Sunday, 25 August 2024 0 comments By: Naemah

NUHA KHADEEJA: 6 BULAN USIAMU



Nuha Khadeeja

6 months old Alhamdulillah!


Berkesempatan untuk ummi mencoret tentang perkembangan Nuha pada usia ini. Alhamdulillah.


Nuha ummi yang semakin sihat dan comel. Alhamdulillah tak diuji dengan sakit demam yang merisaukan hati ummi. Sentiasa manis tersenyum dan ketawa bila ditegur, dan seronok bila dilayan kakak dan abang-abang. Syukur, Nuha ada abang-kakak yang sayang Nuha. Pagi Nuha sunyi (sebab semua sekolah), petang pula meriah dan gamat bila semua dah balik. Begtulah suasana kehidupan Nuha setiap hari (kecuali weekend, riuh rendah dari pagi ke malam).


Nuha dah semakin kuat dan tegap. Dah hampir nak merangkak dan duduk. Tapi asyik tersembam jatuh bila kerap mencuba. Bila letak pada posisi berdiri (dengan sokongan) pun Nuha teguh bertahan. Kuat kakinya! 


Nuha pada waktu pagi selalunya baik-baik je tika ummi tinggalkan di lantai untuk buat kerja, atau letak di carseat untuk hantar abang-kakak ke sekolah. Tapi ada masanya Nuha dah tak senang duduk dibiarkan lama-lama. Menangis mahu diangkat dan dilayan. Ummi pun dah boleh ‘baca’ kehendak Nuha. Time Nuha ok, kena selesai kerja cepat-cepat. Time Nuha tak nak duduk sendiri, ummi kenalah utamakan Nuha dulu sehingga Nuha tenang semula. 


Cabaran atas carseat pula, time Nuha menangis teruk pun ummi tak mampu nak buat apa jika tengah drive dan mengejar masa. Tambahan kalau jalan jem, tahan jelah dengar Nuha menangis hingga sampai ke destinasi selamat. Kesian Nuha. Nuha dari baby lagi dah kena ulang alik hantar dan ambik abang-kakak sekolah. Time abi ada je Nuha boleh rehat kat rumah waktu pagi.


Nuha sudah pun diberi makan solid food, seminggu sebelum usia Nuha 6 bulan (18/8/2024). Nuha dah ada 2 gigi, dah boleh makan awal sikit. Sebelum tu pun abi dah beli biskut teether sebab tengok Nuha yang suka menggigit. Nuha bermula dengan bubur nasi kosong. Ummi suap dua kali sehari, dan Nuha berselera makan. Jarang tak habis. Lepas beberapa hari ummi tambahkan isi ayam dan sayur. Pun Nuha makan berselera. ‘Membuang’ pun tiada masalah.


Nuha kini makin aktif bergerak. Tak boleh duduk diam. sentiasa mencuba untuk merangkak dan duduk. Pantang letak terus memusingkan badan, meniarap dan angkat punggung. Berpusing bergolek merata dah. Nak siapkan Nuha lepas mandi pun mencabar jadinya bila Nuha tak duduk diam. Ummi kena pantas dan cepat!


Ummi bersyukur pada Allah, Nuha dalam keadaan yang sentiasa baik. 6 bulan terasa amat pantas. Nuha dah makin besar. Lenguh juga nak mendukung. Abang-kakak pun rajin juga angkat Nuha, tapi tu pun sekejap je. Berat katanya. Nuha juga selalu ikut abi ambik abang-kakak di sekolah, dan pernah juga shopping dengan abi di econsave (tanpa ummi).


Alhamdulillah untuk perkembangan Nuha yang amat baik. Semoga akan sentiasa baik. Semoga Allah jaga dan pelihara Nuha ummi yang ummi cinta ini. Happy selalu bersama abang-kakak, sihat selalu, agar hati ummi tak risau. 


Ummi dan abi sayang Nuha.

Along, angah, acik dan kakak pun sayang Nuha.

Sayang selamanya, insya Allah. 




Sunday, 18 August 2024 0 comments By: Naemah

BALIK KAMPUNG SEKEJAP!







Raya Aidiladha lepas (bulan Jun) merupakan kali terakhir balik kampung. Kemudian dengan jadual Julai dan Ogos yang padat (termasuk weekend) dan abi yang perlu ke laut, menyebabkan tiada kesempatan untuk balik kampung. 


Abi balik dari laut pada 15/8 (Khamis) dan ajak balik kampung pada esok harinya (Jumaat). Maka baliklah, lepas ambil Suri (LD), Anas dan Miqdad (SRAIPB) dan Mussaab (SKKR) sekali jalan. Mussaab tak hadir sekolah agama petang ni. Semua berpakaian sekolah dan bertolak balik kampung.


Makan tengahari di Marrybrown Raub (jam 3 petang dah), solat di Masjid Kg Sega, dan teruskan perjalanan yang masih panjang. Agak teruji bila sampai di Bandar Gua Musang, kesesakannya luar biasa. Entah berapa kali traffic light bertukar hijau masih tak lepas-lepas. Rupanya ada group berkempen (pilihanraya Nenggiri) di tepi jalan dan mengganggu aliran trafik. Sangat mengganggu! Kita yang penat berjalan jauh ni terasa amat ‘panas’nya. Bukan satu tempat, tapi hingga 3. Patutkah??


Alhamdulillah sampai di Kota Bharu hampir jam 10 malam. Makan dan rehat secukupnya.


Esok paginya anak-anak segar kembali. Ada sepupu mereka bersama. Miqdad yang nak jumpa Ibrahim, dapat jumpa dan main dengan Ibrahim. Anas dan Mussaab yang nak jumpa Umar dan adik-adiknya, dapat juga jumpa. Suri pun ada kawan, iaitu Kak Adwa, Sumayyah dan Maryam. Sempat abi bawa semua ambik angin di pantai. LKemudian datang pula anak-anak mak andak. Meriah seketika rumah nenek, sehingga petang harinya, sebelum semua beransur balik. 


Kita bertolak ke rumah mek jam 6 petang (Sabtu). Singgah makan di restoren Edlee Fried Chicken, dan sampai di rumah mek hampir jam 9 malam. Tidur awal semua, dek kepenatan bermain di rumah nenek tadi.


Pagi Ahad di rumah mek. Takde sesiapa, main sendiri-sendiri saja. Petang harinya sempat jumpa Hafiz yang baru balik dari lawatan sekolah. Sekejap je la,  6 petang bertolak balik Semenyih. Kereta penuh dengan durian dari kampung (durian pemberian pok ngoh).


Berhenti beli makanan di pasar malam Jeli, berhenti makan dan solat di masjid Gua Musang dan teruskan perjalanan hingga tiba di rumah hampir jam 1 pagi.


Alhamdulillah. Meskipun tak dapat balik lama, pecutan 2 hari itu sudah cukup untuk lepaskan rindu pada orang tua. Tengok mereka baik-baik saja, lega rasa hati. Walau sedang hakikatnya, mereka sudah sangat uzur dan lemah. 


Anak-anak pun walaupun sebentar cuma, masih dapat kegembiraan yang mereka harapkan. Tercapai hajat Miqdad nak jumpa Ibrahim (sepupu 7 tahun yang dia selalu sebut-sebut). Anas dan Mussaab pun dapat jumpa geng mereka (anak-anak Pak Cu). Suri pun ada geng sepupu perempuan (geng mekap-mekap), Sumayyah, Adwa dan Safiyya. Sudah tentu, kepulangan sebentar ini juga masih memberikan kenangan manis. 


Syukur padaMu ya Allah, untuk kepulangan yang sebentar cuma ini. Dipermudahkan perjalanan dan segala urusan. Dan selamat kembali semula ke rumah. Dan hari ini anak- anak kembali ke sekolah dalam keadaan baik semuanya. Alhamdulillah.


Sebulan lagi, insya Allah, akan pulang lagi. Tak sabar nak sambut family day dan jumpa semua :)



Perjalanan balik kampung;

Ada cerita di setiap kilometernya












Thursday, 15 August 2024 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR SURI LILYANA




15/8/2024

Selamat hari lahir princess Suri Lilyana!

Sudah 5 tahun usiamu. Masya Allah! Alhamdulillah!


Jika di hari lahir tahun lepas Suri masih satu-satunya puteri dan yang bongsu dalam keluarga ini, tapi tahun ini tidak lagi. Suri dah jadi kakak kepada adik perempuan, Nuha Khadeeja. Masya Allah. 


Hari ni Suri bangun pagi macam biasa, dan ke sekolah macam biasa. Abi belum balik, tapi pagi ni juga abi dalam perjananan balik dari laut. Ummi ucapkan selamat hari lahir untuk Suri, macam biasa. Ummi tak lupa..


Suri di usia ini masih nampak kek dan hadiah sebagai maksud ‘hari lahir’. Ummi ceritakan hari ini merupakan tarikh Suri ‘keluar’ dari perut ummi., bukan hari untuk Suri mendapat kek dan hadiah. Ya, Suri faham tak faham. Tak mengapa, tahun depan ummi repeat lagi.


Balik sekolah, Suri cerita teacher dan kawan-kawan nyanyi happy birthday untuk Suri. “Malu Suri”.. itu katanya. Tapi sudah tentu Suri seronok. Terima kasih teacher dan kawan-kawan Suri sebab raikan Suri. 


Balik rumah Suri habiskan masa dengan menonton video di youtube. Abang-abang semua masih di sekolah. Abi sampai rumah pada petang harinya, abang-abang pun balik dari sekolah. Abi belanja kek special untuk Suri. Hias-hiasa sikit, jadilah majlis ringkas hari lahir Suri bersama keluarga kita. Alhamdulillah. Janji Suri happy.


Yang utama, syukur pada nikmat usia dan rezeki yang Allah cukupkan sentiasa. Dan yang utama lagi, masih Allah kumpulkan kita bersama satu keluarga. Abi yang selalu pergi, sentiasa Allah izinkan untuk pulang kepada kita. Abi yang paling ‘melayan’ karenah Suri, syukurlah hari ni abi ada lagi bersama Suri. 


Suri yang masih kecil dan belum sepenuhnya mengerti, ummi bersyukur atas hadirnya Suri dalam hidup ummi. Dengan Suri, ummi bertatih belajar menjadi ibu kepada ‘anak perempuan’ pula. Ternyata ummi masih mencari-cari rentak untuk serasi dengan keadaan membesarkan anak perempuan dan lelaki bersama-sama. 


Suri Lilyana ummi yang baik dan cantik, ummi sangat menyayangimu. Ummi bukan contoh yang terbaik, dan ummi mendoakan Suri menjadi yang jauh lebih baik dari ummi. Jaga diri, jaga maruah, jaga akhlak, jaga tutur kata, jaga kehormatan, pertahankan malu yang menjadi perisai seorang muslimah, dan bergantunglah hatimu sentiasa kepada Allah. Moga langkahmu lurus, hidupmu dilimpah bahagia, dan bersamamu adalah insan-insan yang menghormati dan menyayangimu.


Semoga Allah jaga dan lindungimu sentiasa puteriku. 


Ummi sayang Suri sangat. 




Kakak Suri hari ini.
Dah besar dah dia.



Kakak dokong adik Nuha.
Sayang adik ye.
Moga jadi best friend forever!



Our family
Insya Allah akan sentiasa sayang Suri sampai syurga.
Ameen.




Friday, 9 August 2024 0 comments By: Naemah

UMMI TULIS UNTUK SIAPA?



“Ummi tulis banyak-banyak ni sapa nak baca?”


Bertanya si sulung. 

Dia tahu ummi menulis di blog. Menulis di instagram. Malahan di buku juga. Sekali ummi mengarang, penulisan ummi panjang. Siapalah yang nak baca panjang-panjang kan? Bosan…


“Nanti awak dah besar, awak baca la apa yang ummi tulis. Tengok gambar-gambar lama… “ 


Macam tulah ummi jawab setiap kalinya. 

Dan responnya endah tak endah saja. 


Tapi betullah apa yang Anas tanya. Tulis banyak-banyak, panjang berjela, siapa nak baca? 


Yang sebenarnya ummi tak berharap pada sesiapa pun untuk baca. Malahan pada anak-anak pun ummi tak letakkan harapan. Ummi menulis kerana ummi suka tulis. Ummi menulis untuk ummi bercerita dan menganggapkan cerita ummi didengar. Dan sudahlah… 


Bila mak-mak saling bersembang dengan rakan sekerja pasal anak, pasal masalah yang dihadapi, pasal tu, pasal ni, pasti lepas tu rasa lega kan? Takde dah yang ‘penuh’ kat dada nak disimpan-simpan. Sekurang-kurangnya adalah ‘seorang’ yang mendengar cerita kita. Cerita gembira atau sebaliknya. 


Tapi ummi tak ada teman nak luahkan cerita. Hari-hari rumah inilah dunia ummi. Dan ummi tak pandai nak bercerita pada sesiapa. Ye, tak pandai. Dari zaman kecil lagi Allah takdirkan hidup ‘bersendiri’. Jadi tak pandai nak meluah rasa apalagi bercerita hal diri pada orang lain.


Ummi menulis untuk kepuasan rasa sendiri. Di sini ummi luahkan cinta, luahkan sedih dan bimbang, catatkan kenangan bersama yang tercinta, dan tak lupa motivasi untuk diri yang bergelar isteri dan ibu.


Anak-anak masih kecil untuk memahami. Ummi akan terus menulis. Bukan mengharap perhatian pada sesiapa. Sekurang-kurangnya masih ada manfaat untuk yang mencari pada penulisan yang baik. Biarpun hanya berkisarkan tentang kita-kita. 


Menulis bukan kerana nama. Bukan untuk dikenal. Malahan watak ummi ini hanya satu watak yang ingin selalu bersembunyi. 


Anak-anak bila dah besar nanti, mungkin ada yang membaca penulisan ummi di blog ini (selagi ia masih boleh dibaca di ruang internet ini). Mungkin akan baca catatan ummi di buku dan instagram. Mungkin. Ummi harap kalian dapat merasakan ‘cinta’ ummi yang mendalam dalam setiap tulisan ummi. 


Maafkan ummi kerana yang terzahir pada perbuatan dan tingkahlaku tak setara dengan apa yang ummi luahkan dalam penulisan. Ummi yang suka marah, yang bertindak kasar, yang macam-macam lagi… ummi tak maksudkan begitu. Tetapi keadaan dan situasi sering menguji. Dan ummi tak cukup sabar. Itulah ujian buat ummi… 


Anak-anakku, ummi tak tahu bila tulisan ummi ini akan ‘sampai’ kepadamu. Ummi percaya ada yang ‘mencari’ andai hadirnya rindu kalian buat ummi setelah ummi tiada lagi. 


Anak-anakku, moga hidup kalian baik-baik saja hingga saat ini. Mendapat pelajaran dan pekerjaan terbaik, mendapat jodoh yang baik dan saling ikhlas menjaga, dikurniakan zuriat yang soleh solehah yang menceriakan kehidupan, mendapat rezeki yang mencukupi dan mampu berbagi, dikurniakan kesihatan yang baik dan kudrat yang dimanfaatkan sebaiknya, dan sentiasa dekat dan rapat kalian adik beradik. Sentiasa ada untuk satu sama lain. Bersatu dan berdamai, kukuh ikatan kasih sayang, saling menyokong dan mendokong, bersatu tak berkecai. 


Ummi akan terus menulis selagi ada kesempatan dan waktu. Bukan untuk siapa-siapa. Menulis memberikan kelegaan yang tak mampu diceritakan. Dan masej yang perlu sampai, insya Allah akan sampai pada insan yang tepat. 






HARI-HARI YANG SIBUK


Masa terus berjalan pantas. Boleh dikatakan Julai dan Ogos yang padat jadual dan masanya. Aktiviti anak-anak berkisarkan jadual harian sekolah, exam, kelas tambahan, dan seminar peperiksaan. Anas yang kini berada di tahun 6, semakin busy dengan kelas dan peperiksaan untuk persediaan PSRA dan exam lain yang akan datang. Hingga weekend pun kadangkala ter’usik’ dengan aktiviti sekolah. 


Tambahan pula Julai dan Ogos ini kelas berjalan ‘full’ setiap minggu. Tiada celahan cuti umum dan rehat. Tiada. Hinggakan nak balik kampung langsung tak sempat. Nak bercuti apatah lagi. Sempatlah sekali sampai ke Melaka untuk hadiri kenduri, itupun bertolak lepas tamat kelas tambahan Anas, dan balik semula ke rumah pada hari yang sama. 


Kali terakhir balik kampung ialah pada Aidiladha yang lepas (bulan Jun). Dah hampir 2 bulan tak balik kampung. Rindunya. Dan sesalnya atas kesibukan di sini hingga tak mampu nak menjenguk orang tua. Cuma berharap situasi ini difahami.. 


Sungguh, 2 bulan ini dah ‘tepu’ dan jemu dengan rutin harian yang sama. Ulang alik sekolah dan urusan wajib yang perlu dibereskan saban hari. 


Sebulan mendatang, seperti inilah rutin kita semua sehingga cuti sekolah tiba. Cuti seminggu je, tapi insya Allah dapat manfaatkan dengan sebaiknya. Balik kampung jumpa keluarga, jalan-jalan, makan-makan, dan sambutan hari keluarga juga. Tak sabarnya. Tapi itupun kalau abi tak dipanggil ke laut lah. Bolehlah full cuti tu kita guna peluang sebaiknya. 


Cakap pasal family day, lebih kurang sebulan saja lagi nak raikannya. Perancangan sedang berjalan, mudah-mudahan pelaksanaanya sempurna dan dipermudahkan Allah. Semoga tahun ini dapat cipta kenangan manis lagi bersama keluarga besar kita. Insya Allah.


Sekianlah coretan pembuka Ogos ini. Takde apa sangat nak tulis. Cerita hampir sama je setiap hari. Namun tetap bersyukur padaMu ya Allah. Dapat jalani hari dengan baik-baik saja. Dikurnia sihat dan sembuh, dicukupkan rezeki makan minum, anggota badan yang berfungsi baik, tempat tinggal dan kenderaan untuk bergerak, dan sebagainya, yang tak terhitung banyaknya. Alhamdulillah. 


Di sisiku suami tercinta,dan anak-anak yang dicintai, itulah harta yang tak ternilai dan tak terganti. 


Alhamdulillah untuk segalanya ya Allah!