Friday, 6 August 2021 By: Naemah

PDPR: SEHINGGA HARI INI

Januari hingga Februari: PdPR

Mac hingga Mei: Sekolah

Mei sehingga kini (Ogos): Pdpr


Tambah tolak semua, selepas 7 bulan berlalu, anak-anak banyak belajar di rumah (pdpr) berbanding di sekolah. Tahun ni nampaknya keadaan lebih teruk berbanding tahun lepas (2020). Dah lebih setahun dunia mendepani pandemik COVID-19, namun masa depan dunia (Malaysia khususnya) masih kelihatan kelam (belum masuk bab politik yang caca merba lagi tu). Kes harian sudah pun mencecah 20k, dengan lebih 1 juta yang sudah dijangkiti dan angka kematian sudah mencapai 10 ribu kematian sejak pandemik melanda. Sangat menyedihkan, sangat menakutkan!


Berbalik pada kisah pdpr anak-anak, apa perkembangannya, apa pencapaiannya? Apa yang anak-anak ‘dapat’ melalui Pdpr, adakah sama seperti yang mereka dapat di sekolah?


Tak dapat nak dinafikan rasa ini, ibu/ayah dan anak-anak sebenarnya sudah sangat penat untuk meneruskan pdpr saban hari. Setiap hari berada di tempat yang sama, membuat hal yang sama. Hinggakan kadang-kadang, hari minggu masih perlu selesaikan tugasan pdpr. Berbeza dengan waktu belajar di sekolah sebelum ni, hampir tiada kerja sekolah yang dibawa balik. Hari minggu memang rehat dan buat aktiviti sendiri saja.


Bagaimana pula dengan input daripada pdpr? Boleh dikatakan, fokus anak-anak ketika belajar di rumah tak sama dengan belajar di sekolah. Puas juga nak bebel, bila mereka sering hilang fokus dan sering bangun dari tempat yang sepatutnya mereka duduk dan tekun belajar. Sekejap ke tandas, sekejap minum air, atau saja-saja tinggalkan kelas sebab bosan bila kelas terlalu lama. Aduhai anak-anak. Ummi pun penatlah nak menyinga selalu. Tapi itulah yang sering. 


Jadi, rasanya apa yang mereka dapat dari pdpr ni tak samalah seperti yang mereka dapat kat sekolah. Kalau nak harapkan mereka faham sepenuhnya dari kelas google meet, rasanya agak payah bila fokus sering lari. Nak tak nak, mak-mak jugalah yang kena terangkan balik bila buat tugasan yang diberikan. 


Anas, Mussaab dan Miqdad, 3 anak di rumah ini, dengan 3 ragam yang berbeza. Pening dan penat juga la nak pastikan pdpr berjalan lancar. Alhamdulillah dapat ikuti kelas setiap hari walaupun kadang-kadang ada ujiannya. Bab bangun pagi takde masalah sangat. Internet pun ok, tapi ada la sekali dua unifi buat hal. Gadjet cukup, walaupn bukan laptop sorang satu. Laptop yang pakai sebelum ni dah rosak, sekarang bergantung pada ipad dan tablet, atau handphone jika perlu. Kadang-kadang jem juga bila kelas lama sangat, terkeluar dari kelas dan masuk balik. Menguji jugalah bab ni kadang-kadang.


Kini dah berbulan menghadap Pdpr (sejak tahun lepas lagi). Boleh dikatakan dah biasa, dan dah bosan dan penat sebab banyak kerja  (bagi seorang ibu), di samping nak pantau pdpr anak-anak, dan nak lakukan tugas sedia ada di rumah. Namun masih cuba untuk kuat dan bertahan. Masih mampu telan dan teruskan, walaupun kadang-kadang risau kalau anak-anak yang tak mampu nak teruskan. Untuk sehingga hari ini, Alhamdulillah tak ada masalah walaupun dalam masa yang sama banyak dengar dan baca tentang anak-anak orang lain yang sampai tahap stress dan tak mampu nak teruskan pdpr. Moga Anas, Mussaab dan Miqdad tak sampai ke tahap itu, insya Allah.


Tak pasti sampai bila, tapi seakannya, tahun ni anak-anak memang tak akan kembali ke sekolah (walaupun katanya September dah nak buka sekolah). Tapi memandang pada angka kes harian yang tinggi, adalah lebih baik kalau anak-anak tak ke sekolah lagi. 


Ya, nak tak nak, perlu hadap pdpr lagi. Anak-anak terus belajar secara maya, guru-guru terus mendidik dari rumah dan hadap karenah murid-murid yang guru sendiri tak mampu nak kawal sepenuhnya, ibu-ibu mencatat dan berkejar untuk pastikan anak-anak siapkan tugasan sepanjang minggu sesi pdpr berjalan. 


Harapanku dan harapan semua, ini semua kan berakhir. Cukuplah tahun 2021 saja, melalui hari-hari yang seperti ini. Tahun depan, siapa tahu kan ada sinarnya. Yang dilalui kini memang penat dan perit, tapi ku percaya, bersamanya juga tersimpan hikmah dan rahmat yang akan kita nikmati suatu hari nanti. Insya Allah


Untuk pdpr ini, teruslah berjuang untuk hadapi bersama anak-anak dengan tenang. Usah juga terlalu menekan, kerana pasti setiap orang punya limitnya.


Moga Allah berikan pertolongan dan petunjuk. Jadikan setiap ilmu yang kita dan anak-anak dapat dari pdpr ini akan tetap memberikan manfaat yang banyak. Insya Allah. 




Anas, Mussaab dan Miqdad 

3 pelajar pdpr di rumah ini :)

Moga dapat melaluinya dengan baik-baik saja.

Ameen









0 comments:

Post a Comment