Wednesday, 29 June 2022 By: Naemah

SYUKUR ATAS NIKMAT DAN UJIAN

‘Jun 1985-Jun 2022’

Genap usiaku 37 tahun. Alhamdulillah.


Catatan hari lahir setahun yang lalu:

SYUKUR ATAS NIKMAT USIA

Pada hari tersebut aku jalani kehidupan yang sangat baik bersama suami dan anak-anak tercinta. Meraikan hari lahir dengan cara tersendiri, sekadarnya dan seadanya, namun Alhamdulillah cukup membahagiakan kerana bersamaku adalah insan-insan yang sangat aku cintai.


Tahun ini cerita hari lahirku berbeza. Sangat berbeza. Tahun lepas aku sihat dan baik-baik saja bersama yang tercinta. Tapi tahun ini diuji dengan kesakitan dan ‘perpisahan’ sementara dengan anak-anak. Satu situasi yang tak pernah aku jangkakan akan berlaku. 


Pada hari lahirku aku menjalani pembedahan (di perut) buat pertama kalinya dalam hidup ini. Pada hari lahirku, aku berada di wad hospital, di bilik pembedahan dan tidak langsung dapat bertemu dengan anak-anak yang sangat aku rindui. Namun Alhamdulillah suami setia di sisi, menunggu sehingga pembedahan aku tamat dan sehingga aku sedar setelah menjalani pembedahan sebelum kembali kepada anak-anak yang memerlukannya.


Pada hari lahirku, aku seperti diberikan kembali kehidupan yang mungkin sebelum ini banyak aku persiakan. Kuasa Allah, selepas menempuh episod kesakitan, aku ‘kembali’ lagi bernafas di dunia sementara ini. Masya Allah. 


Hari demi hari, keadaan kesihatanku makin baik. Alhamdulillah. Aku kini telah kembali kepada anak-anak yang menanti kepulanganku.


Untuk tempoh yang sukar ini (lebih kurang 2 minggu), terima kasih buat suamiku yang tercinta, memikul seluruh tanggungjawab menjaga anak-anak dan memenuhi keperluan mereka, menguruskan hal-hal di rumah sendirian biarpun tak sempurna (kerana aku juga tak pernah sempurna melakukannya). Allah saja mampu membalas jasa dan keringatmu suamiku. Pada tiap pengorbananmu aku kenal erti cinta yang ikhlas.


Alhamdulillah saat sukar itu semakin kita tinggalkan, insya Allah. Semoga hari mendatang akan lebih baik buat kita semua. Akan baik dan tenang-tenang saja, meski kita tahu ujian tetap akan mendatangi selagi kita masih di sini, di dunia ini.


Ujian dan dugaan hadir pada saat yang tepat, dan ia juga hadir pada insan yang tepat dan mampu untuk menanggungnya. Aku redha atas ujian ini. Aku bersyukur atas ujian ini. Terlalu banyak hikmahnya. 


Allah yang menghadirkan ujian ini. Allah jua yang membawa kita keluar darinya. Ujian ini yang bakal kita syukuri selepas ini sebanyaknya, pada saat dan ketika kita menjalani kehidupan yang jauh lebih baik, insya Allah. 



Terima kasih cinta

0 comments:

Post a Comment