Saturday, 30 November 2024 0 comments By: Naemah

SUATU HARI DI KUALA LUMPUR



Alhamdulillah bertemu Disember. Alhamdulillah hari ni cukup lengkap satu keluarga (petang ni abi dah nak bertolak pergi).


Mulakan catatan Disember dengan mengimbas cerita semalam (30/11/2024). Menutup November dengan aktiviti jalan-jalan sekeluarga. Sebelum kembali bekerja (hari ini) abi cuba gembirakan anak-anak dengan membawa mereka berjalan-jalan. Mulanya nak pergi waterpark, tapi Miqdad request nak pergi planetarium pula. Maka ke planetarium lah kita (Kali terakhir pergi pada tahun 2018 ketika Miqdad berusia 2 tahun). Kunjungan kali ke 3 buat Anas dan Mussaab, kali kedua buat Miqdad dan yang pertama kali buat Suri dan Nuha.


Jam 8.30 pagi bertolak dari rumah. Jam 9.30 sampai Planetarium Negara. Sekali lagi explore dunia angkasa lepas dan perkembangan sains angkasa yang penuh warna warni , canggih dan interaktif. Teruja Miqdad dapat masuk dalam ni. Yelah, dulu datang time kecik-kecik tak faham apa. Dah besar ni dapatlah belajar banyak. Anas dan Mussaab pun seronok, cuma Suri yang bosan sebab tak berapa faham sangat. Nuha ok je, didukung sana sini takdelah dia merengek. 


Kat dalam ni selain membaca dan melihat pameran yang disediakan, dapat juga naik space pod/kembara simulasi (macam duduk dalam kapal angkasa yang bergerak dan berpusing) dan menonton tayangan planetarium (keduanya dikenakan sedikit bayaran).


Selesai di Planetarium lebih kurang jam 11.30 pagi. Berjalan turun ke Muzium Negara pula atas permintaan anak-anak. Sini juga pernah datang (dah beberapa kali), tapi sebab mereka nak masuk juga, masuklah.. 


Sebelum tu menjamu selera dulu di cafe (di luar Muzium). Alhamdulillah selesai makan tengahari. Masuk muzium pula (pukul 1). Lebih kurang 30 minit je kat dalam ni. Suri dah start penat berjalan. Tapi sempatlah masuk semua bahagian (A-D) dalam muzium tu. Lepas tu beransur keluar dan ke tempat parking kereta (di kawasan Planetarium). Agak penat berjalan mendaki tangga untuk kembali ke Planetarium. 


Kemudian menuju pula ke Masjid Negara untuk solat Zohor. Kat sini juga berehat hilangkan penat berjalan tadi. Lebih kurang pukul 3 petang, meninggalkan masjid dan menuju ke Taman Botani Perdana (dulu selalu la datang sini lepaskan anak bermain di kawasannya yang luas). Dah lamaaa tak datang sini. Lepaskan sekejap anak-anak bermain di playground. Tapi tak main lama, sebab cuaca panas hari ni. 


Tinggalkan Taman Botani, menuju pula ke Tugu Negara (kunjungan kali ke-3). Sekejap juga kat sini sebab cuaca panas. Sempatlah bergambar depan tugu negara. Abi pula memerhati dari jauh sambil mendukung Nuha. Dah puas kat situ, beransur baliklah pula.


Masuk waktu asar, abi singgah Masjid Kajang. Tunaikan solat asar kat sini. Lepas tu ke taman lagi untuk lepaskan anak bermain (Taman Awam Jalan Timur,Kajang). Main sekejap then ke Metro Point Kajang pula. Mengimbas kenangan masa stay kat Kajang dulu (2015), selalulah datang sini. Masuk cuci mata je, dan beli mainan untuk Suri dan Nuha. Hari dah makin gelap. Jam 6.30 keluar dari Metro Point dan menuju ke restoren Kawana (pun dah biasa makan kat sini dulu). 


Makan malam yang menyelerakan, hujan pula turun dengan lebatnya, dan azan maghrib pun berkumandang. Selesai makan terus meninggalkan restoren dan menuju balik ke rumah yang dah semakin hampir. 


Alhamdulillah untuk satu hari yang terisi baik dan penuh kenangan. Susah nak dapat masa berkualiti bersama-sama. Dan dah lama juga tak jalan-jalan. Tak dapat pergi jauh, dekat KL ni pun cukup memadai. Kalau ikutkan, banyak lagi tempat menarik di KL ni yang boleh kita pergi. Lain kalilah pula, insya Allah. 


Terima kasih abi yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Abi balik tak lama, dan walaupun balik sibuk dengan urusan sana sini juga. Satu hari abi luangkan masa untuk hiburkan anak-anak, semoga dapat menampung apa yang kurang. Insya Allah.


Pagi ni abi bawa pula anak-anak ke rumah orang-orang tua (program sukarelawan kasih) untuk menyantuni mereka di sana. Ummi tak ikut, rasa nak rehat saja di rumah sebab esok akan kembali sibuk tanpa abi. Semoga anak-anak mendapat manfaat dari program pagi ini. 


Dan petang ini flight abi ke KB, dan esok turun ke laut. Insya Allah akan mudah segalanya buat abi , ummi dan kita semua. Berpisah dan bertemu kembali, insya Allah. Moga Allah reda sentiasa.



Foto kenang-kenangan;






























































Friday, 29 November 2024 0 comments By: Naemah

NOVEMBER MENUTUP TIRAINYA




November dah sampai ke penghujungnya. Entahlah, tiada kata nak menulis panjang-panjang. Menjalani hari-hari yang biasa saja. Sedar-sedar dah di akhir November. Bermakna sebulan saja lagi nak melangkah ke tahun baru.


Bulan ini tak kemana-mana. Lepas balik kampung hari tu, anak-anak meneruskan hari-hari persekolahan seperti biasa. Dan bulan ni juga UASA dilaksanakan. Semoga cemerlang lah semua ya! Insya Allah. 


Abi ada di rumah di permulaan dan di akhir bulan ini. Di pertengahannya, sibuk dengan kerja seperti biasa. 


Memang tak ada cerita menarik. Ulang alik rutin yang sama je. Anak-anak berpagian ke  sekolah, petang baru berkumpul balik di rumah. Ummi dan Nuha, ulang alik ke sekolah juga, pagi sampai petang. Malam hari pun anak-anak akan tidur awal macam biasa


Hari minggu tak ke mana juga. Spend masa bersama di rumah dengan aktiviti biasa. Sempatlah ulangkaji sekejap, main, dan menonton video. Rumah pun bersepah-sepah juga la bila semua ada kat rumah. Dan semestinya suasana lebih meriah dari hari-hari biasa. Ummi pun dengan emosi turun naiknya, macam biasalah. Dan Alhamdulillah, makan minum cukup semua. 


Begitulah di setiap harinya di bulan November ini. Hari yang biasa, namun penuh dengan kisah dan cerita. Ada suka duka, ada nikmat dan ujian, ada tenang dan ada gelombang.


Biar apa pun, syukur atas segalanya. Dapat terus melangkah hingga ke hari ini. Jatuh dan bangun lagi. Terkhilaf banyak, dan tetap berazam untuk memperbaiki diri. Pendek kata, takkan menyerah, walau rasa dah banyak kali jatuh tersungkur dan kalah dengan ujian. 


Menutup November dengan penuh rasa kesyukuran. Di sisi masih dia, suami yang setia, anak-anak yang semakin membesar dewasa, rezeki yang sentiasa ada tersedia, dan kesihatan yang baik untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba yang Esa.


Dan sudah tentu, bersama azam untuk membawa watak seorang isteri, ibu dan anak yang lebih baik. Moga Allah bantu hamba yang lemah dan sering kecundang ini.


Disember mendatangi. Moga dapat menjalani hari-hari yang lebih baik dan membahagiakan bersama yang tersayang. Ameen



NOVEMBER























Thursday, 14 November 2024 0 comments By: Naemah

DIARI UMMI: PENAT SANGATKAH?


Seawal pagi, kisah pun bermula. Bangun dan bersedia kejutkan anak-anak dari lena mereka. Sekali, dua kali, hingga  berkali-kali baru bangkit semuanya. Dari nada suara rendah kepada yang lebih tinggi.


Sarapan wajib siapkan juga. Paling malas, goreng nuget jelah. Yang penting ada terhidang sarapan kat atas meja. Ada yang tak suka makan pagi, ada yang pilih-pilih nak makan, tak nak makan, ada yang memang nak kena makan juga sebelum ke sekolah. 


Selesai di meja makan, ayuhlah bergerak ke sekolah masing-masing! Time semua ready (keperluan ke sekolah), akan segalanya lancar. Tapi kalau sebaliknya; ada yang belum susun jadual, stokin takde, songkok lupa letak mana, dan lain-lain kejadian, jadi ribut dan kalutlah. Walaupun setiap hari dipesan, masih berulang hal yang serupa. 


Masuk kereta, kena cukup ‘lima’, seorang pun tak boleh tinggal. Selain yang paling kecil, yang kakaknya kadang perlu berangkut masuk kereta sebab tak nak bangun lagi. Dalam kereta pula, ada masanya tenang-tenang saja. Ada masanya pula kecoh dan riuh dengan pelbagai asbab. Yang kecil tu pun kalau dia diam je dalam carseat tu alangkah baiknya. Kalau dia menangis tak henti, nak memandu pun tak tenang. Tapi tetap perlu teruskan juga. 


Akhirnya seorang demi seorang berjaya dihantar  ke sekolah. Empat sekolah, seorang di rumah. Seorang yang tak boleh lepas dari perhatian, hampir sepanjang masa. Yang perlu diikut rentak dan mahunya. Nak susu, nak tidur, nak main sendiri, nak ummi ada dengan dia, terserah dia. Nak masak, nak kemas, nak laundry, tengoklah.. waktu bila kaki ummi tak di’ikat’ oleh dia. Atau lakukan ‘bersama-sama’ dia. Dah biasa dah dengan kerja/masak separuh jalan, bila bertembung dengan kehendak dia. 


Tepat jam 12 keluar ambil kakaknya. Balik rumah. Kemudian ambik angahnya di sekolah pagi, dan balik rumah. Makan tengahari wajiblah beres, dan hantar pula ke sekolah petang. Ada lebih kurang 2 jam untuk trip berikutnya. Boleh lah rehat lelapkan mata dulu.


Kemudian ambik 2 yang di SRAI. Dan akhir sekali yang seorang lagi di sekolah agama. Jam 6.30 dah boleh tutup rapat pagar rumah. Dah tak ada aktiviti keluar masuk lagi. Dah tak perlu hadap jem di jalan raya. Yang kecil dah tak perlu turun naik kereta dah. Tak meronta di atas carseat dah. Rumah pun kembali meriah dengan suara-suara. Biarkan mereka berbuat sesuka hati sebelum jam 7 malam. Makan malam, pun wajib ada demi anak-anak tak kelaparan di malam harinya. 


Hingga Maghrib, semua wajib naik ke atas untuk solat dan bersedia untuk tidur (selesai isyak). Anak-anak yang siang harinya sudah kepenatan, selalunya akan tidur awal tak perlu dipaksa-paksa.


Malam sebelum ummi lelap, perlu pastikan baju/uniform tersedia untuk esok harinya (5 pasang satu hari ya!). Yang perlu dibasuh dan digosok, perlu segera siap. Tak boleh tangguh. Esok hari tinggal sarung saja. Sinki perlu dikosongkan (kalau malas tinggal je). Ruang tamu perlu dirapikan (kalau tak larat biarkan aje dulu). Yang nyata, jarang la nak sempurna semua sebelum masuk tidur. Settle yang wajib-wajib je. 


Sebelum tidur, masih ada masa untuk diri sendiri. Adalah ruang sekejap sebelum lelap. Dan bersedia untuk rutin esok yang seakan sama dan berulang. 


Begitulah perjalanan harian seorang ummi. Kitaran harian yang terkini (time abi di laut). Yang akan datang pasti ceritanya berbeza. Seiring berjalannya waktu. Dan anak-anak yang kian menjengah besar dewasa. Rutin pasti akan berubah lagi.


Tak dinafikan penat, dan bukan ‘berdosa’ meluahkan rasa penat ini kan? 


Fizikal penatnya tak seberapa. Tapi mental yang (mungkin) terlebih beban. Banyak nak kena fikir dan berjaga-jaga. Ada ketikanya dihadap dengan kebuntuan yang memerlukan penyelesaian sendiri. 


Tapi.. kepenatan ini akan berlalu jua. ‘Mereka’ takkan selamanya berada pada fasa yang kini. Mereka akan membesar. Mereka akan melangkah keluar seorang demi seorang dari rumah ini untuk membina kehidupan sendiri. Dan mungkin mereka dah tak perlukan ummi lagi untuk urusan kehidupan mereka.


Sudahlah.. buat ummi sebak pula nak fikir jauh ke depan.


Duhai ummi..  hadaplah segalanya hari ini dengan penuh ikhlas. Penat ini, satu hari akan hilang. Penat ini, jika kerana Allah, takkan pernah sia-sia. 

Saturday, 9 November 2024 0 comments By: Naemah

DI PERMULAAN NOVEMBER INI


Satu pertiga bulan November sudah berlalu.

Alhamdulillah bermula November ini dengan cukup lengkap ahli keluarga (abi balik dari laut pada penghujung Oktober). Berkebetulan  pula dengan cuti Deepavali, sempatlah balik kampung bertemu keluarga. Ya, bermulanya November kita di kampung dengan suasana meriah, siap ada jamuan makan dan bbq di rumah nenek. Tak semua balik, tapi tetap meriah dengan anak-cucu yang ada. 


Balik rumah nenek sekejap, then balik rumah mek sekejap, cukuplah dulu, sebab cuti tak lama. Insya Allah bulan depan kita balik lagi.


Dan 10 hari pun berlalu. Kini dah berada di rumah meneruskan rutin yang biasa. Anak-anak masing-masing perlu fokus dan bersedia untuk exam akhir tahun. Ummi pula, mengulangi hal yang sama seperti setiap harinya. Namun Alhamdulillah, kerana abi ada bersama, tugas ummi lebih ringan. Syukur pada Allah.


Imbas situasi bulan lepas yang agak ‘berat’ dan terhimpit, bila mana masa abi banyak di laut berbanding di rumah. Ia sangat-sangat menguji. Dengan urusan 4 anak yang bersekolah, dengan baby yang dalam fasa melasak, dan tak boleh ditinggalkan lama untuk buat kerja, agak memenatkan. Tak ada siapa nak minta tolong. Semua sendiri-sendiri. Termasuk juga cerita musafir jauh untuk exam UKKM Anas, semua dilalui tanpa abi. Dan semua berjaya diharungi dengan izin Allah, 


Alhamdulillah, di permulaan November ini keadaannya lebih tenang dan bahu juga terasa amat ‘ringan’. Walaupun awalnya diuji dengan keadaan Nuha yang kurang sihat (first time demam). Menangis, merengek, dan mahu dipangku sentiasa. Alhamdulillah ada abi, boleh saling menjaga dan buat kerja rumah dan urusan anak- anak yang lain bersama. Dan Alhamdulillah, Nuha kembali sihat dan ceria. Yang lain-lain juga sihat dan baik semua. Dapat ke sekolah setiap hari. Syukur pada Allah.


Tapi.. abi juga akan kembali lagi ke lapangan kerjanya. Kurang seminggu saja lagi berada di rumah. Akan ke laut lagi. Begitulah rentak kerja abi yang perlu ummi dan anak-anak faham sentiasa. 


Alhamdulillah untuk permulaan November yang boleh dikatakan ‘baik’ ini. Biarpun tetap ada ujian yang tersendiri. Namun segalanya tetap baik-baik saja. Cukup rezeki makan minum, belanja dan yuran sekolah, belanja dapur, tempat tinggal yang selesa, kenderaan yang bergerak, anggota badan yang berfungsi, dan tak terhitung lagi banyaknya, semoga sentiasa jadi asbab untuk kita semua bersyukur. Kita ADA, berbanding yang tiada. Kita CUKUP, tak perlu meminta. 


Alhamdulillah. 

Semoga dapat menyusuri November ini dengan lebih baik dan tenang. Insya Allah.