Tuesday, 22 April 2025 By: Naemah

ADA HARINYA AKU JUGA LEMAH DAN TIADA SEMANGAT



Sesekali datang ‘malas’ dan kurang motivasi nak mengulangi rutin. Bermula dengan bangun pagi, sibuk dengan anak-anak dari bab kejut dari tidur, sediakan sarapan, pastikan siap, lengkap dan tepat waktu ke sekolah, hingga ke penutup harinya, sedia untuk tutup mata kembali. Begitulah rutin.


Seperti hari ini, bangun-bangun dah rasa ‘malas’ tu. Ya Allah, malasnya nak ulang kejut ‘mereka’ ni. Kejut sekali tak bangun, dua kali sampai berkali-kali. Penatnya…

Itu baru satu bab. 


Nak masak pun malas. Ummi panaskan nasi goreng lebihan petang semalam dan goreng telur mata. Abi balik dari surau, masakkan kue teow goreng. Alhamdulillah, cukuplah makan pagi kita. Sampai waktunya, abi hantar Mussaab dan Miqdad ke sekolah. Selesai dulu ‘dua’. Yang tadinya ummi kena turun naik tangga untuk pastikan dah bangun, mandi, bersiap dan solat semua. Ya, ummi malas tapi tetap kena jalankan tanggungjawab. 


Ummi.. masih beratnya mata. Mengantuk lagi. Tapi, masih ada seorang lagi yang bersekolah pagi. Perlu dikejut dan perlu dipastikan mandi dan makan. Kalau ikutkan mengantuk ni, nak je ummi baring sekali. Tidur tanpa rasa bersalah. Tapi tak boleh.


Oh, jangan dilupa yang paling kecil ni, yang bermulanya hari sama seperti abang-abangnya. Yang perlu dipastikan pampers ditukar, dimandikan, disuap makan, dan dalam keadaan baik sentiasa.


Malas? Nak buat apa dengan malas ni? Letak tepi sajalah. Hal tanggungjawab, tak boleh diketepikan. Paling tidak pun, pinggan mangkuk dalam sinki tulah ummi biar kat situ dulu. Kekemasan rumah, abaikanlah dulu. Kain yang bertimbun, nanti-nantilah angkut masuk mesin basuh. 


Dalam malas dan kurangnya semangat, selesai juga hal anak-anak sekolah. Yang kecil pun terurus seperti kebiasaan. Dan masa tetap terus berjalan. Malas pun, tanggungjawab tak boleh tinggal, selagi berkudrat. Begitulah setiap kalinya. Nak baring dan lelap sesuka hati, tak boleh. Nak duduk diam-diam tanpa ada yang mengganggu, tak boleh. Nak sesuka hati buat apa saja tanpa fikirkan masa yang berjalan, tak boleh. Kerana pada bahu ini ada tanggungjawab yang perlu langsai pada masa yang setepatnya. Ya, seperti rutin yang sebelumnya. 


Syukur Alhamdulillah, dalam ‘malas’nya ummi ini, anak-anak dapat hadir ke sekolah dengan kelengkapan secukupnya, pada waktu setepatnya. Makan minum masih tersedia. Yang kecil ini cukup makan tidur, susu, dan bertukar pampers pada waktunya demi keselesaan. Alhamdulillah, baik-baik saja semua, walau hakikatnya tetap tak sempurna ummi memberi. Walau kadangkalanya dalam keadaan memaksa diri. Maafkan khilaf ummi, kerana ummi ini juga manusia biasa. Ada bermacam rasa. 


 Dan syukur jua, ummi tak berseorangan menghadapi hari. Ada abi di sisi, saling berganding uruskan semua. Taklah terlalu berat rasanya nak menanggung dan menangkis ‘malas’ ini. Namun jika sendiri, dan tika datang jua ‘rasa’ ini, perlu lebih kuat melawan dan membisikkan semangat pada diri sendiri, walau ada ketikanya rasa mahu ‘jerit’ saja. 


Alhamdulillah, pertolongan Allah ada sentiasa. Walau pada hari paling tak bersemangat nak menjalani rutin, masih mampu tunaikan tanggungjawab. Walaupun tak sempurna, tetap juga buat. Tetap juga jadi. Allah bantu sentiasa..


Ya Allah.. ku ingin jalani hari yang lebih baik. Menjadi ibu dan isteri yang lebih baik. Bantulah hambaMU ini ya Allah. Ameen. 



0 comments:

Post a Comment