Friday, 19 September 2025 0 comments By: Naemah

HARI KELUARGA 2025 @CHALET BAROKAH RESORT

 



Alhamdulillah selesai program hari keluarga Rafiah dan Ismail, tahun ke-4 diraikan bersama seluruh ahli keluarga tercinta. 

Ia diadakan pada 15-16 September 2025 bertempat di Chalet Barokah Resort, Bachok, Kelantan.



Perancangan Awal


Yang pertama dan utama, tarikh ditetapkan sebaik keluarnya takwim akademik tahun ini. Macam biasalah, nak kena pilih tarikh cuti sekolah. Dan tarikh 15-16 September dipersetujui bersama.



Beberapa bulan selepas itu lokasi hari keluarga ditetapkan dan ditempah. Sebenarnya banyak list lokasi yang menarik di hati, tapi semuanya dah fully booked untuk tarikh yang kita nak tu. Last-last, ke lokasi yang sama dengan tahun lepas juga (cuma berbeza chalet) iaitu Chalet Barokah Resort, Bachok. Settle bab penginapan (Najwa incharge bahagian penginapan tahun ni).


Lebih kurang 2 bulan sebelum hari keluarga, settlekan pula bab t-shirt hari keluarga. Pilih color, design sikit-sikit (oleh Asyraf), dan tempah. Tahun ni majoriti memilih warna maroon (melalui undian). Dan 4 tahun berturut, kedai Ziema Printing & Creative Enterprise menjadi pilihan kerana harganya yang berpatutan dan dapat siap cepat. Setakat ni takde lagi kesilapan seperti tersilap saiz, jumlah baju, atau yang lain. Dan ya, recommended untuk yang sedang mencari kedai printing baju untuk sebarang majlis. Setiap tahun, bab tshirt diuruskan oleh Hamizah dari A-Z. 


Seterusnya merancang menu, banner, game, hadiah, tentative, juga hal lain yang berkaitan. 


Bab makan-makan setiap tahun serah pada Harizah, hadiah untuk anak-anak dan banner Asyraf yang uruskan, hadiah game serah pada Norly (sejak tahun lepas disediakan hadiah untuk sukaneka), penentuan sukaneka dari kanak-kanak, remaja hingga dewasa oleh Farhani, dan tentatif program juga oleh Farhani. Ini antara ajk yang main peranan besar dalam setiap program hari keluarga.


Alhamdulillah berlangsungnya program 2 hari satu malam yang boleh dianggap sempurna bersama kurang dan lebihnya. 



Sarapan di Besut


Bermula dengan pagi, sekitar jam 7.30 pagi kami bertolak ke Besut terlebih dahulu kerana anak saudara-Fadhlullah ada buat jamuan makan pagi di rumah yang baru didiaminya. Ahli keluarga yang lain juga turut menyertai, dan sebahagian yang lain ada yang terus ke lokasi hari keluarga.


Selepas menikmati nasi dagang dan kuih muih di rumah Fadhlullah dan Aina, kami bertolak ke Chalet Barokah Resort pada jam 11 pagi, tiba di sana hampir jam 12. Kami yang pertama sampai, settlekan bayaran chalet, dan menunggu kehadiran ahli keluarga yang lain. Alhamdulillah semua datang on time, kecuali satu keluarga yang tiba semasa sessi bergambar hampir selesai.



Ketibaan/persiapan tempat dan check in:


Semua ahli keluarga diminta hadir selewatnya jam 2 petang untuk persediaan tempat, solat, check in dan seterusnya bersedia untuk sessi bergambar keluarga. Tahun ni, buat pertama kalinya kami sewa jurugambar dari luar (sponsor oleh Hamizah) demi mendapatkan gambar yang lebih cantik dan menarik. Tempoh sewa selama 2 jam iaitu dari jam 2.30 sehingga 4.30 petang. 



Kehadiran


Kehadiran tahun ini hampir mencukupi iaitu seramai 56 orang ahli keluarga (daripada 58 semuanya). 2 orang tak dapat hadir iaitu Hafizah, seorang guru yang sedang berkursus di KL, dan Athirah, seorang student di USM yang perlu berurusan di Medan (urusan pengajiannya). Dan tahun ini bertambah ahli dengan kehadiran baby Assyifa dan baby Latifah. Alhamdulillah. 


Setakat 4 tahun ini, tak tercapai lagi hasrat nak cukupkan kehadiran. Tapi takpelah, insya Allah suatu hari nanti akan sampai waktunya dapat kehadiran penuh. 

 


Sessi bergambar


Alhamdulillah dapat tangkap gambar seperti yang diharapkan dan dimahukan. Gambar yang lebih cantik, lebih tersusun dan memuaskan hati. Bukan sekadar gambar keluarga, gambar sukaneka pun pakai jurukamera juga, di samping gambar yang ditangkap dengan hp masing-masing. 



Sukaneka


Selesai bergambar, teruskan dengan acara sukaneka. Ada kategori bawah 4 tahun, 5 hingga 7 tahun, bawah 15 tahun, dan kategori dewasa. Ada acara berseorangan, berpasangan dan berkumpulan. Antara acaranya ialah bawa bola ping pong dalam sudu, rebut gula-gula, pijak belon, rebut kerusi, lambung kasih, bowling kelapa, bola sepak kain pelikat, kopek epal tanpa putus, dan banyak lagi. 


Bergilir game kanak-kanak dan remaja, sehingga habis, kemudian barulah diteruskan dengan game dewasa. Sepanjang ‘orang tua’ bermain, anak-anak diberikan kertas untuk mewarna. Tujuannya agar anak-anak ini terkawal dan tak berjalan merata ketika ibubapa mereka sibuk bermain. 


Syukur Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik, semua game dapat main, dan ikut masa seperti yang dirancang. 



Bbq dan steamboat


Sekitar jam 4 petang, mereka yang incharged bahagian makanan dah siap-siap hidupkan api untuk barbeque dan steamboat. Ada ayam perap (P.long sponsor), seafood, sosej dan burger untuk bahagian barbeque. Manakala menu steamboat (sponsored by P.Muda) juga tak kalah sedapnya dan ramai peminatnya. Penat main, boleh makan dan minum dulu. Cuaca pula sangat membantu, Alhamdulillah syukur sangat!


Di samping itu ada menu mi goreng (oleh M.Ngah), bihun goreng (oleh Cik), nasi dagang dan kuih (dari jamuan rumah Fadhlullah tadi), dan makanan sampingan yang lain juga. Ya, setiap tahun makanan dan hidangan hari keluarga memang sangat ‘meriah’. 



Aktiviti bebas


Selesai sukaneka pada jam 5.15 petang, dan semua menuju ke laut (tinggal yang bertugas bakar ayam dan yang tak larat je). Tak sabar-sabar nak mandi laut. Seorang demi seorang akhirnya basah kuyup bermandian di pantai. Seronoknya mereka.



Maghrib dan Isyak di dewan solat 


Berimamkan P.Long, kaum lelaki berjemaah di dewan yang disediakan (kaum perempuan masing-masing sibuk dengan anak kecil). Ada selingan tazkirah dari P.long juga. 



Malam persembahan dan penyampaian hadiah


Jam 9 malam, semua berkumpul di dewan makan. Bermula dengan ucapan dari ketua keluarga (P.Long), disusuli dengan persembahan anak-anak yang menghiburkan, diteruskan dengan penyampaian hadiah; hadiah untuk semua anak-anak, hadiah sukaneka, hadiah hadiah kuiz kanak-kanak, hadiah teka syiling (ganti dengan cabutan bertuah), sessi bertukar hadiah setiap keluarga, dan cenderahati untuk mek. Dan di antara itu ada slot potong kek oleh mek. Meriah juga walaupun masing-masing dah kelihatan penat dan mengantuk. Program malam ini selesai sekitar jam 10 malam. Balik ke bilik masing-masing dan tidur.


Oh ya, ada satu kejadian bilik air tersumbat (bilik mek dan cik). Agak stress juga bab ni sebab kesian pada mek yang susah nak guna toilet, dan tak dapat nak tukar bilik kerana semua bilik full pada malam tersebut. Namun Alhamdulillah, owner chalet usahakan untuk selesaikan masalah bilik air tersumbat dan dengan izinNya masalah tu selesai juga selepas tamat acara malam. Alhamdulillah.



Subuh, sarapan dan aktiviti bebas.


Pagi hari kedua, berjemaah Subuh di dewan solat, kemudian ada yang sambung tidur, ada juga yang ambil angin pagi di tepi pantai. Cantik sungguh pemandangan matahari terbit di tepi pantai. Menikmati indahnya pagi, sambil menghirup kopi. Masya Allah! 


Sarapan pagi disediakan oleh M.Long. Menu nasi lemak beralaskan daun pisang, menikmatinya pula di tepi pantai bersama ahli keluarga yang ramai, memberikan rasa yang tak mampu diterjemahkan dengan kata. Bersarapan, bercerita, dan bergelak ketawa. Susahnya nak dapatkan momen seperti ini kan? Hari ini dan semalam, kita menikmatinya bersama-sama. Syukur padaMu ya Allah, memberikan nikmat berkeluarga seperti ini.


Di samping nasi lemak, ada kuih muih yang dibeli di luar. Pagi ini juga mewah dengan makanan. Pagi ini mek menikmati makan paginya bersama anak menantu, cucu dan cicitnya. 4 generasi berkumpul bersama, semoga mek bahagia untuk semua ini. Walau setelah itu, kita akan terpisah kembali menuju kehidupan masing-masing.


Selesai bersarapan dan bersembang panjang, beratur pula membeli aiskrim yang dijaja dengan motosikal. Dah kenyang makan, masa untuk menikmati aiskrim pula. Kemudian anak-anak sambung main pasir, ada yang mandi pantai, yang sambung bersembang, dan yang balik ke bilik dan berkemas. 



Bersurai


Hampir jam 12 semua dah siap untuk check out dari chalet. Satu demi satu keluarga bergerak meninggalkan chalet. Urusan di sini dah selesai. Kini masa untuk pulang. Mungkin di kampung akan berjumpa lagi, mungkin juga tidak. Masing-masing ada haluan tersendiri.


Kami sekeluarga menuju ke Kota Bharu. Masa untuk bertemu keluarga di sana pula. Dan insya Allah akan balik jumpa mek lagi sebelum pulang ke Semenyih.


Dan tamatlah cerita hari keluarga tahun ini. Menunggu setahun lagi, untuk ulangi cerita bersama lagi. Mudah-mudahan kala itu, semuanya dalam keadaan sihat,  dan diberi kelapangan untuk berkumpul lagi. Ya Allah, jangan ada yang ‘hilang’ dan pergi antara kami. Izinkan kami bersua kembali setelah perpisahan hari ini. Ameen.


Insya Allah, tahun depan bertambah lagi ahli keluarga. 2 yang akan melahirkan, satu yang akan berumahtangga. Atau mungkin lebih lagi. Alhamdulillah, moga keluarga kami ini dalam rahmat dan kasih sayangMu sentiasa ya Allah. Ameen.



Gambar keluarga;


Mek dan keluarga anak sulungnya
(Seorang tak dapat hadir)


Mek dan keluarga anak keduanya
(Satu keluarga lagi lambat datang)



Mek dan keluarga anak ketiganya
(Seorang tak dapat hadir)


Mek dan keluarga anak bongsunya


Keluarga abang sulung
(Anak no.6 tak dapat hadir)


Keluarga abang kedua
(Anak no.3 dan family lambat datang)


Keluarga abang ketiga
(Anak sulung tak dapat hadir)


Keluarga anak bongsu mek


Mek dan 5 anaknya


Mek dan anak serta menantunya
(Seorang menantu tak suka bergambar)


 



Together we are a FAMILY



Random pictures of Family Day 2025;

























































LD ANNUAL SPORTS DAY 2025




Berlangsung sudah LD Annual Sports Day & Merdeka celebration pada tarikh 13/9/2025 bertempat di Dewan Komuniti Pekan Semenyih.

Tahun ini adalah tahun ke-3 Suri di Little Diamond dan tahun ke-3 Suri terlibat dalam acara sukan tadika. Dah tahun akhir, tahun depan dah tak main dengan Little Diamond dah.

Mengikut tentative, ibubapa dan pelajar perlu hadir seawal jam 8 pagi untuk pendaftaran, sarapan dan persiapan anak-anak dalam kumpulan rumah sukan masing-masing.

Tahun ini hari sukan bertemakan ‘bank’ di Malaysia. Rumah merah mewakili CIMB bank, rumah kuning mewakili Maybank, rumah biru mewakili Bank Rakyat, dan rumah putih mewakili Agro Bank. Dan warna merah, putih, biru dan kuning juga merupakan gabungan warna bendera Malaysia. Tahun ini, Suri berada dalam team putih-team Agro bank. 

Selepas pendaftaran, sarapan, bergambar setiap keluarga, dan bawa Suri ke toilet, ummi serahkan Suri pada teacher Siti yang menjaga peserta rumah putih. Anak-anak berbaris dalam kumpulan masing-masing. Teacher sibuk pakaikan anak-anak aksesori, sambil mengawal mereka. Ibubapa mengambil tempat masing-masing, juga duduk di dalam kumpulan rumah yang disediakan. Dah selesai siapkan anak-anak, maka bermulalah program sebagaimana yang dirancang. 

Dimulakan dengan perbarisan, doa pembuka oleh murid 6 tahun, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor, bacaan rukun negara (Suri lead bacaan rukun negara hari ni. Ummi bangga dengan Suri yang berani berdiri kat depan tu), diikuti dengan LD Pledge, gimik dan perasmian dan seterusnya.

Tiba masanya, acara sukaneka bermula, dan semua pelajar terlibat dalam setiap permainan. Ada 4 pusingan permainan (berkumpulan). Gamat dewan dengan suara sorakan ibubapa yang menyokong kumpulan anak masing-masing. 

Juga ada selingan cabutan bertuah dan kuiz. Tak dilupa, game yang melibatkan wakil kaum ibu dan kaum bapa. Agak meriah la dewan pagi ini dengan keterlibatan semua, anak-anak dan ibubapa.

Akhir sekali adalah penyampaian hadiah dan sessi bergambar beramai-ramai. Tahun ni team putih jadi juara keseluruhan. Alhamdulillah, semua dapat bawa balik hadiah, medal dan kenangan yang tak dilupakan 

Sekitar jam 12, selesai sudah program hari ini. Masing-masing bersurai meninggalkan dewan. Masing-masing kepenatan setelah bermain dengan sepenuh hati. 

Alhamdulillah program hari ini boleh dikatakan berjalan dengan sangat lancar. Tahniah buat guru-guru Little Diamond yang telah bertungkus lumus menjadikan hari ini penuh bermakna buat semua. Terima kasih untuk hidangan, hadiah dan kenangan. Tahun terakhir Suri bersama Little Diamond, sudah tentu detik seperti ini tak berulang lagi bila Suri sudah melangkah ke fasa pengajian yang seterusnya. 

Dan momen hari ini, kita rakam dan simpan sebagai kenangan di masa depan. 



















Thursday, 11 September 2025 0 comments By: Naemah

SAAT ITU…


 Untuk Suamiku Tercinta


Akan tiba suatu hari,

hanya tinggal kita berdua semula.

Tanpa tangisan bayi, tanpa lampin, tanpa kelam-kabut.


Tiada lagi langkah tergesa menghantar anak ke sekolah,

tiada jadual yang sesak menyesakkan jiwa.

Hanya pagi yang sunyi indah,

malam yang damai dengan santapan perlahan,

serta kehidupan yang kita lanjut bersama setelah badai reda.


Dan bila saat itu menjelang,

aku berdoa kita saling berpandangan,

lalu tersenyum kerana kita tidak sekadar bertahan,

tetapi kita hidup, kita mencintai,

dan kita membina sesuatu yang indah.


Sebuah cinta.

Sebuah rumah yang sentiasa menjadi tempat kita kembali,

lagi dan lagi, hingga ke akhirnya.


-INSYA ALLAH-


Sunday, 7 September 2025 0 comments By: Naemah

SEPTEMBER: BALIK KAMPUNG AKHIRNYA


 Melangkah kita ke bulan September. 


September bermula di rumah juga. Cuti hari Merdeka (diganti pada 1 September), yang plan awalnya nak balik kampung, akhirnya tak jadi kerana abi belum selesai tugasnya di laut.


Tapi minggu pertama September ini masih ada cuti umum iaitu cuti sempena Maulidur Rasul. Alhamdulillah abi dah balik, dapatlah kita ambil peluang balik kampung sekejap setelah 2 bulan tak jejak kampung.


Balik awal sikit (malam Khamis), dan perlu ‘cuti’ kan Anas (SEMEKAR), Mussaab (SKKR) dan Suri (LD) satu hari, iaitu pada hari Khamis (hari Jumaat adalah cuti umum). Boleh la balik lama sikit, walau hakikatnya tetaplah sekejap bila dikira dengan perjalanan pergi dan balik. Tak apalah, hati meronta nak balik. Kita punya orang tua yang perlu kita ziarah. Orang tua yang sudah uzur benar, sedangkan orang tua itulah yang sering mendoakan kita saban hari. Tak boleh dibiarkan suntuknya masa kita, menghalang kita untuk pulang kepada mereka. 


Balik kampung, biarpun sekejap tetap tersimpan kenangan. Apatah lagi bertemu yang dah lama tak bersua. Anak-anak happy dapat jumpa dan main dengan sepupu. Satu hari yang meriah, di rumah nenek walaupun tak semua balik. Alhamdulillah.


Di rumah mek pula, macam biasa, sunyi saja. Hanya dapat jumpa cik. Tiada yang lain. Tapi tak mengapalah, memang balik nak jumpa mek. Mek yang dah tak berdaya dan uzur. 


Khamis hingga Ahad, tamatlah sudah ‘percutian’ di kampung mek dan nenek. Perlu pulang untuk kembali ke sekolah. Seminggu saja lagi, dan selepas itu akan bercuti pula selama seminggu. Insya Allah akan balik kampung lagi.


Dan abi pula, esok akan ke laut lagi. Semoga perginya sekejap saja, dan akan balik sebelum cuti sekolah bermula. Insya Allah. Tak sabar nak balik lagi, sebab cuti nanti akan meraikan hari keluarga mek pula. Semoga Allah permudahkan segalanya. Dan syukur Alhamdulillah untuk segalanya. 



Balik kampung; sepintas lalu





Perjalanan balik kampung.

Solat Maghrib di Masjid Bandar Rinching dan makan malam di restoren KFC TTDI grove






Aktiviti di rumah nenek bersama sepupu








 

Makan angin di Pantai Kundur-tak jauh dari rumah nenek

Ummi, abi, acik dan Nuha sahaja.