Monday, 31 October 2022 0 comments By: Naemah

FAMILY CAMPING: BLACK STONE CAMPER PARK, KUANTAN



(24-26 Oktober 2022)

Family camping kali ke-2 di Black Stone Camper Park, Kuantan selama 3 hari 2 malam.


Alhamdulillah kali ini juga dipermudahkan urusan kami sekeluarga.



Hari pertama (24 Oktober 2022)


Bertolak dari Kota Bharu jam 8 pagi, dan sampai di tapak perkhemahan sekitar jam 4 petang. Mula pacak khemah, dan susun atur segala barang dan peralatan. Cuaca agak baik dan tidak  hujan. Kali ini ditemani ramai teman camping (tak seperti first camping dulu, hanya kami sekeluarga saja di tapak perkhemahan). 


Dah selesai pasang khemah, suami dan anak-anak tak lepaskan peluang untuk mandi pantai sepuasnya hingga gelap hari. Makan malam just beli kat luar, belum ready nak memasak. Malam pula, tidur awal sebab dah kepenatan semua, tempuh perjalanan panjang dan main pantai.


























Hari kedua (25 Oktober 2022)


Bangun solat subuh semua, cuaca pun Alhamdulillah baik. Pagi ni masak burger untuk anak-anak. Pagi-pagi lagi dah masuk mandi pantai, naik just untuk isi perut yang lapar, kemudian sambung mandi pantai lagi. Walaupun cuaca panas, masih juga tak nak naik. 


Hari ni masa dipenuhi dengan aktiviti mandi pantai, main pasir, main bola, main game sekejap kat khemah, makan-makan, dan naik atv. Oh ya, Miqdad dari semalam kurang sihat, so, kurang bermain berbanding yang lain. Tapi masih juga enjoy mandi pantai walaupun tak lama. 


Hari ni diuji dengan angin kuat dan hujan, tapi syukurlah tak lama. Sempat selamatkan segala barang dari diterbang angin. 


Malam ni pun tidur awal juga, sebab penat sangat dengan aktiviti pantai. 





























Hari ketiga (26 Oktober 2022)


Bangun subuh, bersiap dan bersedia untuk balik. Kemas semua barang, buka khemah dan bersihkan kawasan camping. Tak nak berlengah, sebab takut menempuh kesesakan di jalan raya memandangkan hari ni hari terakhir cuti (sempena deepavali). Pagi ni breakfast di kedai makan berhampiran tapak perkhemahan, kemudian teruskan perjalanan balik. 


Alhamdulillah sampai di rumah hampir jam 1 petang. Penat tapi seronok. Semoga diberikan kesempatan lagi olehNya untuk melakukan aktiviti keluarga seperti ini di masa akan datang.


Sedikit tentang Black Stone Camper Park; tempat ni memang menarik dan pantainya juga cantik. Tapak khemah betul-betul menghadap laut. Ada banyak pilihan tapak, masa book tu boleh pilih tapak yang kita nak. Kat sini juga berdekatan dengan bandar, so senang nak cari keperluan dan makanan. Berdekatan dengan tapak khemah pun ada kedai celup tepung. Toilet juga banyak, cuma tapak yang kami dapat ni agak jauh sikit dengan toilet. Sinki pun ada. Penjaga campsite pun ada pada kebanyakan masa untuk memantau dan membantu apa yang patut. 




Saturday, 22 October 2022 0 comments By: Naemah

FIRST FAMILY CAMPING: HIKERS PARADISE, CAMERON HIGHLAND



First family camping at Hikers Paradise, Cameron Highland. Alhamdulillah seperti yang dirancang, perkhemahan keluarga ini menjadi kenyataan dan memberi pengalaman baru buat semua.


Bertolak dari Semenyih sekitar jam 7 pagi, berhenti breakfast di Rawang, then terus naik ke Cameron Highland untuk membeli sedikit jagung, ubi keledek, epal, strawberry dan sayur, juga makan tengahari di KFC Brinchang. Lepas tu terus menuju ke tapak perkhemahan yang telah ditempah. Hari ni hanya kami sekeluarga yang camping kat sini. 


Mula pasang khemah lebih kurang pukul 2.30 petang. Susun atur semua perkakas, agak memakan masa juga. Tambahan pula hujan datang tiba-tiba, belum siap pasang flysheet lagi. Habis kuyup semua bermandi hujan. Sebelum tu pun dah main sungai, tambah pula dengan hujan, kesejukanlah semua. Alhamdulillah selesai juga semua, tukar pakaian, solat dan mula memasak untuk makan malam. 


Malam ni masak nasi, oden, ayam goreng, nuget dan hotdog, di samping makanan sampingan yang lain. Alhamdulillah kekenyangan yang amat. Selepas solat jamak maghrib dan isyak, anak-anak bermain keriangan di luar khemah. Sebelum tidur jawab soalan kuiz, then sembang sesama sendiri, akhirnya tertidur semua kecuali Suri. 


Suri dan abi last sekali masuk tidur. Tengah tidur, banyak kali juga Suri bangun menangis dan ajak balik. Dipujuk abi, tidur semula. Begitulah beberapa kali sampai akhirnya tidur lena sampai ke pagi. 


Selesai solat subuh, ready untuk masak breakfast. Nasi goreng, sosej dan nuget untuk hidangan pagi ini. Lepas makan, bersantai sekejap, masuk sungai sekejap, dan mula berkemas untuk balik kampung pula. Tak terlalu mengejar masa. Santai-santai saja, sambil menikmati udara pagi di sini. 


Meninggalkan tapak perkhemahan sekitar jam 11.45 pagi dengan kenangan yang baru dan tak mungkin dilupakan. Alhamdulillah semua dipermudahkan Allah.


Berkenaan dengan tapak perkhemahan di sini, boleh dikatakan kami berpuas hati, view yang cantik dan tempat yang bersih, air sungai juga jernih dan cetek, ada satu toilet, sinki, tapi tak ada plug point kat sini. Anak-anak bebas berlarian, kebetulan tak ada campers lain time ni, maka tempat tu kami yang punyalah. Oh ya, owner campsite pun baik dan banyak membantu dan bercerita serba sedikit tentang tempat ini.


Alhamdulillah. Mungkin boleh repeat lagi jika berkelapangan di masa akan datang. Cuma sekarang nak try kat tempat lain pula. Kata suami, nak keliling Malaysia. Hehe. Insya Allah. Moga ada rezeki. 



Biar gambar bercerita;










































Friday, 14 October 2022 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR MIQDAD



13/10/2016-13/10/2022

Alhamdulillah genap usia Miqdad 6 tahun


Miqdad dah makin besar. Dah 6 tahun genap, tak lama lagi nak masuk darjah 1 dah. Syukur pada Allah Miqdad membesar dengan sangat baik, sihat dan cerdas.


Kini Miqdad di bulan-bulan terakhir sebagai pelajar kindergarten. Lepas ni akan masuk alam baru persekolahan, akan merasai pengalaman baru seperti Anas dan Mussaab juga. Insya Allah akan baik-baik saja perjalanan Miqdad.


Di hari lahir Miqdad, abi tak ada bersama. Sepatutnya abi ada, tapi last minute abi terpaksa ganti rakan sekerja yang tak dapat bertugas kerana hal yang tak dapat dielakkan. Abi pergi demi tugas dan tanggungjawab, walaupun sebenarnya dah plan sesuatu sempena birthday Miqdad ni. Plan nak siapkan goodies untuk kawan-kawan sekolah Miqdad, plan nak camping 3 hari 2 malam, tapi semua tak menjadi. Perancangan Allah lebih mengatasi. 


Pada hari lahir Miqdad, macam biasa ucapkan selamat hari lahir buat Miqdad. Miqdad happy dari semalam. Miqdad ke sekolah seperti biasa. Abi masej suruh belanja McD hari ni. Miqdad pula minta kek. Lepas hantar Mussaab sekolah, ummi  belikan 2 slices kek secret recipe untuk penuhi permintaan Miqdad. Lepas ambil Mussaab (6 petang), ke restoren McD dan makan di situ. Alhamdulillah semua menikmati hidangan McD petang ni. 


Alhamdulillah untuk segalanya. Sekadarnya meraikan hari lahir Miqdad. Yang paling utama, bersyukur atas nikmat usia dan kesihatan yang Allah kurniakan buat Miqdad. Ummi bersyukur atas kehadiran Miqdad dalam hidup ummi dan abi, di samping Anas, Mussaab dn Suri. Semua yang hadir menambahkan bahagia dan seri dalam kehidupan ummi dan abi.


Tahun depan Miqdad akan masuk ke SRAI Pekan Beranang, akan belajar bersama Anas. Ummi doakan semoga dipermudahkan urusan pengajian dan seluruh kehidupan Miqdad. Ummi sentiasa ingin melihat Miqdad berjaya dan cemerlang. Hidup dengan sangat baik, bersama ahli keluarga dan yang lain. 


Semoga Miqdad membesar menjadi hamba Allah yang taat, menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan ummi dan abi, dan yang sentiasa menghormati dan menyayangi adik beradik dan seluruh ahli keluarga.


Moga langkahmu mudah dan terarah kepada kebaikan. Insya Allah.


Ummi sayang Miqdad.









Wednesday, 5 October 2022 0 comments By: Naemah

DABONG WITH LOVE




Trip to Dabong 

(30 September-1 Oktober 2022)


Alhamdulillah sekali lagi dapat luangkan masa bersama keluarga. Kali ini dengan keluarga mertua pula. Walaupun bukan semuanya dapat berkumpul bersama, masih tetap meriah dan menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga.


Percutian 2 hari 1 malam di Dabong, Kuala Krai, merakamkan kenangan yang tak mungkin dilupakan. 


Percutian ini dirancang oleh keluarga adik ipar yang memang tinggal di sana. Semua ahli keluarga dipelawa untuk menyertai percutian singkat ini, namun tak semua yang berkelapangan untuk ikut serta. Pun begitu, masih meriah (11 dewasa+12 kanak-kanak). Sebagaimana dirancang, kami menginap di Stong Heritage Eco Resort yang letaknya berdekatan dengan air terjun Stong yang memang terkenal di sini. Kami menyewa 3 buah bilik, dan satu khemah.


Sudah beberapa kali kami singgah di sini (mandi sungai) dalam perjalanan balik kampung, sebab ia memang laluan kami setiap kali balik kampung. Tapi dah lama tak singgah, sejak pandemik. 


Kali ini berbeza sebab datang dengan ramai ahli keluarga (dari Kota Bharu) dan keluarga adik ipar yang baru bertugas dan menetap di sini. Mereka menyewa resort di sini, dan merancang aktiviti keluarga.


Pada 30 September, kami bertolak dari Semenyih seawal jam 3 pagi dan tiba di destinasi pertama (juga tempat bertemu ahli keluarga yang lain) iaitu di Gua Ikan pada jam 10 pagi. Kami berada di sini lebih kurang 1 jam, kemudian makan tengahari bersama di Adam’s cafe. Masuk waktu zohor, kaum lelaki menunaikan solat jumaat di masjid Jelawang, dekat saja dengan penginapan kami. Yang perempuan check in dulu, kemudian beraktiviti bebas di tempat penginapan.


Apa yang best kat sini, ia menjanjikan ketenangan dan membantu minda untuk bebas sebentar dari kesibukan kerana lokasinya yang sangat dekat dengan alam semulajadi. Penginapan kami terletak di tepi anak sungai yang mengalir jernih, di samping landskap hutan yang kehijauan. Anak-anak dilepaskan bermain sungai sambil diawasi ahli keluarga yang dewasa. Pada awalnya hujan turun renyai, tapi lama kelamaan cuaca kembali baik, namun suasana masih sejuk, redup dan menenangkan hingga ke malam hari. 


Waktu petang selepas mandi sungai, anak-anak bermain bebas di ruang yang disediakan dengan berbagai aktiviti seperti aktiviti memanah, ping pong, trampoline dan lain-lain. Waktu petang juga, ready untuk ber’bbq’ dan menikmati hidangan yang disediakan. Alhamdulillah, menikmati hidangan di tepi sungai bersama-sama, memberikan rasa nikmat yang tersendiri.


Selesai solat maghrib dan isyak, ada game keluarga dan penyampaian hadiah (dewasa dan kanak-kanak semua dapat hadiah). Selepas itu bersedia untuk ke bilik/dan khemah masing-masing untuk tidur. Sudah satu hari menempuh perjalanan dan beraktiviti. 


Esok harinya, menikmati breakfast dan tak melepaskan peluang bermain di sungai buat kali terakhir sebelum berangkat pulang. Santai-santai saja pagi ni, makan dan main air sepuasnya. Lebih kurang jam 11 pagi, semua sudah bersiap untuk check out dan menuju ke tempat lain pula. Tak lupa bergambar kenangan dengan semua ahli keluarga yang ada. Selepas itu beransur meninggalkan Stong Heritage Eco Resort. Tempat ini pasti akan dikenang. Irama hutan yang tanpa henti di sini, pasti akan dirindui.


Kami menuju pula ke Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, untuk beraktiviti di sini pula. Dek kesuntukan masa, hanya sempat mencuba flying fox. Pertama kali buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Pastinya ia menjadi pengalaman yang cukup berharga. 


Kemudian makan tengahari (mi udang yang memang terkenal di sini), dan kemudian menuju pulang ke destinasi masing-masing. Kami balik ke Jeli (perjalanan lebih kurang 1 jam), dan bermalam di sini, dan bertolak balik Semenyih pada esok harinya jam 4 pagi. 


Alhamdulillah selamat sampai di rumah jam 11 pagi. Sebuah perjalanan dan percutian yang singkat, namun menyeronokkan, terutamanya buat anak-anak. 


Semoga masih berpeluang untuk merancang dan mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga lagi di masa yang akan datang. Kalaulah boleh kumpulkan semua (10 adik beradik suami) dalam percutian seperti ini, alangkah meriahnya. Mak pasti yang paling seronok. Insya Allah, suati hari nanti.


Syukur pada Allah atas nikmat berkeluarga, moga Allah satukan hati-hati kami agar sentiasa dekat, sentiasa hidup dengan berkasih sayang dan jauh dari sengketa. Kerana keluarga adalah anugerah. Perlu sentiasa dijaga, dan dipupuk kasih sayang agar sentiasa mekar. 


Semoga Allah merahmati setiap ahli keluarga yang sangat dicintai. 




Muatan barang dari Semenyih



Berhenti rehat dan breakfast di bandar Gua Musang







Di Gua Ikan







Lunch



Bilik (1)



Mandi sungai sepuasnya


















Bilik (2)



Nak balik dah 







Geng flying fox