Tuesday 27 November 2018 0 comments By: Naemah

SEMALAMAN


Terima kasih sayang.


Kepenatan kerja, musafir dan memandu jauh dari minggu lepas masih belum hilang. 


Pergi dan balik dari Labuan, memandu Semenyih-Kelantan, dan Kelantan-Semenyih, terbang pergi dan balik dari Bintulu, dan memandu balik Kelantan lagi hanya untuk SEMALAMAN.


Malam ini musafir lagi menaiki bas ke KL, kerana esok akan terbang lagi ke Labuan. Pasti penat kan sayang?


Namun terima kasih kerana PULANG untuk kami yang setia menunggu dan merindu. Penat dan lelahmu, pasti Allah ganjari.


Terima kasih hari ini sempat gembirakan anak-anak dengan membawa mereka ‘shopping sakan’ di kedai Eco. Walaupun hanya kedai eco rm2, tapi tengoklah excitednya mereka macamana. Boleh pilih mainan yang mereka nak, sampai ke malam tak puas-puas lagi bermain :)


Malam ini terpaksa berpisah dan berjauhan lagi. Namun insya Allah akan tenang dan baik-baik saja, kerana bukan tak biasa, tapi sudah sering dan sentiasa kan? 


Semoga akan bertemu lagi. Semoga akan bersatu lagi. Semoga Allah menjagamu dan juga kami.


آمين








Monday 26 November 2018 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: DI PENGAKHIRAN 2018

Cuti sekolah sudah pun bermula pada 24/11/18. Anas dan Mussaab bercuti seminggu lebih awal dari yang sepatutnya. 


Alhamdulillah, tamat sudah sessi persekolahan 2018. 


Entri kali ini adalah untuk menyambung catatan yang lepas: 


LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: SEHINGGA APRIL INI


LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: SEHINGGA OGOS INI


Mungkin ini catatan terakhir (untuk tahun ini) berkaitan aktiviti dan penglibatan Anas, Mussaab bersama rakan-rakan dan guru Little Diamond pada sessi persekolahan tahun 2018. 


Sekadar catatan ringkas untuk  kenang-kenangan ;


Annual sports day and merdeka celebration 

(1/9/18)


ANNUAL SPORTS DAY AND MERDEKA CELEBRATION


Hari ini merupakan hari sukan Little Diamond dan juga sambutan hari kemerdekaan yang diadakan di dewan serbaguna STRIDE Kajang. Hari ini pelajar Little Diamond Kindergarten dan (gabungan bersama) pelajar Tadika Permata Cinta STRIDE Kajang meraikan hari bersejarah mereka bersama-sama. Mereka menyanyikan lagu kemerdekaan, dan bertanding dalam acara sukan mengikut kumpulan masing-masing (kumpulan putih, merah, kuning dan biru). 


Anas dan Mussaab mewakili rumah merah, hanya berjaya mendapat hadiah saguhati, namun tetap pulang dengan senyuman dan rasa kepuasan yang tersendiri. Untuk Anas dan Mussaab, ini adalah pengalaman pertama buat keduanya menyertai acara sukan sekolah :)














Dentist Visit 

(5/9/18)


DENTIST VISIT: UNTUK PERTAMA KALI


Hari ini pelajar Little Diamond Kindergarten dibawa ke Klinik Pergigian EcoSmile-Ecohill untuk membuat pemeriksaan gigi di samping menambah pengetahuan tentang gigi mereka serta belajar cara penjagaan gigi yang betul. 


Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran pada anak-anak tentang kepentingan menjaga kesihatan gigi mereka. Buat yang pertama kali berjumpa doktor gigi seperti Anas dan Mussaab, sudah tentu ia memberi pengalaman berharga buat mereka,  ‘berkenalan’ dengan doktor gigi, dan membuang rasa ‘takut’ andai di masa akan datang perlu membuat pemeriksaan dan rawatan gigi :)


Anas pun dah ‘selamat’ menampal 1 giginya yang dah lama sakit. Selepas pengalaman berjumpa doktor gigi bersama kawan tempoh hari, Anas dah tak takut jumpa doktor gigi lagi. Alhamdulillah :)














Student-parents activity

(Public holiday: Hari Keputeraan YDPA)


Bukan tugasan untuk pertama kali (yang melibatkan kerjasama ibubapa dan pelajar), pada kali ini ibubapa diminta untuk merakam aktiviti cuti sekolah bersama anak-anak, yang kemudiannya dipersembahkan oleh anak-anak di hadapan guru dan kawan-kawan mereka. Anas dan Mussaab tak terkecuali, berkongsi pengalaman mereka menaiki MRT buat pertama kali ke Muzium Negara dan Planetarium Negara. 


Kisah Anas dan Mussaab naik MRT: 

MRT RIDE: MUZIUM NEGARA DAN PLANETARIUM NEGARA


‘Homework’ yang seumpama ini adalah sangat baik untuk ‘ingatkan’ ibubapa agar tak lupa untuk spend masa berkualiti dengan anak-anak, dan tak biarkan cuti mereka berlalu begitu sahaja :) dan ia juga sebagai langkah untuk membantu anak-anak membina keberanian dan keyakinan diri untuk bercakap di depan khalayak. Usaha kecil, tapi insya Allah memberi manfaat yang besar buat anak-anak semua.







Lawatan sekolah/Field Trip

(28/9/18)


LAWATAN SEKOLAH/FIELD TRIP


Lawatan sekolah yang dijadualkan pada bulan Ogos, akhirnya ditangguhkan ke bulan September. Hari ini pelajar Little Diamond Kindergarten mengikuti lawatan sekolah ke Rabbit Fun Land Lenggeng, dan Aisha Kidz Planet. Hari ini mereka dibawa ‘jauh’ sedikit dari kebiasaan. Mereka menaiki bas dan menuju ke destinasi pilihan mereka.


Hari ini anak-anak mendekati dunia haiwan, ‘berkenalan’ pula dengan haiwan, menambah ilmu pengetahuan tentang haiwan, menyentuh dan memberi makan pada haiwan, dan pelbagai aktiviti lain. Hari ini juga menikmati kegembiraan bermain bersama-sama di Aisha Kidz Planet. Masa riang kanak-kanak yang tak mungkin dapat dilupakan :)















Open day dan colouring contest

(28/10/18)


LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: OPEN DAY AND COLOURING CONTEST


Yang ini pula sebenarnya bukan aktiviti khusus untuk students Little Diamond Kindergarten. Tapi nak highlight juga sebab Anas dan Mussaab join sekali :) 


Pada hari terbuka Little Diamond ini, diadakan juga pertandingan mewarna. Anas dan Mussaab tak lepaskan peluang mendaftar, dan menjadi peserta pertandingan mewarna pada hari ini. Anas dan Mussaab berjaya mendapat hadiah tempat kedua, dan sempat pula bergambar dengan maskot minion yang datang hampir di penghujung majlis.


Terima kasih pada teacher di atas penerangan tentang sekolah, hidangan yang menyelerakan, hadiah, dan yang penting sekali ialah kegembiraan anak-anak yang dibawa pulang :)
















Little Diamond Graduation Ceremony 2018

(11/11/18)


LITTLE DIAMOND GRADUATION CEREMONY 2018


Menghampiri ke penghujung tahun sessi persekolahan, ini adalah kemuncak acara sekolah. Majlis graduasi Little Diamond Kindergarten yang julung kalinya diadakan di MARA Japan Industrial Institute (MJII). Majlis ini bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar Little Diamond Kindergarten (khususnya) yang bakal meninggalkan Little Diamond Kindergarten, dan hari ini juga para hadirin dihiburkan dengan persembahan daripada semua pelajar Little Diamond Kindergarten. 


Alhamdulillah majlis berjalan dengan baik dan lancar. Persembahan semuanya menghiburkan, Anas dan kawan-kawan 6 tahun lengkap ‘berjubah’ menerima sijil di hari penuh bermakna ini :)











Birthday Celebration 

(23/11/18)


Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan (untuk Anas, Mussaab dan kawan-kawan half day), juga diadakan majlis sambutan hari lahir untuk pelajar Little Diamond yang lahir pada bulan September hingga Disember. Tetapi sayangnya, Anas dan Mussaab tak dapat menghadiri majlis pada hari ini kerana perlu bercuti (seminggu) lebih awal.


Pada hari ini, sama seperti majlis sambutan hari lahir yang lepas-lepas juga, anak-anak diraikan dengan aneka hidangan yang pasti sedap, di samping aktiviti yang menghiburkan. 


(Foto dari fb Little Diamond dan dari group WhatsApp sekolah)









Happy birthday pada yang menyambutnya :)


Tamat sudah. 


Anas dan Mussaab kini sudah hampir 2 minggu berada di kampung. Entah bila akan balik ke Semenyih. Di Little Diamond, masih ada kawan-kawan (full day) yang meneruskan rutin dan aktiviti mereka seperti biasa. Malahan sekolah turut menawarkan aktiviti menarik di sepanjang cuti sekolah ini. Insya Allah, jika ada rezeki dan peluang Anas dan Mussaab akan menyertai kawan-kawan yang lain juga :)


Sampai di sini dulu catatan ringkas ummi (ringkas ke ,:) cerita Anas di Little Diamond mungkin dah berakhir (atau akan ada cerita lain lagi), next year kumpul cerita Mussaab pula di Little Diamond Kindergarten. Anas buka cerita dan episod baru di sekolah baru, Insya Allah.


Semoga terus success semua anak-anak Little Diamond. Semuanya menyerlah dengan gaya, personaliti, keistimewaan dan keunikan yang tersendiri. Terima kasih guru-guru yang ikhlas mendidik dan menyayangi.





Friday 23 November 2018 0 comments By: Naemah

BERCUTI LEBIH AWAL

Hari ni merupakan hari terakhir persekolahan (sepatutnya) untuk tahun 2018. Tapi Anas dan Mussaab bercuti lebih awal dari yang sepatutnya atas faktor kesihatan yang tak mengizinkan, juga faktor ‘abi’ yang mahu hantar ke kampung lebih awal (kalau tak kena tunggu habis trip kerja next week atau next week lagi, sebab gap antara kapal tak lama).


Maka hari ini, di kampung lah Anas, Mussaab dan Miqdad. Abi pula dah selamat sampai ke Bintulu, bertolak awal pagi tadi ke Semenyih seterusnya menaiki penerbangan petang tadi ke Bintulu. Memang padat betul jadual abi. Tak habis lelah lagi balik kerja hari tu, lepas tu drive balik kampung, drive lagi balik Semenyih, terbang pula ke Bintulu. Fuh! Takpelah semoga Allah berkati segala usaha dan penat lelah abi. Insya Allah.


Anas, Mussaab dan Miqdad sudah 3 hari berada di kampung. Hari ni sepatutnya meraikan birthday kawan-kawan Little Diamond, tapi sayangnya tak dapat hadir. Hari ni berada di rumah nenek. Oleh sebab sekolah pun baru start cuti esok, rumah nenek juga belum meriah dengan suara cucu-cucu. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya spend masa bertiga sahaja. Aktiviti hari ni melukis, mewarna, berbasikal, dan bermain di halaman rumah nenek. 


Pada petang hari (dah hampir masuk waktu Maghrib) barulah Umar, Uwais dan Urwah datang ke rumah nenek. Mereka ini sepupu yang paling akrab dengan Anas dan Mussaab, usia pun hampir sebaya semua. Selepas kedatangan mereka, meriah jadinya rumah nenek. Anas, Mussaab dan Miqdad seronok bukan main, bermain dan bergurau tak ingat nak makan dah!


Tapi mereka datang tak lama. Selepas Maghrib, Umar, Uwais, Urwah dan family balik ke rumah mereka sebab esok ada majlis sekolah yang perlu mereka hadiri. Tinggallah Anas, Mussaab dan Miqdad tiga beradik yang dah penat dan mengantuk. Masa ni barulah teringat nak makan nasi semua. Lepas makan, tidurlah semuanya dengan lena sekali. Alhamdulillah. 


Esok mungkin akan tinggal bertiga juga. Kesian, belum puas bermain dengan sepupu. Walaupun cucu nenek ramai, belum ada yang balik. Masing-masing masih ada komitmen dan urusan yang belum diselesaikan. Sabar jelah. Ada rezeki boleh jumpa dan main sama-sama. Anas dan Mussaab pun entah akan berada di sini untuk berapa lama. Bila-bila masa saja akan ke rumah mek, atau balik semula ke Semenyih.


Semoga diberi kesempatan untuk bertemu semua yang sangat jarang dapat bertemu kecuali cuti sekolah macam ni. Esok hari entah apa ceritanya pula. Walaupun mungkin hanya bertiga, semoga dapat menikmati kegembiraan bersama sepanjang berada di kampung ini . Insya Allah.









Wednesday 21 November 2018 0 comments By: Naemah

ANAS: SAKIT PERUT, MUNTAH DAN CIRIT-BIRIT

Sambungan cerita Anas 

ANAS: SAKIT PERUT, MUNTAH DAN DEMAM


Pada hari ke2 (19/11/18) Anas masih mengalami muntah-muntah dan sakit perut. Tidak reda sakitnya, badan masih lemah dan banyak berbaring. Disuapkan ubat juga muntah balik. Hari ini Anas makan nasi lemak dan muntah, tengahari tak nak makan, hanya minum air. Malam juga tak nak makan apa-apa. Hanya minum air dan ambil madu seperti biasa. Anas tidur awal, tak sempat abi sampai ke rumah (abi dalam perjalanan balik dari Labuan)


Malam ini sempat meminta nasihat dari Dr Nasibah (biras) tentang keadaan Anas, dalam keadaan Anas sekarang yang banyak minum air dan banyak buang air kecil, masih lagi dikira baik dan tak perlu terlalu risau. Oklah, dapat tidur malam dengan tenang.


20/11/18 (hari ke-3) Alhamdulillah abi sudah ada di rumah. Hari ini pula cuti maulidur rasul, tak ke sekolah. Anas bangun awal pagi kejutkan abinya, lapar nak makan. Abi gorengkan nugget, banyak makannya. Abi suapkan ubat muntah, dah tak ada rasa nak muntah lagi, namun masih sakit perut. 


Hari ini sempat ke sekolah jumpa teacher Zeeda untuk berikan ‘buah tangan’ sebab dah nak balik kampung, bercuti lebih awal dari yang sepatutnya. Tengokkan keadaan Anas, belum tentu esok pun dapat datang sekolah, maka abi decide untuk hantar balik kampung hari ni. Sebab abi pun cuti tak lama, nanti akan ke Bintulu pula. 


Dalam perjalanan balik beberapa kali singgah toilet, Anas dah start cirit birit hari ni (sebelum ni hanya muntah). Tapi hari ni dah tak muntah, Alhamdulillah. Masih sakit perut katanya. Tapi dah start bermain dan bergurau rancak dengan adik-adik di dalam perjalanan. Singgah makan KFC, Anas makan sedikit, masih tak ada selera. 


Hampir 1 jam nak sampai rumah mek, Anas mengadu sakit perut lagi. Sakit sangat katanya. Terus bawa Anas ke hospital Jeli untuk rawatan. Berada di hospital dari jam 6.45 petang sehingga 9.30 malam. Doktor membuat pemeriksaan dan ujian darah. Alhamdulillah, semuanya ok. Doktor beri jaminan ia hanya sakit perut dan cirit birit biasa. Ujian darah ok, tak ada dehidration, tak ada tanda-tanda appendicitis juga. Alhamdulillah. 


Terus balik rumah mek, rehat dan tidur. Tengah tidur, sempat lagi dua kali bangun buang air besar.


21/11/18 (hari ke-4) keadaan Anas lebih baik. Muntah memang dah tak ada dari semalam. Sakit perut masih terasa sesekali. Masih cirit-birit (tak teruk). Sudah makin ceria dan banyak main. Makan masih kurang berselera, tapi makan juga dalam kuantiti sedikit. Hari ini menyambung musafir Jeli-Kota Bharu pula. 


Anas masih belum sihat sepenuhnya, namun Alhamdulillah jauh lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Kerisauan dan ketakutan di hati ummi tak lagi menyelubungi. Lega, bila sudah menerima rawatan dan ujian kesihatan yang sepatutnya, lega bila tak perlu fikirkan yang ‘apa-apa’ akan berlaku oleh kerana sakit yang berterusan seperti itu (sebab Anas tak ada pengalaman sakit lama) 


Dari hari pertama Anas ‘sakit’ sudah terasa ‘sakit’ untuk menempuh segalanya bersendirian. Tapi masih boleh bertenang kerana percaya ia akan cepat berakhir. Hari pertama juga tak maklumkan pada abi yang perlu bertugas, bimbang akan ‘kacau’ jiwanya dan banyak fikir pula nanti. Hari kedua masih sama, bila abi dah habis kerja barulah maklumkan pada dia, itupun resah menunggu kepulangan dia. Bila dia ada bersama baru terasa sedang ‘menggalas’ rasa bersama. Sedikit lega, ‘apa-apa’ pun nanti situasi yang bakal dihadapi abi akan lebih cekap membuat keputusan dan bertindak. Kerana ummi tak gagah bersendirian, kecuali jika takdirNya tetap mahu ummi sendirian mendepani segalanya. Sudah pasti akan ada pertolonganNya juga.


‘Rasa’ hari ini dah tak sama seperti semalam dan sebelum ini. Rasa cemas, takut, risau, sudah boleh diletak ke tepi. Mampu bernafas lega, biar tetap perlu berjaga-jaga setiap masa. Berjaga-jaga bukan untuk seorang tapi untuk ketiganya.


Alhamdulillah. Satu episod kehidupan yang memberi banyak makna dan pengajaran pada diri. Satu episod dari banyaknya episod dalam menempuh kehidupan ini. 


Doa, pergantungan dan pengharapan tetaplah hanya pada DIA. Dia yang tak pernah meninggalkan aku, meski dalam banyak ketika aku melupakan DIA. Allahu......







Dalam  perjalanan semenyih-jeli 





Di hospital Jeli-Selepas diambil darah





Di Rumah nenek-Kota Bharu






Hari ke-2 di rumah nenek- semakin sihat

Alhamdulillah 

Sunday 18 November 2018 0 comments By: Naemah

ANAS: SAKIT PERUT, MUNTAH DAN DEMAM

 


18/11/18 (abi di Labuan): Anas bangun pagi ketika ummi baru selesai solat subuh, terus muntah-muntah di tempat tidur. Agak banyak muntahnya. Kemudian masuk bilik air, mandi dan juga buang air besar. Selesai semua, mengadu sakit perut. Agak merisaukan. Tapi pernah juga mengalami situasi seperti ini. So, tak adalah panik sangat. Selalunya selepas dah muntah sekali atau beberapa kali kemudiannya akan baik.


Namun hari ini berbeza. Banyak kali Anas mengadu sakit perut. Makan sudah tentunya tak berselera. Air diminum pun tak sampai secawan. Lemah dan terbaring saja di sofa. Ummi dah mula risau. Entah apa puncanya, hanya dia yang mengalami muntah dan sakit perut. Tak lama selepas minum air, pun muntah juga. Entah mungkin selepas berbasikal semalam, menjamah makanan tanpa basuh tangan, atau mungkin puncanya nasi tengahari yang dibeli semalam, hanya dia yang berbeza lauk dan kedai. Wallahu a’lam 


Sampai ke tengahari, keadaan Anas masih sama. Malahan Anas yang minta untuk ke klinik. Hampir jam 12 tengahari, bersama anak-anak semua, kami menuju ke Poliklinik Damai, Beranang untuk berjumpa doktor. Di klinik, sekali lagi Anas muntah (dalam bilik doktor). Mujurlah dia hanya minum air, yang keluar pun air jugalah. Rasa bersalah pula pada doktor dan petugas yang terpaksa bersihkan tempat Anas muntah. Tapi harapnya mereka faham situasi yang di luar kawalan seperti ini :)


Seperti biasa jumpa doktor, doktor bertanya beberapa soalan yang berkaitan, dan membuat sedikit pemeriksaan fizikal, then ke kaunter dapatkan ubat. Kemudian terus balik. Keadaan Anas sepertinya ok sikit, boleh makan aiskrim, dan minta belikan goreng pisang. 


Di rumah pula, Anas masih kurang aktif, hanya menonton tv. Ummi biarkan saja Anas di bawah, ummi naik ke atas dan tidurkan Miqdad. Seperti biasa, ummi pun ikut tertidur. Anas kemudian naik dan mengadu sakit lagi. Dan kemudian lena bersama. 3 beradik lena semuanya di siang hari. Hal yang sangat jarang terjadi. Anas selalunya tak tidur di siang hari.


Bangun dari tidur, lebih kurang jam 5 petang Anas mengadu sakit kepala pula. Pulak dah! Sentuh badan, panas! Demam lah ni. Alahai, tadi ke klinik hanya dapat ubat sakit perut dan muntah saja. Takkan nak ke klinik sekali lagi. Cek ubatan dalam peti ais, semuanya dah expired. Sebabnya memang dah lama Anas, Mussaab dan Miqdad tak demam. So, tak ada ubat demam yang baru dibuka. Petang ini Anas makan madu, pisang goreng dan teh ais (semua atas permintaannya). Lepas tu nampak ok sikit, tak mengadu sakit dah. Sakit perut pun dah hilang katanya.


Hampir masuk waktu Maghrib mengadu sakit kepala lagi. Naik ke atas dan mandi, Anas kelihatan lemah tak bermaya lagi. Masih sakit kepala. Ummi suapkan ubat sakit perut, katanya masih rasa sakit perut tapi tak sekuat tadi. Lepas makan ubat muntah pula. Kali ni banyak muntahnya sebab tadi makan dan minum agak banyak juga. Lepas dah muntah semua, badan dah rasa kurang panas. Ummi bagi Anas minum air garam yang dapat dari klinik tadi. Lepas tu Anas ok, boleh turun naik tangga dan mula bercakap dan bergurau dengan adik macam biasa. 


Jam 9 malam naik ke atas dan siap untuk tidur. Sekejap saja letak kepala di bantal terus tidur dengan lenanya. Alhamdulillah. Ummi mendoakan agar Anas kembali sihat pada esok hari. Tidur Anas lena tak terganggu Alhamdulillah.


19/11/18 (4.40am): Anas bangun dari tidur, kejutkan ummi katanya dah tak mengantuk nak sambung tidur. Keadaan Anas baik-baik saja. Badan dah tak panas. Alhamdulillah. Anas tak tidur, sehingga ummi bangun solat subuh. Anas mandi dan turun ke bawah, on tv dan duduk di sofa. Anas minta nak makan nasi lemak, ummi keluar belikan. 


Tapi kemudian Anas muntah lagi lepas minum teh. Muntah air saja. Lepas tu mengadu sakit perut lagi. Ummi suapkan ubat, Anas muntah lagi. Lepas muntah, makan nasi lemak dan minum air kosong. 


Anas tak ke sekolah hari ini. Hanya Mussaab yang pergi. 


Setakat pagi ini Anas masih belum aktif seperti biasa, sesekali rasa sakit perut (memulas agaknya), tapi Alhamdulillah dah tak demam. Perlu terus pantau keadaan Anas, jika masih berterusan sakit perut dan muntah mungkin perlu refer ke hospital pula untuk rawatan susulan. Harap-harap sempat abi balik, esok boleh ke klinik/hospital dengan abi pula. ‘Sukar’nya ummi rasa nak berdepan dengan semua ni, takut lemah dan tak kuat, terfikirkan bermacam kemungkinan. 


Insya Allah akan baik-baik saja. Allah menguji sekadar kemampuan hambaNya. Dan Allah akan sentiasa ada untuk menghulurkan pertolonganNya. Sangka baik padaNya.. Insya Allah. 







Di Poliknik Damai, lemah berbaring saja di kerusi ketika menunggu giliran 










Teman setia





Pagi ini. Masih belum baik dari sakit perut, tapi Alhamdulillah dah ada selera makan.


JALAN-JALAN MELAKA







Hampir 2 minggu suamiku berada di rumah. Hal yang sangat jarang terjadi. Biasa paling lama pun seminggu, itupun bila cuti lama macam tu mesti kami sekeluarga akan balik ke kampung sebab itulah peluangnya yang ada. 


Berbezanya kali ini, walaupun dia bercuti lama, kami tak berpeluang nak ke mana-mana. Balik kampung tidak, berjalan ke tempat lain pun tidak. Hanya di sekitar Semenyih dan KL saja.


Nak balik kampung, takut tergesa-gesa pula sebab sekolah Anas dan Mussaab akan mengadakan majlis graduasi, dan lagi satu pada hari majlis tersebut suamiku sepatutnya sudah terbang ke Bintulu, tetapi dibatalkan di saat-saat akhir. Itulah yang jadi cutinya lebih lama. Pun begitu, suamiku perlu stand by di rumah (tak boleh pergi jauh) sebab anytime akan dipanggil bertugas. Hmm.. itulah jadi ‘terikat’ kami sekeluarga tak ke mana-mana sepanjang tempoh ‘percutian’ suamiku :)


Akhirnya bila dah confirm tarikh yang dia akan pergi, barulah kami mengambil berpeluang untuk ‘berjalan’ keluar dari Semenyih sekejap. Ya, sekejap saja. Tak sampai satu hari pun.


Penerbangan suamiku ialah pada 17/11/18, kami memilih untuk ke Melaka pada 15/11/18. Kami bertolak meninggalkan rumah pada jam 2 petang. Sebelum sampai Melaka, sempat singgah di kedai Polymall Bundle di Port Dickson untuk membeli kasut untuk anak-anak. Tapi untuk Anas tak ada saiz, Mussaab dan Miqdad sajalah yang dapat kasut ‘baru’ hari ni :) 







Bergaya dengan ‘kasut baru’


Perjalanan diteruskan. Kami menuju ke Pantai Pengkalan Balak yang sudah biasa kami kunjungi. Sebelum itu solat asar di masjid berdekatan, dan terus ke pantai, tempat yang sentiasa memberikan keseronokan buat anak-anak. Berada di sini jam 5 petang hingga 6 petang. Satu jam saja, hari pun dah hampir gelap. Walaupun anak-anak masih belum puas mandi pantai, terpaksa pujuk juga untuk bersiap dan menukar pakaian. Miqdad sempat main air sekejap dengan jari yang masih berbalut (hari ke-7), tengah asyik main air tertanggal balutan jarinya, apalagi menangis, sakit katanya. Dah balut balik dengan tisu dan kain barulah tak menangis. Trauma agaknya. Lepas tu dah tak main air lagi. Dari jauh hanya memerhati abi dan abang-abang yang belum puas mandi laut.

















Jam 6 petang kami meninggalkan pantai, menuju pula ke Bandaraya Melaka. Tempat pertama yang dituju ialah restoren asam pedas claypot Kota Laksamana yang agak terkenal di Melaka. Rasanya ini adalah kali ke-3 kami ke sini. Pertama kali untuk Miqdad. Kami membeli set nasi berlaukkan asam pedas pari dan tetel, nasi ayam untuk Mussaab dan nasi lemak ayam untuk Anas. Semuanya makan dengan sangat berselera, penat dan lapar lepas mandi laut :) Alhamdulillah, hidangan makan malam yang menyelerakan.













Sudah jam 8 malam, kami kemudiannya ke Dataran 1Malaysia, Klebang. Di sini anak-anak berpeluang menaiki kereta dan motor mainan dengan bayaran sebanyak rm10 untuk 15 minit seorang. Tak cukup 15 minit, tambah lagi. Lebih kurang 1 jam juga kami di sini. Pengunjung masih tidak ramai, mungkin masih awal, dan mungkin juga kerana weekday, orang tak habiskan malam mereka di sini. Di sini juga kami menunaikan solat jamak maghrib-isyak dan membeli minuman. Agak banyak juga orang berniaga di kawasan ini. Food truck berderetan di tepi jalan menjual aneka jenis makanan. Mujurlah kami semua sudah kekenyangan, tak adalah rasa nak membeli semua makanan yang dijual :)















Jam 9 lebih, kami beransur meninggalkan Dataran 1Malaysia ini dan meluncur terus menuju ke rumah. Cukuplah dulu untuk hari ini.  Fikir banyak kali juga nak bermalam di hotel, tapi fikirkan esok harinya Anas dan Mussaab bersekolah, dan ada kelas piano lagi, maka kami pilih untuk terus balik. Berdepan dengan sedikit kesesakan di highway, akhirnya kami sampai di rumah pada jam 11(lebih) malam. Anas, Mussaab dan Miqdad ketiganya sudah lena dibuai mimpi di awal perjalanan lagi.


Alhamdulillah di atas peluang yang Allah berikan ini. Masih dapat ‘mencuri’ masa untuk spend masa bersama dan dapat berikan keseronokan pada anak-anak. Suamiku sudah tentu dapat kembali bekerja dengan lebih tenang, dan lega hati. Kalau tidak pasti dia teringat-ingat, kesian anak-anak terkurung di rumah saja dan tak ke mana-mana sepanjang tempoh dia bercuti. 


Alhamdulillah walau sekejap tetap bermakna. Anak-anak dapat keseronokan, dan suamiku juga sudah selamat kembali bertugas. Kali ini destinasi kerjanya adalah di Labuan, tak lama perginya. Tapi macam biasa, pergi, kembali, dan akan pergi lagi. Sudah begitu lumrah kerjanya. Semoga akan baik-baik saja. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan olehNya. Kini kembali menjalani rutin tanpa dia. Anak-anak habiskan hari minggu tanpa abi, tak ke mana-mana, di rumah lakukan aktiviti seperti biasa. 


Cuti sekolah bakal tiba. Insya Allah akan balik ke kampung untuk spend masa bersama keluarga di kampung pula :) semoga Allah permudahkan