Sunday, 12 September 2021 By: Naemah

SEPTEMBER: MASIH SAMA


Sudah pun berada di bulan September 2021. Ya Allah, masa berlalu pantas. Nak dekat hujung tahun dah. Sejak balik dari kampung Januari yang lepas, sampai sekarang tak balik kampung lagi. Dah berbulan lamanya. Rindu sangat. Alhamdulillah keluarga di kampung dalam keadaan baik semua. Cuma baru-baru Ini mendapat berita kematian mak saudara suami asbab covid-19. Agak terkeiut juga, moga Allah merahmatinya dan masukkan Makcik Nab dalam kalangan hambaNya yang beriman.

September ini masih belum bersua dengan suami (yang pergi berkuarantin dan bekerja di Terengganu sejak 25/8). Insya Allah esok atau lusa akan bertemu. Moga dipermudahkan urusan suamiku, dan moga disatukan kembali kami sekeluarga.

Perkembangan semasa covid-19 pula, nampaknya kes dah berkurang (sikit la), masih lagi antara 19k-20k sehari, cuma lega tengok kes di Selangor dah turun banyak. Mungkin kerana sudah ramai yang dah lengkap vaksin. Tapi kes kematian masih menyedihkan, masih ratusan kematian sehari. Nak kata lega sangat, tak juga. Masih perlu sangat berjaga-jaga.

Kini dah boleh merentas daerah di Selangor, KL dan Putrajaya. Dah boleh bercuti di sekitar Selangor, untuk yang dah lengkap vaksin. Tapi nampaknya aku masih tak boleh melangkah jauh. Masih perlu menunggu hari untuk dos kedua vaksin. 

Cuti pertengahan penggal dah bermula (11/9-19/9). Dua hari dah berlalu, seperti biasa anak-anak hanya habiskan masa di rumah dengan aktiviti sendiri. Tak dapat nak kemana-mana, mungkin tunggu abi balik, dapat ke taman permainan pun dah cukup untuk menikmati 'kebebasan' setelah sekian lama terkurung.

Ya Allah, hambaMu ini masih setia bertahan dengan ujian ini. Sekian lama tak bertemu keluarga di kampung, sendirian menguruskan anak-anak bila suami perlu berkuarantin dan bekerja, sibuk pula dengan pdpr yang belum berkesudahan, di samping urusan rumahtangga yang lain, aku redha, aku pasrah, aku tetap kan bersangka baik padaMU ya Allah. Kerana di balik ujian yang kurasa ini, aku tahu lebih ramai yang lebih berat diuji. 

Moga Allah kurniakan ku kesabaran dan ketahanan agar ku tak rebah. Pintaku agar semua yang kurindu, dalam keadaan baik dan sihat, dipermudahkan tiap urusan. Mungkin sedikit kesabaran lagi diperlukan untuk kita kembali bersua. Harapanku semuanya baik-baik saja.

Juga buat semua yang sedang diuji. Bertahan dan bersabarlah. Percayalah sabar itu manis. Percayalah kita diuji untuk dikurnia yang lebih baik dan indah. 
Insya Allah.


Cuti pdpr :) 

0 comments:

Post a Comment