
Pejam celik-pejam celik. Tamat sudah pembelajaran Anas di sekolah rendah (SRAI Pekan Beranang). Sempurna sudah 6 tahun Anas di sekolah rendah, dan tak lama lagi bakal melangkah ke sekolah menengah pula.
2/1/2019 merupakan hari pertama Anas sebagai murid tahun 1 di SRAIPB. Anas yang kecil dan comel, ummi rindukan Anas yang dulu. Anak sulung ummi yang pada ketika itu baru melangkahkan kaki ke sekolah barunya.
17/1/2025 merupakan hari terakhir Anas sebagai murid tahun 6 di SRAIPB. Masya Allah, anak yang kecil dulu membesar sudah. Baru 5 hari lepas menyambut hari lahir yang ke-13. Ketinggiannya pun dah melepasi ummi. Begitulah cepatnya masa berlalu. 6 tahun yang tak terlalu dirasakan.
Tahun 1 hingga tahun 6, tentunya banyak cerita dan kenangan Anas di SRAIPB. Seronok belajar dan berkawan, hingga ke hujung-hujung waktu ini, terasa amat sedih nak meninggalkan sekolah.
Tahun 1 (2019), Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Pergi dan balik sekolah dengan riangnya. Bulan 8 Anas mula naik van sekolah sebab ummi lahirkan Suri. Sampailah ke hujung tahun, menjalani hari persekolahan yang biasa dan menyeronokkan.
Tahun 2 (2020), tahun yang diuji dengan Covid-19. Sekolah ditutup dan mula belajar secara pdpr berbulan lamanya. Agak mencabar, baik pelajar, guru-guru dan juga ibubapa. Setahun yang ‘berbekas’ di hati semua. Menjalani kehidupan dan alam persekolahan yang tak seperti biasa. Belajar seadanya secara di atas talian.
Tahun 3 (2021), keadaan membaik walaupun sekolah sekejap buka, dan sekejap tutup kerana masih berada dalam situasi wabak. Lama kelamaan, sekolah dibuka macam biasa dengan normal baru, dan seterusnya lebih baik dan kembali kepada normal. Alhamdulillah. Tahun ni Anas dah tak naik van sekolah. Dan tahun ini juga Anas menyarung uniform pengawas.
Tahun 4 (2022), dah naik ke tahap dua. Dah jadi abang-abang, terlibat dengan KOKO, dan belajar seperti biasa. Keadaan back to normal. Mesra berkawan, tak perlu berjarak lagi.
Tahun 5 (2023), Anas berdepan dengan exam besar UPKK. Perlu mengikuti kelas tambahan, seminar dan bermacam lagi. Agak ‘busy’ tahun ni. Tapi Anas seronok dan enjoy saja. Alhamdulillah, dapat 7A1B untuk result UPKK. Tak sampai target, tapi syukur Alhamdullah setakat itu saja rezeki.
Tahun 6 (2024), semakin hampir kepada penamatnya. Sayang nak tinggal sekolah walaupun satu hari. Kehadiran penuh (kecuali hari exam UKKM dan PKSK). Tahun ni sekali lagi berdepan dengan exam besar PSRA, dan sepanjang tahun ‘busy’ juga dengan exam, kelas tambahan, seminar, dan pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah. Alhamdulillah berjaya dapat MUMTAZ untuk exam PSRA dan itulah hadiah terindah untuk menutup langkah perjuangan di sini.
Majlis Apresiasi Tahun 6 sudah pun diadakan pada 4 Januari 2025 bertempat di Bangi Golf Resort. Secara rasminya, tamatlah sudah perjuangan Anas di SRAIPB.
Majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan pula diadakan pada 14 Januari 2025. Alhamdulillah, ada rezeki untuk naik pentas terima anugerah untuk kali terakhir di SRAIPB.
Dan 17 Januari merupakan hari terakhir Anas di SRAIPB. Hari terakhir beruniform pengawas SRAIPB, eh.. ummi pula yang syahdu. Anak sulung ummi dah tamat belajar di sekolah rendah. Terasa bagai baru semalam sibuk mendaftar masuk ke darjah 1.
Tingkatan satu Anas, belum tahu lagi ke mana hala tuju. Tidak berjaya ke MRSM. Tiada rezeki di situ. Tak mengapa, itulah takdir. Kini masih menunggu keputusan ujian kelayakan SBP dan sekolah agama JAIS, dan akan menjalani satu lagi ujian kelayakan (sekolah agama tahfiz MAIWP), semoga Allah lancarkan semuanya. Biar bagaimana takdir, insya Allah kita terima ia sebagai takdir terbaik dari Allah buat hambaNya.
Anas, selamat menutup langkah di sekolah rendah, dan selamat menempuh ‘dunia baru’ yang padanya ada cabaran dan kemanisan tersendiri yang akan Anas lalui dan temui.
Dalam hati ummi tetap ada debaran, untuk apa yang bakal Anas tempuhi di depan hari. Ummi serahkan segalanya pada Allah yang paling sempurna menjagaMu. Apa pun jua di depan hari, ummi percaya Anas akan berjaya tempuhi dan harungi dengan izin Allah. Dan ummi percaya, kejayaan dan kecemerlangan sedang menanti Anas yang gigih dan berusaha.
Ameen ya Allah.
Ucapan TERIMA KASIH buat seluruh warga pendidik SRAI Pekan Beranang khususnya kepada yang pernah mendidik Anas dari tahun 1 hinggalah tahun 6. Untuk seluruh pencapaian Anas, ‘kredit’ semuanya pada guru-guru SRAIPB yang ikhlas mendidik dan memberikan yang terbaik, kerana Anas memang tak ambil kelas tuisyen luar, hanya bergantung pada pembelajaran harian di kelas dan kelas tambahan yang diadakan di sekolah. Alhamdulillah, untuk pencapaian Mumtaz PSRA di tahun terakhir Anas di SRAIPB dan juga result UASA yang agak membanggakan. Terima kasih buat guru sekalian.
Secebis kenang-kenangan Anas sepanjang 6 tahun di SRAI Pekan Beranang;

Tahun 1 (2019) Anugerah PBD Agama terbaik

Tahun 3 (2021) Anugerah terbaik kehadiran pdpr, matapelajar Bahasa Inggeris dan Jawi, Imlak, Khat.
(Majlis tertutup tanpa kehadiran ibubapa kerana masih di musim wabak)

Tahun 4 (2022) Anugerah terbaik matapelajaran Bahasa Inggeris

Tahun 6 (2024) Anugerah Mumtaz PSRA


Majlis Apresiasi Tahun 6 pada 4 Januari 2025

Anas Zaydan pada 2 Januari 2019 (hari pertama masuk darjah 1) dan Anas Zaydan pada 17 Januari 2025 (hari terakhir sebagai murid tahun 6).
ALHAMDULILLAH untuk 6 tahun perjuangan menimba ilmu di SRAIPB.