Last minute punya planning, akhirnya kami sekeluarga sampai juga ke Pulau Langkawi. Ini adalah ‘makan angin’ pertama kami semenjak PKP bulan Mac yang lalu.
Kali terakhir menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi ialah pada tahun 2016-Masa tu sedang mengandungkan Miqdad. Kiranya ini adalah kali pertama Miqdad dan Suri menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi- ummi dan abi kali ke-4, manakala Anas dan Mussaab kali ke-3. Dan kali ini ia memberi pengalaman yang berbeza buat semua. Percutian yang sangat memberikan keseronokan dan juga pengajaran buat semua.
Percutian selama 3 hari 2 malam (29/6/20-1/7/20) dipenuhi dengan aktiviti; menaiki kereta kabel, Island hopping, melawat underwatater world, ke pasar malam, bersantai di dataran lang dan berjalan di sekitar bandar Kuah dan Pantai Cenang. 3 hari 2 malam memang tak sempat nak pergi ke semua tempat. Tambahan pula dengan anak-anak kecil, percutian harus santai dan tak memenatkan.
Hari pertama (29/6/2020)
Merupakan hari perjalanan dari Semenyih ke Pulau Langkawi. Kami meninggalkan rumah jam 1 pagi menuju ke Kuala Perlis untuk menaiki feri di sini. Singgah solat Subuh di R&R Gurun, di sini juga menikmati bekal yang dibawa dari rumah dan tiba di jeti Kuala Perlis jam 8.30 pagi. Sekali lagi anak-anak menikmati breakfast nasi lemak di kedai makan yang berhampiran. Feri bergerak meninggalkan jeti jam 10.30 pagi menuju ke Pulau Langkawi. Tiba di Pulau Langkawi sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah. Di sini kami menyewa kereta Proton Saga dengan kadar sewa sebanyak RM 70 sehari.
Sebelum ke penginapan, kami singgah makan tengahari di sebuah gerai, dan terus menuju ke Ku’s Roomstay yang telah ditempah secara online. Roomstay ini terletak berdekatan Pantai Cenang, dan kadar bayarannya ialah sebanyak RM 100 untuk satu malam. Agak selesa juga buat keluarga kecil kami. Bilik ini dilengkapi dengan 2 buah katil queen, lengkap peralatan memasak, aircond, peti sejuk, TV, mesin basuh, dan iron. Biliknya juga agak besar yang membolehkan anak-anak bebas bergerak dan berlari.
Aktiviti pertama untuk hari ini ialah menaiki kereta kabel (skycab). Lokasinya ialah di Padang Mat Sirat, tak jauh dari penginapan kami. Alhamdulillah tak ramai orang, lagipun hari dah petang (sekitar jam 5). Hanya tinggal beberapa pengunjung. Kami menaiki kereta kabel dengan bayaran sebanyak RM 38 untuk dewasa dan RM 21 untuk kanak-kanak. Alhamdulillah dapat melihat view yang sangat cantik dari atas kereta kabel dan puncak gunung. Anak-anak sangat teruja melihat pemandangan dari tempat yang sangat tinggi ini.
Selepas meninggalkan lokasi skycab ini, kami bersedia untuk balik ke bilik. Hari pun sudah hampir maghrib, dan semua sudah keletihan menempuh perjalanan jauh. Sebelum balik kami membeli makanan untuk makan malam kami di pasar malam. Yong Tau Fu, bihun sup, ayam goreng, nasi ayam dan takoyaki menjadi pilihan. Selepas makan malam dan solat, semua tidur dengan sangat lena dan bersedia untuk menempuh hari berikutnya di Pulau Langkawi
Foto hari pertama
Hari kedua (30/6/20)
Pagi ini selepas menikmati breakfast kami menuju ke jeti yang juga tidak jauh dari penginapan kami untuk aktiviti island hopping. Semua bersedia dan tak sabar-sabar untuk menaiki bot. Sewa bot untuk aktiviti island hopping ini ialah sebanyak Rm 175. Sekitar jam 10.30 pagi, kami menaiki bot menuju ke Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah.
Di jeti Pulau Dayang Bunting kami perlu menaiki anak tangga (yang agak tinggi) untuk sampai ke Tasik Dayang Bunting. Di sini kami menyertai aktiviti Paddle Boat dan berenang di tasik, dan di sini juga berlaku ‘tragedi’ yang tak akan dilupakan (mungkin akan menulis dalam post yang lain). Anas, Mussaab dan Miqdad sukakan aktiviti di sini, namun selepas satu jam perlu menaiki bot untuk menuju ke Pulau Beras Basah pula.
Sebelum sampai ke destinasi seterusnya kami dibawa ke tempat yang menjadi habitat burung helang. Sangat banyak, berterbangan di udara. Anak-anak juga teruja, dapat melihat helang di depan mata.
Di Pulau Beras Basah, anak-anak dilepaskan bermain di pantai. Namun kali ini agak kurang menyeronokkan kerana terdapat banyak monyet (yang agak agresif). Pantang tengok orang pegang plastik atau makanan, semua datang menyerbu. Memang menakutkan. Sudahnya, bekalan yang dibawa langsung tak dapat dimakan. Suami pula dalam masa yang sama perlu mengawasi beg-beg dan anak-anak yang asyik mandi di pantai.
Jam 1 petang, menaiki bot untuk pulang ke jeti. Seterusnya kembali ke Roomstay. Bekalan yang sepatutnya dimakan di pantai tadi, kini habis dimakan di bilik penginapan. Alhamdulillah, berakhir adventure pagi ini. Dapat berehat sebentar di bilik sebelum ke destinasi yang seterusnya.
Jam 3.30 petang, kami menuju pula ke underwaterworld. Di sini anak-anak teruja melihat pelbagai spesis ikan dan hidupan laut di dalam ‘aquarium’ yang terdapat di sini. Ada nemo, ada dory, dan banyak lagi watak yang pernah mereka tonton dalam movie. Di sini juga tak ramai pengunjung. Bayaran masuk ialah sebanyak rm 31 untuk dewasa dan rm 21 untuk kanak-kanak. Di sini juga sempat membeli coklat, topi, dan fridge magnet. Selepas itu menuju ke Pekan Kuah.Kami bersantai di Dataran Lang, dan bergambar kenangan di sini. Niatnya nak melawat sekali makam mahsuri, dan tempat lain tapi masa dan keadaan tak mengizinkan. Tak mengapalah.
Selepas itu menuju balik ke Roomstay. Singgah di restoren Mc Donald untuk membeli hidangan makan malam untuk anak-anak (ummi dan Abi pesan Food panda je). Makan malam di bilik, solat, membasuh dan mengemas pakaian, esok merupakan hari terakhir di sini.
Foto hari kedua
Hari ketiga (1/7/2020)
Hari ini sudah tiada sebarang aktiviti, kerana perlu bersegera ke jeti untuk perjalanan balik. Sebelum itu, menikmati breakfast kami di sebuah gerai yang berdekatan dengan Roomstay. Kemudian check-out dan terus menuju ke Jeti Pekan Kuah. Kereta diserahkan kepada tuannya, dan kami menaiki feri dan bergerak meninggalkan Pulau Langkawi jam 11 pagi.
Pulang bersama kenangan yang tak mungkin akan dilupakan. Seronok melihat anak-anak kegembiraan setelah sekian lama tak bercuti. Namun percutian ini juga banyak memberi pengajaran dan keinsafan. Atas semuanya, bersyukur Allah masih panjangkan usia, memberi kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki diri.
Alhamdulillah
Anggaran kos dan perbelanjaan untuk tempoh 3 hari 2 malam di Pulau Langkawi:
Tiket Feri (pergi dan balik): rm 150
Tol: rm 50
Sewa kereta: rm 140
Roomstay: rm 200
Skycab: rm 139
Island Hopping: rm 175
Underwater World: rm 125
Makan: rm 200
T-shirt dll: rm 150
TOTAL: rm 1329
No comments:
Post a Comment