Wednesday 24 July 2024 0 comments By: Naemah

NUHA KHADEEJA: 5 BULAN





Baby ummi, Nuha Khadeeja sudah pun berusia 5 bulan. Alhamdulillah. 5 bulan sudah berlalu, setelah bertarung nyawa melahirkanmu. Kini membesar sihat dan amat comel :)


Dalam tempoh 5 bulan ini, Nuha berada dalam keadaan baik saja. Tak pernah demam, tapi dah 2 kali dijangkiti selesema. Nuha pun baikk sangat. Jarang-jarang nak merengek. Ada sebablah kalau merengek dan menangis beriya-iya. Kalau bukan sebab lapar, mungkin perut meragam dan nak ‘membuang’ atau rasa tak selesa. Ataupun ‘bosan’ bila ummi tinggal lama-lama buat kerja.


Jarang ummi nak biarkan Nuha berlapar. Ummi cuba kerapkan bagi susu kat Nuha, memandangkan sekarang ni Nuha hanya bergantung dengan susu badan. Sebelum keluar rumah hantar/ambil abang kakak sekolah pun kena pastikan Nuha kenyang untuk elakkan Nuha menangis di sepanjang trip pergi balik sekolah. 


Alhamdulillah dipermudahkan sepanjang 5 bulan menjaga Nuha. Susah sikit-sikit tu biasalah, bila ada ‘baby’ kan. Nak buat kerja, adakala tergendala dan sekerat jalan bila Nuha tak ‘izin’kan. Sebab tu nak masak kena fikir menu paling simple dan cepat, sebab kalau lama-lama kat dapur Nuha akan ber’bunyi’. Begitu juga urusan lain. Kena pantas dan cepat untuk elakkan Nuha ditinggal lama-lama. Kalau Nuha tidur, oklah. Takde masalah. Tu pun biasanya Nuha takkan tidur lama, kecuali pada malam hari. Tidur malam, Alhamdulillah, lena saja. Sekali dua je bangun menyusu, then lena sampai pagi. 


Nuha kini dah boleh meniarap (sejak usia 4 bulan lebih). Pantang letak, nak meniarap terus. Tidur pun adakala dalam posisi meniarap. Dah bergerak-gerak sikit dalam posisi meniarap tu, tak statik pada satu tempat. Bila letak atas katil, memang kena berjaga-jaga. Dan pantang ada barang kat tangan, mesti nak masuk mulut. Apa jua barang yang dekat dengan Nuha, akan dicapai dan dimasukkan dalam mulut. Kena pastikan tak ada benda bersaiz kecil. Dan Nuha pun dah ada satu batang gigi yang baru tumbuh. Sebab tulah kerja nak menggigit je. Badan pun makin tegap dan sedap dipangku. 


Alhamdulillah Nuha dikelilingi abang dan kakak yang menyayangi Nuha. Along yang selalu ambik tugas jaga Nuha bila ummi sibuk buat kerja. Yang selalu dokong Nuha (tapi sekejap je la sebab Nuha berat katanya). Angah yang juga sekarang kerap mendukung Nuha (dulu badan Nuha masih tak gagah angah tak pandai nak angkat Nuha). Acik yang kerap tegur-tegur Nuha sampai ketawa, tapi masih tak berani nak angkat Nuha. Tak pandai lagi. Kalau ummi ada sekali baru boleh tolong angkat Nuha dan bagi acik riba. Dan kakak.. hmmm kakak yang selalu sangat nak angkat Nuha, walaupun berat Nuha dah nak sama dengan kakak dah!


2 kejadian yang buat ummi urut dada; bila ummi tengah sibuk di dapur,  tinggalkan Nuha bersama kakak di luar. Nuha kemudian menangis, tapi ummi cuba untuk siapkan kerja dulu. Tiba-tiba, muncul kakak terkedek-kedek mendukung adiknya. Katanya adik menangis. Ya Allah.. macamlah ummi tak dengar. Dapur tu dah la tengah basah lantainya. 


Satu lagi kejadiaan, bila ummi tengah mandi (Nuha ummi letak kat lantai kat tempat solat). Sebaik ummi keluar, terkejut tengok Suri tengah letak adiknya atas katil di bahagian tepi pulak tu. Ya Allah… syukur tepat waktu ummi keluar. Bayangkan kalau adiknya dibiarkan di situ, dalam posisi meniarap tu memang dia akan bergerak-gerak. Katil dah la tinggi.. Allah.. syukur Kau Maha Menjaga dan Melindungi. 


Itulah 2 kisah. Moga tak ada yang seumpama lagi. Berkali dah ummi pesan, kakak memang sejenis ‘geram’ nak angkut adik ke sana sini. 


Apapun, itulah sebahagian kisah kenangan bersama si kecil.


Kini, Nuha menjadi teman setia ummi saban hari. Mengganti tempat kakak (dan abang-abang) dulu-dulu. 


Dah 5 bulan rupanya ya, rasa tak nak masa berlalu terlalu pantas. Ingin menikmati masa manis bersama ‘baby’ ummi ini. Yang ummi pasti rinduu sangat suatu hari nanti. Abang kakak dah besar semua. Ummi pun dah ingat-ingat lupa bagaimana ‘baby’ ummi yang dulu-dulu. Sesekali tengok gambar dan video lama-lama, nostalgia sangat! Dan pastinya, ummi rindu sangat!


Terus membesar sihatlah anakku. Ummi akan berusaha sebaiknya menjaga dan melindungi. Dan sesungguhnya Allah lah sebaik-baik Penjaga dan Pelindungmu. Ummi serah pada DIA. Semoga hidupmu kan baik-baik saja. Bahagia dan damai dilimpahi cinta dan kasih sayang. Ameen. 

Monday 22 July 2024 0 comments By: Naemah

SEMOGA DUNIA TIDAK KEJAM TERHADAPMU




Akhir-akhir ini kerap dikejutkan dengan berita ‘orang hilang’; kanak-kanak dan remaja khususnya. Ada yang berjaya ditemui, ada yang langsung tiada khabar berita dan ada yang ditemui dalam keadaan tak bernyawa lagi.


Ada satu kisah kehilangan yang menggemparkan negara baru-baru ini. Bilamana seorang gadis dilaporkan hilang dan selepas beberapa hari yang ditemui hanyalah jasadnya yang sudah tidak bernyawa. Agak terganggu dan runtun hati dengan kisah ini, kerana entah kenapa, sejak hari pertama diwarkan tentang kehilangan gadis ini di media sosial, langsung hati cenderung untuk mengikuti khabar berita tentang kehilangannya. Barangkali melihat raut wajah cantik dan manisnya, lalu terbayang-bayang tentang berita kehilangannya.


Selepas beberapa hari dikejutkan pula dengan penemuan mayatnya. Allah, syahdu rasa hati. Hati mak-mak yang ada anak perempuan barangkali. Sedih amat. Dan risau amat, pada dunia yang akan anak-anak tempuhi dan jalani ini.


Ya, aku juga punya anak perempuan yang bakal membesar dewasa. Bagaimana dunia akan ‘melayan’ anak-anak perempuanku? Hanya perempuan yang mengenali perempuan. Itulah barangkali jadi ‘terlebih’ risau pada anak perempuan. Anak lelaki pun ya juga. Risau juga. Tapi bentuk kerisauan tu berbeza. 


Ke mana anak perempuanku ini bakal melangkah dan berada di depan hari, tak siapa tahu. Bagaimana untuk pastikan dirinya terjaga dan terlindung, akan ummi dan abi cuba semampunya. Jangan kekejaman dunia mengheretmu dan membawamu pergi. Anak perempuan, adakah menjaga mereka sesukar yang digambarkan?


Buat anak perempuanku, moga di rumah dicukupkan kasih sayang, dibekalkan ilmu agama, ilmu menjaga diri dan maruah, dan sebagainya yang mampu melindungimu dari kejahatan dunia.


Musibah mendatang tak siapa boleh jangka. Pada sesiapa pun boleh terjadi. Doa ummi, agar Allah sentiasa melindungi dan menjagamu anak-anakku. Semoga Allah hadirkan yang baik-baik saja di sekelilingmu. Semoga tiada yang hasad dan dengki kepadamu. Semoga kau kuat melawan godaan dunia yang pelbagai bentuk dan rupanya. Semoga sentiasa terpelihara maruah dan kehormatan dirimu. Semoga Allah anugerahkan pasangan soleh yang akan menjagamu dengan sebaiknya. Semoga baik-baik saja kau menjalani kehidupan di dunia ini ketika ummi ada dan tiada lagi. Ameen.


Berbalik pada kisah viral itu, semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang beriman dan bertakwa. Sungguh sedih tentang kematiannya, namun inilah takdirNya. Moga syurga tempat kembalinya. Semoga pembalasan setimpal buat pelakunya. 


Dan semoga yang masih ‘hilang’, segera ditemui dalam keadaan yang selamat.


Anak-anakku, sentiasalah berdoa memohon perlindungan dari Allah dari segala kejahatan di dunia ini. 


Berdoalah, kerana itulah senjatamu yang paling ampuh.



Update hari ini (23/7/2024): ada 2 berita gembira yang dikhabarkan. Pertama tentang penemuan kembali kanak-kanak berusia 6 tahun (dari Johor) yang hilang beberapa hari lepas dalam keadaan selamat. Kedua, tentang hukuman gantung kepada pembuli yang menyebabkan kematian seorang pelajar UPNM (adik Zulfarhan) 7 tahun yang lalu. Alhamdulillah, keadilan buat keluarganya. Kes ‘buli’ ini juga satu kerisauan pada hati seorang ibu. Semoga Allah lindungi anak-anak kita…

Ameen.



Sunday 21 July 2024 0 comments By: Naemah

LD PROGRESS MEET 2024







Bertarikh 20/7/2024, ibubapa dijemput hadir ke tadika Little Diamond untuk menerima kad prestasi anak-anak. Dah setengah tahun berlalu, ini merupakan pertemuan pertama ibubapa-guru untuk membincangkan tentang progress anak-anak di sekolah sepanjang tempoh 6 bulan ini.


Ummi hadir bersama Suri dan Nuha. Macam biasa, abi di laut dan abang-abang pula tinggal bertiga di rumah. Turn Suri pukul 12. Datang awal sikit, dalam 11.30. Ambik nombor dan tunggu (dalam setengah jam menunggu turn). Sebelum jumpa Teacher Sya (guru kelas Suri) sempatlah main di tempat yang dikhaskan (dapat sticker dan gift) dan sempat juga menjamu selera. Alhamdulillah.


Sampai masanya, dapat jumpa teacher untuk diterangkan tentang progress Suri dalam kelas. Alhamdulillah mendengar yang baik-baik saja. Sudah tentulah ada lebih dan kurang, namun Suri berada pada tahap yang sepatutnya, dan tak ada yang perlu ummi risau. Yang penting Suri boleh ikut pembelajaran di sekolah, dan seronok bersama teacher dan kawan-kawan. Alhamdulillah, Suri pun suka pergi sekolah. Cuma nak bersiap je banyak drama sikit.


Berbalik kepada progress Suri, yang perlu improve lagi ialah bab self confidence. Masih malu-malu nak bercakap di depan. Malu-malu lagi dengan teacher. Kat rumah pun asyik cakap ‘malu’ bila suruh tanya atau cakap apa-apa pada teacher. Bab berkawan pula, teacher kata ok. Bersembanglah juga dengan kawan. Bukan diam saja. 


Bab belajar pun ok, boleh ikut dan improve dari masa ke masa. Dah boleh membaca slow-slow ( kat rumah pun ummi tengah fokus ajar membaca tahun ni). Ada doa dan surah yang dihafal, enjoy bermain dan beraktiviti dalam kelas, dll. Overall, Suri ok lah kat sekolah. Good-good je. Dan sudah tentu perlu terus belajar dan ditunjuk ajar oleh teacher, ummi dan abi untuk terus ke depan dengan lebih baik dan cemerlang.


Masih ada banyak masa Suri di tadika. Enjoy your moment! Moga seronok sentiasa datang sekolah,  belajar dan berkawan setiap hari. 


Ummi mendoakan perjalanan Suri dipermudahkan, di alam tadika dan seterusnya ke fasa-fasa yang mendatang yang lebih tinggi dan jauh lagi. Terus mengutip ilmu hingga jadi yang bijak pandai, berfikir dan bertindak untuk kebaikan dan keredaan Allah semata. 


Terus success ya Suri!

Ummi love you. 







TQ LD-TEACHERS 

(2018-2024)

Saturday 20 July 2024 0 comments By: Naemah

DULU LAIN SEKARANG LAIN



Membaca balik tulisan lama di blog ini. Mula menulis di blog ini ketika anak dua (Anas dan Mussaab). Kononnya nak menulis tentang pendidikan mereka di rumah. Tapi dah bertahun berlalu, macam-macam tajuk ada dalam blog ni. Yang pasti cerita tentang anak-anak dan keluarga sajalah. Seorang ibu surirumah, cerita apa lagi yang aku ada?


Kembali ke tulisan lama, imbas kembali betapa rajin dan fokusnya aku mengajar anak-anak di rumah ketika mereka masih kecil lagi. Seawal ‘baby’ dah siap dengan flash card huruf hijaiyyah, buku-buku bergambar, dan sebagainya. Oleh itu, anak sulung memang ‘pandai’ dari kecil. Sebab anak pun cepat tangkap, lagi seronoklah nak mengajar. Lagipun, memang fokus kat dia sorang, tak ada gangguan lain. Amat mudahlah…


Masuk anak dua, sedikit mencabar tapi tetaplah mudah. Anak-anak ikut je apa yang ummi ‘hidang’kan untuk mereka. Tak ada siaran tv/video yang melalaikan. Semua video education je. Dalam hp pun download apps education je. Maka, yang baik-baik sajalah dapat. Anak kecil memanglah senang. Ikut tanpa bantahan. Tambahan yang sulung memang suka belajar, banyak yang dia dapat sejak kecil. Yang nombor dua lain sikit, suka main-main. Tapi tetaplah ok, dalam main-main pun masih belajar yang baik-baik kerana sentiasa dipantau.


Hadir yang ketiga, pun masih mampu nak ‘mendidik’ dari kecil. Seronok dapat ajar anak mengenal ABC, 123, ا ب ت dan sebagainya sejak mereka kecil. Sampai rasa macam nak homeschooling je anak- anak, tak nak hantar sekolah. Sebab rasa macam mampu je. Tapi akhirnya atas rasa sedar diri jugalah, anak-anak dihantar ke sekolah seperti anak-anak yang lain. Sedar diri tak mampu dan kurang dalam banyak aspek.Walaupun sekolah, anak-anak masih boleh belajar dengan ummi di rumah. Kat rumah ummi boleh ajar al-Quran, iqra’ dan ulangkaji apa yang anak-anak belajar di sekolah. Ummi masih ada ‘masa’ untuk semua tu. 


Kemudian hadirlah yang keempat dan kelima. Dapat dirasakan ‘masa’ semakin suntuk. Dengan anak-anak yang di atas semakin besar dan perlu diuruskan hal sekolah mereka, dan di samping urusan rumahtangga yang lain. Ketika seorang (ketika abinya bekerja), memang semua kena ‘pulun’ sendiri. Jadi (mungkin alasan), tiada selingan masa untuk duduk mengajar yang kecil sama sebijik seperti abang-abangnya dulu. Masih mencuba, tapi sekadar yang sempat saja. Makanya, tak samalah, yang dulu dan yang sekarang dari bab belajar di rumah ni. Tambah lagi dengan abang-abang yang suka menonton video ‘aras’ mereka, yang si adik pun join sekalilah. 


Sudah tentu, fokus lebih pada abang-abang. Nak ajar mengaji, tengokkan homework, bantu ulangkaji time exam, dan itupun semakin lama makin tak sempat juga untuk semua tu dek ‘penat’nya ummi dengan urusan harian. Tiada lagi masa santai-santai seperti dulu-dulu. Ada masa luang, rasa mahu rehatkan diri saja. Taknak beratkan fikiran dah. 


Terkadang rasa kurang perhatian pada yang besar kerana sibuk dengan yang kecil. Terkadang rasa tak cukup memberi pada yang kecil kerana yang besar masih perlu disibukkan juga. 

Ya, serba tak kena rasanya.


Tahun-tahun berlalu, meski ummi dah tak punya kesempatan masa seperti dulu lagi, namun Alhamdulillah anak- anak punya progress masing-masing. Ada lebih dan kurangnya, tapi semuanya ok dan baik saja. Tapi sudah tentulah, anak-anak ini perlu disedarkan dan di’gerak’kan sentiasa. Dipesan-pesan tiap masa. Atas pentingnya ilmu, dan tak terlalu  santai dan main-main hingga terabai pelajaran. 


Tiga yang dah besar, dua lagi yang masih kecil, semua nak kena bagi perhatian dan peringatan secukupnya. Pada hakikatnya, banyak yang terkurang dan tak sempat. 


Suri dan Nuha yang kini, mungkin tak dapat sama macam Anas, Mussaab dan Miqdad dapat dulu. Tapi insya Allah, ummi akan cuba beri yang terbaik. Walaupun terkadang dihambat rasa kesal atas ketidakupayaan diri. Tapi… perlu terima hakikat yang situasi dulu tak sama dengan situasi sekarang. Atas lebih dan kurangnya, sudah pasti ada hikmah di sisiNya.


Maka, terus jalani hari dengan tenang (walapun hakikatnya ribut sentiasa). Terima kenyataan akan kehidupan yang kian mencabar ini. Perjalanan keibubapaan ini tidak mudah. Namun kita tetap perlu mencuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak. 


Anak-anakku, insya Allah kalian mendapat apa yang sepatutnya kalian dapat. Jika bukan melalui ummi dan abi, pasti dari luar sana yang masih luas dan jauh lagi perjalananmu. Pelajaran hidup ini terlalu luas dan takkan habis. Kau akan lalui segala prosesnya. 


Ya benar, dulu lain, sekarang lain. Tak sedarnya masa berlalu pantas dan kehidupan juga berubah dalam banyak sudut.

Tuesday 9 July 2024 0 comments By: Naemah

TAKDIR HARI INI



Sudah berada di bulan Julai kita. Dah 9 Julai dah pun. Cepat sungguh!


Hari ke-6 abi keluar bekerja. Ummi macam biasalah, setia bersama anak-anak. Uruskan segalanya di sini.


3 hari cuti (weekend + cuti awal Muharam), tak ke mana-mana. Hanya di rumah. Dan macam biasalah, bila semua kat rumah, ‘meriah’ sangat rumah ni. Dengan jerit pekiknya, dengan usik mengusiknya, dengan tepuk tamparnya, dengan sepah menyepahnya, dengan asyik-asyik laparnya, dan segala macam ragam 4 beradik (yang sorang lagi belum masuk geng lagi). 


Dah tamat cutinya, hari ni perlu kembali ke sekolah. Minggu ni bermula Ujian Pertengahan Sessi Akademik (UPSA) Anas dan Miqdad. Tapi ada ujian yang Allah nak beri. Miqdad demam sejak semalam. Hari ni masih belum sihat, so terpaksa tangguh dulu exam. Hanya Anas yang menghadapi exam hari ni. Mussaab pula lain ceritanya. Lepas hantar Anas, perlu hantar Mussaab seperti biasa. Ditakdirkan jalan sesak teruk hari ni, perjalanan sepatutnya 15 minit jadi sampai setengah jam. Hmm.. dah terlambat. Tak masuk sekolah la hari ni. Alhamdulillah Suri selamat dihantar macam biasa. Hanya 2 lah yang bersekolah hari ni. 


Pagi ni ummi rasa ‘teruk’ walaupun semua ni bukan sengaja, dan bukan kehendak. Dengan Miqdad yang tak sihat dan tak dapat exam, dengan Mussaab yang tak masuk sekolah atas alasan ‘jem’ di jalan raya, aduiii.. muram hati ni rasanya. 


Balik rumah bertenang. Cuba bertenang. Yang tak ke sekolah, buat hal masing-masing. Miqdad banyak baring di sofa. Mussaab main jelah.. sempat juga la buat soalan math 3 soalan. 3 soalan 1 jam. Hmm.. nampaklah betapa main-mainnya dia. Petang masuk sekolah agama.


Lepas tu ambik Anas, dan lastly ambik Mussaab. Tamatlah bab sekolah hari ni. Bersambung esok pula. Ya Allah, moga kisahnya kan lebih baik dan dipermudahkan.


Esok akan menempuh hari yang hampir serupa. Insya Allah Miqdad dah sihat dan boleh jawab exam dengan baik. Insya Allah dapat hantar Mussaab awal macam biasa. Insya Allah Anas boleh bertugas (baca surah) tepat pada masanya dan tenang menjawab exam. Insya Allah Suri kembali ke sekolah dengan riang dan gembira.  Insya Allah urusan Nuha di klinik (check-up 4 bulan) berjalan lancar, dan cepat. Dan Insya Allah esok abi selesai kerja di laut dan kembali ke pangkuan keluarga yang menanti. Permudahkan segalanya buat kami ya Allah, ameen. 


Beginilah kehidupan.

Kita merancang. Allah juga merancang.

Namun sudah pasti, perancangan Allah yang terbaik.

Untuk hari ini, beginilah yang terbaik.

Bukan kehendak kita, tapi kehendakNya.

Terima dan berdamailah dengan takdir.