yang didambakan adalah pertemuan yang akan menyusul selepas episod perpisahan demi perpisahan. Semoga Allah satukan kami kembali. 


Semoga Allah permudahkan urusan suamiku di sana. Semoga Allah permudahkan urusan aku dan anak-anak di sini. 


Insya Allah, kehidupan yang lebih baik akan menyusul 

Allah Maha Pengasih :)

0 comments:

Post a Comment