Sekadar coretan pengalaman.
Dah berapa kali kena tahan wad?
Pernah masuk wad kerana keracunan makanan (2010), pernah masuk wad kerana keguguran kandungan pertama (2011), pernah masuk wad asbab bersalin (2012,2014,2016,2019,2024), dan pernah masuk wad kerana batu karang dalam hempedu (2022).
Dah 8 kali rupanya ditahan di wad atas sebab kelahiran dan sakit yang tak disangka. Semuanya di hospital kerajaan, kecuali untuk rawatan dan pembedahan buang batu karang.
Tragedi keracunan makanan (2010), dimasukkan di hospital Jeli dan berada di wad selama 2 hari 1 malam. Alhamdulillah dengan rawatan, pantauan dan layanan baik doktor dan jururawat, keadaan diri yang pada awalnya agak ‘teruk’ juga, akhirnya bertambah baik.
Tak dilupa episod keguguran kandungan pertama (2011), kejadian yang bagai sekelip mata, dibawa ke hospital Kelaboran (sebab masa tu berada di rumah saudara di Tumpat), kemudian naik ambulan, dibawa ke HRPZ Kota Bharu. Satu malam ditahan di wad, dirawat sewajarnya dan dibenarkan balik pada keesokan harinya.
Seterusnya pengalaman bersalinkan anak, seorang demi seorang (2012-2024), 4 di HRPZ Kota Bharu, dan 1 di HUSM. Pengalaman bersalin yang hampir serupa, diberi layanan yang sebaiknya oleh doktor dan jururawat yang bertugas, dipantau setiap masa, dan terjaga serba serbi sebagai ‘patient’. Adalah pengalaman tak best sekali dua,tapi keseluruhannya berada di wad dan hospital kerajaan, rasa sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
Dan yang terakhir (2022)- sebelum mengandungkan yang bongsu, dan pasca covid-19. Sakit yang tiba-tiba menyerang, dan pada ketika itu suami yang serba salah nak hantar ke hospital mana (kerajaan atau swasta)- yang pasti hospital kerajaan sentiasa menjadi pilihan dia atas alasan yang dipegangnya. Tengok keadaan aku yang sangat lemah, dia bawa ke bahagian kecemasan-KPJ Kajang (lokasi yang sangat hampir dengan Hospital Kajang), demi untuk tidak melengahkan masa rawatan. Ya, maklum, hospital kerajaan mungkin perlu menunggu lebih lama.
Dan inilah pengalaman pertama ditahan di wad hospital swasta. Dan hmm… sebaik mendaftar, yang ditekankan ketika itu adalah tentang kos rawatannya yang bukan sedikit, untuk beri pilihan pada kita sama ada mampu bayar (teruskan rawatan di situ) atau tidak (bawa ke hospital kerajaan). Ya, syukurlah ada insurans yang boleh cover kos rawatan. Dari icu (2 malam) ke wad biasa (4 malam), kemudian menyambung rawatan di HUKM (3 malam). Dan dari segi layanan dari pihak hospital, tentulah terbaik dan first class.
Itulah serba ringkas tentang pengalaman menerima rawatan (warded) di hospital kerajaan dan hospital swasta.
Dari pengalaman, nak kata berbeza tu, adalah perbezaannya antara hospital kerajaan dan hospital swasta. Terutamanya dari segi keselesaan sebagai pesakit. Kalau di hospital kerajaan, semua kena berkongsi, wad padat dan sesak, makanan pun tak semewah mana (tapi Alhamdulillah sedap je). Di hospital swasta pula dapat bilik selesa dan ada privacy, duduk sorang-sorang, tak berkongsi bilik dengan pesakit lain. Makan pun ‘mewah’, siap boleh pilih-pilih menu yang berkenan. Yelah, semuanya berbayar kan.
Namun dari segi menerima rawatan, tak ada berbeza sangatlah. Cuma di hospital swasta, sesegera mungkin kita dilayan dan dirawat-macam kes kena operate batu karang hari tu, tak perlu menunggu lama. Jika di hospital kerajaan pula, biasanya dia ikut keutamaan dan giliran. Mana yang lebih teruk, yang itulah akan didahulukan. Dan yang kurang teruk, perlulah sabar menunggu.
Tapi bukanlah nak kata yang swasta lebih baik. Sepadanlah dengan bayaran yang kita perlu keluarkan untuk rawatan di situ. Mereka sudah tentu akan cuba beri yang terbaik.
Namun pengalamanku di hospital kerajaan, doktor dan jururawat juga sangat komited memberikan khidmat mereka yang terbaik. Pantau pesakit tiap masa, beri perhatian secukupnya, dan merawat dengan begitu teliti. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya pengalamanku di hospital kerajaan semuanya baik dan memuaskan hati. Sedikit yang tak puas hati, masih boleh diabaikan.
Namun biar di mana pun (antara hospital kerajaan atau hospital swasta), pengalaman ‘sakit’ itu tak dapatlah nak diceritakan bagaimana, dan tak inginlah diulang kembali. Semoga tak ada lagi cerita yang seumpama itu. Semoga cukuplah pengalaman yang lalu. Best ke tak best ke layanan diterima, memang tak ada siapa nak pilih untuk sakit dan masuk hospital.
Kalian yang membaca coretan ini, tolong doakan aku sihat menjalani hari-hariku. Tolong doakan aku tak sakit lagi. Dan semoga doa itu dikembalikan kepada kalian jua. Ameen.
0 comments:
Post a Comment