Wednesday, 5 October 2022 0 comments By: Naemah

DABONG WITH LOVE




Trip to Dabong 

(30 September-1 Oktober 2022)


Alhamdulillah sekali lagi dapat luangkan masa bersama keluarga. Kali ini dengan keluarga mertua pula. Walaupun bukan semuanya dapat berkumpul bersama, masih tetap meriah dan menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga.


Percutian 2 hari 1 malam di Dabong, Kuala Krai, merakamkan kenangan yang tak mungkin dilupakan. 


Percutian ini dirancang oleh keluarga adik ipar yang memang tinggal di sana. Semua ahli keluarga dipelawa untuk menyertai percutian singkat ini, namun tak semua yang berkelapangan untuk ikut serta. Pun begitu, masih meriah (11 dewasa+12 kanak-kanak). Sebagaimana dirancang, kami menginap di Stong Heritage Eco Resort yang letaknya berdekatan dengan air terjun Stong yang memang terkenal di sini. Kami menyewa 3 buah bilik, dan satu khemah.


Sudah beberapa kali kami singgah di sini (mandi sungai) dalam perjalanan balik kampung, sebab ia memang laluan kami setiap kali balik kampung. Tapi dah lama tak singgah, sejak pandemik. 


Kali ini berbeza sebab datang dengan ramai ahli keluarga (dari Kota Bharu) dan keluarga adik ipar yang baru bertugas dan menetap di sini. Mereka menyewa resort di sini, dan merancang aktiviti keluarga.


Pada 30 September, kami bertolak dari Semenyih seawal jam 3 pagi dan tiba di destinasi pertama (juga tempat bertemu ahli keluarga yang lain) iaitu di Gua Ikan pada jam 10 pagi. Kami berada di sini lebih kurang 1 jam, kemudian makan tengahari bersama di Adam’s cafe. Masuk waktu zohor, kaum lelaki menunaikan solat jumaat di masjid Jelawang, dekat saja dengan penginapan kami. Yang perempuan check in dulu, kemudian beraktiviti bebas di tempat penginapan.


Apa yang best kat sini, ia menjanjikan ketenangan dan membantu minda untuk bebas sebentar dari kesibukan kerana lokasinya yang sangat dekat dengan alam semulajadi. Penginapan kami terletak di tepi anak sungai yang mengalir jernih, di samping landskap hutan yang kehijauan. Anak-anak dilepaskan bermain sungai sambil diawasi ahli keluarga yang dewasa. Pada awalnya hujan turun renyai, tapi lama kelamaan cuaca kembali baik, namun suasana masih sejuk, redup dan menenangkan hingga ke malam hari. 


Waktu petang selepas mandi sungai, anak-anak bermain bebas di ruang yang disediakan dengan berbagai aktiviti seperti aktiviti memanah, ping pong, trampoline dan lain-lain. Waktu petang juga, ready untuk ber’bbq’ dan menikmati hidangan yang disediakan. Alhamdulillah, menikmati hidangan di tepi sungai bersama-sama, memberikan rasa nikmat yang tersendiri.


Selesai solat maghrib dan isyak, ada game keluarga dan penyampaian hadiah (dewasa dan kanak-kanak semua dapat hadiah). Selepas itu bersedia untuk ke bilik/dan khemah masing-masing untuk tidur. Sudah satu hari menempuh perjalanan dan beraktiviti. 


Esok harinya, menikmati breakfast dan tak melepaskan peluang bermain di sungai buat kali terakhir sebelum berangkat pulang. Santai-santai saja pagi ni, makan dan main air sepuasnya. Lebih kurang jam 11 pagi, semua sudah bersiap untuk check out dan menuju ke tempat lain pula. Tak lupa bergambar kenangan dengan semua ahli keluarga yang ada. Selepas itu beransur meninggalkan Stong Heritage Eco Resort. Tempat ini pasti akan dikenang. Irama hutan yang tanpa henti di sini, pasti akan dirindui.


Kami menuju pula ke Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, untuk beraktiviti di sini pula. Dek kesuntukan masa, hanya sempat mencuba flying fox. Pertama kali buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Pastinya ia menjadi pengalaman yang cukup berharga. 


Kemudian makan tengahari (mi udang yang memang terkenal di sini), dan kemudian menuju pulang ke destinasi masing-masing. Kami balik ke Jeli (perjalanan lebih kurang 1 jam), dan bermalam di sini, dan bertolak balik Semenyih pada esok harinya jam 4 pagi. 


Alhamdulillah selamat sampai di rumah jam 11 pagi. Sebuah perjalanan dan percutian yang singkat, namun menyeronokkan, terutamanya buat anak-anak. 


Semoga masih berpeluang untuk merancang dan mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga lagi di masa yang akan datang. Kalaulah boleh kumpulkan semua (10 adik beradik suami) dalam percutian seperti ini, alangkah meriahnya. Mak pasti yang paling seronok. Insya Allah, suati hari nanti.


Syukur pada Allah atas nikmat berkeluarga, moga Allah satukan hati-hati kami agar sentiasa dekat, sentiasa hidup dengan berkasih sayang dan jauh dari sengketa. Kerana keluarga adalah anugerah. Perlu sentiasa dijaga, dan dipupuk kasih sayang agar sentiasa mekar. 


Semoga Allah merahmati setiap ahli keluarga yang sangat dicintai. 




Muatan barang dari Semenyih



Berhenti rehat dan breakfast di bandar Gua Musang







Di Gua Ikan







Lunch



Bilik (1)



Mandi sungai sepuasnya


















Bilik (2)



Nak balik dah 







Geng flying fox











FUN RUN ANAK MERDEKA JIRAN SEMPOI


25/9/2022

Fun Run Anak Malaysia anjuran jiran sempoi.


Sedikit catatan buat kenang-kenangan; 


Buat julung kalinya, program larian (sejauh 2 km) ini diadakan di kejiranan Seksyen 6 ini. Anak-anak kami antara yang terawal mendaftar nama, memandangkan abinya juga merupakan salah seorang ajk yang terlibat dalam menjayakan program ini. Pada mulanya dibuka untuk 50 penyertaan sahaja, tapi oleh kerana sambutan yang menggalakkan, akhirnya penyertaan dibuka lagi sehinggalah menjadikan 70+ penyertaan semuanya. Program ini diadakan untuk raikan anak-anak Seksyen 6, di samping nak eratkan silaturrahim sesama jiran. Setiap peserta membuat bayaran sebanyak rm 5, dan semua akan dapat medal selepas larian nanti.


Pada hari tersebut, makanan disediakan oleh ajk yang terlibat, di samping tajaan makanan dari luar. Alhamdulillah meriah juga dengan makanan. Kami sendiri sempat sediakan 30 bungkus nasi dagang untuk disertakan bersama makanan yang lain, seperti mi goreng, kuih muih, roti sosej, sup, buah-buahan dan banyak lagi. Dapatlah merasa sedikit sorang mana yang sempat :)


Program bermula seawal 8 pagi, dimulakan dengan pendaftaran peserta, senamrobik, ucapan dan perasmian dari VIP jemputan, dan seterusnya anak-anak dilepaskan berlari/berjalan mengikut jalan/track yang telah ditetapkan. Dapatlah ummi jogging sekali dengan anak-anak hari ni :)


Sampai di garisan penamat, anak-anak dikalungkan dengan medal. Lepas tu menjamu selera, acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah, sessi bergambar, membersihkan kawasan yang digunakan untuk program ini, dan bersurai, sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah semua berjalan dengan sangat lancar. Cuaca juga sangat baik, syukur pada Allah yang menjadikan hari ini bermakna buat semua, dan memberikan keseronokan buat anak-anak. 


Selesai program, terus balik ke rumah, sambung buat aktiviti kat rumah pula. Alhamdulillah hari ni dapat lakukan aktiviti sihat dan berfaedah. Takdelah terperap saja di rumah dan hadap gadjet saja. Diharapkan akan ada lagi program seumpama ini buat anak-anak di masa yang akan datang. 


Gambar kenang-kenangan;





Nasi dagang ummi dan abi



Ready nak berlari















Sunday, 2 October 2022 0 comments By: Naemah

SRAI PEKAN BERANANG: HARI TERBUKA BERSAMA IBUBAPA (2)



29-9-2022

Hari terbuka SRA Integrasi Pekan Beranang bersama ibubapa untuk menerima rekod prestasi anak-anak. 


Alhamdulillah ummi dapat meluangkan masa untuk hadir pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan. Abi macam biasa, jaga anak kat rumah :)


Kali ke-2 ummi hadir hari terbuka seperti ini di sekolah Anas. Yang pertama ketika Anas darjah 1, lepas tu 2 tahun pandemik dan belajar pula secara pdpr, tak adalah hari terbuka sekolah. Tahun ni Anas dah pun berada di tahun 4, dan Alhamdulillah diberi peluang untuk hadir hari terbuka ini sekali lagi. 


Jam 11 pagi ummi (orang pertama) masuk kelas Anas dan jumpa guru kelas Anas iaitu Ustazah Rumaizah dan Ustazah Maziah. Tak mengambil masa yang lama sangat pun, sebab ustazah cakap Anas ok je, tak ada masalah. Semua memuaskan, Alhamdulillah. Result pertengahan tahun banyak dapat A. Keputusan PBD pun memuaskan untuk semua subjek. 


Kesimpulannya, semua baik dan memuaskan. Cuma bab pelajaran, ada subjek tertentu yang masih perlu dipertingkatkan usaha. Ya ummi tahu nak cemerlang untuk semua subjek (akademik dan agama) agak susah, tapi tak mustahil dengan doa, usaha dan tawakkal, insya Allah.


Apapun ummi berpuas hati, Anas dah besar dah. Bab sekolah, ummi dah tak risau sangat dah. Sesekali je ummi bising tanya kerja sekolah, ready keperluan sekolah, bimbing hafazan, buat latihan, dan sebagainya. 


Ummi harap dan doakan Anas akan terus cemerlang di masa yang akan datang. Anas perlu punya kesedaran sendiri untuk lebih berusaha dan memperbaiki mana yang kurang, baik dalam bab pelajaran, sikap, akhlak dan pergaulan. Anas makin besar, dan makin matang juga, insya Allah. 


Terima kasih pada pihak SRAI Pekan  Beranang atas peluang yang diberikan. Terima kasih pada guru-guru yang banyak mendidik dan memberi tunjuk ajar pada Anas. Semoga anak-anak SRAIPB akan terus berjaya dan cemerlang di masa akan datang. Insya Allah.


Tuesday, 27 September 2022 0 comments By: Naemah

KELUARGA YANG KITA BENTUK



Ummi- anak bongsu, membesar sebagai anak yatim sejak kecil, beza umur yang jauh dengan abang dan kakak, pendek kata, membesar sorang-sorang dan kebanyakan masa hidup berdua saja dengan mek. 


Abi- anak ke-5 dari 10 adik beradik yang jarak umur mereka dekat dan rapat. Sudah tentu abi membesar dalam suasana lebih ‘meriah’ berbanding ummi.


Ummi dan abi ditakdirkan bersatu. Kemudian Allah anugerahkan zuriat, satu demi satu hadir dalam kehidupan ummi dan abi. Ummi, Abi, Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri, terbentuklah sebuah keluarga kecil kita. Alhamdulillah. 


Di sini menjadi tanggungjawab ummi dan abi membentuk dan mencorak keluarga kita. Ummi dan abi yang tak sempurna, yang banyak kekurangan, yang perlu belajar dari mula, belajar dari kesilapan sendiri, berdepan dengan ujian tersendiri, demi membangunkan dan membentuk keluarga idaman.


Hampir 12 tahun sudah ummi dan abi hidup bersama. Anak-anak yang dulu kecil sudah makin membesar dan punya karakter tersendiri. Sungguh, menggalas tanggungjawab sebagai ibubapa itu tidak mudah. Ia satu perjuangan yang panjang, selagi anak-anak masih di dalam tanggungan. 


Maafkan ummi dan abi yang banyak khilaf dan kekurangan dalam mendidik. Jauh sangat dari sempurna. Sampai ke hari ini, masih juga banyak kekurangan. Maaf kiranya ada hatimu yang terluka dan terguris atas khilafnya kami. Ummi dan abi sedang mencuba yang terbaik. 


Hari ini melihatkan setiap kamu, atas baik buruk sikap kamu, ummi tahu itulah hasil dari didikan kami. Yang baik ummi syukuri, yang tidak baik, ummi sesali. Sesal pada diri sendiri yang tak mampu memberi contoh yang lebih baik. 


Kita masih punya masa dan peluang untuk memperbaiki mana yang kurang. Ummi, abi dan kalian, semua perlu berusaha menjadi yang lebih baik. Keluarga bahagia idaman kita, moga terbentuk dan terjaga. Konflik antara kita, moga dapat kita hadapi dengan bijaksana. 


Allah jualah yang menyatukan hati-hati kita dengan ikatan kasih sayang. Jaga ikatan ini keranaNya. Di sinilah bahagia kita terjamin hingga syurga.


Moga Allah sentiasa berkati keluarga kecil kita, hingga keluarga besar kita. Bertemu dan bersatu keranaNya. 


SK KAMPUNG RINCHING: HARI BERTEMU IBUBAPA



24/9/2022

Hari terbuka SK Kampung Rinching bersama ibubapa untuk membincangkan prestasi anak-anak di sekolah. Selepas di SRIPN hari tu, ini juga pertemuan kali pertama ummi dengan guru kelas Mussaab (kelas 2 Orkid). Dah tentu tak sabar nak hadir dan dengar komentar guru kelas Mussaab berkaitan sikap dan pembelajaran Mussaab di sekolah.


Ummi hadir bersama Mussaab. Abi tinggal di rumah bersama anak-anak yang lain. Alhamdulillah sebab datang awal, boleh jumpa cikgu awal juga, tak perlu menunggu lama. 


Menurut guru kelas Mussaab (Cikgu Zalina), dari segi pembelajaran ok saja, di tahap yang sederhana (tak lemah, tak juga cemerlang sangat). Masih on the track lah kiranya. Cuma buku kerja je banyak yang tak lengkap. Sebab apa? Sebab yang inilah mungkin puncanya. Kata cikgu, Mussaab suka main-main dan sembang dengan kawan masa cikgu mengajar. Tak fokus. Ummi dah agak, hampir serupa saja seperti laporan Ustaz Izz di sekolah agama. Ya Allah Mussaab..


Keseluruhannya, bab yang lain Mussaab ok saja, masalah disiplin pun tak ada. Cuma bab sikap, dan suka main-main tu je masalahnya. Kata cikgu, memang perangai budak lelaki. Masa je yang akan mengubah dan mematangkan. Ummi pun harapkan begitu jugalah. Bukan ummi dan abi tak pesan, tapi Mussaab masih juga begitu ye. 


Insya Allah, seperti kata Cikgu Zalina, ummi juga mengharapkan Mussaab akan berubah menjadi pelajar yang lebih baik dan berdisiplin, fokus di dalam kelas, dan tak main-main lagi ketika cikgu mengajar. Di sekolah, ummi serah pada guru sepenuhnya untuk ‘mengajar’ dan ‘menghukum’ atas segala sikap Mussaab yang tak sepatutnya. 


Bab pelajaran ummi tahu Mussaab perlu lebih tekun untuk meningkatkan prestasi. Sekarang ni pun tak teruk, tapi masih perlu usaha lebih. Buku kerja yang tak lengkap, ummi perlu paksa Mussaab lengkapkan. 


Ummi terima segala komen guru kelas Mussaab dengan hati terbuka. Sedikit sebanyak ummi dapat gambaran bagaimana Mussaab di sekolah, tahu prestasi pelajaran Mussaab, yang pastinya akan membantu ummi untuk memantau Mussaab. Mana yang ok, Alhamdulillah, kekalkan dan tingkatkan prestasi. Mana yang kurang, perlu diperbaiki, insya Allah.


Highlight: tentang penglibatan Mussaab di SKKR, sebelum ni Mussaab ada ikut kem bijak jawi (cikgu yang pilih), Mussaab juga ada sertai pertandingan menyanyi lagu patriotik bersama kawan-kawan (mewakili kelas 2 Orkid) dan menjadi juara untuk tahun 2. Ada jugalah kenangan yang boleh Mussaab simpan, selain dari belajar kat kelas bersama kawan-kawan. 


Alhamdulillah sudah hampir 2 tahun Mussaab di SKKR. Tahun satu banyak belajar secara pdpr, tahun 2 mula belajar secara bersemuka sepenuhnya. Alhamdulillah kehadiran memuaskan. Mussaab seronok saja ke sekolah, walaupun agak penat juga bersekolah 2 sessi setiap hari. Bila dah biasa, Alhamdulillah Mussaab ok saja. 


Hampir menuju ke penghujung tahun. Mussaab teruskan hari-hari bersekolah seperti biasa. Ummi harapkan Mussaab akan lebih seronok belajar dan berkawan, lebih fokus di dalam kelas, dan lebih cemerlang di dalam pengajian. Ummi sentiasa akan doakan, insya Allah.


Maju terus, Mussaab ya!!!


Terima kasih kepada pihak sekolah SK Kampung Rinching atas peluang yang diberikan kepada ibubapa untuk berbincang tentang prestasi anak-anak di sekolah. Semoga anak-anak SKKR akan mendapat pendidikan terbaik di sini, dan terus cemerlang di masa akan datang, insya Allah.






Menunggu giliran berjumpa guru kelas.

Terima kasih Cikgu Zalina!

Sunday, 18 September 2022 0 comments By: Naemah

KEPUTUSAN UKS MIQDAD



Keputusan UKS telah diumumkan pada 12/9/2022.


Alhamdulillah Miqdad berjaya melayakkan diri ke SRAI Pekan Beranang tahun depan (2023). Syukur pada Allah. Rezeki Miqdad untuk bersekolah bersama Anas. 


Nampaknya tahun depan Miqdad dan Anas akan bersekolah di sekolah yang sama (SRAI Pekan Beranang). Mussaab pula akan teruskan pengajian di sekolah yang sekarang (SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah). Tak mengapa, di mana-mana pun sama saja. Berjaya atau tidak, bergantung pada diri sendiri dan pertolongan Allah. Baik Anas, Mussaab atau Miqdad, semuanya akan berjaya dan cemerlang, jika berusaha, insya Allah!


Untuk Miqdad, tahniah dan syabas ummi ucapkan. Miqdad dah besar kan? Nak masuk darjah 1 dah. Ummi akan sentiasa mendoakan kejayaan Miqdad, dan semua anak ummi. Tiada yang lebih berbanding yang lain. Semuanya istimewa dengan kelebihan tersendiri. Semua pasti berjaya di atas jalan dan pilihan sendiri, insya Allah!


Perjalanan masih jauh. Ini hanyalah permulaan untuk meneruskan langkah yang masih panjang. Ummi tak akan jemu mendoakan. Ummi akan terus menyokong apa jua pilihan, selagi ianya memberi kebaikan buat anak-anak ummi. 


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri,

Semoga berjaya dan cemerlang kalian, dunia dan akhirat. 

Ameen.

Saturday, 10 September 2022 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: ANNUAL SPORTS & MERDEKA CELEBRATION




4-9-2022


Alhamdulillah selesai menghadiri program Annual Sports & Merdeka Celebration anjuran Little Diamond Kindergarten dengan penglibatan semua pelajar 4-6 tahun dan ibubapa juga.


Program kali ini diadakan di PGA Semenyih yang letaknya tak jauh dari rumah. Kebetulan abi tak ada, ummilah yang bawa anak-anak ke program sukan tahunan Miqdad. Sebelum ini (oleh kerana PKP), ia diadakan dalam suasana yang berbeza. Tahun ini Alhamdulillah lebih meriah dan terbuka.


Pendaftaran seawal jam 7.30 pagi, menikmati hidangan sarapan yang disediakan, masuk dewan dan menunggu kehadiran semua pelajar dan ibubapa sebelum memulakan acara.


Anak-anak membuat perbarisan mengikut rumah masing-masing (kuning, biru, merah dan putih), menyanyikan lagu patriotik dan main game. Selesai acara anak-anak, giliran ibubapa pula beraksi. Dah selesai semua, barulah acara perasmian, lafaz ikrar dan penyampaian hadiah. Kuning menjadi juara untuk sukan tahun ini. Semua pelajar menerima hadiah dan medal. Tahniah semua anak-anak!


Kami meninggalkan dewan sekitar jam 12 tengahari. Masing-masing dah penat sangat, singgah beli sedikit makanan di gerai perkarangan Lotus, dan terus balik ke rumah. Sambung buat aktiviti di rumah pula sementara menunggu kepulangan abi dari Kemaman. Insya Allah esok hari akan bermusafir balik kampung pula.


Alhamdulillah dan tahniah buat warga Little Diamond Kindergarten atas penganjuran sukan tahun ini setelah 2 tahun terhalang untuk buat program besar seperti ini. Anak-anak seronok, ibubapa juga tumpang seronok. Sekali lagi, kenangan tercipta buat kita semua.


Beberapa bulan berbaki, untuk Miqdad meninggalkan Little Diamond Kindergarten dan masuk ke alam persekolahan baru. Masa berlalu sangat pantas, lepas Anas dan Mussaab, kini sampai giliran Miqdad pula meninggalkan alam tadika. Harapan ummi, di kesempatan yang masih ada ini, dapat Miqdad menikmati alam kecil ini dengan penuh kegembiraan, mengutip pengalaman dan mencipta kenangan yang mungkin Miqdad tak dapat jumpa lagi bila dah meninggalkan tadika nanti :)


Gambar di sekitar hari sukan;