Saturday, 29 April 2023 0 comments By: Naemah

RAMADAN DAN SYAWAL PENUH BERMAKNA



Alhamdulillah Ramadan berlalu, Syawal menjelang lagi. Syukur, dapat melalui Ramadan dan Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini.


Tahun ni Allah bagi peluang berpuasa bersama suami dan anak-anak. Tak seperti tahun sebelum-sebelumnya, hampir 2/3 Ramadan dapat bersahur dan berbuka puasa bersama, lengkap satu keluarga. 


Tambahan anak-anak makin besar, tiada banyak drama di bulan Ramadan ini. Semuanya cukup berpuasa sebulan (kecuali Suri lah). Di samping itu, dapat sama-sama ke surau dan menunaikan solat sunat terawih bersama. Alhamdulillah, terasa bermaknanya Ramadan kali ini. 


Seminggu sebelum Aidilfitri, balik kampung dengan menaiki keretapi. Kali kedua balik kampung dengan keretapi, sebab suami malas nak drive katanya. Dapatlah seminggu pula berpuasa dengan keluarga di kampung. 


Aidilfitri kali ini juga lebih meriah berbanding sebelumnya. Tahun ni giliran beraya di rumah mertua, dan semua adik beradik suami (10 orang) pun beraya di rumah mertua. Hari terakhir puasa, lengkap dan meriah dengan kepulangan semua. Anak-anak dah tentulah paling seronok, semua sepupu mereka balik. 


Raya ke-3 pula, buat open house di rumah mek. Niatnya nak beraya dan berkumpul dengan ahli keluarga mek pula, sementara semua masih ada. Alhamdulillah, tercapai hasrat nak berkumpul ramai-ramai, walaupun tak cukup 2 keluarga lagi (sebab mereka kat rumah mertua masing-masing). Takpelah, yang ada pun dah cukup ramai dan meriah. 


Pada Syawal yang mulia ini, aku percaya mak dan mek menjadi yang paling bahagia dengan pulang dan berkumpulnya anak cucu (dan cicit) mereka. Anak mak yang 10, agak sukar nak berkumpul sekali dalam satu masa atas komitmen masing-masing. Hari raya ni, sudah tentu memberi makna yang besar buat semua, lebih-lebih lagi mak mertua.


Begitu jugalah mek. Dalam keadaan mek sekarang (dah tak boleh berjalan), hanya harapkan anak cucu datang menjenguk. Pada hari berkumpulnya kami semua (anak menantu, cucu dan cicitnya) sudah tentu mek menjadi insan yang paling bahagia. 


Syukur padaMu ya Allah, yang mengizinkan kami semua bertemu Ramadan dan Syawal tahun ini, dan mengizinkan kami semua berkumpul bersama pada Syawal yang mulia ini.


Kini sudah kembali ke rumah masing-masing. Hari dan detik semalam, menjadi kenangan manis untuk kita kenang di masa akan datang. 


Terima kasih pada semua ahli keluarga yang baik, yang memahami, yang banyak bertoleransi, yang banyak membantu, dan yang sentiasa ikhlas dalam hubungan kekeluargaan ini. Baik keluargaku sendiri, dan juga keluarga mertuaku. Semuanya anugerah tak ternilai dalam hidup ini.


Semoga Syawal ini menjadi titik pertemuan kepada hubungan yang lebih erat dan ikhlas. Moga kita kan terus saling menyayangi kerana Allah. Kerana kita bukan saja mahu berkumpul bersama di sini, bahkan di akhirat juga, moga Allah satukan kita semua. Ameen.


Biar gambar bercerita



Ramadan ini abi ada banyak masa di rumah










Sekali lagi balik kampung naik keretapi

Dari rumah-stesen KTM Kajang-Gemas-Wakaf Bharu







Lemang abi (29 Ramadan)





1 Syawal bersama keluarga nenek




3 Syawal bersama keluarga mek




5 Syawal-nak balik Semenyih dah. Abi kena kerja. 




Monday, 10 April 2023 0 comments By: Naemah

JEMPUTAN AGUNG

Gambar Family 1 Ramadan 1444h                         


Sudah hari ke-19 Ramadan. Alhamdulillah. Sudah menghampiri penghujung Ramadan. Moga dapat lalui dengan lebih baik dan penuh erti.


Alhamudulillah Anas, Mussaab dan Miqdad masih berpuasa penuh tanpa sebarang keuzuran. Juga Alhamdulillah, abi dah kembali selepas 9 hari Ramadan tiada bersama.


Pagi ini seperti biasa anak-anak kembali ke sekolah, termasuk Suri yang sudah masuk minggu ke-2 bersekolah. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah.


Pagi ini juga abi berurusan di bank Tabung Haji dan klinik untuk urusan menunaikan haji tahun ini. Masya Allah, syukur tak terhingga, tahun ini abi dijemput menjadi tetamu Allah. 


Sebelum ini ummi dan abi dah bincang, nak pergi haji sama-sama. Ummi daftar lewat (lepas kawin baru daftar), jadi giliran haji ummi ialah tahun 1454 hijrah, 10 tahun lagi. Tapi boleh saja merayu untuk pergi bersama pasangan, dan kemungkinan besar rayuan diterima. Tapi nampaknya takdir Allah mengkehendakkan yang lain.


Siapa sangka, tahun ni bayaran untuk menunaikan haji dah tak sama macam dulu. Ada yang dapat subsidi penuh, ada yang dapat subsidi separuh dan ada pula tak dapat subsidi langsung. Bergantung pada ‘taraf’ ekonomi masing-masing. Dan untuk rayuan pula, syaratnya perlu pergi dengan bayaran penuh (tanpa subsidi). Dan seperti dijangka, abi ditawarkan untuk menunaikan haji tahun ini tanpa bantuan subsidi. Hmm.. harga untuk 2 orang tu, kalau untuk tahun sebelum-sebelumnya. 


Tapi begitulah. Abi dan ummi decide untuk abi pergi seorang dulu tahun ni. Dari segi wang, masih ada kemampuan untuk bayar (walaupun agak sesak juga). Tapi kata abi, ummi sabarlah menunggu giliran (10 tahun lagi tu), dan dalam masa yang sama kena fikirkan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah semuanya (kena pulak musim haji ni tak ada cuti sekolah langsung). Dan abi janji, ada rezeki nak teman ummi buat haji bila tiba masanya nanti. Insya Allah. Semoga Allah panjangkan usia dan merezekikan ummi dan abi untuk tunaikan haji sama-sama nanti. Ameen.


Dan kini abi perlu bersedia untuk memenuhi jemputan agung ini. Bersedia segalanya, bukan hanya sekadar wang ringgit. Permulaan ini, abi kena selesaikan dulu urusan dokumen dengan Tabung Haji, buat visa, buat medical check up, ambil vaksin semua, lepas tu kena attend kursus haji, cukupkan keperluan untuk dibawa ke sana, dan sebagainya. Insya Allah, dipermudahkan urusan abi untuk menjadi tetamuNya, dan beroleh haji mabrur. Ameen.


Mengingatkan nanti bakal berpisah lama, rasa sayu juga hati. Kali ini, perpisahan lebih lama dari kebiasaan. Dan inilah ‘pengorbanan’. Berpisah dengan yang tersayang, demi seruan yang Maha Agung. Insya Allah, ini sekadar perpisahan sementara. Insya Allah, bakal bersua dan bertemu lagi. 


Ramadan hanya berbaki 1/3. Tak lama lagi bakal menyambut Aidilfitri. Semoga Allah menerima puasa dan amalan kita. Dan semoga Aidilfitri tahun ini semakin indah dan berseri buat semua. Ameen. 





Friday, 7 April 2023 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: MINGGU PERTAMA DI LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN




Akhirnya Suri berdaftar juga di Little Diamond Kindergarten untuk sessi persekolahan tahun 2023. Lengkap sudah 1 minggu kehadiran Suri ke sekolah, pada usia 3 tahun 8 bulan. 


Dalam tak nak hantar lagi Suri masuk sekolah tahun ni, akhirnya hantar juga. Ummi memang tak nak hantar lagi, tapi Suri yang asyik bertnya bila dia nak pergi sekolah. Kerap sangat tanya, sampaikan abi suruh tanya teacher, ada kekosongan atau tidak untuk kelas 4 tahun. Dan akhirnya dapat la Suri masuk sekolah. Sekolah yang sama dengan abang-abang Suri juga (tapi abang-abang semua dah bersekolah rendah). 


Hari pertama sekolah memang excited, maklumlah sebelum tu dah selalu bertanya bila nak ke sekolah. Hari pertama memang mudah sangat kerja ummi. Senang saja nak siapkan Suri, dan bila hantar pun tak ada drama air mata. Masuk bangunan tadika, buka kasut, cek suhu dan cuci tangan, then terus naik atas tanpa perlu ummi teman pun. Pukul 11.30 ummi datang ambil Suri, dan Suri baik dan ceria saja. Kata teacher, Suri ok sahaja di hari pertama sekolah. Well done! Lega hati ummi.


Hari kedua, lain sikit ceritanya. Tak ada masalah waktu paginya. Tapi balik sekolah, Suri cerita tadi Suri menangis kat sekolah. Katanya sebab rindu ummi. Katanya sebab ummi tak cakap nak ambik Suri balik (masa hantar tadi). Alahai Suri. Esoknya dan seterusnya ummi tak lupa dah pesan, lepas sekolah ummi ambik Suri balik rumah. 


Dan hari-hari berikutnya tak ada masalah sangat. Tapi ada juga la time Suri tak nak mandi dan tak nak bersiap ke sekolah. Kena pujuk, kena janji manis sikit baru nak cepat-cepat bersiap. Bila janji nak beli ais krim, kena beli juga la lepas balik sekolah. Dan tak lupa ummi janji nak ambil Suri balik lepas sekolah. Setiap kali lepas ambil Suri, ummi tengok Suri ok dan ceria saja. Bila ummi tanya soalan tentang sekolah, Suri boleh jawab dengan baik.


Alhamdulillah, dah cukup seminggu Suri ke sekolah. Sambung minggu depan pula, harapnya akan baik-baik juga. Ummi ada tanyakan pada teacher Zeeda tentang Suri sepanjang 1 minggu sekolah ni, ok ke tak. Teacher cakap ok saja. Tak ada masalah. Boleh belajar, makan dan berkawan dengan baik. Jadi, ummi berpuas hati. 


Minggu depan insya Allah abi dah ada kat rumah. Boleh la abi hantar Suri ke sekolah pula. Moga-moga, Suri akan lebih ceria dan bersemangat nak ke sekolah lagi. Ummi harap, Suri akan suka sekolah, suka teacher dan kawan-kawan. Sekali ummi dah lepaskan Suri untuk sekolah, ummi harapkan itu yang terbaik untuk Suri, walaupun pagi ummi dah tak berteman lagi.


Ya Allah, Suri pun dah besar, dah masuk sekolah dah. Cepat sungguh masa berlalu. Ummi dah tak ada anak kecil? Rindu sungguh.. 


Tak mengapalah, beginilah kitaran kehidupan. Ummi dan abi semakin tua, anak-anak makin membesar. Perjalanan dalam hidup ini perlu kita teruskan.


Doa dan restu ummi akan sentiasa mengiringi tiap langkah perjalanan anak-anak ummi; Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Ummi akan sentiasa redha, insya Allah. Biar langkah kalian mudah, lancar dan terlorong kepada kebaikan. Insya Allah.


Tahniah Suri untuk minggu pertama sekolah! Suri baik-baik dan bagus-bagus ya! Ummi sayang Suri!