Friday, 29 July 2022 0 comments By: Naemah

SRI PERMATA NUSAYBAH: HARI TERBUKA IBUBAPA



Pada 23/7/2022 telah diadakan hari terbuka ibubapa di SRI Permata Nusaybah (sekolah agama Mussaab). Mussaab kini belajar dalam tahun 2, juga tahun kedua Mussaab bergelar pelajar di SRIPN. Tahun lepas (mungkin kerana banyak belajar secara pdpr), tak ada hari terbuka seperti ini. Kiranya ini kali pertama ummi hadir hari terbuka di SRIPN untuk ambil report card Mussaab dan dengar komen guru kelas berkaitan dengan Mussaab.


Pada hari tersebut ummi hadir bersama Mussaab. Abi tak dapat sertai sebab masih dalam keadaan kurang sihat (sebab eksiden hari tu). Abi tinggal di rumah dengan anak-anak yang lain.


Lebih kurang jam 8.30, bergerak ke SRIPN bersama Mussaab. Sekolah tak jauh sangat (lokasi di Taman Pelangi Semenyih 2), 5 minit perjalanan dah sampai. Sebaik sampai, terus menuju ke kelas Mussaab iaitu tahun 2 Al-Fattah. Kebetulan tiada ibubapa lain, terus dapat masuk jumpa ustaz dan dengar penerangan ustaz. 


Secara keseluruhan, Alhamdulillah dari segi markah dan kedudukan dalam kelas,  Mussaab berada dalam top 5 (dapat nombor 4 daripada 17 pelajar semuanya). Ummi syukur bab tu, sebab dah dikira bagus sangat lah tu dengan cara Mussaab belajar (yang tak berapa nampak belajar sangat tu. Tapi itu cara Mussaab yang tersendiri). 


Hari tu ummi dah tengok result ujian Mussaab (6 paper; dapat 4A 2B, Alhamdulillah). Hari ni dapat tahu satu lagi result iaitu hafazan dan tajwid (Mussaab dapat B sebab seperti kata ustaz, ada surah yang masih tak hafal dan tajwid juga tak berapa betul sangat lagi). 


Last sekali ustaz cakap pasal akhlak, yang mana Mussaab perlu betulkan sikapnya di dalam kelas. Kurang fokus dan suka bersembang bersembang dengan kawan ketika ustaz mengajar. Hmm. Tak sedap didengar juga laporan ustaz tu. Ummi harap Mussaab patuh pada nasihat ustaz, dan tak mengulangi sikap yang sama lagi. Mudah-mudahan dengan membaiki adab dan akhlak di dalam kelas, Mussaab akan lebih cemerlang lagi dalam pengajian, insya Allah. 


Pertemuan dengan Ustaz Izz (guru kelas 2 Al-Fattah) hanya ambil masa tak sampai 10 minit. Ummi pun tak tahu apa nak tanya untuk pertemuan pertama ini. Berpuas hati dengan penerangan ustaz, dan harapkan Mussaab juga akan memperbaiki diri dan menjadi yang lebih baik selepas ini. 


Terima kasih pada Ustaz Izz selaku guru kelas Mussaab, juga pada pihak SRIPN yang memberi peluang kepada ibubapa untuk bertemu guru kelas dan mendapatkan maklumat lebih jelas tentang tahap pembelajaran anak-anak di sekolah. Semoga akan ada lagi pertemuan seperti ini di masa akan datang. 







Sunday, 17 July 2022 0 comments By: Naemah

ALLAH JUA YANG MENYEMBUHKAN



Beberapa tahun sebelum (entahlah tahun bila ia bermula), aku diserang rasa sakit yang seperti -ditekan perut dan bahagian belakang hingga rasa sempit dada. Ia ‘menyerang’ perlahan-lahan, dari sakit yang mampu ditahan hingga kemuncaknya aku hampir sesak nafas dan berpeluh satu badan. Lepas tu perlahan-lahan sakit itu menghilang hingga aku rasa sangat lega-seleganya.


Itu kisah beberapa tahun lepas. Tak selalulah sakit tu datang. Setahun hanya beberapa kali saja. Aku abaikan saja.


Tapi tahun ni (2022) sakit tu makin kerap datang. Rasa sakit tu pun dah lain sikit. Sakitnya mendatar, tapi makan masa berjam nak hilang balik. Itupun jenuh aku sapu minyak angin untuk redakan rasa sakit tu. Lama-lama dia hilang juga. Tapi sebab kerap sangat, aku dah mula risau dan bimbang. Penyakit apalah ni?? Setiap kali sakit rasa macam nak ke klinik jumpa doktor. Tapi bila sakit hilang, tak jadi nak pergi. Lagipun dengan tanggungjawab harian yang banyak ni, rasa tak berkesempatan nak ke klinik. Selagi rasa ok, jalanilah hidup macam biasa.


(14/6/2022) Sampailah satu saat, Allah takdirkan sakit itu datang lagi, dan ia makin sakit dan tak tertahan. Nak dijadikan cerita, pada hari tersebut aku agak sibuk juga, urusan ambil anak sekolah aku perlu lakukan juga (sebab suami ada urusan di Port Klang hari ni.  Dan syukurlah dia bukan di laut). Sempat masak sekadarnya, ambil 3 anak dari sekolah yang berlainan, masa tu badan dah rasa tak selesa dah. Tapi anggap macam biasa, mungkin lama-lama dia akan hilang sendiri.


Sampailah suami balik, lebih kurang jam 4 petang. Siap bawa balik durian lagi. Aku makan (banyak juga la makan durian), nak jadi asbab kot, lebih kurang jam 6 petang rasa sakit aku datang lebih kuat dari biasa. Sakit perut bagai ditusuk-tusuk, rasa loya sampai muntah berkali-kali. Sakit yang semakin kuat, muntah sampai terduduk dalam toilet tu, makin muntah, makin sakitlah perut ni. Nak tukar posisi badan amat payah, makin bergerak makin sakit. Ya Allah, azabnya rasa waktu tu. 


Sebab tak tahan sangat, teruslah mengadu kat suami, mulanya dia suruh rehat, lepas tu tengok aku yang macam ‘teruk’ sangat, terus dia ajak ke klinik. Apalagi bila aku jawab ‘sakit macam nak mati’ bila dia tanya (sorry sayang agak biadab jawapan tu kan). 


Lepas solat maghrib suami ajak aku ke klinik. Dia pun dalam keadaan serba tak kena, nak bawa ke klinik biasa, atau ke kecemasan terus. Mulanya dia bawa ke Klinik Asyifa di Taman Pelangi Semenyih 2, berhenti depan klinik, tak jadi masuk, katanya nak ke Kajang. Balik ambil anak-anak dulu. Kemudian dia berhenti pula di Klinik Amani, tapi tak jadi masuk juga, lastly ke KPJ Kajang bahagian kecemasan. Aku di sepanjang perjalanan rasa makin lemah dan tak bermaya. Sakit masih di kemuncaknya. Aku cuba bertahan dan cuba lelapkan mata, namun tak mampu. 


Sebaik sampai di KPJ Kajang dan mendaftar, aku menerima rawatan yang sepatutnya. Selepas dicucuk ubat tahan sakit, sakit tadi beransur pergi, dan aku pun dapat lelapkan mata sekejap. Biarkan saja apa doktor dan nurse nak buat. Aku dah sangat lemah dan tak berdaya.


Kemudian aku dan suami dimaklumkan bahawa pankreas aku dah bengkak, puncanya ialah batu karang (dalam hempedu) yang dah jatuh ke bawah dan kena pankreas tu. Gitulah lebih kurang penerangan doktor. Malam tu juga buat ct scan, mri, ultrasound dan yang sewaktu dengannya. Aku pada waktu tu masih lagi separa sedar, sampai la jam 12 baru rasa lega dari sakit dan sedar sepenuhnya. Suami masih setia menunggu sehingga rawatan aku selesai. Anak-anak pula dah lena semuanya dalam kereta. Kesian semua.


Akhirnya doktor decide untuk tempatkan aku di wad icu memandangkan keadaan aku yang sekarang agak serius (kalau lambat dibawa ke hospital dan mendapat rawatan boleh membawa maut katanya).


Dipendekkan cerita, aku berada di wad icu selama 2 malam/2 hari, bila keadaan dah makin stabil aku dipindahkan pula ke wad biasa. Tempoh masa aku ‘berkampung’ di KPJ Kajang ialah selama 6 malam/6 hari. Dalam tempoh tu, ada la sekali aku diserang sakit belakang yang kuat, sampai kena cucuk ubat tahan sakit. Sekali tu je la. Hari-hari yang lain keadaan aku baik saja, Alhamdulillah. Dipantau dan diberi perhatian yang secukupnya oleh nurse yang bertugas. 


Akhirnya pada 20/6/2022 aku dibenarkan balik (sekejap) ke rumah, sebelum ke HUKM untuk menerima rawatan selanjutnya untuk sakit aku ni. 


Pada 22/6/2022 aku ke Pusat Pakar HUKM, jumpa doktor pakar di sana. Doktor bagi tarikh untuk buat operation buang batu karang.


Pada 24/6/2022 aku masuk wad di HUKM, pada hari yang sama buat ERCP, lepas tu rehat sehari (keesokannya), dan pada 26/6/2022 menjalani pembedahan buang batu karang dalam hempedu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat.


Pada keesokan harinya, 27/6/2022 aku dibenarkan balik ke rumah. 


Kini sebulan sudah berlalu. Keadaanku semakin hari semakin baik. Luka pembedahan dah elok, sakit yang dulu tak lagi menyerang. Syukur Alhamdulillah. 


Banyak hikmah dan pengajaran dari ujian yang menimpa kali ini. Masa perit itu sudah aku tinggalkan. Peritnya menanggung sakit, peritnya perpisahan dengan anak-anak, dan peritnya melalui hari yang tak seperti biasa. 


Alhamdulillah hari ni masih bisa bernafas lega, hidup dengan baik-baik saja. Namun dugaan dan ujian Allah sentiasa ada. Kini berdepan dengan ujian lain pula (panjang kalau nak menulis di sini). Namun tetap bersyukur, Allah menguji sekadar kemampuan diri. 


Apa yang perlu aku sentiasa ingatkan pada diri, sentiasalah bersangka baik pada Allah. Diuji bagaimana pun, jangan pernah menyalahkan takdir. Redha, sabar dan tetap bersangka baik padaNya. Saat sukar itu pasti akan kita lepasi dengan baik, dengan pertolonganNya jua.


Catatan ini buat kenangan dan peringatan pada diri. Hidup ini penuh dengan warna. Gembira dan sedih sering bergantian. Suka dan duka itu lumrah. Namun pada setiapnya ada kasih dan cinta dari Allah yang satu.