Friday, 22 April 2022 0 comments By: Naemah

TAHUN KEDUA MUSSAAB DI SKKR DAN SRIPN



Tahun ini (2022) masuk tahun ke-2 Mussaab di Sekolah Kebangsaan Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah. Masih lagi bersekolah sessi pagi di SRIPN dan sessi petang di SKKR.


Tak ada cerita sangat yang ummi nak tulis pasal sekolah, sebab tahun lepas (tahun 1) banyak belajar secara pdpr, hanya beberapa bulan sempat hadir belajar bersemuka. Tahun pertama Mussaab di SKKR dan SRIPN berjalan baik. Alhamdulillah.


Bermula Mac 2022, kini sudah hampir 2 bulan Mussaab meneruskan pengajian sebagai murid tahun dua. Alhamdulillah, juga tiada masalah. 


Susah juga ummi nak tulis detail pasal sekolah dek kurangnya info tentang bagaimana anak-anak di sekolah. Ummi kira, semuanya berjalan lancar saja selagi cikgu tak melaporkan yang sebaliknya.


Bab belajar, ummi sentiasa harapkan Mussaab dapat ikut dengan baik setiap yang Mussaab belajar di sekolah. Walaupun ummi ‘kenal’ sangat Mussaab, macam mana perangai, cara belajar dan segalanya, tetap ummi mendoakan Mussaab dapat belajar dengan baik di sekolah. Ya, di rumah memang agak mencabar nak mengajar Mussaab yang jenis banyak berangan dan sentiasa perlu ummi ada di sebelah untuk siapkan kerja. Ummi harap Mussaab tak bawa perangai tu ke sekolah. Dah selalu sangat ummi pesan untuk belajar betul-betul dan fokus dalam kelas.


Kerap juga Mussaab cerita kena denda kat sekolah atas pelbagai alasan seperti tak bawa buku, layan kawan bersembang, kuku panjang, dan sebagainya. Tak seronok jugalah ummi bila dengar Mussaab kena denda, tapi biarlah Mussaab ambil pengajaran dari apa yang dah terjadi dan sentiasa beringat. Salah ummi juga, kerana adakala ummi terlupa nak fokus pada hal-hal tersebut. Moga Mussaab  tak ulangi kesilapan, dan berusaha jadi pelajar yang lebih baik dan disenangi guru dan kawan. Insya Allah. 


Di samping cerita kurang best, banyak lagi cerita Mussaab yang best tentang sekolah. Best ada kawan, best bila dapat cerita balik apa yang dipelajari di sekolah, best dapat beli makanan yang disukai, best dapat berbelanja di kedai sekolah, dan sebagainya. 


Alhamdulillah, boleh ummi katakan Mussaab bersekolah dengan baik. Tahu tanggungjawab sebagai pelajar, walaupun kadangkala kelihatan kurang bermotivasi untuk ke sekolah. Tanggungjawab ummi dan abi, untuk sentiasa tiupkan semangat dan ingatkan tanggungjawab Mussaab sebagai pelajar.


Hal yang seronok dan tak seronok, akan sentiasa ada dalam hidup ini. Baik di sekolah, atau di luar sekolah. Berterusan selagi kita meneruskan kehidupan di dunia ini. Oleh itu, Mussaab belajarlah untuk hadapinya dengan tenang dan bijasana. Setiap hal yang terjadi akan membuatkan kita lebih mengerti tentang hidup ini. Bergantung dan berharaplah pada Allah sentiasa. Ummi dan abi takkan selalu ada. Tapi Allah sentiasa dekat. Walau dalam apa jua situasi, mohon sajalah petunjuk dan pertolonganNya.


Ummi sentiasa akan doakan Mussaab. Semoga ‘enjoy’ belajar di sekolah yang sekarang. Semoga seronok bersama guru dan kawan-kawan. Semoga diterangkan hati dalam menerima ilmu. Ummi percaya Mussaab pasti akan terbang tinggi. Berjaya dan cemerlang, insya Allah!!

Tuesday, 19 April 2022 0 comments By: Naemah

BELAJAR BERENANG DI RELIANCE SWIMMING ACADEMY



Tahun ini Anas, Mussaab dan Miqdad mula belajar berenang di Reliance Swimming Academy yang terletak Bandar Teknologi Kajang. Abi decide untuk daftarkan Anas, Mussaab dan Miqdad dalam kelas berenang tahun ni untuk tambah skill baru. Lagipun abi selalu juga bawa ke kolam dan pantai, bila dah tahu berenang nanti insya Allah tak risau sangatlah nak lepaskan anak-anak main air di tempat awam.


Kelas pertama ialah pada 19/2/2022. Sebulan 4 sessi, dengan bayaran sebanyak rm150 seorang. Kali pertama hanya ditemani abi. Kali kedua ummi juga ikut sekali untuk kenal tempat sebab nanti ummi juga yang akan bawa anak-anak ke kelas bila abi bekerja. Kelas Anas, Mussaab dan Miqdad ialah pada setiap Sabtu jam 11 pagi.


Di sini anak-anak belajar berenang di tempat yang telah disediakan khas, di mana tempatnya agak tertutup, dan ibubapa perlu menunggu di ruang khas yang telah disediakan. Di ruang ini disediakan cctv untuk ibubapa melihat anak-anak belajar berenang. Kelas berlangsung selama lebih kurang 40-50 minit untuk satu sessi.


Kini Anas, Mussaab dan Miqdad sudah berada di bulan kedua (dah hadir 6 sessi). Oleh kerana kekangan demi kekangan, ada minggu-minggu yang anak-anak tak dapat hadir untuk belajar berenang, kelas akan diinjak ke minggu seterusnya. 


Setakat ini Alhamdulillah, anak-anak enjoy saja mengikuti kelas berenang. Mereka belajar skill berenang dari yang basic, hingga yang lebih advance, step by step. Masih di peringkat awal, insya Allah akan banyak masa lagi untuk mereka belajar sehingga mahir berenang.


Cadangnya nak teruskan kelas berenang ini sehingga habis tahun ni, atau sehingga anak-anak sudah betul-betul punya kemahiran berenang. Dah hantar ke kelas, harapnya berbaloi dan berguna untuk mereka apply ketika di luar nanti.


Sebelum raya ni akan hadiri satu kelas lagi, dan kemudian akan sambung lagi bila balik dari cuti beraya, insya Allah. 


Semoga anak-anak akan cepat belajar, dan mahir berenang. Tak perlu abi nak pantau lebih-lebih semuanya bila ke pantai atau kolam. Agak risau jugalah bila anak-anak tak ada ilmu berenang. Bila dah belajar ni insya Allah anak-anak akan lebih confident dan lebih tenang andai berada pada situasi tak terduga. 


Semoga anak-anak beroleh ilmu bermanfaat, berguna untuk diri sendiri dan mungkin untuk orang lain juga. 


Terima kasih abi kerana sentiasa ‘melabur’ untuk manfaat anak-anak. Moga anak-anak juga akan sentiasa tahu untuk menghargai.











Saturday, 16 April 2022 0 comments By: Naemah

ANAS KHATAM AL-QURAN



Tanggal 15 Ramadan 1443H Anas berjaya khatam al-Quran buat pertama kalinya pada usia 10 tahun 3 bulan. Tidaklah terlalu awal dan tidaklah lewat juga. Syukur Alhamdulillah atas usaha dan pencapaian.


Sesungguhnya untuk sampai ke tahap ini, perjalanannya sangatlah panjang. Semuanya bermula di rumah sejak Anas kecil lagi. Pada awal perkenalan dengan huruf-huruf hijaiyyah (ketika umur belum setahun lagi), kemudian belajar menyebut huruf-huruf berbaris, mengenal kalimah demi kalimah, menyebut ayat demi ayat, menghafal surah-surah pendek, membaca iqra’ hinggalah al-Quran. Pelbagai teknik juga ummi mencuba, demi anak ‘mendapat’ apa yang ingin disampaikan. Tidaklah sempurna, hingga kini ummi masih perlu mencuba yang lebih baik.


Untuk Al-Quran ini, Anas mula membaca juzuk pertama pada usia 7 tahun. Sebelum tu banyak tekan pada hafazan dan iqra’ juga. Masuk darjah satu, mula baca Quran dan akhirnya khatam pada usia 10 tahun ini. Agak panjang juga perjalanan untuk sampai ke penghujungnya. Sudah tentu di sepanjang perjalanan itu menempuh halangan demi halangan, tidak mampu untuk ummi sepanjang masa fokus mengajar Anas. 


Contoh, bila balik kampung, atau bercuti di mana-mana, maknanya ‘cuti’ jugalah dari membaca al-Quran. Dalam seminggu, ada hari-hari yang ummi penat dan tak mampu mengajar, ada pula ketikanya anak kurang sihat atau mengantuk sangat, ‘cuti’ jugalah jawabnya dari membaca al-Quran. Bila ummi melahirkan adik dan berpantang panjang, Quran juga dibiar sepi. Sesekali abi ada kesempatan, abilah yang mengambil tugas mengajar. Jika tidak, hmm.. ‘cuti’ teruslah.


Kerana itu nak melangkah dari satu juzuk ke satu juzuk sangatlah mengambil masa. Tapi tak mengapalah, yang penting kita tetap teruskan juga hingga ke akhirnya.


Setelah khatam al-Quran ini, pada penilaian ummi, Anas masih perlu belajar lagi dan lagi. Masih belum sempurna bacaan, masih banyak yang perlu diperbaiki. Sebutan huruf masih ada yang kurang jelas, panjang pendek bacaan kadang masih perlu ditegur, hukum tajwid baru saja nak kenal-kenal. Sudah tentunya Anas perlu ulang dari mula, dan kali ini ummi akan fokus pada memperbaiki bacaan ayat demi ayat. Tak perlu rushing, moga khatam kali kedua akan lebih sempurna. Insya Allah. 


Tahniah Anas! Ummi bersyukur akhirnya Anas khatam juga di bulan mulia penuh barakah ini, dan bulan ini juga al-Quran telah diturunkan. Dengan berkat Ramadan, moga Allah berkati juga kehidupan Anas dengan petunjuk al-Quran. Sudah sejauh ini perjalanan Anas, syukur pada Allah yang memberikan petunjukNya untuk meneruskan pengajian al-Quran ini. 


Tidak hanya terhenti di sini. Tetap akan diteruskan, tetap perlu diulang baca sehingga lancar dan sempurna bacaan. Moga Allah terangkan hati Anas, moga al-Quran tetap di hati, dan moga tenang dan bahagialah bersama al-Quran. Baca dan fahamilah ayat-ayatNya. Insya Allah jalan dan arahmu tersusun sempurna.


Mussaab, Miqdad dan Suri juga akan menyusul di belakang. Membaca ayat demi ayat, membaca hingga fasih dan sempurna, insya Allah.


Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran. 

Friday, 15 April 2022 0 comments By: Naemah

RAMADAN KALI INI



Alhamdulillah sudah berada di hari ke-14 Ramadan 1443h. Daripada 14 hari puasa, hanya 3 hari dapat berpuasa bersama suami tercinta. Atas tuntutan kerjanya, tahun ini sekali lagi menyambut Ramadan tanpanya, bersahur dan berbuka hanya dengan anak-anak. Hari ke-9 puasa, suami balik, tapi hanya untuk 3 hari. Kini sedang menyambung kuarantin untuk ke laut. Ya, masih wajib berkuarantin untuk pekerja offshore. Cuma syukur jugalah, tempoh kuarantin dah dikurangkan berbanding sebelum ini.


Sedang dan sentiasa mengajar hati untuk redha dengan takdirNya. Kerana nak lapang hati sentiasa, itu juga payah. Kerana aku juga manusia biasa lagi lemah. Melalui Ramadan bersama anak-anak pastinya agak mencabar. Di samping puasa (rutin mengejut sahur dan menyediakan juadah berbuka), perlu juga menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari. 3 anak yang bersekolah (4 buah sekolah), tentunya banyak trip di jalan raya yang perlu ditempuh. 


Alhamdulilah tahun ini tambah lagi seorang anak yang berpuasa. Miqdad (6 tahun) dah mula berpuasa penuh seperti abang-abang. Setakat 14 Ramadan ini, Alhamdulillah ketiganya masih berpuasa penuh dan dikurniakan kesihatan yang baik. 


Di samping yang 3 itu, ada seorang lagi anak yang masih kecil (2 tahun setengah). Suri yang sebelum ini pernah dijangkiti covid (sekeluarga dijangkiti), keadaan kesihatan masih belum baik sepenuhnya. Long covid mungkin. Selepas sebulan, datang lagi selesema dan batuk yang masih berterusan hingga ke hari ni. Demam sekejap, Alhamdulillah cuma sehari. Resah dan risau juga bila si kecil ni tak sihat, abinya pula tak ada di rumah. Risau yang bukan-bukan. Sentiasa berdoa agar Allah jauhkan dari perkara yang tak mampu ditempuhi.


Masuk bab amal ibadat di bulan Ramadan ini, aku akui semuanya ala kadar saja. Namun moga Allah terima semuanya. Memberi sekadar ada, membaca al-Quran di celahan masa yang tak banyak (mungkin alasan saja), terawih yang berselang seli malam, dek anak yang mengajak untuk tidur, atau diri sendiri yang penat dan mengantuk, zikir yang masih belum basah di bibir, doa yang tak mampu dikarang panjang seperti dulu, aktiviti Ramadan bersama anak-anak yang langsung tak sempat kerana pada waktu tak ada apa nak buat, hanya memilih untuk ‘bersembunyi’ mencari ketenangan…


Entahlah… seperti banyak yang aku kesal pada diri sendiri. Lebih baik atau lebih teruk dari diriku yang sebelum ini? Allah saja yang mampu menilai. Moga Allah ampukan dosa-dosaku. Moga anak-anakku diberi kefahaman pada keadaan diri ibunya ini. Ketika marah, ia tak pernah bererti benci. Sayang dan cinta sentiasa. Moga suamiku sentiasa redha padaku meski pada banyak kekurangan aku dalam menjadi isterinya dan menjaga amanah mendidik anak-anak tanpanya. 


Ramadan masih berbaki separuh bulan lagi. Kalau boleh, mahu aku pecutkan amal ibadat, lebih banyak dan lebih berkualiti. Tapi mampukah aku? Moga Allah ampunkan tiap dosaku, moga Allah terima tiap amal ibadatku. Kerana aku juga hamba yang mengimpikan syurga.



Moga Ramadan ini bukan yang terakhir buat kita. Moga Ramadan ini menjadi titik permulaan untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. Moga Aidilfitri yang bakal tiba memberi sinar kebahagiaan pada tiap hambaNya yang ikhlas berpuasa dan beramal keranaNya. Ameen.


Ramadan ini;



















Saturday, 9 April 2022 0 comments By: Naemah

RAMADAN 1443H: PUASA PERTAMA MIQDAD



Alhamdulillah, hari ni dah masuk 8 Ramadan, juga 8 hari umat Islam berpuasa. Sekejap saja masa berlalu.


Alhamdulillah anak-anak juga berpuasa penuh selama 8 hari. Juga 8 hari ini, abi tiada bersama atas tuntutan kerja. Insya Allah abi akan balik tak lama lagi.


Yang seronoknya, tahun ni juga merupakan tahun pertama Miqdad berpuasa penuh di usia Miqdad sekarang 5 tahun setengah. Masya Allah! Setakat ni masih cukup puasa Miqdad. Alhamdulillah Miqdad ada abang-abang yang boleh dijadikan inspirasi untuk bertahan berpuasa setiap hari. Tahun lepas Miqdad pernah cuba puasa juga, tapi separuh hari saja. Lagipun Miqdad belum betul-betul faham lagi erti puasa.


Tahun ni berbeza, walaupun Miqdad tak sepenuhnua faham, hanya puasa ikut-ikutan, tapi sekurangnya Miqdad ada ‘kekuatan’ untuk menahan lapar dan dahaga di sepanjang hari. Itu latihan untuk Miqdad untuk teruskan berpuasa pada tahun-tahun yang akan datang. 


Pada mulanya ummi tak bercadang nak suruh Miqdad berpuasa. Biarlah atas kerelaan Miqdad sendiri. Lagipun Miqdad belum pun 6 tahun lagi. Dan bagi ummi, Miqdad ni paling ‘manja’, mudah menangis dan banyak ‘drama’ berbanding yang lain. Nak disuruh puasa, ummi rasa belum masanya. Tapi abi suruh juga latih Miqdad berpuasa tahun ni. Ummi akur, tapi sebolehnya tak nak memaksa. Bila ditanya, Miqdad dengan senang hati cakap nak puasa.


Hari pertama, tiada masalah untuk kejut Miqdad bersahur. Makan pun berselera saja. Namun sudah tentu, hari pertama menjadi hari paling mencabar untuk Miqdad (dan untuk orang lain juga). Tak tahan nak menunggu waktu berbuka. Makin dekat waktunya, makin terasa lemah. Ummi hanya mampu pujuk dan pujuk, sampailah akhirnya berjaya sempurnakan sehari puasa. Alhamdulillah.


Hari kedua dan seterusnya lebih mudah. Miqdad memang yang paling mudah dikejutkan untuk bangun sahur, dan yang paling berselera makan sahur. Siang hari dah tak selemah hari pertama. Dah makin serasi dengan suasana bulan puasa, dah rasa ‘biasa’ tak makan dan minum di siang hari. Di sekolah juga Miqdad tak join kawan-kawan makan di waktu rehat. Alhamdulillah, kuat Miqdad menahan lapar dan dahaga. Ummi bangga dengan Miqdad.


Pada hari ke-7 puasa Miqdad dan abang-abang menerima suntikan vaksin dos ke-2. Alhamdulillah kali ni Miqdad lebih berani dan volunteer untuk jadi yang pertama dicucuk vaksin. Selepas 24 jam menerima vaksin, Alhamdulillah tiada yang luar biasa, anak-anak ok saja dan dapat meneruskan puasa dengan baik. 


Untuk hari-hari yang mendatang, semoga Miqdad dan abang-abang akan dapat meneruskan puasa hingga sempurna. Ya, ummi tak akan memaksa Miqdad, dan sentiasa memantau keadaan Miqdad. Setakat ini ummi tengok Miqdad cergas saja di siang hari. Apatah lagi bila dapat main game (ummi terpaksa bagi bulan puasa ni walaupun di hari sekolah untuk Miqdad tak fikirkan sangat pasal lapar dahaga). 


Untuk itu, tahniah Miqdad atas kejayaan Miqdad berpuasa pada tahun ini. Untuk 8 hari pertama ini, itu sudah cukup membanggakan dan ummi percaya Miqdad akan mampu teruskan hingga ke akhirnya, insya Allah. 


.

.

.

V


PUASA PERTAMA ANAS


PUASA PERTAMA MUSSAAB


Friday, 1 April 2022 0 comments By: Naemah

DI AMBANG RAMADAN

Di ambang Ramadan. Hati sayu semacam rasa. Banyak hal dan asbab. Tak tertulis dan terluah semuanya. Allah saja Maha Mengerti dan menguruskan semua untuk hambaNya.


Pertama, episod di’serang’ covid-19 satu keluarga sudah hampir tamat ceritanya. Bermula dengan Anas, diakhiri dengan abi. Seorang demi seorang, dijangkiti virus  yang selama ini kita mahu lari dan mengelak darinya. Melihat seorang demi seorang lemah dan tak bermaya, runtunnya hati ini Allah saja yang tahu. Kebetulan abi jauh, ummi perlu kuat tempuh semuanya sendiri bersama anak-anak. Namun Allah Maha Baik, kita sekeluarga tak berdepan dengan sakit teruk dan mencemaskan. Semuanya dalam keadaan dan situasi yang mampu kita tempuhi. 


Abi yang balik dari laut turut dijangkiti. Sebaik sihat perlu kembali ke berkuarantin dan bertugas di laut. Sudah di fasa endemik kita? Katanya aktiviti pelancongan sudah dibenarkan, sempadan negara dibuka seluasnya. Tiada lagi kuarantin. Tapi abi… episod kuarantinnya belum berakhir. Maka kerana itu juga, kita menyambut Ramadan tanpa abi lagi tahun ini. Allah.. jika ini ujianMu, kami percaya ia terkandung hikmah yang banyak.


Hari ini abi bermusafir ke Terengganu. Hari ini ummi bawa anak-anak ke kelas berenang (kelas setiap Sabtu). Hari ini kita jalani kehidupan biasa, seadanya menanti untuk menyambut Ramadan. Insya Allah sudah siap mental dan fizikal. Kita akan lalui Ramadan ini bersama. Insya Allah akan ada sinarnya di bulan penuh berkat dan rahmat ini.


Minggu pertama Ramadan ummi akan sibuk dengan urusan sekolah anak-anak, akan sendirian menguruskan semuanya. Moga Allah akan permudahkan, seperti selalunya Allah permudahkan. Dalam payah, sentiasa ada jalan keluarnya. Sentiasa!


Abi, dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya (sudah kali kedua abi dijangkiti covid), semoga Allah sentiasa melindungi abi. Semoga abi akan kembali sihat sepenuhnya, diberikan kekuatan dan mendapat kesihatan tubuh badan yang lebih baik untuk jalani ibadat puasa, berterawih dan sebagainya. Abi yang jauh, Allah saja yang mampu menjaganya.


Kita juga yang di sini tanpa abi, moga Allah akan sentiasa anugerahkan kesihatan dan dapat melakukan rutin di bulan Ramadan ini dengan sebaiknya. Insya Allah.


Moga puasa kita sempurna dan diterima. Moga kita akan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga sempurna. Bertemu dan berpisah yang sentiasa membuahkan bahagia hendaknya. Ramadan dan Syawal, moga tahun ini memberikan kenangan manis dan indah buat kita. Insya Allah.