Sunday, 30 September 2018 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : LAWATAN SEKOLAH/FIELD TRIP


Foto: dari FB Little Diamond Kindergarten 



(Mungkin) ini entri yang terakhir untuk bulan September ini. Kali ini update tentang lawatan sekolah Anas dan Mussaab. Sepatutnya lawatan ini diadakan pada bulan lepas (Ogos), tapi ditangguhkan oleh sebab pada ketika itu sedang menularnya virus HFMD. 


Tarikh lawatan akhirnya ditetapkan pada 28/9/18 iaitu hari Jumaat. Lokasi lawatan mereka ialah Rabbit Fun Land Lenggeng dan Aisha Kidz Planet, Beranang. Kalau ikutkan makluman terdahulu, mereka sepatutnya ke Putrajaya, namun mengikut kata teacher Zeeda, lawatan ke sana dibatalkan atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Maka, muktamadnya mereka ke Rabbit Fun Land Lenggeng dan Aisha Kidz Planet dan makan tengahari di restoren KFC.


Hari ini anak-anak Little Diamond menaiki bas ke destinasi lawatan mereka. Kalau tak silap, mereka meninggalkan sekolah sekitar jam 9 pagi. Bukan kali pertama Anas dan Mussaab menaiki bas, namun sudah agak lama mereka tak naik bas. Pernah sekali dulu naik bas balik ke kampung, KL-Kota Bharu tahun 2015 dan itulah yang pertama kali. Pernah juga naik bas hop on hop off meninjau sekitar Bandar Kuala Lumpur pada tahun 2016. Anas pula, pernah dua kali menaiki bas ketika mengikuti rombongan sekolah Genius Aulad pada tahun lepas 2017. Makanya, mereka sudah ‘biasa’ menaiki bas, namun kali ni mungkin mereka menikmati pengalaman berbeza pula bersama guru dan kawan-kawan di Little Diamond Kindergarten.


Destinasi pertama mereka ialah Rabbit Fun Land Lenggeng. Di sini anak-anak kami ‘berinteraksi’ dengan haiwan peliharaan yang pelbagai jenis seperti arnab, lembu, ostrich, ayam, itik, kambing, unta pun ada (eh ye ke ada) Bukan sekadar tengok, anak-anak diberi peluang untuk belajar ‘menjaga’ haiwan tersebut seperti memberi makan, memerah susu, dan mereka juga diajar cara membuat sabun menggunakan susu lembu. Mereka juga diberi kesempatan untuk menangkap ikan, (dan bermacam aktiviti lain lagi agaknya) sudah tentu, mereka juga diberi penerangan dan ilmu baru tentang haiwan peliharaan di sana dan ilmu yang berkaitan dengannya. 


Selesai di Rabbit Fun Land anak-anak Little Diamond dibawa ke restoren KFC untuk menikmati makan tengahari mereka (menurut laporan anak-anak, mereka tak makan di restoren KFC, tapi makan di Aisha Kidz Planet) oklah, Seterusnya mereka dibawa ke Aisha Kidz Planet yang letaknya di Beranang, tak jauh dari rumah dan sekolah. Untuk Anas dan Mussaab, ini adalah kali ke-3 mereka ke Aisha Kidz Planet. Mereka pernah dibawa ke sana dua kali pada tahun lepas. Kiranya untuk tahun ini, inilah yang pertama kali :) dah tentu di sini anak-anak seronok bermain dengan segala permainan yang ada. Anas dah lama teringin nak main trampoline. Bersungguh melompat agaknya di Aisha Kidz Planet tu :D 


Mereka sampai balik ke sekolah sekitar jam 3.40 petang. Ummi dah ready dengan Miqdad menyambut kepulangan Anas dan Mussaab. Tak sabar nak dengar cerita ‘rombongan sekolah’ mereka. Alhamdulillah, keduanya seronok melalui pengalaman hari ini bersama guru dan kawan-kawan Little Diamond Kindergarten. Mereka bercerita apa yang mereka buat di Taman Rabbit, apa yang mereka makan dan main hari ni. Setiap seorang bawa balik sabun yang dibuat di Taman Rabbit tadi, seketul masuk ke mulut Miqdad yang disangkanya gula-gula. Ummi pun tak perasan, sudahnya Miqdad keluarkan balik apa yang dimakannya dengan mulut pun dah berbuih sabun.  Hampir nak termuntah dibuatnya. Alhamdulillah, Miqdad ok saja. Rasanya tak sampai tertelan tadi ,:/


Tamat sudah cerita perjalanan Anas dan Mussaab bersama guru dan rakan-rakan hari ini. Sudah tentu, dapat pengalaman baru lagi hari ini. Dapat naik bas, dapat tengok banyak animal, dapat makan kfc dan main-main sepuasnya, ia pasti menjadi kenangan yang menggembirakan di zaman kanak-kanak mereka ini. 


Alhamdulillah, terima kasih kepada guru-guru Little Diamond Kindergarten yang mengaturkan semua ini untuk anak-anak kami. Terima kasih kerana menjaga dan mengawasi mereka dengan baik di luar sana. Sebagai ibu, tak kurang rasa risau bila anak dibawa keluar ‘jauh’ dari kebiasaan. Selain doa, seluruh kepercayaan diletakkan pada guru yang menggalas amanah menjaga anak-anak. Terima kasih atas segalanya.




Lagi foto hari ini yang diambil dari Fb Little Diamond Kindergarten;















































Saturday, 29 September 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 290918






Hari minggu. Hari kedua abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi seperti biasa (lewat sikit), mandi dan berpakaian. Miqdad ikut ummi beli nasi lemak di luar. Anas dan Mussaab tinggal di rumah menonton tv dan melukis. Mussaab pagi ni dah start dengan aktiviti menggunting.


Lepas sarapan bersama, sambung membuat aktiviti masing-masing. Mussaab asyik menulis nama ahli keluarga di kertas. Tak cukup satu kertas, tambah kertas lagi. Miqdad jadi teman memerhati Mussaab yang tekun menulis. Anas melayan video Minecraft di tv.


Jam 9.45, ummi sempat ajar Anas bab solat, diambil dari buku hadis yang dah lama dibeli, tapi baru berkesempatan untuk menekuninya. Kemudian Anas melukis, dan belajar tentang evolusi ‘rumah’ dì Malaysia. Kemudian sambung buat latihan mental Arithmetic, revision lagi, dah masuk buku 4 (kawan 5). Mussaab tekun lagi di meja kecilnya membuat aktiviti melukis pula. Miqdad pula sekejap ke sana, sekejap ke sini, memerhati dan ‘mengacau’ abang-abang buat kerja. Saja, minta perhatian. 


Jam 11, ummi masuk dapur untuk memasak. Anas, Mussaab dan Miqdad kembali menonton tv. Anas kini obses dengan video ‘zombi’, adik-adik terpaksa ikut tengok sekali. Sesekali buka video dinosaur yang menjadi kesukaan Miqdad. Mussaab banyak mengalah bab menonton, dia banyak membuat aktiviti mengikut ‘kreativiti’. Rumah dah bersepah, segala macam barang ada di lantai ,:/


Siap memasak, makan bersama. Mussaab makan pulut, Anas makan nasi lemak pagi tadi yang masih berbaki, Miqdad pula tak ada selera nak makan. Berjalan ke sana ke mari. Dah mula menangis dan merengek, ada saja yang tak kena. Selesai makan, kembali menghadap tv. Miqdad tenang seketika, dapat ummi siapkan kerja mengemas dan menyiram tanaman di luar.


Jam 1, naik ke atas. Bersedia untuk tidurkan Miqdad. Mussaab juga naik sekejap, turun semula ke bawah. Anas pun sama. Masing-masing membuat aktiviti sendiri di bawah. Miqdad lena di pangkuan ummi. Ummi juga mengantuk dan tidur bersama Miqdad. Tengah tidur, terdengar pintu dibuka dan ditutup beberapa kali. Mussaab keluar masuk bilik dan buat aktivitinya keseorangan. Beberapa kali dia panggil ummi dan bertanya ejaan nama ahli keluarga yang dia tengah obses nak menulis dari semalam, dan bertanyakan umur. Sampai ummi minta dia stop kejutkan ummi dan tunggu ummi bangun. 


Jam 3.30 Miqdad bangun dari tidur. Mussaab yang tadinya asyik dengan ‘kerja’nya, dah tidur di sebelah Miqdad. Alahai kesian Mussaab. Entah dah siap ke belum kerja dia yang dia semangat sangat buat tadi. Ummi rasa bersalah, tak layan ‘kerajinan’ Mussaab tadi. Ummi masih baring di tilam, tunggu sehingga Mussaab bangun. Bila Mussaab dah bangun, semua turun ke bawah. Anas sedang melayan video. Entahlah apa yang dibuat di bawah sejak tadi. Nak ajak tidur, memang takkan lah Anas.


Anas request nak roti Nutella, dan habiskan 2 keping roti. Miqdad juga makan sekeping. Mussaab pula sambung makan pulut kuning kesukaannya. Lepas tu lepak depan tv lagi, dancing dan gelak ketawa sama-sama 3 beradik. 


Jam 5 petang, keluar bermain di luar pula. Setengah jam kemudian masuk semula. Layan tv lagi. Ummi goreng nasi dan suapkan Mussaab dan Miqdad. Anas tak nak makan, sudah kenyang katanya. Lepas makan, sessi kerahan tenaga, kemas rumah bersama-sama. Sambil mengemas, sambil bermain. Aduh, geram yang amat! sabar jelah.


Hampir jam 7, naik mandi dan berpakaian malam. Sementara menunggu waktu untuk baca al-Quran, Anas, Mussaab dan Miqdad buat aktiviti di buku sama-sama. Riuh rendah lagi dengan suara seperti kebiasaannya. Kemudian baca Al-Quran, Iqra dan hafazan. Turun ke bawah sekejap minum madu dan air. Naik semula ke atas. Ummi susukan Miqdad, Anas dan Mussaab buat hal sendiri di luar. Miqdad terlena sudah.


Sekejap kemudian Anas dan Mussaab masuk ke bilik. Dah bosan, tak tahu nak buat apa. Mussaab tadinya mengadu sakit tekak, mungkin faktor cuaca, ada kebarangkalian untuk selesema. Semoga akan baik, insya Allah. Anas dan Mussaab baring di tilam. Bergolek ke kanan dan ke kiri, akhirnya terlena juga. Jam 9.30, sudah lena semuanya. Alhamdulillah.


Semoga bermimpi indah anak-anak ummi semua. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Insya Allah. Semoga Allah menjaga kita, dan menjaga abi yang jauh di lautan sana. Semoga akan kembali bertemu dan bersatu. Semoga Allah panjangkan usia kita, dan kurniakan kesihatan yang baik buat kita. Semoga bahagia selamanya kita, bersatu di dunia dan akhirat. Aameen.

Thursday, 27 September 2018 0 comments By: Naemah

AKU TENTANG POLITIK MALAYSIA





Pendirian politik.

 Tak ada siapa pun yang pernah bertanya, actually :) Cuma saja nak sentuh, melihat kepada senario politik tanah air tercinta ini. 


Sekali fikir, tak ada yang menarik sangat pun politik Malaysia ni. Bosan! Parti politik di sebelah sini atau di sebelah sana, masing-masing ada pentaksub yang hidup dengan maki hamun. Maaf cakap, bukan semua, tapi ia wujud.


Maaf cakap lagi, dunia politik Malaysia bukan sesuatu yang harmoni dan indah untuk direnung, dek ‘adab’ yang semakin luntur di kalangan kita. Tak kira kamu siapa, bagaimana penampilan harian kamu, namun bila mencampuri dunia politik, kamu kelihatan hodoh kerana tampil penuh biadab. Menghina sesuka hati. Memfitnah seakan tak takut pada dosa. Jika bukan kamu yang sedang membaca ini, maka jangan terasa.


Pentaksub PAS, PH, dan UMNO. Wujud dalam semua parti ini. Bila kata pentaksub, maknanya parti dan pemimpin dia saja yang betul. Yang lain, semua salah. Menghina, memaki, mengkeji, mengutuk, umpama itulah makanan untuk jiwa. Di laman sosial contohnya, perang politik tak pernah sudah. Jika hal yang lain boleh bersatu, masuk part politik terus jadi tegang! Teruk kan? 


Terus terang, aku tidak mahu ikatkan hati aku pada mana-mana parti politik kerana aku percaya setiapnya ada kelebihan dan kekurangan. Ya, untuk cenderung itu pasti. Tapi untuk berkata parti dan pemimpin ini sentiasa betul, tidak sekali. Kerana pegangan yang begitu akan menutup hati untuk bersetuju dengan kebenaran yang dibawa pimpinan parti yang selainnya.


Jujurnya, Aku punya rasa hormat yang tinggi pada pemimpin-pemimpin tanah air seperti Dr Mahathir PM sekarang, TG Haji Hadi, Tn Ibrahim Tuan Man, Ustaz Nik Abduh, Mat Sabu, Dr Mujahid, Dr Maszlee, Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Dr Asyraf Wajdi, dll bahkan kepada pemimpin non-Muslim sekalipun. Jika yang datang dari mereka itu benar, maka aku perlu membenarkan. Jika sebaliknya, aku bebas untuk tidak bersetuju. Tak mahu mentaksub, tak ingin membenci. 


Yang jelas, aku ini bukanlah siapa-siapa. Hanya seorang warganegara yang layak mengundi dan sudah pun mengundi. Aku ok saja, dengan barisan pemimpin kerajaan baru yang sekarang ini. Tiada masalah. Tidak terlalu suka, dan tidak sekali membenci. Sebagai warga Malaysia aku menyokong dan turut mendokong, agar barisan pimpinan sekarang mampu membuat perubahan ke arah yang lebih baik untuk Malaysia tercinta ini. Andai ada yang lebih baik, moga Allah angkat mereka menjadi pemimpin negara di masa yang akan datang. Semoga yang nantinya terpilih, adalah yang lebih baik dan terbaik. Insya Allah.


Namun hakikatnya rasa tak puas hati sebenarnya bukan pada pemimpin. Sekali lagi, kepada pentaksub! Pentaksub yang tersepit dalam kepompong yang sempit. Yang hanya ingin percaya dan taat pada satu suara. Sukar berlapang dada, sukar menerima pendapat dan hujah yang selainnya.


Bebaskanlah diri. Jaga lisan dan kata. Hidup lah secara harmoni. Berlapang dada pada pendapat yang banyak dan berbeza. Tenang saja, meski tak bersetuju. Tak perlulah maki hamun dan membodohkan orang. Jadilah Muslim beradab. Berilmu dan beradab. Pasti akan lebih tenang dan sentosa.


Ingatlah, jangan melampau dalam berpolitik. Agar dunia politik ini tidak dipandang jijik dek wujudnya pemimpin dan pengikut yang tidak matang dan hanya mengikut perasaan.


Sekali lagi. Aku ingin bebas! Tak ingin terikat! Aku berhak untuk memilih. Aku berhak untuk setuju dan tidak setuju dengan sesiapa pun! Aku tahu Allah itu adil dalam menilai setiap pilihan kita. Aku pasti syurga neraka tak tergantung pada parti mana yang menjadi pilihan. Kerana setiap kita masing-masing ada peluang untuk mendapat cinta dan redhaNya. 

Thursday, 20 September 2018 0 comments By: Naemah

OLLY: SELEPAS 3 BULAN BERSAMA TUAN BARU

Terkenangkan Olly si kucing Parsi. Catatan kisah Olly yang lalu;


OLLY SI KUCING PARSI


Kini Olly sudah tak bersama kami. Dah 3 bulan berpisah dengan Olly. Olly ditinggalkan di kampung bersama tuan barunya, iaitu jiran dekat rumah mek. Olly tinggal bersama tuan baru sejak bulan Jun, iaitu selepas hari raya Aidilfitri.


Alasannya, kerana kami kerap travel balik kampung dan ke tempat lain. Bila ditinggalkan, tiada siapa yang boleh jaga Olly. Ia juga menyukarkan kami untuk balik ke kampung dalam tempoh yang lebih lama. Akhirnya kami nekad, untuk menyerahkan Olly pada yang sudi untuk menjaganya.


Baru-baru ini balik ke kampung sempat ‘jumpa’ Olly. Alhamdulillah Olly sihat-sihat dan baik-baik saja. Olly sekarang dah biasa makan nasi, tak lagi bergantung pada makanan khas yang dibeli :)


Anas dan Mussaab bawa Olly balik ke rumah mek. Mereka yang beriya sebenarnya nak jumpa Olly. Alhamdulillah dapat juga mereka main sekejap dengan Olly walaupun dalam keadaan Olly mencuba untuk larikan diri :)


Olly dah tak biasa dengan Anas dan Mussaab. Olly cuba melarikan diri untuk kembali ke rumah tuan barunya. Namun bila suamiku yang memanggil namanya, langkah Olly terhenti. Dia cam agaknya suara tuan lamanya. Tuan yang paling menyanyanginya dan banyak bermain dengannya. Olly diam diusap suamiku beberapa ketika, sebelum ia dilepaskan kembali ke rumah tuan barunya.


Selepas itu tak bersua lagi dengan Olly. Insya Allah akan jumpa Olly lagi bila balik kampung lain kali. Sekadar untuk lepaskan rindu anak-anak pada Olly dan bermain dengannya. Lebih 2 tahun Olly bersama kami, masakan tak ada perasaan ‘sayang’ :) tapi mungkin ini keputusan yang terbaik, serahkan Olly pada tuan baru yang diyakini boleh menjaganya dengan baik.


Bye.bye Olly.

Till we meet again.

Insya Allah.











PANTAI BISIKAN BAYU: PERCUTIAN TAK DIRANCANG


Baru-baru ini berkesempatan balik ke kampung, selepas kepulangan terakhir kami iaitu pada hari raya Aidiladha yang lepas. Kebetulan Suami bercuti seminggu, tambah pula dengan cuti Hari Malaysia 16 September, dan tambah lagi cuti sendiri Anas dan Mussaab 2 hari :D dapatlah 5 hari semuanya termasuk perjalanan pergi dan balik. Alhamdulillah :)


Sebenarnya kami ada plan juga nak bercuti di tempat lain selain ke kampung. Kiranya nak singgah di mana-mana lokasi best dan terdekat. Suamiku plan nak ke Hadyai Thailand, tak jauh sangat pun dari rumah mak mertua di Kota Bharu. Plan juga nak ke Pulau Perhentian, macam best, sebab kami tak pernah ke sana. Tapi sekadar plan berdua je, tak cakap pada Anas dan Mussaab. Sebab mungkin jadi, mungkin juga tak jadi. Maklumlah, cuti bukannya lama. Dapat balik kampung pun kira dah syukur sangat :)


Nak dijadikan cerita, hari kami balik ke rumah mak mertua iaitu pada 15/9/18, kebetulan adik iparku Azim dan family tengah bersiap nak bercuti di Setiu Terengganu. Mereka dah booking hotel, dah siap semua pakaian, singgah dulu di rumah mak. Mereka pelawa kami untuk bersama mereka. Mereka pun tak sangka agaknya akhirnya kami setuju nak ikut,  padahal baru saja sampai di rumah mak :D Mak pula memang tak nak ikut, so kami 2 keluarga sajalah yang pergi.


Aku pun sebenarnya tak bersedia nak ikut, dah penat bermusafir tadinya dari jeli, kemudian singgah di Pengakalan Kubor dan kedai pakaian bundle di Kota Bharu, sebelum sampai ke rumah mak. Tapi bila suamiku kata nak pergi juga, maka ikutlah kami. Oh ya, sebelum bertolak sempat lagi kami singgah makan kenduri di rumah kenalan mak di kampung berdekatan.


Selesai makan kenduri, sekitar jam 3 petang, kami bertolak menaiki kereta adik iparku. Mereka bersama 4 anak mereka, dan kami bersama 3 anak kami, 11 orang semuanya. 


Nak dijadikan cerita lagi, kami sekeluarga sebenarnya masih belum ada tempat penginapan. Cek bilik di hotel yang dibooking adik ipar tadi, rupanya dah full ,:)


Dalam perjalanan tu jugalah ‘mencari’ tempat penginapan, call sana sini. Kebanyakan hotel dah penuh, maklumlah hari minggu. Ditambah dengan cuti umum lagi, semua orang nak berjalan makan angin :D


Akhirnya dapat juga booking bilik di Dee Wana Resort, lokasinya di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Putih. Maknanya, adik ipar terpaksa cancelkan penginapan mereka di  Setiu tadi dan lokasi percutian kami lebih dekat, iaitu kira-kira sejam setengah perjalanan dari rumah mak. 


Kami check in di Dee Wana Resort jam 4.30 petang. Selesai solat asar, suamiku, azim adik iparku, dan anak-anak kami terus ke kolam untuk mandi. Hujan turun renyai, namun mereka tetap leka dan seronok bermain kolam. Selesai mandi kolam, menuju ke pantai pula. Sekali lagi basah kuyup bermain air pantai. 


Hampir masuk waktu Maghrib, semua masuk ke bilik penginapan (apartment 2 bilik). Mandi, solat maghrib dan bersiap untuk keluar makan malam. Restoren ikan bakar menjadi pilihan kami malam ini. Menu ikan bakar, siakap 3 rasa, tomyam, udang dan sotong goreng celup tepung menjadi santapan kami malam ini. Alhamdulillah semua kekenyangan dan mata juga dah mengantuk. Balik ke bilik, dan tidur dengan sangat lena. 


Hari kedua, kami menikmati pemandangan pagi di tepian Pantai Bisikan Bayu. Anak-anak sekali lagi basah kuyup bermain air. Kemudian kami bersarapan bersama di dewan makan Dee Wana Resort, dan selepas itu sekali lagi anak-anak diberi peluang bermain di kolam. 


Selesai mandi di kolam, berkemas dan bersiap, kami check out dari Dee Wana Resort sekitar jam 10 pagi dan bertolak balik ke Kota Bharu.


Alhamdulillah. Sebuah percutian pendek yang tak dirancang. Terima kasih pada Azim dan Nasibah yang sudi ‘bawa’ kami bersama untuk makan angin di pantai. Rasa bersalah juga sebab plan asal mereka nak bercuti di Terengganu terpaksa dibatalkan. Hmmm...


Apapun seronok dapat spend masa sesekali dengan family yang jarang berjumpa. Kali terakhir bercuti bersama Azim and family rasanya pada tahun lepas (Mac/April) di Penang. Sebelum tu pernah ke Cameron Highland, dan Kota Kinabalu bersama dengan mereka dan ahli keluarga yang lain juga. Alhamdulillah. Semoga percutian singkat ini tetap memberi erti buat kita. Sekurang-kurangnya mendekatkan lagi ikatan yang mungkin dirasa jauh. Lepaskan lelah dan penat (tapi bukan rehat sangat pun bila dengan anak-anak kecil :D) sebelum masing-masing kembali menghadapi kesibukan hari bekerja dan bersekolah. 


Alhamdulillah 


Percutian kami;




Jeli-KB



Singgah pengkalan kubor membeli coklat 










Singgah kedai pakaian bundle-premium outlet baby kids




Siap untuk bertolak






















Mandi kolam Dee Wana Resort 














Pantai Bisikan Bayu- petang hari

















Buaian di tepi pantai 




Pagi 16 Sept- menikmati pemandangan di tepi pantai



TAMAT :)








Wednesday, 19 September 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190918







Hari ini kembali ke sekolah setelah 5 hari bercuti di kampung. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun awal, mandi, makan dan bersiap dengan pakaian sekolah. Ummi beli nasi lemak saja hari ni, tak sempat nak masak. Abi masih berada di rumah, esok akan kembali ke Bintulu.


Anas dan Mussaab ke sekolah seperti biasa dihantar ummi dan Miqdad. Berjalan dan berlarian di sepanjang perjalanan ke sekolah. Selepas itu ummi balik bersama Miqdad. Miqdad bermain sendiri dan menonton video sendirian. Kemudian temankan ummi menjemur kain dan menyiram pokok di luar. Lepas tu makan 2 biji pisang dan menonton video lagi. Ummi siapkan kerja memasak. Abi tidur di atas. Tiada yang melayan Miqdad. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja :)


Jam 12, abi bersama Miqdad ke Tadika Little Diamond untuk ambil Anas dan Mussaab. Selepas itu abi ke ofis, tinggalkan Anas, Mussaab dan Miqdad di rumah bersama ummi. Masing-masing melayan video lagi. Mussaab makan sedikit nasi dan ayam goreng. Miqdad juga makan sedikit. Dah kenyang agaknya makan pisang tadi. Anas pula katanya dah kenyang, tak nak makan nasi. Hanya menonton video dan melukis. Mussaab buat ‘aktiviti’ menggunakan kertas. Berpakat dengan Miqdad hasilkan kapal terbang dan bot. 


Selepas zohor, ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab di bawah, dengan hal masing-masing. Ummi tidur bersama Miqdad. Belum sempat lelapkan mata, Mussaab naik ke bilik. Sudah kebosanan di bawah, minta Hp ummi dan kacau adik tidur. Miqdad bangun dan bermain bersama Mussaab. Keduanya turun ke bawah. Dapat ummi lelapkan mata sekejap.


Jam 3, abi balik. Mussaab dan Miqdad ikut abi naik ke atas. Ummi tak dapat lelapkan mata lagi. Mussaab dan Miqdad bermain dengan riang rianya di dalam bilik. Anas masih di bawah. Masih dengan video dan lukisannya. Ummi turun ke bawah bersama Mussaab dan Miqdad. Ummi goreng pisang dan keropok lekor, makan sama-sama. 


Cuaca gelap nak hujan, Anas keluar angkat kain di jemuran. Mussaab dan Miqdad juga keluar bermain di halaman rumah. Abi turun ke bawah, keluar sertai Anas, Mussaab dan Miqdad. Hujan sudah turun dengan lebatnya. Riuh rendah di luar. Rupanya semua tengah main hujan, termasuk abi sekali. Patutlah...


Guruh mula berbunyi. Semua masuk ke dalam rumah, mandi dan tukar pakaian. Selepas solat asar, Anas buat latihan Mental Arithmetic, hafal sifir 2 dan menjawab soalan tambah dan tolak secara ‘mental’. Mussaab dan Miqdad ikut abi ke kedai dobi untuk keringkan kain. 


Pukul 6 petang, asyik menonton movie ‘into the storm’ tapi tak tengok sampai akhir juga. Tukar movie ‘cars’ pula. Abi order McD untuk makan malam. Lama menunggu, lebih sejam baru sampai pesanan. Katanya ramai yang order hari ni, ditambah pula dengan cuaca hujan, itulah punca pesanan lambat sampai. Dah dapat makanan yang diorder, terus makan bersama-sama.


Masuk waktu isyak, abi ke surau solat berjemaah. Ummi solat sendiri. Anas, Mussaab dan Miqdad yang sudah mengantuk sambung melayan tv. Selepas itu ummi ajak naik tidur. Mussaab dan Miqdad ikut naik ke atas. Tinggal Anas yang masih setia di bawah. Sekejap saja susukan Miqdad dan temankan Mussaab, keduanya tidur dengan lena. Anas pula naik ke atas. Siap untuk tidur. Ummi temankan Anas tidur. Abi yang baru siap kemas pakaian untuk bermusafir esok, juga masuk temankan Anas hingga Anas tertidur. Jam 9.30 malam, sudah lena semuanya. Alhamdulillah.


Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga segala urusan kita dipermudahkan. Esok abi akan keluar bermusafir dan mencari rezeki. Semoga akan dipertemukan lagi dan disatukan lagi keluarga kita bersama keredhaanNya. Aameen.

Tuesday, 18 September 2018 0 comments By: Naemah

BERPADA-PADA MEMPERAGAKAN ANAK



Hadirnya anak-anak, memberi kebahagiaan yang bukan sedikit pada jiwa seorang ibu. Dari mendapat tahu diri hamil, di sepanjang tempoh 9 bulan mengandung, kemudian melahirkan dan membesarkan, perasaan bahagia itu bertambah saban hari. Apatah lagi melihat comelnya mereka dan cerdiknya mereka. Bukankah itu perasaan kita yang Allah anugerahkan anak-anak permata hati ini :)


Di zaman moden ini, terlalu banyak ibubapa yang ghairah ‘memperagakan’ anak-anak di laman sosial. Baik selebriti, baik yang bukan selebriti. Siap ada ig khas untuk anak-anak kan? Followers pula beribu hingga berjuta. Wah! Selebriti kecil. 


Salahkah? 


Siapalah aku nak katakan ianya salah. Apatah lagi berdosa. Itu hak masing-masing :) anak kita, sesuka hati kitalah kan?


Cuma kalau boleh dipesankan, berpada-padalah dalam ‘memperagakan’ anak-anak demi menjaga hati kita agar tak riak, dan menjaga hati yang melihatnya, agak tak dengki. Dan yang lebih utama, menjaga ‘privasi’ anak-anak kita, kerana bukanlah semua hal tentang mereka perlu dipersembahkan dan diceritakan pada umum.


Ibubapa zaman kini, obses memperagakan kecomelan anak, bercerita tentang kepandaian mereka, dan sebagainya. Sekali lagi, tak salah pun. Cuma berpada-pada. Bimbang hati kita pula yang terlebih bangga dan kagum pada anak sendiri. 


Kepada yang hanya menjadi ‘follower’, jaga-jagalah hati kita ya. Usah ada rasa cemburu dengan segala ‘nikmat’ yang dimiliki orang lain, yang dipersembahkan kepada kita. Yang belum direzekikan anak, yang punya anak sering sakit dan tidak sihat, yang anak lambat sedikit perkembangan, yang anak tak setanding pencapaian anak mereka, yang tak mampu berikan pakaian mahal dan bawa anak-anak jalan-jalan macam mereka, dan sebagainya, tenang-tenangkan hati. Sekelumit cemburu, tanpa istighfar akan mendorong pada hal dan tindakan yang tak sepatutnya.


Contoh? Kita mula membandingkan anak-anak kita dengan anak mereka. Kita ‘menekan’ anak untuk jadi seperti anak mereka seperti untuk cepat pandai membaca, mengira, dll, bahkan boleh undang rasa rendah diri kerana tak mampu memberikan yang serupa pada anak-anak.


Jika sudah timbul perasaan yang begitu, boleh lah segera menjauhkan diri dari dunia ‘sosial’ yang banyak berkongsikan hal yang demikian ya. 


Namun aku juga percaya bukan semua orang berkongsi untuk ‘menunjuk’ atau berbangga-bangga. Ada yang banyak berkongsi ilmu dan tips berguna berkenaan pendidikan anak-anak juga. So, bukan hak kita juga untuk judge orang. Hak masing-masing kan. Tak menyusahkan kita sedikit pun, biar apa pun yang ingin mereka kongsikan termasuk hal anak-anak mereka.


Dan aku juga hakikatnya seorang yang suka mencatat hal berkenaan anak-anak. Sebagai seorang suri rumahtangga, aku tak punya cerita lain, melainkan cerita anak-anak. Cuma barangkali aku perlu sering ingatkan diri agar tak terlalu ‘memperagakan’ mereka pada khalayak. Kerana itu juga aku tak memilih untuk ‘accept ‘ follower di akaun instagram kecuali ahli keluarga terdekat. Sebab di situ terlalu banyak gambar dan cerita tentang anak-anak. Akaun fb pula, juga tak ramai ‘friends’ ahli keluarga dan sahabat rapat je. Itupun jarang berkongsi cerita anak-anak di situ :) 


Di blog inilah, banyak catatan dan cerita. Ia tak lain, untuk tatapan mereka di masa akan datang, bersama harapan ia juga terkandung ilmu dan pelajaran berguna pada sesiapa yang ‘menyinggah’ blog ini. Ia ‘bukan sekadar tentang anak-anak’. Sudah tentunya sebagai ibu, wujud rasa  bangga dan syukur di atas setiap pencapaian anak-anak, namun bukan untuk memberi masej bahawa mereka lebih baik dari anak-anak yang lain, kerana aku juga masih mencuba untuk memberikan yang terbaik buat mereka. Anak-anak kami seperti anak-anak yang lain, ada keistimewaan dan ada kekurangan. Sama.


Oleh itu, jika ini boleh dijadikan pesanan dan peringatan, semoga sentiasa berpada-pada dalam berkongsi tentang anak-anak di media sosial. Banyak ‘akibat’ yang perlu kita fikirkan, dan baiknya jika dapat kita selidiki ‘niat’ kita sebelum ‘share’ setiap perkara tentang mereka. 


Ini sekadar pandangan dan penulisan dari seorang ibu yang ‘tak glamour’  :) Tak setuju pun tak mengapa. Jangan ada pula terasa hati dengan penulisan ini. Aku percaya masing-masing ada pandangan tersendiri. Apapun yang kita kongsikan di laman sosial, mudah-mudahan Allah lindungi kita dan mereka dari penyakit hati seperti riak, takabbur dan hasad dengki.

Tuesday, 11 September 2018 0 comments By: Naemah

RUTIN DI HARI CUTI SEKOLAH



Sudah berakhir 4 hari cuti persekolahan Anas dan Mussaab. 2 hari weekend, ditambah pula dengan 2 hari lagi cuti umum sempena hari keputeraan YDPA dan Awal Muharram, 4 hari lah jadinya :)


Alhamdulillah pada hari Sabtu berpeluang membawa anak-anak berjalan di Muzium Negara dan Planetarium Negara. Suamiku masih berada di rumah pada hari tersebut. Dapatlah ‘berjalan’ jauh sikit :) 


Pada hari berikutnya, Ahad, Isnin dan Selasa, suamiku sudah tiada di rumah lagi. Seperti biasa dia kembali bertugas di Bintulu. Maknanya, 3 hari berikutnya Anas dan Mussaab hanya spend masa cuti mereka di rumah sahaja bersama ummi dan adik Miqdad. Tak ke mana-mana, paling jauh pun ke kedai Speedmart beli barang sikit :)


Di rumah, hanya melakukan aktiviti rutin seperti kebiasaan. Apa lagi, menonton tv, melukis, buat latihan Mental Arithmetic, mencatat dan melukis dalam journal, baca al-Quran, Iqra’ dan hafazan, berbasikal, berlari di halaman, bermain toys, bergurau senda adik beradik, dan aktiviti yang pelbagai sampai bersepah-sepah rumah dibuatnya. Macam biasa la, kalau hari minggu memang ‘meriah’ la rumah ni dengan segala macam benda dan peralatan :)


3 hari yang biasa-biasa sahaja barangkali untuk Anas dan Mussaab. Ummi juga tak berkesempatan nak guide special activity untuk Anas dan Mussaab. Banyak buat hal sendiri saja keduanya. Anas banyak menonton video dan melukis. Mussaab pula banyak ‘selongkar’ barang dan cuba untuk hasilkan ‘sesuatu’. Lantai pun selalu penuh dengan kertas, mainan dan alatan yang lain. Berulangkali kemas dan simpan ,:)


Dalam tempoh 4 hari percutian ini, kami menerima kunjungan tetamu pada hari Ahad. Tetamu datang tak lama, sekadar untuk bermalam dan ke tempat lain pula kerana ada urusan. Hari-hari yang berikutnya, komunikasi kita hanyalah antara kita 4 beranak saja :)


Anas dan Mussaab nampaknya dah tak sabar nak kembali ke sekolah. Bosan juga setiap hari berkurung di rumah kan? Rindu nak jumpa kawan-kawan, bermain, belajar dan buat aktiviti sama-sama. Mussaab setiap hari bertanya; esok cuti ke tak? ,:)


Apapun tetap bersyukur di atas hari-hari yang telah dilalui bersama. Biar rumah bersepah, suara riuh rendah berselang tawa dan tangis, banyak permintaan itu dan ini, walau kadang tak terlayan dan tak mampu nak layan semua, namun inilah ragam yang akan dirindui nanti. Penat, ada ketikanya penat juga. Emosi tercabar juga. Kesabaran menipis juga. Namun, inilah juga ruang mujahadah buatku. Bukan mudah mencari redhaNya. Perlu kuat dan kental. Dan perlu sering bermuhasabah diri.


Cuti sudah berakhir. Suamiku juga akan pulang ke pangkuan kami. Anas dan Mussaab akan kembali bersekolah. Rutin tetap berjalan seperti biasa. Tiada yang luar biasa. Namun setiap hari tetap menjanjikan momen yang pasti dikenang bersama. Masa akan terus berjalan. Aku sedar semua ini tidak lama. Anak-anak makin hari akan makin membesar. Satu saat mungkin tak kedengaran lagu suara gamat dan riuh rendah mereka seperti hari ini.  Ketika itu, mungkin hanya rindu yang datang mengusik jiwa.


Allah. Dah mula rasa sayu dan rindu. Seperti tak bersedia untuk lepaskan mereka pergi jauh. Semoga takdir hidupmu adalah yang terbaik anakku. Semoga baik-baik kehidupan kalian di masa akan datang. Semoga kita semua akan sentiasa dekat. Akan sentiasa berusaha untuk dekat. Ummi sayang anak-anak ummi. Maafkan atas segala kekurangan ummi dalam memberi :’(




Antara rutin/aktiviti cuti sekolah;