Wednesday, 25 September 2024 0 comments By: Naemah

NUHA DAH BERUSIA 7 BULAN


Nuha Khadeeja

(25/2-25/9/2024)


Genap 7 bulan usia Nuha.

Alhamdulillah. Masih sempat ummi mencatat di sini. 


 Check-up terakhir Nuha di klinik ialah pada 2 minggu lepas (pada usia Nuha 6 bulan setengah). Berat Nuha dah 7.5 kg, dan semua perkembangan dan pembesaran baik dan normal. Alhamdulillah.


Namun sejak 3-4 hari ni Nuha diserang batuk dan selesema. Kesian Nuha. Tidur malam asyik terjaga. Bila batuk, teruk sangat bunyinya. Ummi doakan Nuha akan semakin sihat dan sembuh. Insya Allah, tak makin melarat dan panjang. Semoga Nuha akan kembali riang dan ceria. Ameen.


Nuha baru balik dari kampung dan bercuti di Perlis. Nuha sambut family day buat pertama kali, dan berjalan jauh sampai ke Perlis dan Penang. Selain balik kampung, Nuha pernah ke Melaka sekali. Then, inilah ‘jalan-jalan’ Nuha yang kedua. Bersama ummi, abi, abang-abang dan kakak Nuha. Insya Allah nanti kita jalan-jalan cipta kenangan bersama lagi ye!


Alhamdulillah ummi bersyukur untuk segalanya. Nuha baik-baik saja selama 7 bulan ni (batuk selesema saja). Nuha riang dan ceria sentiasa. Nuha berkembang baik mengikut usia. Nuha aktif, selalu mencuba dan selalu ‘dapat sakit’ (sebab nak bangun dan cuba-cuba posisi yang lain). Nuha berselera makan yang ummi masak. Nuha seronok dikelilingi abang-kakak. Alhamdulillah, zaman baby Nuha meriah dan cukup disayangi.


Pun begitu, tetap ada banyak kurangnya ummi dalam memberi yang terbaik buat Nuha. Maafkan ummi ya.


Ummi sayang Nuha.

Sayang sesungguhnya.

Semoga makin bertambah usia dan merentasi zaman ke zaman, semakin baik kehidupan Nuha bersama kakak dan abang-abang Nuha. 

Baik di dunia dan baik di akhirat.

Ameen.


Monday, 23 September 2024 0 comments By: Naemah

HARI BUAL BICARA AKADEMIK

Telah berlangsung perjumpaan ibubapa dan guru kelas untuk menerima rekod pbd dan prestasi akademik/agama anak-anak di sekolah dan kelas masing-masing.


Ummi cuba catat secara ringkas dan padat;


SRI PERMATA NUSAYBAH

HARI PEMBENTANGAN PRESTASI 2024 SRIPN


28-6-2024


Ummi hadir untuk menerima rekod prestasi Mussaab untuk beberapa bulan pertama pengajian di tahun 4. Tahun ni jumpa Ustazah Balqis selaku guru kelas Mussaab, 4 Mukmin. 


Result Ujian Penilaian 1 (3B,1C,1D) menurut ustazah ok saja. Pada ummi ia kurang memuaskan. Memang agak susah nak dapat A (markah perlu 90-100). Tapi ummi rasa Mussaab boleh je dapat sebab sebelum ni subjek agama Mussaab score je (tahun 1 hingga tahun 3). Tapi ya, ummi faham makin meningkat tahun, pelajaran pun makin susah. Tapi boleh je kan, kalau kita berusaha?


Takpelah, yang sudah tu sudahlah. Terima sedanya. Masih ada peluang untuk Mussaab tingkatkan prestasi.




Result exam penilaian 1



***sedang menunggu result exam pertengahan tahun yang sedang berjalan.



SK KAMPUNG RINCHING

HARI BICARA AKADEMIK


6-9-2024


Masih cerita Mussaab. Subjek akademik pula. Pun lebih kurang juga jalan ceritanya. Juga kurang memuaskan buat ummi. Average TP 3 dan TP 4 sahaja yang Mussaab dapat. Result exam pertengahan tahun pun sederhana je semua (ya lulus semua). Ummi terima saja, tapi ummi harapkan Mussaab akan berusaha lebih lagi. Sebab ummi tahulah, macamana Mussaab belajar. Dah masuk tahap 2, masih main-main kan? Masih belum hadir minat untuk sendiri belajar tanpa dipaksa-paksa. Masih lagi. 


Ummi tahu Mussaab boleh dapat dan gapai yang lebih baik. Ummi yakin dan percaya Mussaab boleh! Tapi itulah. Semua perlu kepada minat dan usaha Mussaab sendiri. Tiada siapa dapat membantu kecuali diri kita sendiri yang berusaha dan cuba berubah dari segi sikap dan cara belajar. Dah selalu ummi pesan kan, angah?


***Kertas result PBD lupa letak kat mana



SRAI PEKAN BERANANG

HARI BICARA AKADEMIK


23-8-2024


Ummi sempat hadir juga untuk sessi bual bicara akademik di sekolah Anas (tahun 6) dan Miqdad (tahun 2). Hari ni terima keseluruhan result UPSA, akademik dan Agama. Untuk Anas, pencapaian  boleh dikatakan membanggakan walaupun bukan yang terbaik. Ramai saingan dan yang berada di depan Anas. Anas pun tahu dan sedar, Anas perlu berusaha lebih lagi nak menyaingi kawan-kawan Anas yang hebat semuanya. Apapun tahniah, result Anas tak mengecewakan. Untuk yang mendatang, Anas perlu lebih fokus belajar dan tingkatkan ‘rajin’ lagi untuk buat latihan dan ulangkaji. Insya Allah, Anas akan jauh ke hadapan berbanding yang kini. 


PSRA dah tak lama (bulan Oktober ni). Sekali lagi Anas berhadapan dengan exam penting di tahun terakhir Anas di SRAIPB. Bulan Ogos dah berdepan dengan Pra-percubaan PSRA. Keputusan: Jayyid Jiddan dengan markah keseluruhan 89.9% (Allah, hanya kurang 0.1% untuk dapatkan Mumtaz). Takpelah Anas, setakat tu je rezeki dulu. Insya Allah yang akan datang Anas akan dapat Mumtaz.


Percubaan PSRA juga dah lepas (pada awal September) dan masih menunggu keputusan (nanti ummi update!). Ummi mendoakan yang lebih baik untuk Anas berbanding yang sebelum ini. Insya Allah.


Update result Percubaan PSRA: Sekali lagi Jayyid Jiddan dengan purata markah 89% (kurang 1% untuk capai Mumtaz). Reda sajalah dengan rezeki ini Anas. Ummi doakan Anas beroleh Mumtaz untuk PSRA yang sebenar nanti. Ameen. 



Result UPSA Anas



Miqdad pula. Pun keputusan yang memuaskan, cuma tak berada di depan. Seperti Anas, saingan Miqdad juga pandai-pandai. Takpelah, ummi fokus pada result Miqdad saja. Ada yang cemerlang, dan ada yang perlu diperbaiki dan diusahakan lagi. Insya Allah Miqdad boleh!



Result UPSA Miqdad


Tak ada banyak sangat nak tulis, semuanya ok saja pada ummi. Dan sebagaimana yang selalu dipesan-pesan, kena berusaha untuk berjaya. Kena rajin untuk pandai. Kena cekal untuk cemerlang. Bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang dah dapat, dan langsung tak buat apa dah! 


Anas, Mussaab, dan Miqdad.

Ummi kenal sorang-sorang akan cara belajarnya, sikapnya, minatnya, dan ummi tak ingin membandingkan. Setiap kamu punya kelebihan tersendiri.


Cuma bab pelajaran ini, tiada pesan lain dari ummi melainkan pesanan untuk Anas, Mussaab dan Miqdad supaya belajar betul-betul dan sungguh-sungguh untuk jadi yang cemerlang. Betapa pelajaran amat penting untuk masa depan. Mudah-mudahan tiada penyesalan yang menghambat di depan hari. 


Ummi tak pertikaikan keputusan.

Ummi hanya nak menekankan sikap dan usaha.

Dan percayalah, siapa yang berusaha dia akan dapat!

Sesungguhnya Allah takkan kecewakan orang yang berusaha dan berdoa. 


Sunday, 22 September 2024 0 comments By: Naemah

JALAN-JALAN DI NEGERI PERLIS DARUL SUNNAH

Jalan-jalan Perlis. Akhirnya sampai juga. Ini adalah catatan ringkas kenang-kenangan percutian singkat kami (2 hari 1 malam) di Negeri Perlis.


19/9/2021 (Khamis)


Turun dari rumah mek jam 5.30 pagi dan singgah solat Subuh di Masjid Jeli. Meneruskan perjalanan dan singgah bersarapan di Gerik. Sambung perjalanan lagi, sehingga tiba di Perlis sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah. 


Wang Kelian View Point merupakan destinasi pertama kami. Ianya memang terkenal dan menjadi tarikan pengunjung yang datang ke Perlis. Pada ketinggian 304 meter, kita dapat menyaksikan panorama yang sangat indah. Tapi sayang, waktu kami datang cuaca tak begitu baik. Sekejap hujan, sekejap tidak. Langit pun ada ketikanya gelap dan ada ketikanya sedikit cerah. Walaupun tak seperti yang diharapkan, kami masih boleh menikmati pemandangan yang cantik dari Wang Kelian View Point ini. 


Info 






















Gua Kelam 2 adalah destinasi kami yang seterusnya. Oleh kerana cuaca yang kurang baik, Gua Kelam 1 ditutup kepada pengunjung (biasanya orang masuk Gua Kelam 1). Hanya Gua Kelam 2 yang selamat untuk dilawati. Kami perlu berjalan sejauh 700 meter ke dalam, dan masa yang diambil lebih kurang 40 minit (20 minit masuk dan 20 minit keluar). Agak ramai juga pengunjung hari ini, meskipun dalam keadaan cuaca yang tak menentu ini. Anak-anak beroleh pengalaman berharga merasai suasana di dalam gua yang gelap dan melihat sendiri apa yang ada kat dalam gua.


Info 























Dataran Kampung Wai adalah destinasi kami yang seterusnya. Kononnya nak naik bot menyusur sungai/terusan yang berhubung dengan empangan Timah Tasoh.  Tapi sekali lagi, keadaan cuaca tak mengizinkan. Air sungai deras mengalir. Hanya datang melihat dan mengenal tempat sajalah. 


Info 





Kerana waktu dah hampir gelap, kami terus ke homestay yang sudah ditempah. Kami stay di D’Petak Homestay, Simpang Empat. Homestay 2 bilik yang kecil comel, namun selesa dan memadailah buat kami sekeluarga menginap. Dikelilingi pula sawah padi, memang cantik dan tenanglah menginap di situ. Kalau datang masa padi tengah menguning, tentunya lebih cantik pemandangannya (masa datang ni orang padi tengah dituai).






Lepas check-in, solat dan rehat sekejap, kami keluar untuk makan malam. Tadi hanya makan breakfast di Gerik, dan tak makan tengahari (adalah kunyah roti dan makan ringan yang dibeli di Wang Kelian tadi). Makanya semua sudah lapar yang amat.


Kami makan malam di Restoren Ana Burger yang agak famous juga di sini (carian google je). Alhamdulillah, makanan sedap-sedap, portion banyak, dan harga berpatutanlah dengan portion. 



















Lepas makan, menuju ke Masjid Alwi di Kangar. Suami yang memang teringin sangat nak solat kat sini, akhirnya dapat solat juga. Patutnya ada kuliah Dr Maza malam ni, tetapi dibatalkan. Tak ada rezeki nak dengar. Kami terus menuju balik ke homestay. Seharian berjalan, semua pun dan kepenatan dan tidur awal.










20/9/2024 (Jumaat)


Suami (bersama 2 anak) sekali lagi bersolat Subuh di Masjid Alwi (jaraknya dalam 15km dari homestay). Lepas solat subuh, beli nasi lemak di warung berdekatan homestay, dan menikmatinya bersama-sama di halaman. Menikmati sarapan di tepi sawah padi, nikmatnya! Walaupun asal kampung juga, suasana dan pemandangan kali ini sangat berbeza. Panorama yang susah nak jumpa dah!


















Kemudian sekitar jam 9.30 pagi, terus check out dari homestay dan menuju ke destinasi pilihan yang seterusnya iaitu Muzium Kota Kayang. Agak leka juga berada di dalam muzium melihatkan khazanah dan bahan tinggalan sejarah yang berkaitan dengan negeri Perlis. Di luar muzium terdapat kolam ikan (boleh bagi makan ikan), ada gua, perigi diraja dan juga makam sultan terdahulu (muzium ini adalah tapak istana raja pada suatu ketika dulu).


Info 
































Seterusnya menuju ke Taman Ular dan Reptilia Perlis. Pusing-pusing kat dalam tu tengok berbagai spesis ular, dan binatang-binatang lain yang terdapat di situ seperti Rusa, burung unta, ayam, kucing (ada satu sangkar besar dinamakan bustana kucing) dan lain-lain. Tapi tak banyak sangatlah. Kami berada kat situ lebih kurang 1 jam. 


Info 














Jam 12.30 meninggalkan Taman Ular dan keluar mencari kedai makan untuk makan tengahari. Waktu solat Jumaat juga sudah semakin hampir. Mulanya menuju ke restoren viral (Restoren Suri), tapi penuh sesak dah dengan kereta dan orang ramai yang sedang makan dan beratur membeli makanan. Tak nak buang masa, kami menuju ke kedai makan yang lain yang tak jauh dari situ juga. Alhamdulillah, banyak pilihan dan sedap juga masakannya. 


Lepas tu suami dan anak-anak lelaki menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid yang tak jauh dari kedai makan tadi (tak ingat nama masjidnya).


Selesai sudah, kami menuju pula ke destinasi terakhir kami di Perlis iaitu Padang Besar (kawasan sempadan Perlis dan Thailand) untuk ‘kenal’ tempat dan membeli apa yang patut kat sini. Tempatnya seakan Rantau Panjang di Kelantan, penuh dengan pasar-pasar dan jualan, tapi kat sini lagi banyak kedai. Barang yang dijual pun lebih kurang sama je dengan apa yang ada kat Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur. 


Info 












Tak shopping sakan sangat kat sini,sekadar belikan selipar untuk Anas dan Mussaab, mainan untuk Suri, burger (thai) dan kopi, dan kacang gajus. Itu saja. Kemudian terus meninggalkan Padang Besar, dan meninggalkan Perlis dengan 1001 kenangan yang manis. 2 hari 1 malam, memang tak sempatlah nak pergi banyak tempat. 


Ingatkan dah menuju balik ke Semenyih, rupanya suami melencong ke Pulau Pinang. Nak cari nasi kandar, katanya. Jam 7 petang kami dah menyusuri jambatan Pulau Pinang. Solat jamak maghrib-isyak di Masjid Negeri Pulau Pinang yang besar dan selesa, kemudian menjamu selera di Restoren Nasi Kandar Kampung Melayu. Ianya famous kat sini, dan perlu beratur panjang nak beli, walaupun masa sampai tu dah pukul 8.30 (kedai tutup pukul 10 malam). Alhamdulillah puas hati makan kat sini. Tambahan lapar, nasi kandar terasa amat menyelerakan.












Lepas makan, tanpa membuang masa terus memecut balik ke Semenyih (bertolak dalam pukul 9.30 malam). Dan Alhamdulillah akhirnya tiba di rumah jam 2.30 pagi. 


Tamatlah percutian singkat di Negeri terkecil di Malaysia iaitu Perlis. Walaupun kecil, banyak tempat menarik untuk dikunjung. 2 hari di sana, memang tak sempat nak jejak semua. Pergi mana yang sempat jelah. Apapun, bestlah jalan-jalan kat Perlis. Jalan tak sesak, suasana tenang dan lengang, dapat menikmati panorama cantik sawah padi, gunung dan bukit bukau, alam semulajadi ciptaan Allah. Jika ada rezeki dan peluang, bolehlah ke Perlis lagi dan mengunjungi tempat menarik yang lain pula :)


Apa yang lebih penting lagi, ianya satu pengalaman yang mampu abi hadiahkan buat anak-anaknya untuk dkenang di masa depan. Inilah saat manis perjalanan kita ketika masih dekat dan bersama-sama kan?