Wednesday, 26 June 2024 0 comments By: Naemah

SENTIASA LEBIH BAIK, INSYA-ALLAH


Jun ini. Setahun lagi meningkatnya usia. Masya Allah!


Alhamdulillah atas nikmat usia yang masih Allah pinjamkan hingga ke tempoh ini. Hari ini tetap melalui hari yang biasa. Sama saja seperti hari-hari yang telah berlalu. Tiada yang terlalu istimewa, namun syukur seadanya.


Imbas balik; pada hari lahir 2 tahun yang lepas, berada di bilik pembedahan dan di katil hospital. Hari yang tak langsung dapat bertemu anak-anak. Syukur, Allah kembalikan kesihatan untuk meneruskan usia bersama yang tercinta.


Pada hari lahir setahun yang lalu, berjauhan dengan suami yang berada di tanah suci Mekah untuk menunaikan haji. Menempuh perpisahan yang lebih panjang dari biasa. Jalani hari hanya bersama anak-anak. Syukur setelah perpisahan, hadirnya pertemuan yang manis.


Pada hari ini, bersamaku adalah suami dan anak-anak yang tercinta, tanpa kurang seorang pun. Malahan ditambah lagi, Nuha Khadeeja yang kini sudah berusia 4 bulan. Hari ni ummi sibuk dengan ‘dia’. Ada saat mudah, ada saat lelah. Namun inilah ‘hadiah’ dari Allah yang tak dapat diganti dengan apa pun.


Ya, tiada yang terlalu istimewa. Tapi segalanya lebih baik. Syukur hanya padaMu ya Allah. 


Hari lahir ini, ku tak pinta apa-apa, dari sesiapa pun. Hanya hari ini, aku mengingatkan diri bahawa usiaku kian bertambah. Bahawa kaki ini telah jauh melangkah. Bahawa banyak yang telah aku lalui pada waktu yang telah ditinggalkan.


Dan aku ini, tetap bukan hambaMu yang baik. Banyak kekesalan atas kesilapan lalu, dan banyak lagi yang perlu diperbetulkan pada diri yang sangat lemah dan hina ini.


Untuk hari ini, aku bersyukur padaMU atas kerukunan rumahtangga, atas kecukupan rezeki, atas kelapangan dalam berurusan. 


Terima kasih ya Allah, atas kehidupan yang sentiasa ‘lebih baik’. Alhamdulillah.


Mudah-mudahan aku juga bisa jadi hambaMu yang lebih baik di sisiMu. Ameen. 





Saturday, 22 June 2024 0 comments By: Naemah

SATU HARI DI SHAH ALAM



Dah lama tak datang Shah Alam. Takde urusan, memang tak datanglah. Hari ni (22/6/2024) oleh kerana Anas perlu menghadiri kem kepimpinan pengawas (peringkat Negeri) di SRAI Seksyen 19 Shah Alam, kami sekeluarga pun turun sama untuk hantar Anas dan tunggu sehingga program selesai. Kem ini melibatkan 10 pengawas dari setiap sekolah SRAI DAN MITS. Pengangkutan tak disediakan, semua pergi dihantar ibubapa masing-masing. 


Sementara menunggu program tamat, pada mulanya bercadang nak ke rumah anak saudara yang tinggal di Teluk Panglima Garang, tapi kebetulan pula dia ada hal lain di luar. Makanya kami menuju ke tempat lain.


Anas berdaftar di SRAI Shah Alam jam 7.30 pagi. Selepas drop Anas kat sana, breakfast di kedai makan berdekatan. Kemudian ke destinasi pilihan-Taman Botani Malaysia, Shah Alam. Pernah datang sini dulu,tahun 2015. Masa tu anak baru dua; Anas dan Mussaab. Kali ni datang tanpa Anas, hanya adik-adiknya yang 4 orang ni. 


Berada di Taman Botani selama lebih kurang 3 jam (9.30 pagi hingga 12.30). Santai-santai saja, naik tram, masuk animal farm, dan berjalan dan berehat hingga sampai waktu untuk meninggalkan tempat itu. Cuaca agak mendung dan nyaman. Puas hati luangkan masa kat sini. Tempatnya pun luas sangat. Anak-anak dapat bermain bebas. 


Kemudian menuju ke Masjid Sultan Salahudin yang terkenal di Shah Alam ni. Solat zohor dan berehat sekali lagi. Kat sini pun selesa, banyak ruang untuk duduk dan bersantai satu keluarga. Sekitar jam 2.15 meninggalkan masjid dan menuju ke tempat seterusnya iaitu Decathlon Shah Alam. 


Spend masa yang berbaki kat sini sebelum ambik Anas yang akan tamat program jam 4.30 petang mengikut tentatif. Banyak juga la ber’habis’ kat sini; beli bola, raket, dan baju. Jam 3 petang Teacher Asmah (guru pengiring) masej majlis dah nak selesai. Eh awal pula. Cepat-cepat bayar dan keluar meninggalkan Decathlon. Tapi terlambat juga ambik Anas sebab ingatkan teacher akan maklum sekali lagi bila dah keluar dewan. Disebabkan takde parking, terlanjur ke taman yang tak jauh dari sekolah dan lepaskan anak-anak main dulu. Sampailah teacher call tanya ada kat mana, rupanya tinggal Anas sorang lagi tak dijemput parents. Terus ke sekolah ambik Anas. Maaf teacher! 


Lepas ambik Anas terus bergerak balik. Singgah solat dan makan, dan sampai di rumah pukul 6.30 petang. Alhamdulillah. Penat tapi puas hati untuk masa yang diluangkan bersama hari ini. Anas juga seronok bercerita pengalamannya hari ini. Berkenalan dengan kawan-kawan dari sekolah yang berbeza, dan bekerjasama dalam kumpulan. Katanya tak puas! Rasa macam sekejap sangat. Alhamdulillah pengalaman baru untuk Anas, anak sulung ummi yang dah tak lama lagi nak masuk ke alam sekolah menengah. 


Bila diingat balik, dah lama tak berjalan-jalan satu keluarga. Hanya sempat balik kampung. Itupun sekejap. Abi yang sibuk dengan kerja, anak-anak yang sibuk dengan sekolah, malahan Sabtu dan Ahad juga tak ‘free’ sejak kebelakangan ini. Hari ni dapat spend masa berjalan-jalan di Shah Alam, pun dah cukup seronok. Terasa juga tak lengkap tanpa Anas, tapi mungkinlah nak kena belajar melepaskan, bila nanti mungkin Anas pun akan masuk asrama dan berjauhan dengan keluarga. Begitulah realitinya perjalanan sebuah keluarga. Dari siang malam tak pernah berpisah, akhirnya perlu belajar berpisah dan melepaskan untuk kehidupan sendiri masing-masing. Allah, sedih dan sayu pula rasanya hati … 


Syukur padaMu ya Allah untuk nikmat berkeluarga dan nikmat bersama-sama ini. Semoga sentiasa bertemu dan berpisah keranaMu ya Allah. Satukan kami hingga syurgaMu ya Allah. Ameen. 




Cerita hari ini;


Anas dan kawan-kawan-sebelum pendaftaran


Selepas pendaftaran. Berkumpul bersama kawan-kawan dari sekolah lain


Tamat kem kepimpinan pengawas hari ini



















3 jam di Taman Botani Shah Alam




Solat Zohor di sini







Decathlon-Tempat singgah terakhir sebelum ambik Anas dan pulang ke rumah.



.
.
.
V



Tuesday, 18 June 2024 0 comments By: Naemah

BALIK RAYA HAJI




Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Isnin, 17/6/2024. Sekolah anak-anak cuti sehingga 18/6/2024. Sempatlah balik kampung walaupun sekejap. Tahun lepas (abi di Mekah) tak dapat balik raya kat kampung. Alhamdulillah tahun ni dapat balik. Kebetulan juga abi tak bertugas di laut. 


Jumaat (14/6/2024) anak-anak ke sekolah macam biasa di waktu pagi. Balik dari sekolah terus bertolak meninggalkan rumah (Mussaab tak hadir sekolah agama sebab nak segera balik). Singgah dulu solat Jumaat di masjid di Pekan Semenyih. Kemudian meneruskan perjalanan. Singgah makan dan solat, sampai di rumah mek di Jeli jam 12 tengah malam. Alhamdulillah.


Sabtu (15/6/2024) duduk rumah mek dulu sehari. Sempatlah ummi dan abi ke pasar Jeli. Miqdad dan Suri ikut ke rumah cik dan ikut cik shopping di pasaraya Pantai Timur. Petang pula abi bawa ke rumah Pok Long. Seronok, kat rumah Pok Long ada ramai kawan (anak sepupu). 


Ahad (16/6/2024) bersahur di rumah mek untuk berpuasa sunat hari Arafah. Anas, Miqdad dan Suri pun bersahur sama. Tapi hanya Anas yang berpuasa hari ni. Alhamdulillah, first time Anas puasa sunat Arafah. Hari ni juga ke rumah nenek untuk sambut Aidiladha di rumah nenek. Tak semua balik, tak cukup meriahlah kat rumah nenek. Ada Eiman, dan anak-anak mak long dan mak ngah. Semua sepupu yang dah besar. Berbuka bersama di rumah nenek. 


Isnin (17/6/2024) hari raya Aidiladha. Siap sarapan, terus ke masjid menunaikan solat sunat Aidiladha. Nuha pun ikut sekali. Alhamdulillah Nuha baik sangat. Senyap je time ummi solat. Lepas solat ke tempat sembelihan korban. Dapat tengok acara korban lagi tahun ni. Dapat menikmati hidangan daging korban lagi hari ni. Alhamdulillah. Tapi abi pula demam. Balik dari tempat sembelihan korban, rebah terus di katil. Rehat sampai ke malam. Lepas maghrib bertolak ke rumah mek. Dalam tak sihat, abi drive juga. Jam 10.30 malam sampai rumah mek.


Selasa (18/6/2024) turun dari rumah mek sekitar jam 9 pagi untuk bertolak balik ke Semenyih. Esok anak-anak dah sekolah. Abi masih kurang sihat, tapi lebih baik dari semalam. Alhamdulillah. Santai-santai saja perjalanan. Singgah di rumah Pok Muda, bergambar di Gunung Stong, singgah masjid, solat dan makan, dan meneruskan perjalanan. Trafik agak lancar hari ni. Sampai di rumah jam 6.30 petang. Alhamdulillah. 


Syukur pada Allah atas nikmat berhari raya. Dapat tunaikan ibadah korban dan berbagi rezeki. Masih Allah cukupkan rezeki untuk dinikmati saban hari. Alhamdulillah.


Syukur masih dipinjamkan usia, masih bersama-sama satu keluarga. Nikmat mana lagi yang ingin kita dustakan?


Semoga bertemu lagi Aidiladha yang akan datang. Ameen. 






Jumaat- perjalanan balik kampung







Sabtu- pasar pagi Jeli






Ahad- balik rumah nenek di KB














Isnin- Aidiladha












  Selasa- perjalanan balik