Friday, 30 September 2016 0 comments By: Naemah

GROUP WHATSAPP: BBM QURANIC



Whatsapp: antara medium komunikasi yang paling popular pada hari ini. Boleh dikatakan semua orang berhubung melalui medium ini. Aku juga tak terkecuali :)

Selain personal whatsapp, kita juga boleh buat group whatsapp. Antara group whatsapp yang paling aku suka ialah group whatsapp family, semestinya. Tak lupa juga group kawan-kawan sepengajian dahulu. Meski dah lama tak berjumpa, ruang ini menjadi tempat kami bertanya khabar dan mengukuhkan ukhuwwah. Alhamdulillah. 

Antara group whatsapp yang menjadi kesayanganku ialah group whatsapp BBM Quranic yang telah 2 tahun aku join. Lupa bagaimana boleh 'termasuk' dalam group yang kebanyakan ahlinya adalah wanita hebat itu :) namun banyak mutiara ilmu yang dapat aku kutip dari perkongsian mereka sebagai isteri dan ibu, juga sebagai hamba Allah. 

Aku seperti biasa, hanya seorang silent reader. Bukan kedekut ilmu ke apa, cuma rasa aku ni macam tak ada apa apa nak kongsi. Maklumlah, ramai di kalangan mereka lebih senior dariku, dan bukan calang orang pula. Ada motivator, pensyarah, pakar kaunseling, guru, dan macam macam lagi. Antara mereka ialah Puan Lina (ibu darwisy n darwisya), Puan Maznah Ibrahim (pakar kaunseling), Puan Cahaya (motivator), Puan Aminah (anakku al hafiz), dan ramai lagi yang dikenali dan tak dikenali, namun hebat hebat semuanya :)

Kenapa aku sayang sangat group ni walaupun hanya sebagai silent reader? Dah tentu kerana banyak ilmu yang aku dapat di sini. Group ini boleh dikatakan sangat aktif. Ada saja perkongsian yang baik dan bermanfaat untuk dijadikan rujukan dan peringatan buat diri. Lebih lebih lagi ilmu tentang pendidikan anak anak. Maklumlah, aku masih baru dalam dunia parenting ni. Ilmu pun tak banyak. Banyak yang aku dapat di group ini untuk dijadikan rujukan sepanjang perjalanan sebagai seorang ibu. 

Di sini tercetus idea untuk memulakan hafazan al Quran Anas, di sediakan juga rujukan dan bahan bantu mengajar, idea kreatif, hebahan seminar keibubapaan, dan sebagainya. Boleh dikatakan sangat sangat bermanfaat. Bukan sekadar berbual kosong. Thanks to puan Irina selaku admin group yang add saya ke group ini :)

Sampai ke hari ini, aku masih lagi seorang isteri dan ibu biasa, namun masa demi masa, banyak belajar dari pengalaman sendiri, dan nasihat mereka yang sudi berkongsi. Tak lupa, pada suamiku yang sering berpesan, menasihati, mendorong dan mendoakan. Aku menyimpan azam untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik. Tambahan pula tak lama lagi bertambah amanah dari Allah untuk aku jaga dan didik sebaiknya. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjukNya. Aameen
Thursday, 29 September 2016 0 comments By: Naemah

UJIAN SEMALAM

Semalam genap 38 minggu usia kehamilanku. Semalam diuji dengan sakit dan lenguh sendi yang lebih kuat dari biasa. Entah apa sebabnya. Di siang hari, aku ok saja. Boleh buat banyak kerja juga, sambil uruskan anak anak. 

Malamnya, tak sangka pula terasa sakit seluruh badan terutamanya di bahagian pinggang ke bawah. Tak daya nak melangkah. Mujur juga dah malam. Anak anak pun dah bersedia untuk tidur. Aku yang menanggung sakit, sukar nak lelapkan mata. Perut juga terasa sakit memulas. 

Jam 12 lebih, dapat lelapkan mata selepas kerapkali bertukar posisi badan ke kiri dan ke kanan. kemudian terjaga jam 3 pagi nak buang air. Sakit badan masih terasa. Rasa nak menggelupur. Perut juga masih memulas. Tiada pilihan lain, aku mencapai minyak mastika dan mengurut paha ke kaki, dan baring untuk tidur semula. Peritnya ketika ini Allah saja yang tahu. Kalau ada suamiku, mungkin boleh minta dia tolong urutkan. Namun apakan daya, dia tiada di sisi. Aku akhirnya lena hingga ke pagi.

Hari ini, masih terasa lenguh kaki dan badan. Namun cuba sedaya upaya untuk bangkit, uruskan anak anak dan lakukan sedikit kerja. Selebihnya hanya duduk dan baring saja. Alhamdulillah, anak anak pun ok je. Masih sempat melayan mereka, lakukan apa yang sepatutnya.

Setiap ujian pasti terkandung hikmah. Semoga Allah ampunkan segala dosaku. Semoga keadaanku akan lebih baik. 

Aameen

CATATAN KEHAMILAN: TRIMESTER KETIGA





Alhamdulillah kini berada di trimester ketiga dan terakhir kehamilan. Sambungan catatan kehamilan: Trimester Pertama dan Trimester Kedua

Usia kehamilan kini 38 minggu. Masih berbaki 2 minggu lagi, hingga sampai ke tarikh jangkaan bersalin anak ketigaku (14/10/16). Insya Allah.

Namun begitu, aku perlu sentiasa bersedia kerana bila bila masa saja aku akan melahirkan si kecil yang dirindui ini :) 

Di sini ingin aku catatkan sedikit pengalaman sepanjang menempuh trimester ketiga kehamilan ini. 

Tidak terlalu banyak beza dengan keadaan di trimester kedua, melainkan berat badan yang semakin bertambah tambah, perut semakin sarat membesar, juga langkah dan pergerakan yang dirasakan semakin sukar dan perlahan.

Masih berhadapan dengan masalah biasa, seperti kerap sakit kepala (hingga minggu ke-33), lenguh-lenguh badan dan kaki, dan juga masalah keputihan yang sering mengganggu.

Di trimester ini, aku perlu memenuhi temujanji klinik setiap 2 minggu, juga melakukan bsp dan temujanji doktor. Bacaan bsp boleh dikatakan baik, dan masalah gdm masih di tahap terkawal. Minggu ke-37 merupakan bsp terakhirku, dan tidak perlu lagi melakukannya sehingga menanti hari melahirkan anakku. Tetapi tetap tidak boleh melebihi tarikh jangka bersalin. 

Masalah biasa juga ialah, bacaan hb yang selalu rendah (9-10). Pernah juga sekali dikesan kencing kotor, tapi tak serius sangat. Doktor memberikan ubat antibiotik, dan nasihatkan untuk lebih banyak minum air kosong. Insya Allah tiada lagi masalah itu. 

Ditakdirkan minggu ke 31-33, aku diserang batuk dan selesema. Lama juga tempohnya untuk kembali sihat. dah sihat, datang lagi selesema pada minggu ke-36. Seminggu lepas tu dah ok. 

Lagi satu ujian, ialah pada minggu ke-34, ditakdirkan terjatuh di lantai yang licin. Alhamdulillah kandunganku baik baik saja, hanya jari kakiku yang sakit dan bengkak. Masih terasa sakitnya hingga ke hari ini. Sabarlah, sikit saja ujiannya. 

Sesekali diuji dengan kepenatan melampau, hingga tak daya nak lakukan kerja yang biasa, nak melayan anak pun terasa malas, hanya fikir nak baring dan rehat saja. Adakala juga datang rasa kontraksi yang kadang kadang menyakitkan, juga rasa cramp di bahagian rahim dan perit di laluan bersalin. Sama seperti pengalaman lepas :). 

Pada trimester ini sudah mula mengira pergerakan baby. Alhamdulillah anak ummi aktif dan sihat, insya Allah. 

Dua kali melakukan scan, dan mungkin yang terakhir. Keduanya dibuat di Klinik Kesihatan Ayer Lanas. Pertama di minggu ke-29, dan kedua, di minggu ke-37. Teruja melihat anakku yang sihat dan aktif bergerak. Alhamdulillah, tiada masalah dengan pembesarannya, uri juga dah naik ke atas. Keduanya doktor menyatakan anakku kemungkinan 'lelaki'. Alhamdulillah.. mana mana sajalah. Lelaki atau perempuan, tetap anugerah dari Allah yang sangat ummi syukuri :)

Jika sebelum ini dah memang kerap balik kampung, di akhir akhir trimester ini pula banyak berada di kampung ketika suami bertugas di Bintulu atau Labuan. Malah, sepanjang Sepetember hingga kini sudah lebih sebulan berada di kampung, menyambut Aidiladha dan seterusnya menanti kelahiran anakku. Rindu pula rasanya pada rumah sewa kami :)

Sampai di sini saja catatan kehamilan di trimester ketiga ini. Masih berbaki kurang 2 minggu, saat penantian kami suami isteri. Tak sabar menatap wajah suci yang sangat dirindui. 

SEMOGA DIPERMUDAHKAN
Wednesday, 28 September 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 280916

Hari ini Anas dan Mussaab masih di kampung. Hari ini juga tanpa abi yang bertolak ke Bintulu hari ini. 

Anas bangun jam 6.30, Mussaab pula bangun jam 7 pagi. Breakfast dengan nasi lemak yang cik beli. Lepas tu mandi. Anas kemudian mencapai buku kamus bergambar arab-English- melayu dan tekun membaca seorang diri. Mussaab pula minta ummi ambilkan mainan yang tersimpan di atas almari. Asyik juga dengan mainannya.



Jam 10 pagi, Anas minta mak buat aktiviti. Ummi cadangkan Anas melukis. Kertas, permainan vehicles, pensel warna, dan buku diangkut keluar ke beranda memandangkan Anas nak melukis di situ. Mussaab juga ikut sekali. Anas melukis vehicles, Mussaab membaca buku, ummi juga join bersama melukis dan membaca. Dah bosan melukis, makan keropok dan minum air. Lepas tu turun berjalan di halaman rumah. Mussaab pula terpijak tahi ayam. Ummi bersihkan Mussaab dan cuci lantai yang kotor itu. Anas tolong ummi. Lepas tu naik ke atas rumah. Ummi dah rasa penat nak bergerak.










Jam 11, baring baring di atas karpet. Buat hal masing masing. Anas tengok video di hand phone, Mussaab pula dengan iPad. Abi juga sudah bertolak ke Bintulu, penerbangan 11 pagi. Kemudian Anas on laptop dan mula menonton video. Asyik seketika dengan video. 

Jam 12, Ummi panggil makan nasi. Anas makan dengan berselera, kerana dari tadi mengadu lapar. Mussaab pula leka dengan mainan yang bersepah di luar. Bermain mengikut imaginasinya. Puas Ummi panggil makan, akhirnya masuk juga ke dapur dan makan sedikit. Kemudian keluar dan sambung bermain. Ummi tunggu hingga Anas selesai makan. Lepas makan, Anas juga keluar dan main bersama Mussaab. Ummi perhatikan saja Anas dan Mussaab yang bermain dan menyusun blocks.




Pukul 1, mandi dan main air. Selesai mandi dan berpakaian, kembali menonton video. Ummi mandi dan solat zohor. Anas kemudian masuk dan minta nak makan lagi. Hai, baru je lepas makan nasi. Ummi minta nak rehat dulu, dan janji akan bagi Anas makan lepas Ummi  bangun. Ummi terjaga dari tidur jam 3.30, Anas dan Mussaab keduanya sedang lena di kiri dan kanan Ummi.

Ummi solat Asar, Anas dan Mussaab masih lena. Anas bangun kemudiannya, minta nak makan roti dan sosej. Ummi masakkan untuk Anas. Kemudian Mussaab pula bangun dan makan bersama Anas. Lepas tu aktiviti bermain pula, hingga jam 6.30 petang. Lepas main, mandi. Ummi juga bersiap untuk solat maghrib. Anas on laptop dan menonton video lagi. Lepas tu baca al Quran, dan sambung menonton lagi. 

Lepas isyak, Ummi ke dapur dan masak nasi goreng. Anas dan Mussaab makan roti lagi. Tak nak makan nasi. Habis 2 keping roti setiap sorang. Lepas tu keluar dan menonton video lagi. Keduanya masih cergas dan tak mengantuk. Maklumlah dah tidur banyak siang tadi.  Jam 10 malam, masih belum teringatkan tidur. Sempat lagi Anas buka buku, buat aktiviti maze dan membaca. Mussaab juga turut serta. 




Jam 10.30, Ummi tutup lampu dan semua bersiap tidur. Jam 11 malam, keduanya sudah lena. Alhamdulillah.

Syukur di atas kehidupan hari ini. Anak anak Ummi sihat dan baik baik saja. Sentiasa Ceria dan cergas. Syukur Ummi panjatkan pada Allah yang Maha Memberi. Semoga hari esok Akan lebih  baik buat kita semua. Insya Allah.
Saturday, 24 September 2016 0 comments By: Naemah

MARI MEMBACA



Tiada sangat aktiviti homeschooling yang nak di update. Hari ni just nak review one of the books yang digunakan untuk mengajar anak solehku, Anas Zaydan (4 tahun 8 bulan), juga Abdullah Mussaab (2 tahun 8 bulan). 

Buku untuk Anas dan Mussaab banyak kami beli di pesta buku 'Big Bad Wolf' yang saban tahun diadakan di MIECC. Di samping harga murah, ianya juga sangat menarik dan mampu menarik perhatian anak kecil seperti Anas dan Mussaab. Tapi of course lah, kita sebagai ibubapa perlu bersama mereka, dalam memancing minat mereka pada buku :)

Buku yang baru diulangkaji bersama Anas semalam: The Big Body Book. 

Pernah baca bersama sebelum ini. Anas juga sering membelek buku ini sendirian. Makanya, sedikit sebanyak dia sudah ada kefahaman dalam topik yang dibincangkan dalam buku ini. Kefahaman yang pastinya belum menyeluruh. Dan kefahaman yang sesuai dengan usianya sekarang :)

Namun kunci pada kefahaman sesebuah topik, ialah 'pengulangan'. Banyak kali baca, akan lebih faham dan jelas. Begitu juga dengan Anas. Dah ulang baca dan diterangkan beberapa kali, hingga sekarang dia boleh describe sendiri, menggunakan word dan sentence sendiri. Alhamdulillah untuk pencapaian itu. 

Apa bab yang dibincangkan dalam buku ini? It's all about our body, how body works, and what's inside our body. Plus, the fun facts about our body. 

Keseluruhan tajuk ada pada setiap gambar di bawah:




















(maafkan pada gambar yang tunggang terbalik :))


Menarikkan? Yang penting senang faham, dan senang pula nak explain balik kat anak anak. 

Itu sajalah tentang buku: The Big Body Book. Setakat diberi kesempatan. Kalau ikut nak review, memang banyak lagilah buku yang menarik untuk anak anak. 

Yang penting,kita sebagai ibubapa tak berkira untuk keluarkan sedikit belanja untuk buku dan apa jua bentuk pendidikan untuk anak anak. Ya, ikut sekadar kemampuan, dan yang penting juga, perlu terlibat sama dalam aktiviti belajar anak anak. 

Pesanan untuk diriku juga, kerana kadang kadang hanya biarkan anak anak sendirian meneroka tanpa tunjuk ajar. Takut lama lama anak pun bosan dan tak excited lagi untuk terus meneroka dan belajar. 


Friday, 23 September 2016 0 comments By: Naemah

MENSYUKURI JODOH

picture: here


Berapa ramai yang bersyukur kerana dikurniakan jodoh pasangan seperti dia yang kini ada di sisi? 

Tak kira kita menikahinya kerana cinta atau sebaliknya, tidakkah kita bersyukur, kerana dia ditakdirkan menjadi jodoh kita?

Tak kira baik atau buruk pandangan orang pada dia, namun dia yang terbaik di pandangan kita. Tak kira dia pendiam atau banyak cakap, namun bersamanya, kita rasa sangat terhibur. Tak kira taraf pendidikannya tinggi atau rendah, namun sepanjang hidup bersamanya, banyak mutiara ilmu yang dapat dikutip dalam sedar atau tidak. Tak kira dia berharta atau sebaliknya, bersamanya terasa segalanya telah dicukupkan :)

Mencari kesempurnaan, tak mungkin dia sempurna. Mencari persamaan, tetap akan ada perbezaan. 

Bersyukur, dia yang telah ditakdir sebagai jodoh. Bersyukur, dia yang menemani hari hari yang berlalu. Bersyukur, ada teman bicara, berbisik, bercerita, bersandar, dan meluah segala rasa. Bersyukur, bersamanya hadir zuriat yang pernah dirindu. Bersyukur, bersama kekurangan dan kelebihan, dia hadir sebagai pelengkap hidup ini.

Banyak sebab untuk bersyukur. Jika hanya kerana hati melihat pasangan sebagai anugerah yang paling indah dan membahagiakan dari Allah yang Maha Memberi. 


MENANGISLAH

Untuk apa air mata diciptakan??

Aku tertanya.. Adakah insan yang hidupnya tak pernah menangis??Sepertinya mustahil. Sama ada menangis gembira, atau menangis sedih, pastinya semua insan pernah merasainya. 

Tangisan itu bukti betapa kerdilnya diri. Tidak salah menangis, kerana hakikatnya kita insan yang lemah. Saat rasa terhimpit dan tersepit, di ketika tidak tahu untuk bertindak bagaimana, tidak tahu pada siapa ingin mengadu, menangislah, mudah mudahan kekalutan hati akan menjadi lebih reda. 

Sering selepas sebuah tangisan yang panjang, hati menjadi lebih terpujuk. Masalah yang menggunung dilihat kian mengecil, lantas hati menjadi lebih tenang.

Tetapi hanya jika tangisan itu hadir bersama pengaduan dan pengharapan hanya pada Allah. Hanya ketika seluruh hati dipasrahkan padaNya. Hanya di ketika hati ingin terus bersangka baik di atas segala takdirNya. Hanya ketika sepenuh keyakinan dan doa dipanjatkan buatNya.

Menangislah, jika hanya itu yang kita terdaya di saat dan ketika itu :,)


picture: here