Merancang keluarga ada banyak kaedahnya. Salah satunya adalah kaedah suntikan/depo-yang aku nak kongsikan dalam blog ni.
Untuk info yang lebih terperinci tentang kaedah suntikan ni boleh ke laman web yang membincangkan hal berkenaan, antaranya;
APA ITU SUNTIKAN PERANCANG KELUARGA?Secara ringkasnya, perancang keluarga kaedah suntikan ini diambil sekali dalam tempoh 3 bulan. Maknanya setiap 3 bulan kena pergi klinik cucuk perancang ni.
Di sini aku just nak share pasal pengalaman sendiri yang memilih kaedah ini sebagai perancang keluarga. Sebagai pemerhatian dan rujukan diri sendiri jugalah, atau untuk mereka yang mencari info dari pengalaman orang lain :)
Tempoh penggunaan kaedah suntikan.
Suntikan pertama diambil pada 6/5/2024 ketika usia Nuha 2 bulan lebih, dan yang terkini pada 8/4/2025, usia Nuha dah setahun lebih. Dalam tempoh setahun ni dah terima 5 suntikan iaitu pada bulan Mei, Julai, Oktober, Januari dan April.
Ya, kali pertama ambik perancang. Sebelum lahirnya anak kelima, tak pernah ambil pun. Memilih untuk menggunakan kaedah perancang keluarga atas saranan doktor, sebab usia dah 40 (2025), dan kencing manis pula. Ringkasnya, sebab berada dalam kategori berisikolah, disarankan untuk ambik perancang keluarga supaya taklah ‘tiba-tiba’ mengandung lagi.
Alasan memilih perancang keluarga kaedah suntikan/depo.
Sebelum tu agak confuse juga nak guna kaedah yang mana satu. Masa pregnant doktor dan misi dah terangkan satu persatu tentang kaedah yang ada. Kat buku pink tu pun ada sebagai rujukan, antara nak baca dengan tak nak je.
Akhirnya pilih kaedah suntikan sebab rasanya lebih mudah. Hanya perlu ke klinik 3 bulan sekali untuk terima suntikan. Tak seperti kaedah pil perancang (kena beringat setiap hari) dan kaedah lain yang rasanya ‘berat’ untuk dicuba. Sebelum tu memang ada bertanyakan pengalaman orang lain juga, dan tak lupa mencari info di internet. Dan yang sebenarnya, was-was nak ambik perancang ni. Entahlah…
Dan ye, akhirnya memilih kaedah suntikan buat pertama kalinya selepas melahirkan 5 anak.
Kesan ketara: Haid tidak teratur
Dari pembacaan dan penerangan, sedia maklum yang antara kesan pengambilan perancang ini akan menjadikan haid tak teratur. Ada yang datang haid tak henti (panjang tempoh), ada juga yang tak datang langsung. Pun begitu, ada juga haid datang normal macam biasa. Kata doktor, semua tu boleh jadi.
Untuk aku yang sebelum ini haid sangat teratur, setiap bulan period datang dalam tempoh 6-7 hari, selepas mengambil perancang, kitaran haid dah jadi tak betul. Haid pertama datang pada 27/5/2024 sehingga 7/6/2024 (12 hari)-selepas suntikan 6/5/2024. Tempoh masanya lebih panjang berbanding kebiasaan, tapi darah yang keluar tak banyak (tak heavy), macam hari ke 3-4 haid biasa. Hujung-hujung hanya spotting saja. Tapi tulah, tempoh masanya panjang.
Dari satu suntikan nak ke suntikan seterusnya, purata kitaran haid 2 kali, dalam tempoh 12-15 hari. Dan ada juga sekadar spotting (sehari semalam) sahaja. Begitulah, tak tentu. Tapi bila dihitung-hitung balik, period dah jarang datang sebenarnya. Alhamdulillah puasa hari tu pun dapat puasa penuh sebulan. Ianya tak pernah terjadi, kecuali pregnant.
Mula tu stress juga nak hadap period yang lama nak habis, tapi bila dah biasa rasa boleh terima dah.
Berat badan naik mendadak?
Ni tak tahu kesan dari pengambilan perancang atau tidak, dari suntikan pertama, berat 62.1 kg sampai ke suntikan kelima ni, berat dah jadi 64.5 kg. Dekat 3kg naik berat ni. Mendadak tu takdelah.
Rasanya tak ada kaitan dengan perancang (walaupun ada yang kaitkan berat badan dengan pengambilan perancang). Seingat aku, setahun lepas aku masih menjaga diet, tak makan berlebihan. Tapi makin lama (entah kenapa ye) selera makan tak mampu dikawal. Dah tak ada sukatan makan nasi, kuih dan biskut manis pun makan tanpa bersalah (air manis masih mampu dikawal).
Ya, sebelum ni jaga diet sebab nak turunkan bacaan hba1c (kencing manis), tapi lama kelamaan diet entah ke mana. Berat badan pun perlahan-lahan naik. Selera makan ni.. ada kaitan dengan pengambilan perancang ke?? WallahuA’lam.
Apapun, bab makan ni kalau diri sendiri tak nak disiplin dan jaga, tanggunglah akibatnya. Tak perlu salahkan perancang atau apa-apa. Betul tak?
Kesan sampingan lain;
Rasanya tak ada kesan lain yang ketara sepanjang setahun ni. Atau mungkin diri yang tak peka pada tubuh sendiri. Apa-apa, just ingat faktor umur jelah kan :b
Tetap dengan kaedah suntikan atau tukar kaedah lain?
Untuk masa sekarang, teruskan saja dengan kaedah suntikan. Setahun dah ambik suntikan ni, rasanya tak ada masalah untuk diri ini. Masalah haid tak teratur bukan masalah sangat, takdelah sehingga confuse darah haid atau istihadah. Masalah berat badan juga, itu sesuatu yang perlu diperbetulkan dengan disiplin diri dalam berdiet. Bukan dengan menukar kaedah perancang keluarga.
Apapun untuk seterusnya, perlu dengar nasihat doktor yang memantau. Setakat ni tak ada masalah, teruskan saja.
Tamat dulu catatan pengalaman setahun mengambil perancang keluarga-kaedah suntikan/depo.
Semoga apa pun ikhtiar,tetap memberikan kebaikan kepada diri, bukan sebaliknya.