Thursday, 20 August 2020 0 comments By: Naemah

KITA MERANCANG-ALLAH JUGA MERANCANG



Cuti sekolah (20/8/20-24/8/20)


Seperti yang dirancang, hari terakhir persekolahan (19/8/20) selepas mengambil Anas dari sekolah, terus bertolak balik ke kampung. Seperti biasa, excited semuanya kalau nak balik kampung. Sebenarnya dah ingatkan anak-anak, kita balik sekejap je, sebab Abi akan ke Bintulu hari Ahad ni (23/8/20). Anak-anak pun akur dan faham. Sekejap pun jadilah.. dah terbayang dah wajah-wajah sepupu mereka. Yang utamanya, nak balik ziarah Mek dan nenek yang tak berapa sihat. 


Nak dijadikan cerita, sampai di kampung (rumah Mek) jam 10 malam. Tengah makan malam, Abi dapat call dari bos. Abi diarahkan ke Kemaman pada hari Jumaat (21/8/20). Allah, belum hilang penat bermusafir jauh. Tidur malam juga tak berapa lena. 


Esok harinya (20/8/20), terpaksa balik semula ke Semenyih. Berbelah bagi nak singgah rumah nenek atau tidak. Ke rumah nenek, bermakna perjalanan akan semakin panjang, sedangkan esok pagi-pagi lagi Abi perlu bermusafir ke Kemaman pula. Tambahan pula trafik masuk ke Kota Baru agak sesak. Semua sedang menuju masuk ke Kelantan. Maklumlah, cuti sekolah. Faham sangat situasinya. Lalu ambil keputusan untuk terus balik. Abi call nenek, ceritakan situasi. Sekali lagi menempuh perjalanan yang panjang. Belum pun cukup 24 jam berada di kampung. Abi hanya sempat lepaskan penat dengan tidur pada sedikit masa yang ada.


Anak-anak, frustnya usah cakap. Anas berkali menangis, menuntut untuk ke rumah nenek. Sekejap pun tak mengapa katanya. Tapi bukan tak mahu ikutkan kehendak, masa sangat tak mengizinkan. Dengan hati yang luluh, anak-anak perlu akur. Abi pula mengharapkan pengertian, penat dan stres, ummi faham! Anak-anak, dipujuk dan cuba difahamkan. Bahawa Abi ada tanggungjawab yang tak boleh diletak tepi. Insya Allah akan ada peluang lagi untuk kita pulang ke kampung. 


Anak-anak, ummi kesian sangat sebab selalu berjauhan dengan Abi. Sukar nak ke mana-mana kerana jarang Abi ada di rumah. Anak-anak, tak pernah meminta dibawa melancong ke mana. Paling tidak, ke pantai. Sebab tu seronok sangat bila dapat balik kampung kan? Itulah peluang nak ‘berjalan’ jauh sikit. Tambah seronok bila dapat jumpa sepupu yang boleh diajak main sama-sama. Itulah kerinduan anak-anak. 


Maafkan ummi dan Abi ya. Tiada daya untuk mengubah takdir. Kita merancang, Allah juga merancang. Abi dah cuba yang terbaik, tapi Allah inginkan selainnya. Namun peganglah di hati, bahawa perancangan Allah itu sentiasa lebih baik. Sabarlah.. 


Cuti sekolah yang masih berbaki, Insya Allah kita spend masa bersama-sama. Walaupun ummi pun tak tahu apa nak buat untuk gembirakan anak-anak, Insya Allah kita cuba untuk pujuk hati dan gembirakan hati kita dengan cara tersendiri. 


Kita tunggu cuti yang lain.

Insya Allah kita akan balik kampung lagi :)

Saturday, 15 August 2020 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR SURI LILYANA


(15-8-2019~15-8-2020)



Alhamdulillah genap setahun usia puteri ummi dan abi, Suri Lilyana bt Mohd Suzainizam :)


Begitulah pantasnya masa berlalu. Sebulan demi sebulan, dah genap setahun rupanya dari detik ummi bertarung dengan kesakitan melahirkan Suri :) Masya Allah.


Hari ni tetap kita jalani dengan biasa. Tak ada ‘celebration’ hanya syukur sesungguhnya. Puteri ummi dah besar dah. Abi, dan abang-abang pun ummi dah ingatkan awal-awal yang hari ni genap usia Suri setahun. Ada la nyanyi lagi birthday sikit, tanda ingat  dan nak happy-happy saja :)


Kebetulan hari ni Angah (Mussaab) ada exam UKS di SRAI Pekan Beranang, pagi ni agak sibuk sikit nak siapkan angah dan bagi semangat pada angah untuk jawab exam. Lepas tu Suri pun ikut juga ambil angah lepas dah selesai exam. Dah banyak hari Suri tak keluar rumah (keluar pun untuk ambil angah kat sekolah), hari ni dapatlah Suri keluar jauh sikit dengan Abi dan semua :) ummi siap pakaikan Suri gaun yang cantik, kononnya nak tangkap gambar banyak-banyak sempena hari lahir Suri :)


Lepas tu balik rumah, duduk jelah kat rumah macam biasa. Main sendiri, dan tengok gelagat abang-abang yang macam-macam tu kan?


Di usia setahun ni, Suri dah boleh melangkah tapi masih takut-takut. Dapat la 6-7 langkah. Lebih selesa merangkak lagi bila nak cepat. Takpe, cuba dan usaha lagi. Nanti akan gagah berjalan, dan seterusnya berlari. Begitulah lumrahnya hidup ni. Akan sampai masanya kita akan dapat apa yang kita patut dapat. Cepat atau lambat, Allah yang tentukan. Yang penting kita usaha ya!


Suri Lilyana ummi yang cantik dan manis bila tersenyum, yang masih selalu ingin berdamping dengan ummi, yang dah banyak ‘bunyi’ dan seronok bila orang main dengan dia, yang makin hari makin cerdik, moga setiap saat Allah merahmati Suri. Ummi akan sentiasa doakan Suri.


Suri perlu tahu, bahawa ummi dan Abi sangat sayangkan Suri. Abang-abang Suri juga menyayangi Suri dan akan selalu menjaga dan melindungi Suri, Insya Allah. 


Moga puteri ummi ini, membesar dengan baik dalam suasana dan persekitaran terbaik, dilindungi dari pengaruh jahat dan maksiat, terus membesar sihat, ceria, solehah, dan bermaruah. Allah akan sentiasa bersama Suri. Moga hati Suri juga akan sentiasa cintakan Allah, berbuat apapun kerana Allah. Mudah-mudahan mulia kedudukan Suri di sisi Allah- aameen.


Ummi Love you Suri Lilyana

We all Love you so much!!!










MUSSAAB: UJIAN KELAYAKAN SRAI




Alhamdulillah selesai sudah Mussaab menjalani ujian kelayakan SRAI (UKS) pada 15/8/2020. Jika ada rezeki, boleh lah Mussaab menyambung ke tahun 1 (2021) bersama Anas :)


Tahun ini sedikit berbeza (kerana PKP), permohonan dibuat secara online pada bulan April lepas. Kemudian perlu sekali lagi ke sekolah pada bulan Jun (PKPP), untuk menghantar borang secara manual. Group telegram juga diwujudkan untuk menyalurkan maklumat tentang UKS kepada ibubapa yang telah membuat permohonan. Akhirnya ujian ditetapkan pada 15/8/2020.


Dari segi persediaan, Alhamdulillah rasanya dah cuba yang terbaik, dengan membiasakan Mussaab dengan soalan-soalan contoh yang terdapat dalam buku yang dijual oleh pihak sekolah- tambahan kepada apa yang Mussaab dah belajar kat sekolah. Mussaab pun dah boleh membaca dengan baik, cuma harapnya Mussaab boleh faham kehendak soalan  dan tidak cuai menjawab :)


Tahun ni juga nampaknya tak ada ujian lisan seperti sebelum ni. Mungkin juga kerana masih di musim wabak ini, maka ujian lisan terpaksa dikecualikan. 


Hari ni Mussaab ke SRAI Pekan Beranang dihantar abi dan Miqdad dengan menaiki motor. Exam bermula jam 8.30 sehingga 10.30 pagi. Abi balik dulu ke rumah, dekat jam 9.30 kembali ke sekolah. Kali ni semua ikut untuk ambil Mussaab. Rupanya lepas satu jam pertama, dah ramai student yang keluar. Satu kumpulan, lepas tu satu kumpulan lain dan seterusnya,  dibawa keluar oleh guru yang menjaga. Tapi Mussaab masih tak kelihatan. 


Dekat 1 jam ummi berdiri di depan pagar sekolah, sementara Abi menjaga anak-anak dalam kereta. Setiap kali student dibawa keluar, ummi akan cari Mussaab. Masih juga tak nampak batang hidung. Takpe, ummi sabar je tunggu. Lagipun banyak masa lagi. Ummi agak, Mussaab tentu tengah fokus jawab soalan. Ummi percaya, Mussaab sedang cuba buat yang terbaik. Insya Allah. Tak lupa ummi mendoakan Mussaab dalam panas penantian semalam :D


Akhirnya, dalam pukul 10.25, Mussaab keluar dengan rakan-rakan yang lain, yang dah tak ramai tinggal sebab ramai yang dah keluar dari tadi. Mussaab macam biasa, slow and steady, berjalan keluar dan menaiki kereta. Ummi yang excited, dah tentu banyak bertanya tentang exam Mussaab. Mussaab just releks.. katanya jawab semua. Ada yang senang, ada yang susah.. Hmm.. tawakkal jelah kan. Exam pun dah lepas. Ummi percaya Mussaab dah buat yang terbaik. Allah dah tentukan semuanya. Just tunggu dengan sabar, apa nanti keputusannya :)


Tahun ni juga seperti tahun-tahun yang lepas, semua perlu bersaing untuk mendapatkan tempat yang terhad di SRAI. Lebih kurang 170 permohonan semuanya tahun ini untuk SRAI Pekan Beranang. Yang akan terpilih hanya lebih kurang 70 orang. Agak sengit juga, tapi berlapang dada sajalah, Allah dah tentukan rezeki masing-masing. Dan Insya Allah, ke manapun hala tuju anak- anak nanti, semoga ia tetap permulaan kepada sebuah kejayaan besar yang akan datang. Ummi positif saja, Insya Allah :)


Oklah Mussaab pun dah habis exam. Ummi tak perlu dah nak ‘paksa’ Mussaab buat latihan lagi lepas ni. Just pergi sekolah, belajar macam biasa. Tak nak tekan Mussaab lebih-lebih. Kesian Mussaab... 


Tapi sehingga setakat sekarang ni, ummi bersyukur sebab Mussaab dah belajar banyak dah. Boleh membaca mengira, boleh baca jawi walaupun tak lancar sangat, vocab Arab pun dah dapat sikit-sikit, Oklah tu kan? Dah banyak dah tu sebenarnya :)


Walaupun ummi berharap benar Mussaab dapat masuk SRAI sekali dengan Anas, namun ummi kena sedia dan redha dengan ketentuan Allah. Allah dah tentukan yang terbaik untuk perjalanan Mussaab. Ummi hanya mampu doa. Doa yang baik-baik sentiasa untuk Mussaab dan untuk semua.


Alhamdulillah. Mussaab jalan terus ya :)




Sarapan Mussaab sebelum ke SRAIPB




Sempat ulangkaji sekejap sebelum pergi




Mussaab dah ready




Good Luck Mussaab!




SOP sebelum menjalani UKS










10.27 am- Mussaab dah selesai exam




Menuju balik ke rumah 

Oh ya.. abi belanja makan MCD hari ni sebab Mussaab dah ‘berusaha’


Kita tawakkal saja ya! 



.

.

.

.


 Cerita UKS Anas

UJIAN KELAYAKAN SRAI 2018


Saturday, 8 August 2020 0 comments By: Naemah

SETELAH BER-ANAK EMPAT



Alhamdulillah kini sudah di tahun ke-10 perkahwinan aku dan suami. Alhamdulillah kami sudah dikurniakan 4 cahaya mata penyejuk hati.


Bicara tentang cahaya mata, 4 orang rasanya dah cukup ramai dah untuk zaman sekarang ni (walaupun ada je yang lebih sampai 10 orang kan). Pada aku personally, kalau boleh nak tambah lagi sebab memang teringin nak ada ramai anak :)


Baiklah, berbalik kepada realiti, setelah aku kini mempunyai 4 orang anak, adakah aku masih nak tambah anak lagi dalam masa yang terdekat ni? Takdir tetaplah takdir, namun aku menulis ini sebagai panduan dan perancangan yang terbaik untuk kehidupan aku, suami dan anak-anak.


Jawapan untuk persoalan tadi ialah YA, aku masih ingin menambah zuriat lagi jika Allah izinkan. Tetapi, bukanlah dalam masa yang terdekat ini (walaupun sebenarnya usia pun dah makin meningkat). Sebagaimana sebelum ini aku cuba jarakkan at least 2 tahun untuk setiap anak, untuk yang seterusnya juga aku plan macam tu juga. 


Cuma kini, bila dah ber-anak 4, dan yang kecil masih belum masuk setahun lagi umurnya, aku rasa ‘penat’ untuk fikir pasal ‘tambah anak’ lagi. Penat.. itulah realitinya. Mungkin kerana suami yang selalu jauh dalam tempoh yang lama (di musim wabak ini normal kerja dah jadi lain), aku seorang uruskan anak-anak di samping urusan yang lain, memang aku rasa penat sangat. Bukan aku nak mengeluh, aku dah ajarkan hati untuk redha atas ketentuan ni, cuma aku tetap perlu akui yang aku memang penat bila perlu lakukan semua sendirian. 


Tambahan pula, bila sekarang sibuk dengan yang kecil (yang agak clingy), anak-anak yang lain seakan terabai, masing-masing bermain sesama sendiri dan buat hal sendiri. Kesian Miqdad, dulu dia yang dimanja-manja kini bila dah ada adik, tak boleh nak manja seperti dulu lagi. Kadang-kadang terpaksa buat ‘perangai’ semata-mata nak raih perhatian.  Biarpun perhatian yang diberi bukan dalam bentuk yang dia mahukan. Sungguh kesian :,(


Hanya bila suami ada kat rumah, barulah rasa boleh ‘bernafas’ lega sikit. Sekurang-kurangnya kerja-kerja di rumah dah boleh dibahagi dua. Atau sekadar beri perhatian pada anak yang kecil, sementara anak-anak yang besar dia yang uruskan. 


Hakikatnya menguruskan anak-anak bukan hal yang remeh. Bukan sekadar cukupkan keperluan makan minum dan sekolah saja. Banyak hal yang perlu diberi perhatian termasuk untuk ‘mendengar suara hati’ masing-masing. Kerana mereka juga mahu didengar dan difahami. 


Itu belum masuk bab nak handle karenah dan ragam masing-masing. Memang hari-hari rasa ‘penat’ sangat mental, lebih dari penat fizikal. Kalau ada pula yang tak sihat badan, resah hati bawa ke tidur. 


Itulah, fikirkan nak tambah anak lagi, memang teringin. Tapi untuk masa terdekat ini mungkin belum lagi. Namun tetap berserah pada takdir. Allah lebih tahu setakat mana kekuatan hamba. 


Sering tidur malamku diiring rasa bersalah pada anak-anak. Apa yang aku dah beri pada mereka sepanjang hari ini? Apa manfaat yang mereka dapat dalam kehidupan seharian mereka di rumah ini? Apa mereka redha, punya ibu yang tak sempurna memberi dan mendidik? 


Allah, Kau lebih tahu tahap kekuatanku. Aku redha dengan kehidupanku hari ini. Aku faham, tiap orang ada ujian tersendiri, ada struggle masing-masing dalam hidup ni. Aku tak terkecuali...


 Moga aku tetap teguh di sini, berusaha lagi untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak. Jatuh dan bangun itu memang sudah biasa. Biar berkali, aku tetap mencuba untuk bangkit. Dan bangkit lagi. Demi amanah Allah ini. 


Jadi untuk sekarang. Syukur untuk yang ‘empat’ ini. Perlu upgrade diri lagi, siap fizikal dan mental sebelum nanti Allah hadiahkan yang ke’lima’. Insya Allah :)


Suami? Dia pernah luahkan rasa ‘kesian’ pada aku yang penat mengandung, melahirkan dan jaga anak-anak semua. Dia ok saja, masih teringin nak tambah anak, tapi katanya biarlah pada masa aku sendiri dah ‘ready’ nak mengandung lagi. 


Insya Allah jika masih ada rezeki untuk kami :)


DIARI ANAKKU: 080820




Hari ke-4 Abi kembali bertugas (kali ni tempatnya di laut sempadan Kelantan-Thailand). Dua hari berkuarantin di hotel di KB (dan buat swab test juga), dan semalam dah ke laut. Insya Allah next week balik ke rumah. 


Hari ni Anas yang terawal bangun, belum azan subuh lagi. Diikuti Suri, yang memang akan bangun juga bila waktu subuh. Mandi dan solat subuh, kemudian Miqdad dan Mussaab pula bangun. Semua turun ke bawah. Ummi keluar nak beli nasi lemak kat jalan belakang atas permintaan Mussaab yang nak makan nasi lemak kakak belakang tu. Tapi nasib tak baik, rupanya kakak tu tak menjual hari ni. Ummi balik semula, bawa Miqdad sekali keluar beli nasi lemak kat tepi jalan besar. Anas dan Mussaab jagakan suri di rumah. 


Siap membeli, balik ke rumah dan makan  sama-sama. Lepas tu masing-masing menghadap TV dan main game di Hp. Mussaab asyik dengan lego, buat sambil melihat ‘instruction’ di YouTube. Itu jelah aktiviti pagi ni. Miqdad join sekaki tengok Anas yang asyik dengan game, dan Mussaab yang asyik dengan lego. Ummi tidurkan Suri tapi sekejap saja tidur. Lepas tu turun semula ke bawah sertai abang-abang. Main seketika sebelum menangis dan minta disusukan. Suri tertidur sekali lagi. Abang-abang di bawah sedang  menonton upin dan upin.


Pukul 11 ummi naik semula ke atas bersama suri. Tidurkan suri sekali lagi. Sempatlah ummi masak simple-simple, sebelum Suri bangun. Tapi belum siap masak Suri dah menangis. Mussaab bawa Suri turun ke bawah. Ummi selesaikan kerja memasak. Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri masih di depan TV. Dah siap masak, makan sama-sama. Lepas makan lepak di depan TV lagi. Sambil Mussaab dan Miqdad mengayuh basikal (dalam rumah).


Jam 12.30 ummi naik ke atas bersama Suri. Tinggalkan abang-abang Suri dengan hal masing-masing. Sekali lagi ummi tidurkan Suri. Kurang lena tidur Suri, dalam keadaan Suri yang batuk dan selesema. Anas, Mussaab dan Miqdad juga sama, batuk dan selesema. Tapi tidaklah teruk sangat. Lepas zohor ummi tidur bersama Suri. Hampir jam 4 petang ummi turun ke bawah. Anas, Mussaab dan Miqdad masih dengan aktiviti yang sama.


Lepas asar semua naik ke atas, mandi dan turun semula ke bawah. Ummi masak nasi goreng untuk makan malam. Makan sama-sama, dan balik ke aktiviti sendiri. Bermain kat luar rumah sekejap, lepas tu masuk dan sambung main kat dalam. 


Jam 7 naik ke atas. Main kat dalam bilik ummi pula. Riuh rendah seperti selalunya, sementara nak menunggu masuknya waktu maghrib. Kemudian solat maghrib, baca Al-Quran dan main lagi. Sementara tunggu isyak ummi tidurkan Suri. Miqdad terlebih dahulu lena di sebelah ummi, kemudian Suri juga tidur. Anas dan Mussaab juga dah mengantuk, ready untuk tidur. Alhamdulillah jam 9, semua dah lena dibuai mimpi .


Alhamdulillah untuk hari ini yang dilalui bersama, meskipun terlalu banyak kekurangan ummi dalam memberikan yang terbaik. Ummi tak sempat nak spend masa berkualiti dengan semua. Sibuk dengan Suri, sibuk dengan kerja-kerja rumah, dan banyak fikir untuk rehat dan lepaskan lelah sendirian. Anas, Mussaab dan Miqdad sering ‘terbiar’ habiskan masa bertiga. 


Maafkan ummi semua. Namun tetap ummi cuba ambil kesempatan yang ada untuk berpesan apa yang sepatutnya. Moga anak-anak ummi sentiasa ingat pesanan dan nasihat ummi. Moga semuanya jadi anak yang soleh dan solehah. Maafkan ummi atas setiap kekurangan ummi ya. Please, jangan ikut apa yang tak baik dari sikap ummi yang kurang sabar ini. Moga kalian jadi yang lebih baik. Insya Allah. 


Semoga sihat semua. Semoga bermimpi indah dan bangun esok hari dengan penuh keceriaan. Moga Allah jaga Abi di sana, dan hadiahkan kita semua dengan pertemuan yang sentiasa dinantikan. Semoga esok akan lebih baik untuk kita semua. Insya Allah.


Ummi sayang Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri.


Friday, 7 August 2020 0 comments By: Naemah

TRAGEDI DI TASIK DAYANG BUNTING



Mengimbas kembali kisah percutian singkat di Pulau Langkawi baru-baru ini, baru berkesempatan (dan baru diberi kekuatan) untuk menulis tentang satu pengalaman pahit di sana. Ya, di dalam gembira terselit kisah yang penuh mendebarkan, seterusnya tersimpan menjadi kenangan, iktibar dan pengajaran buat diri.


Bermula kisahnya, pada hari ke-2 di Pulau Langkawi kami mengambil pakej island hopping. Kami dibawa menuju ke 2 buah pulau iaitu Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Sebenarnya ini sudah kali ke-3 kami naik bot dan menuju ke tempat yang tersebut. Tetapi kali ini kami ‘dihadiahkan’ pengalaman berbeza.


Kami tiba di destinasi pertama, iaitu Pulau Dayang Bunting. Sebelum ini aku hanya duduk menunggu di bawah, tak menyertai yang lain naik ke atas, di mana terdapat satu tasik yang dinamakan tasik dayang bunting di atas sana. Aku langsung tak berminat untuk ke sana oleh kerana tak mahu ‘bertembung’ dengan monyet-monyet hutan yang berkeliaran di sana. Aku lebih rela duduk di satu tempat dan menunggu sehingga sampai masanya untuk menaiki bot dan menuju ke destinasi seterusnya.


Tapi kali ini berbeza, bila aku mengambil keputusan untuk naik ke atas. Nak dijadikan cerita, sesampainya di sana, Anas mengadu lapar dan minta belikan makanan yang dijual di cafe. Aku membelinya jagung rebus dan menunggu sehingga dia selesai makan. Sementara itu suamiku naik ke atas bersama Mussaab dan Miqdad. Pada mulanya aku hanya mahu tunggu di bawah, tapi oleh kerana Anas pun mengajak untuk naik ke atas, aku turutkan juga. Lagipun pengunjung tak ramai (tak ada pengunjung lain yang menunggu di bawah). Padaku, ok juga naik ke atas sebab tak pernah naik, kan. Boleh tengok macam mana pemandangan di sana. Suami pun dah call dari sana dan mengajak aku dan Anas naik menyertai aktiviti di Tasik Dayang Bunting- perlu membayar tiket lain untuk masuk ke kawasan Tasik Dayang Bunting.


Untuk sampai ke Tasik dayang Bunting, kami perlu menaiki anak tangga yang agak tinggi juga. Di sepanjang perjalanan itu Tuhan saja yang tahu ‘takut’nya aku saat bertembung dengan kumpulan monyet yang lalu lalang di situ. Tak mampu nak berlagak ‘biasa’, sebab aku memang takut pada monyet. Dalam hati ni berdebar sakan takut kena serang dek monyet. Dah la suasana agak sunyi, sebab pengunjung lain semua dah sampai ke tasik. 


Nak dijadikan cerita lagi, dah dekat nak sampai tasik (kena turun tangga yang agak cerun), dan dah nampak pun tasiknya. Tiba-tiba ada monyet datang dekat. Dia nampak tali beg yang terjuntai, dan nak mengambilnya. Apalagi, dalam berdebar sakan aku menjerit sekuatnya. Aku cuba halau dengan mengibar beg sandang yang aku pegang, tapi dia makin agresif. Anas cuba halau juga, tapi makin juga dia mendekat dan menyeringai. Kerana takut, aku baling beg tu dan jatuh ke bawah tebing. Monyet tersebut terus melompat untuk dapatkan beg dan cuba larikan beg. Mungkin beg berat, tak dapat dibawa lari. Digigitnya pula. Dalam takut, risau juga sebab dalam beg tu ada Hp dan purse. 


Alhamdulillah kebetulan masa tu ada seorang pengunjung (lelaki) yang tengah duduk di bawah tangga yang aku nak turun tadi. Dia datang dekat, cuba tenangkan aku yang dah berpeluh satu badan menahan takut. Dia suruh aku jalan, dia cuba nak ambilkan beg dan halau monyet tu. Dalam masa yang sama suamiku muncul dari arah tasik tadi. Dia yang ambilkan beg dan kami menuju sama-sama ke tasik. Debaran beransur pergi. Alhamdulillah beg selamat. Tapi aku memang rasa ‘menyesal’ tak tunggu je kat bawah tadi. Terus hilang mood nak menikmati keseronokan di Tasik Dayang Bunting. 


Tapi sebenarnya itu belum lagi tragedi yang sebenar yang aku nak tulis di sini. Hmm. Oklah, sambung kisah seterusnya. 


Di tasik dayang bunting ini, suamiku mandi dan berenang bersama Anas, Mussaab dan Miqdad. Seronok semuanya dapat berenang di tasik yang agak luas (dan dalam) ni. Aku hanya mendukung Suri, menikmati pemandangan sekitar tasik dan mengambil gambar. 


Tiba masanya  untuk balik ke jeti dan menaiki bot. Suamiku dan anak-anak sudah selesai bermain air. Aku yang sedang mengambil gambar memberi arahan pada suami dan anak- anak untuk berdiri di satu sudut, untuk tangkap gambar mereka berlatarkan pemandangan bukit di belakang (sambil memangku Suri). Aku cuba nak dapatkan gambar yang paling cantik. Aku mengundur ke belakang selangkah demi selangkah. Suami pula masa tu tengah sibuk dengan anak-anak, tak melayan sangat aku yang tengah excited nak tangkap gambar. Saat mengundur tu akhirnya aku sampai ke hujung platform dan sebab tak dapat nak balance badan (sebelah kiri memangku suri, sebelah kanan pegang Hp), aku terjatuh ke dalam tasik- jatuh dalam keadaan badan terpelanting ke belakang. Ya, masa tu aku tak pakai life jacket. Aku dan Suri sekelip mata terjatuh. 


Saat terjatuh, aku pun tak tahu apa yang aku rasa sebab rasa macam mode slow motion gitu (macam dalam drama tu). Tika itu terdetik  di hati ‘Ya Allah, apa lagi ujian hari ini’ kali ini bukan debaran yang aku rasa, tapi sebuah ‘kesayuan’ dan ‘pengharapan’. 


Dalam masa yang sama aku pegang erat Suri, Hp juga memang tak terlepas dari tangan aku.  Dalam kepayahan itu juga aku berusaha untuk berenang naik ke atas dengan penuh pasrah. 


Dan kala itu juga ‘hero’ aku, iaitu suamiku sepantasnya terjun ke tasik (dia memang dah pakai life jacket) dan menarikku dan Suri. Dalam masa yang sama ada beberapa pekerja dan pengunjung yang lain yang datang berkerumun dan cuba membantu. Suamiku sepantasnya menyerahkan Suri (yang terkejut dan menangis masa tu) kepada mereka yang berada di atas, dan dia memegang kuat aku yang dah tak keruan di dalam air. Pekerja di situ (yang sememangnya sudah terlatih) meminta aku terlebih dahulu bertenang sebelum kemudiannya aku ditarik naik ke atas.


Alhamdulillah, akhirnya aku ‘selamat’ ditarik naik ke atas. Aku tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan aku masa tu. Seperti bermimpi dan semuanya bagaikan sekelip mata. Dalam hati ni rasa sedih, sayu, dan seperti berkecai hati ni rasanya. Tapi aku tak mampu nak menangis (masa tu). Terkejut barangkali. Tak percaya barangkali. Suri dipangku seorang kakak yang dari tadi memujuknya. Alhamdulillah tangis Suri tak lama. Aku ditenangkan oleh mereka yang ada di situ, dan mereka memberiku minum untuk kembali bertenaga. Aku tak mampu untuk berkata apa. Senyum dalam kepahitan. Selepas berehat dan bertenang seketika, kami beransur meninggalkan tempat itu. Meninggalkan ia dengan kenangan ‘pahit’ sangat rasanya ketika itu. 


Menaiki bot merentas lautan yang luas mata memandang, hati aku ketika itu kosong. Berkaca mata, Maha Baiknya Allah pada aku. Masih memberiku peluang untuk ‘hidup’. Kata suamiku, kedalaman tasik itu ialah sekitar 15 meter, boleh muatkan sebiji kapal. Saat itu juga terngiang suara seorang kakak di tempat kejadian tadi, katanya kedalaman tasik ini seperti sebuah bangunan 5 tingkat. Hati gerun saat mendengar. Ya Allah... Kerana kasihMu, aku masih lagi di sini. Di dunia ini. Di samping suami dan anak-anakku. Aku tak dapat menahan sebak.


Memandang wajah suri, aku kesayuan. Alhamdulillah Suri masih bersama ummi, bersama Abi dan abang-abang. Teringat tangan ummi yang memangku Suri erat di ketika itu. Tak akan melepaskan! 


Handphone yang aku pakai masa tu sebenarnya Hp suami yang baru lebih kurang sebulan dia pakai. Hp baru. Sedikit sebanyak aku serba salah menyebabkan Hp dia rosak. Tapi katanya, ‘Abi tak kisah Hp ni rosak. Yang penting ummi dan Suri selamat. Itu yang paling Abi bersyukur. Dan dari apa yang dah terjadi, Abi yang paling rasa trauma sebenarnya....’ mahu gugur juga air mataku bila mendengarnya. Aku faham... dalam diam dan terkelu lidahnya nak berkata-kata, aku dapat rasakan keresahan hatinya yang Tuhan saja yang tahu. Seperti aku, dia juga bagai tak percaya dengan apa yang telah terjadi. Cemas dalam sekelip mata. 


Dan kisah itu tinggal sebagai kenangan. Kenangan yang sangat memberi kesan di hati. Bila diingat kembali, berbagai rasa hadir. Akhirnya tetap kupanjatkan syukur. Syukur masih diberi ‘peluang’ olehNya untuk meneruskan kehidupan di dunia ini bersama yang tercinta. 


Dan bersama peluang yang masih diberikan Tuhan ini, moga aku mampu untuk ‘sedar diri’ dan mampu untuk berubah menjadi yang lebih. Walau hakikatnya hingga ke saat ini.. aku tetap mengulangi kekhilafan demi kekhilafan yang sama. Sampai bila... 


Ya Allah ampunkan dosa-dosaku. Ingatkan aku selalu! Jentikkan hatiku dengan kisah ini biar aku sentiasa ingat! Ingat akan rahmat-Mu, ingat akan cinta suami dan anak-anak yang tulus suci. Aku perlu jadi yang lebih baik!


Dan kata suami, setiap kali kita ‘selamat’ dari tiap musibah yang menimpa, itu sebenarnya datang dari doa ‘ibu’ kita yang tak pernah jemu mendoakan kita. Asbab doa mereka, Allah sentiasa lindungi kita :, dan aku akui segala katanya. Tak sekali menafikan. Kerana itu juga yang terdetik dalam hatiku. 


Betapa doa ibu itu satu keramat.

Betapa rahmat dan kasih Allah terlalu luas.

Betapa berharga anugerah kurniaan Allah terhadapku- suami, anak-anak, dan ahli keluarga yang lain.

Moga aku lebih tahu untuk menghargai dan mencintai setulusnya. 



Pulau Dayang Bunting di sana

(Kelihatan seperti perempuan mengandung yang sedang berbaring)



Teman Anas makan di sini sebelum naik ke tasik






Antara aktiviti di tasik dayang bunting








Suami dan anak-anak berenang di tasik

Lihatlah airnya yang berwarna hijau kegelapan



Dalam bulatan-tempat aku dan suri terjatuh 

(Gambar dari Google)



Baca link ni untuk tambahkan rasa seram

.

.

.

Tasik Dayang Bunting


Dan bila Google, banyak kisah yang bersangkut paut dengan kes mati lemas di Tasik Dayang Bunting. Boleh dikatakan setiap tahun ada ‘korban’ di sana. Allah. Masih seram sejuk rasanya. Dan sekali lagi ALHAMDULILLAH ... Allah masih anugerahkan aku kehidupan di dunia ini.



Catatan perjalanan ke Pulau Langkawi yang lepas 

Pulau Langkawi: Percutian PKPP







Saturday, 1 August 2020 0 comments By: Naemah

AIDILADHA PKPP 2020



Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga di kampung. Hampir berkecai harapan untuk balik ke kampung memandangkan suami (pada mulanya) perlu berkuarantin di Labuan sebelum dibenarkan balik, namun kuasa Allah- dan kerana Allah Maha Mendengar doa hambaNya, perintah kuarantin itu ditangguhkan kemudian (sehari selepas hari penerbangan suami). Masya Allah.. Alhamdulillah. Genap 18 hari di sana, suamiku pulang ke pangkuan keluarga. 


Seperti yang dirancang, kami sekeluarga balik ke kampung pada hari Selasa (28/7/20) jam 11 malam. Sampai di kampung pada waktu subuh. Suamiku langsung tak berhenti rehat. Jalan agak sesak juga, R&R pun penuh, namun Alhamdulillah perjalanan tetap lancar. Anak-anak kesemuanya lena di dalam perjalanan.


Hari raya Aidiladha (31/7/2020) disambut di kampung halamanku di Jeli. Di sini kami mengambil satu bahagian korban. Daging yang siap dibahagikan dimasak, dan diagihkan kepada mereka yang perlu. Pada petang harinya pula kami bertolak ke Kota Bharu, beraya di rumah mak mertua pula. Agak meriah di sini, kerana adik-beradik suami juga balik beraya. Anas, Mussaab,dan Miqdad seronok bermain dengan sepupu mereka. 


Alhamdulillah Aidiladha disambut dengan penuh kesyukuran. Walaupun sedikit berbeza kerana berada di musim PKPP, di mana ada SOP yang perlu dipatuhi, namun tetap ia disambut dengan meriah. Jauh lebih meriah dari Aidilfitri yang lepas. Sekurang-kurangnya boleh diraikan bersama dengan ahli keluarga yang lain :)


Selamat hari raya Aidiladha untuk semua. Semoga diterima setiap amalan kita. Moga sama-sama dapat menghayati erti sebuah pengorbanan dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan kita. Insya Allah.