Wednesday, 30 September 2015 0 comments By: Naemah

PERCUTIAN YANG PANJANG

Alhamdulillah akhirnya kembali ke Kajang setelah 15 hari berada di kampung. Satu percutian yang sangat lama untukku dan anak anak. Ya, boleh dikatakan satu percutian kerana di kampung memang banyakkk sangat releksnya :)

Aidiladha disambut meriah bersama keluarga, meskipun suami tidak dapat bersama pada hari tersebut. Alhamdulillah juga dapat melaksanakan ibadah qurban pada tahun ini. 



Di kampung, anak anak menjalani rutin yang berbeza dengan di rumah. Kalau di rumah asyik dengan permainan yang banyak, kat kampung sikit saja. Buku buku pun tiada. Tv dan komputer juga tiada. Anak anak bermain mengikut kreativiti sendiri :) 

Lagi satu, hafazan juga dah tak berjalan mengikut jadual. Masih tersangkut di surah al fajr dan al ghasyiah. Insya Allah akan meneruskan kedua surah ini sehingga lancar sebelum melangkah ke surah baru. 

Hari pertama di Kajang, hanya berehat di rumah saja. Dah lama tinggalkan rumah, perlu berkemas kain baju yang banyak. Hari ni juga sempat memasak untuk breakfast, lunch dan dinner. Alhamdulillah. Dah lama cuti memasak :)

Cuti suami masih berbaki 3 hari. Lepas tu akan kembali ke Labuan untuk urusan kerjanya seperti biasa. Alhamdulillah seminggu juga cuti kali ni. Dapat melepaskan rindu pada anak anak. 

Oh, esok dah masuk bulan Oktober 2015. Masa terus berlalu pantas. Bermakna dah 9 bulan juga kami di Kajang. Dan sudah 10 bulan suamiku dengan Xilog. Semoga Allah memberkati segalanya, keluarga ini, zuriat dan rezeki. 

Semoga dipermudahkan segala urusan, dan semoga mendapat keredhaan Allah. 

Wednesday, 23 September 2015 0 comments By: Naemah

MENDEKATI KEMATIAN



Kata orang, ajal maut di tangan Tuhan. Kata orang, bila dan di mana kita mati segalanya telah tercatat. Tidak akan terlambat dan tercepat walau sedetik pun. 

Namun satu perkara yang kita sering lupa, setiap detik yang kita lalui hakikatnya semakin mendekat kita pada tarikh kematian. 

Kita sering mendoakan agar dipanjangkan usia. Hakikatnya, hari hari yang kita lalui tetap akan mendekatkan kita pada kematian. Sesungguhnya kita lupa, hidup ini sebenarnya terlalu singkat.

Dek kerana lupa, kita menjadi manusia yang terlalu mengejar dunia. Pesona dunia dirasakan terlalu memukau. Banyak perkara yang ingin kita gapai dan capai. Lupa, semua itu bakal ditinggalkan.

Tak dinafikan, di dalam hati tersimpan berbagai impian dan harapan yang berbentuk keduniaan. Mahukan rumah yang besar dan selesa, kereta mewah dan bergaya, makanan sedap dan lazat, percutian di tempat yang indah, dan sebagainya.

Boleh jadi impian itu berjaya digapai, boleh jadi impian hanya tinggal impian. Ajal menjemput tanpa memberi isyarat.

Kebanyakan kita takut memikirkan kematian, termasuk diriku. Kenapa dan mengapa? Bukankah kematian itu syarat untuk bertemu kekasih teragung?? Bak kata suamiku... Takut lantaran diri tidak bersedia untuk menghadapi kematian. 

Ya benar... Alangkah berbahagia insan yang sentiasa bersedia menghadapi kematian, yang merindukan saat pertemuan dengan Allah, kekasih Teragung.

Persediaan yang bagaimana??
Pastinya persediaan dengan amal soleh. 
Bersegera melakukan kebaikan, dan menjauhi segala perkara yang sia sia dan mengundang dosa.

Sungguh hidup ini penuh dengan tipu daya. Terlalu banyak godaan hingga membuat kita lupa pada kematian dan akhirat. 

Sesungguhnya kematian itu pasti, tiada yang terkecuali. Aku sama seperti semua orang mengharapkan kematian yang baik, Husnul khatimah. Namun sedar  juga pada dosa yang menggunung tinggi.

Saat muhasabah...  
Pintu taubat sentiasa luas terbuka..
Ya Allah ampunkan segala dosa hamba...
Pandanglah dengan rahmat dan kasih sayangMu..
Matikan kami dalam kebaikan dan keredhaanMu..
Masukkan kami ke dalam syurgaMu..

Aameen

JIKA MAMPU KULUAHKAN

Jika mampu kuluahkan...

Sebagai seorang isteri, percayalah bahawa diriku sangat mencintaimu.
Cinta yang aku sendiri tidak sedar bilakah hadirnya.
Namun saat dirimu sah bergelar suami, ketika itu sudah ada cinta yang indah menghiasi hati...

Jika mampu kuluahkan..

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, kita lalui kehidupan bersama.
Tempuh bahagia bersama, harungi suka duka bersama.
Kadang hatimu kulukai, kadang hatiku yang mudah terguris.
Namun aku sedar kemaafanmu sentiasa ada untukku.
Percayalah aku juga tidak pernah memendam rasa, atau menyimpan marah. 
Apa yang pasti, cinta tetap di hati...

Jika dapat kuluahkan...

Berjauhan denganmu sering membuatkan aku rindu.
Walau sebentar, rindu tetap hadir.
Percayalah aku tidak pernah bosan saat dirimu di sisi.
Malah lebih tenteram jika dirimu ada bersamaku.
Namun barangkali sikapku seperti aku tidak menghargai.
Ada ada saja tingkah yang menguji sabarmu.
Maafkan aku, hati cukup derita saat kau tiada di sisi...

Jika mampu kuluahkan...

Aku tidak cukup kuat untuk harungi hidup ini sendirian tanpamu.
Apalagi untuk menjaga dan mendidik amanah Allah ini.
Tugas ini sangat berat.
Aku tak mampu melakukan sendirian.
Malah dalam semua perkara, aku sedar aku terlalu bergantung padamu.
Maafkan aku kiranya di bahumu terpikul banyak tanggungjawab, di fikiranmu hadir pelbagai kekusutan, di jiwamu tersimpan segala keresahan.
Maafkan aku yang tak berupaya mencipta damai di hatimu...

Andai dapat kuluahkan...

Aku wanita yang punya rasa cemburu.
Kerana ku sedar aku bukan insan rupawan. 
Usia juga tidak lagi muda belia.
Serba kekurangan di sana sini.
Jika mahu membuat perbandingan, jadilah aku wanita terpinggir.
Namun aku serahkan pada imanmu untuk menjaga hatimu.
Cemburu ini aku simpan di hati, kerana naluriku kuat mempercayai kesetiaanmu...

Andai dapat kuluahkan...

Meski dengan penuh rasa cemburu dan deraian air mata.
Saat aku gagal membuatmu bahagia.
Saat aku gagal menjadi ibu yang baik untuk anak anak.
Pasti aku dihadapkan dengan persoalan yang menyakitkan ini.
Mungkinkah ada insan lain yang lebih baik untuk menjaga dan membahagiakanmu dan anak anak??
Mungkinkah ada selain aku dan selepas aku??
Hatiku sakit memikirkan kegagalanku sebagai seorang isteri dan ibu..

Andai dapat kuluahkan..

Betapa aku beruntung dan bertuah memiliki dirimu..
Ada kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri..
Sedang aku mencari di mana kelebihanku untuk dirimu banggakan..
Aku tak punya, selain rasa cinta ini..
Kadang aku malu untuk berganding denganmu.
Dan malu andai ada yang memerhati dan menilai antara kita berdua...

Andai dapat kuluahkan...

Dalam meniti bahagia bersama, sering pula kita tidak sependapat, berbeza pemahaman dan tafsiran, berbeza penilaian dan tindakan, hingga mengundang pertelingkahan dan salah sangka. 
Kadang aku rasa dirimu jauh walau hakikatnya sangat dekat.
Kadang merasakan takut untuk mendekatimu dan memelukmu.
Segan untuk bergurau senda dan bermesra.
Saat tegang itu aku menjadi amat takut sekali.
Sekiranya aku atau dirimu yang pergi dulu, apakah akan ada keredhaanmu buat diriku.
Aku takut pada kemurkaan Allah.
Takut menjadi isteri derhaka yang dilaknat Tuhan..

Andai dapat kuluahkan...

Aku percaya kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kita bergantung pada keredhaan Allah.
Betapa penting meraih cintaNya sebelum meraih cinta manusia.
Betapa cinta Allah mengundang bahagia dalam kehidupan manusia.
Aku sedar aku perlu perbaiki hubunganku dengan Sang Pencipta.
Aku diterpa dan dihimpit rasa berdosa.
Astaghfirullah... Aku insan yang penuh dengan dosa.
Ingin aku kembali melangkah mendekatiNya yang Maha Pengasih.

Andai dapat kuluahkan...

Aku impikan kehidupan bahagia bersamamu di dunia dan di akhirat.
Aku ingin menjadi pendamping dan bidadarimu selamanya.
Aku ingin melangkah ke syurga bersamamu dan anak anak.
Aku ingin mencintaimu selama hayat dan sesudahnya.
Aku mahu menjadi saksi dirimu seorang suami yang Soleh dan ikhlas menjaga amanahNya.
Kerana aku tahu dirimu sedang mencuba dan berusaha memberikan yang terbaik untuk keluarga ini.
Aku hargai segalanya, dan Allah lebih tahu menilai hati dan usahamu..

Andai dapat kuluahkan...

Terlalu banyak yang ingin diluahkan
Cuma satu yang perlu kau tahu
AKU SANGAT MENCINTAI DIRIMU


TIDAK CUKUP SEKADAR CINTA




Sebuah perlahwinan itu mungkin diikat atas dasar cinta, mungkin juga sebaliknya. Walau bagaimana pun permulaannya, kita percaya bahawa cinta itu perlu dalam menjalani kehidupan bahagia bersama pasangan. Cinta itu sangat penting dan menjadi nadi dalam sebuah hubungan kekeluargaan.

Pun begitu... Cinta bukanlah segalanya. Dapat kita lihat, perkahwinan atas dasar cinta pun ada yang hancur rumahtangganya. Ada pula ikatan yang tidak berdasarkan cinta, bahagia hingga ke akhir hayatnya. Kerana itu dikatakan cinta itu sangat penting, namun ia bukan segalanya.

Kerana cinta itu tersangat penting, maka perlu dihadirkan rasa cinta itu dan perlu pula dikekalkan, disuburkan dan dibajai cinta itu setiap masa. Maka kerana itu hadir faktor faktor lain yang mengundang cinta, menyemarakkan cinta, dan menyuburkan cinta di alam rumahtangga. 

Faktor faktor penting, sering dipandang ringan. Suami dan isteri, perlu hayati bersama erti sabar dan tolak ansur, belas kasihan dan empati, maaf dan memaafkan, kerjasama, dan saling mendoakan... Juga faktor faktor lain yang  menjadi baja baja cinta.

Meskipun cinta..jika tak mampu mengawal marah, cinta pasti tenggelam. Meskipun cinta, jika menyimpan sakit hati dan berat untuk memaafkan, cinta tiada bermakna. Meskipun cinta, jika hanya mahu saling menyalahkan, cinta sukar mengundang bahagia. Meskipun cinta, jika hanya pentingkan diri sendiri dan hanya tahu menuntut hak, apalah ertinya cinta??

Kalau benar cinta, buktikan dengan perbuatan dan pertahankan dengan nilai nilai baik yang selayaknya ada pada setiap insan yang saling mencintai. Kalau si dia lakukan kesilapan, sudilah memaafkan. Jika marah sekalipun, berpada padalah jangan sampai meninggi suara dan menyakiti. Jika benar dia tersalah, tegurlah dengan cara yang paling berhemah. Siapa yang tak buat silapkan??

Kerana cinta juga kita tidak hanya menuntut hak dari pasangan. Kita mengharap dibahagiakan, dimuliakan, dilayan mesra dan dibelai manja... Namun lupa untuk terlebih dahulu memberi apa yang sepatutnya pada pasangan. Kita mengharap, tapi sukar untuk memberi. Ingatlah makna cinta itu ialah pada ikhlasnya kita memberi tanpa mengharapkan balasan.

Asasnya, cinta itu subur jika ia didasari iman. Iman melahirkan sikap positif dan mahmudah. Iman melatih diri bersabar, diam meskipun marah, berlembut meskipun tercabar, merendahkan keegoan demi sebuah kedamaian, mengalah untuk mengelak tegang, senyum meskipun pahit... Tidak dilupakan doa buat si dia meski hati tengah 'sakit' dengan tingkahnya :)

Tidak mudah kan?? Kerana alam rumahtangga juga sebuah medan perjuangan. Perjuangan untuk mempertahankan cinta, agar cinta terus subur di hati, agar bahagia selamanya dikecapi. 

Kita dan dia.. Bukan manusia sempurna. Salah dan silap itu biasa. Kita dan dia.. Adakalanya berbeza dan tak sehaluan. Bagaimana untuk bertindak dan menguruskan perbezaan itu, di situlah di lihat sebagai  sebuah perjuangan mempertahankan cinta dan kebahagiaan rumahtangga.

Ya... Cinta itu perlu dalam menjamin kebahagiaan rumahtangga.. Tapi perlu diingat, jika sekadar cinta, ianya tidak cukup!!

Tuesday, 22 September 2015 0 comments By: Naemah

9 ZULHIJJAH 1436: HARI ARAFAH



Hari ini 9 Zulhijjah 1436

Alhamdulillah diberi kesihatan dan kesempatan untuk berpuasa di hari yang mulia ini. 

Hari ini para jemaah haji berkumpul di Arafah untuk menyempurnakan ibadah haji. 

Entah mengapa fikiran terbang jauh hingga ke tanah suci. Sayu dan damai menggambarkan lautan jemaah haji di sana. 

Mungkin kerana salah seorang dari mereka ialah ibu mertuaku. Semoga Allah beri kesihatan pada mak, mudahkan urusan mak dan terima haji mak. Dan semoga Allah permudahkan urusan semu jemaah haji di sana. Insya Allah.

Mungkin kerana kejadian tragedi berdarah tempoh hari di mana ramai jemaah syahid di sana. Sayu dan pilu mengingatkannya, tetapi aku pasti mereka sedang berbahagia di sisi Tuhan :')

Mungkin juga aku rindu untuk ke sana. Rindu untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Menyimpan impian untuk ke sana bersama suami tercinta dan anak anak. Menunggu jemputan Allah untuk menunaikan umrah dan juga haji. Permudahkanlah ya Allah..

Tanah suci itu, tanah yang pernah ku jejak suatu ketika dulu. Rindu untuk sujud di hadapan Kaabah. Di sana pernah kutitipkan doa yang panjang. Allah telah memberi kehidupan yang lebih baik dari yang kupinta. 

Antara doaku di sana ialah tentang jodoh yang masih tidak pasti. Namun hari ini jodohku sudah jelas, malah dikurniakan pula anak anak yang comel, bijak dan soleh. Alhamdulillah:) 

Aku memohon ya Allah... Semoga dimurahkan rezeki, dan dikurniakan kesihatan untuk menjejakkan kaki lagi ke tanah suci bersama suami dan anak anak. Semoga mendapat umrah dan haji yang mabrur. Aameeen..


ANAS DAN MUSSAAB: SAYANG HINGGA SYURGA



Kesayangan ummi... Anas Zaydan dan Abdullah Mussaab. Anak anak ummi yang sangat baik dan bijak. Alhamdulillah atas kurniaan ini :)

Anas sudah hampir berusia 4 tahun. Mussaab pula dah nak masuk 2 tahun. Tak sedar masa berlalu begitu cepat. Anak anak ummi dah besar dan sangat cerdik :)

Anas dan Mussaab, along dan adik. Dua beradik yang sangat dekat. Setiap hari bersama, bermain dan bergurau, bergaduh dan baik semula :)

Anas lebih ceria dengan kehadiran adik. Kalau dulu tiada kawan bermain, kini adik  hadir sebagai teman. Adik yang lucu, comel dan menghiburkan. Adik mampu buat along ketawa dengan pelbagai aksinya :)

Adik juga meski belum mengerti, pastinya sangat gembira dengan adanya along. Adik membesar dengan bertemankan along yang sentiasa di sisi. Adik tak pernah kesunyian, kerana saat lahirnya along sudah ada bersama. Along banyak mengajar adik tentang banyak perkara :)

Along sangat sayangkan adik. Along tak boleh kalau adik tiada bersama. Along takut adik diambil orang. Along tak benarkan adik ikut sesiapa tanpa ummi dan abi. Mungkin along rasa sunyi bila adik tiada bersama. Adik tidur pun, along asyik dok kacau nak suruh adik bangun. Sering juga along cium adik yang sedang lena. Rindu barangkali :)

Namun dalam bab mainan kesayangannya, along masih berat hati lagi nak share dengan adik. Ya, along sedang belajar erti hidup berkongsi. Bukan along tak sayang adik, tapi along perlukan masa untuk belajar segala nilai baik dalam hidup ini :)

Adik pula masih kecil. Adik tahu along sebahagian dari kehidupannya. Setiap hari along ada bersama, tak pernah berpisah. Adik banyak mengalah dengan along, especially bab mainan. Kalau along tak bagi takpe la... Adik undur diri :)

Tetapi ada ketikanya juga adik berkeras mahukan yang sama seperti along. Kalau dah sama sama tak nak mengalah, gegak gempita jadinya. Masing masing meraung dan menangis. Pandai pandai la ummi dan abi nak pujuk dan leraikan perang saudara itu. Bila dah ok, elok pula main sama sama macam takde apa apa yang berlaku :)

Ummi bahagia lihat Anas dan Mussaab membesar bersama di depan mata ummi. Hari hari menatap dan melihat telatah comel anak ummi berdua. Bahagia di hati hanya Allah yang tahu. 

Harapan ummi agar anak anak ummi tetap akan saling berkasih sayang selamanya. Meskipun dah menginjak usia dewasa, jangan biarkan kasih sayang itu padam atau pudar. Adik beradik, perlu selamanya berkasih sayang, membantu di kala perlu, bertanya khabar suka dan duka, berkongsi banyak perkara, belas kasihan, saling menjaga, dan saling mendoakan.

Anas dan Mussaab, suatu hari nanti ada kehidupan sendiri, cita cita dan impian sendiri, namun kasih dan sayang jangan biarkan ia pergi. Sebagaimana along sayang adik hari ini, satu masa nanti, mesti sayang seperti ini juga. Sebagaimana along dan adik mesra bergurau dan bergelak tawa bersama hari ini, satu hari nanti perlu seperti ini juga. 

Anas dan Mussaab... Usah jarakkan hubungan adik beradik yang sepatutnya dekat dan rapat. 

Anas dan Mussaab ... Saling berkasih sayanglah kerana Allah hingga ke syurga.

Anas dan Mussaab.. Jadilah hamba Allah yang mencari keredhaanNya

Doa ummi sentiasa buat kalian. 

AKTIVITI ANAK-ANAK DI KAMPUNG

Hari ini hari ke 10 aku dan anak anak berada di kampung. Sangat lama rasanya. Kebetulan pula nak sambut aidiladha, dan suami pula terpaksa bekerja lama sedikit di Labuan, maka kampung lah tempat tuju kami tiga beranak :)

Di kampung anak anak agak bebas berlari memandangkan rumah di kampung lebih besar berbanding rumah sewa kami di Kajang. Tetapi... Tak banyak perkara yang dapat dilakukan bersama anak anak memandangkan kami hanya pulang dengan pakaian saja :) tiada buku, tiada mainan, tiada kertas dan pen, tiada tv dan video... Tiada segalanya yang boleh membuatkan si anak asyik dan leka. 

Untuk memastikan anak anak tidak bosan, ummi perlu fikirkan aktiviti yang menarik. Aduhai... Ummi pun tak tahu apa yang boleh dilakukan di sini. 

Kerana tiada alat tulis, aku dan anak anak berusaha ke kedai mencari alat tulis. Beli pen, krayon, marker, guntimg dll. Dapat juga la anak anak melukis dan menconteng :D



Bosan melukis, Anas bermain dengan permainan yang ada di rumah mek. Tak banyak pun, tapi boleh la untuk dia ubat rindu pada mainannya di rumah tu. Anas bermain mengikut kerativitinya.

Di rumah p.long

Ada ketikanya, aku membawa anak anak ke rumah kakak dan abangku. Alhamdulillah mereka tinggal tak jauh dari rumah ibuku. Boleh la bawa anak anak berjalan, dan taklah terperap saja di rumah ini.

Antara aktiviti lain di kampung, bermain biji getah. Hehe... Budak kampung je kot yang kenal biji getah ni. Permainan aku masa budak budak dulu :) aku minta kakakku carikan, dan maka beraktivitilah kami dengan biji getah ini. 





Hafazan tak dilupakan, meskipun agak slow progressnya di sini. Sempat juga tasmik surah al Fajr yang sedang dihafal. Alhamdulillah hampir lancar hafazan surah yang panjang ini (30 ayat), meskipun ada juga ayat yang tertukar. Tak apalah, yang penting hafazan improve. Di samping itu, diperdengarkan surah hafazan seterusnya iaitu surah al- Ghasyiah. 

Satu lagi hiburan untuk anak anak ialah ipad. Walaupun Anas sebenarnya dah kurang berminar pada ipad, namun dek kerana tiada hiburan lain, ipad tetap menjadi pilihan. Tetapi di kebanyakan masanya, ipad berada di tangan Mussaab :)


Begitulah kehidupan seharian di kampung ini. Agak berbeza dengan kehidupan di rumah kami. Tak mengapalah, biarkan anak anak menikmati segala perbezaan ini. Apa yang aku harapkan, hari hari mereka tak berlalu dengan sia sia tanpa sebarang manfaat yang dapat mereka kutip. Amat rugi sekali sekiranya masa emas mereka ini dibiarkan berlalu dengan sia sia..

PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

Setelah 10 hari berjauhan, suami pulang bertemu anak dan isteri. Kepulangan yang sangat dinantikan, dan diharapkan. Anak anak gembira tak terkata. Aku juga tak kurang bahagia melepaskan rindu pada yang tercinta. 

Namun pulangnya tidak lama. Hanya untuk 3 hari, dan akan kembali bekerja. Kami 3 beranak, terpaksa berjauhan dengannya lagi. Memandangkan raya juga sudah semakin dekat, kami hanya tinggal di kampung. Kali ni sangat lama berada di kampung. Anas pun dah rindu pada mainannya di rumah :)




Kepulangannya, meskipun sebentar cuma, tetap memberi makna dan mencipta momen yang indah dalam kehidupan kami. Dia seperti biasa, menjadi ayah yang baik dan terbaik untuk anak anak. Melayani mereka, menghiburkan mereka dan memberikan sepenuh kasih sayang buat mereka. 

Anas dan Mussaab happy teramat dapat hadiah dari abi. Hadiah kereta dan kenderaan mainan sangat menggembirakan anak anak. Maklumlah, balik hari tu tak bawa mainan sekali. Main apa yang ada je kat sini. sebab tulah selalu ajak balik rumah, teringat kat mainan :)

Kami juga berkesempatan ke Pantai Bukit Keluang di Besut. Dah lama tak ke sana. Seingat aku, masa belajar kat Maahad dulu last ke sana. Tupun sebab abang mengajar di sana. Dah lama sangat dah..hingga berpeluang datang semula bersama suami dan anak anak. Pantainya masih cantik dan indah. Suami dan anak anak mandi dengan riang dan seronok sekali. Maklumlah dah lama tak mandi pantai. Masa tinggal kat Melaka dulu kerap la juga. Dah pindah kajang, dah takde pantai la :)




Kemudian sempat juga ke rumah mertua di Kota Bharu. Walaupun mak kat Mekah, datang juga la rumah mak jumpa adik beradik suami. Satu hari di sana, pulang semula ke rumah ibuku di jeli. Dalam perjalan, sempat juga shopping mainan anak, dan sedikit keperluan.

Di hari terakhir suamiku di kampung, kami ke Telaga Bijih menikmati suasana hutan dan air terjun pula. Walaupun dekat je dengan rumah, tapi ini kali pertama aku ke sini. Oklah juga, air bersih dan ramai orang juga. Seperti biasa, suami mandi manda bersama anak anak, dan aku hanya menanti dan memerhati. Seronok tengok anak anak begitu asyik mandi sungai. Mandi, makan dan mandi lagi. Kemudian pulang ke rumah :)




Malamnya, suamiku menaiki bas ke Kuala Lumpur dan esoknya pula flight ke Labuan. Terasa singkat masa bersama, rindu kembali berpaut. Anas menangis di saat abinya pergi. Puas dipujuk, pasti rindu yang lalu masih terasa. Insya Allah kali ini perginya tak lama. Meskipun tak dapat sambut raya Aidiladha bersama, tapi Insya Allah baliknya nanti lebih lama. Insya Allah... Sabarlah sedikit saja lagi anakku :')

Suamiku...kehadirannya membuahkan bahagia.. Ketiadaannya menghadirkan rindu :')

IBU MERTUA DAN IPAR DUAI

'JUNE 15'
Bicara kali ini tentang ibu mertua dan ipar duai. Sepanjang seminggu di kampung, aku dikelilingi mereka yang bergelar ibu mertua dan ipar duai. 

Alhamdulillah dikurniakan ibu mertua yang baik dan tidak membezakan antara kami para menantu :) mak punya 10 anak dan 7 menantu (dah masuk 8 orang) Agak besar juga la keluarga ni.

Aku menantu perempuan yang kelima,  yang terakhir di kalangan menantu perempuan. Namun aku sedar , aku bukanlah menantu kesayangan, atau menantu favorite mak. Dalam hati mak pasti ada yang istimewa, walaupun bukan aku. Siapalah yang bertuah tu ya? Namun sekurang-kurangnya layanan mak sama saja antara menantunya. Tak ada yang kurang atau lebih. Meskipun ada, sekurang-kurangnya tidak sampai ada yang terasa hati. Alhamdulillah.. Bersyukurlah tak ada kes makan hati dengan mertua seperti kebanyakan orang yang pernah kubaca dan dengar kisah mereka. Dan harapanku, semoga mak juga tidak terasa hati dengan segala sikap dan layananku selama ini.

Kerana tak kurang rungutan yang aku dengar tentang hubungan yang kurang baik dengan mertua. Hingga ada yang sampai bergaduh dan tak bertegur sapa. Kenapalah sampai jadi macam tu sekali. Sedangkan ibu mertua ibarat ibu kita sendiri. Belum masuk bab ipar duai lagi. Hubungan yang sepatutnya baik jadi sebaliknya. Semuanya salah siapa??

Aku, meskipun tidaklah terlalu rapat dan mesra dengan ipar duai, dan jarang jarang bertemu juga, namun Alhamdulillah hubungan kami baik dan tiada sengketa. Tak menyakitkan hati, tak juga memendam rasa pada sesiapa. Meski mungkin berbeza, kami cuba untuk saling menghormati. Insya Allah...

Dalam keluarga yang besar ini juga aku cuba sebaiknya untuk menyesuaikan diri, meski aku sedar terlalu banyak kekuranganku dan barangkali apa yang mereka rasa dengan kehadiranku. Namun aku percaya, mereka juga cuba sesuaikan diri denganku, dan ikhlas menerima diri ini sebagai sebahagian dari mereka.

Aku sejujurnya merasa sangat bersyukur dikurniakan ibu mertua dan ipar duai seperti mereka. Alhamdulillah kerana aku tenang dengan kehidupan hari ini, meskipun aku sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Kuncinya, sedaya upaya memberikan penghormatan tertinggi pada ibu mertua yang juga merupakan wanita pertama dalam kehidupan suami.jangan sakiti hatinya, dan tiada hak pun untuk menunjukkan kita lebih baik darinya. Dia yang melahirkan suami kita, membesarkan, mendidik dan mendoakan suami kita saban hari. Jangan sesekali menyakiti hatinya baik dengan kata kata atau perbuatan..

Begitu juga ipar duai semuanya. Mereka sebahagian dari kehidupan suami. Cintai suami dengan menghormati setiap ahli keluarganya dan usah berbicara tentang keburukan mereka meskipun terlihat. Bicara yang baik baik saja. Dan doakan agar antara kita dan mereka tidak sehingga bersengketa apalagi membenci. Nau'zubillah...

Ya, kita, suami, mertua dan ipar duai..pasti antara kita berbeza, namun jangan sehingga bersengketa. Insya Allah kita cuba hidup dengan saling berkasih sayang dan saling mendoakan 

Sepintas lalu di kampung 








Wednesday, 16 September 2015 0 comments By: Naemah

AFTER 1 WEEK WITHOUT ABI

Hari ketiga di kampung...

Sudah 8 hari anak anak berjauhan dengan abinya. Hati sarat rindu, menanti penuh pengharapan.

Anak anak bangun seawal 7.30 pagi. Alhamdulillah hari ini boleh facetime dengan abi setelah beberapa hari tak mendengar suara abi dan tak melihat wajah abi. 

Hari ini Anas dan Mussaab leka dengan aktiviti melukis. Melukis dan menconteng :) Entah berapa helai kertas dah habis diangkut. Ummi membiarkan saja, asalkan anak tidak bosan.

Lukisan Anas masih bertemakan alam/nature. Suka sangat dia melukis pokok, awan, angin, hujan, daun, dan yang sewaktu dengannya. Layan saja, kerana itu minatnya :)

Mussaab pula suka menconteng lantai. Dihulur kertas pun dia menolak. Lantai jugak yang best. Baju seluar pun dipenuhi dengan contengan krayon. 





Ipad juga menjadi pilihan anak anak terutamanya Mussaab. Bila ipad di tangan, dah tak peduli pada yang lain dah. Masa tidur pun sekejap sangat. Anas pula langsung tak tidur di siang hari.

Makan juga agak kurang berselera, masing masing dalam keadaan selesema termasuk aku. Anas hari ni dah sihat, setelah 2 hari demam. Aku juga, rasa berat saja kepala ni. Semoga tak mudarat..

Sekitar 6 petang, Anas menangis sayu. Memanggil abi, dan menyatakan rindunya. Hatiku turut pilu.. Biasanya dia tak menangis seperti ini. Mungkin sangat rindu, kerana kali ini pemergian abi sangat lama. Puas juga nak memujuknya :') Mussaab... Alhamdulillah ok je :)

Sering juga ajak balik Kajang. Dah tentu rindu pada permainannya. Maklumlah, kat sini takde apa apa. Pasti bosan yang amat. Hai... Kesian anakku. Aku pula hari ni rasa lemah badan, selesema macam nak demam rasanya. 

Dari Maghrib hingga Isyak, masing masing nampaknya dah mengantuk, tapi masih tak mahu tidur. Anas asyik dengan lukisannya, Mussaab dengan ipadnya. Dah tutup lampu pun, masih tak mahu tidur. 

Akhirnya...9.30 malam keduanya lena. Sayu hati memikirkan anak anak yang rindukan abi. Aku mengerti kerinduan iti kerana aku juga rindu. Namun lebih pilu bila mendengarkan ungkapan rindu itu dari si anak :'(

Ya Allah.. Semoga Engkau menyatukan kami sekeluarga dengan cinta dan kasih sayang. Engkau saja yang mengerti bahawa kami terlalu RINDU :')




Monday, 14 September 2015 0 comments By: Naemah

BALIK KAMPUNG WITH AIRASIA

Hari ini (13/09/15) sudah berada di Kota Bharu. Bagai bermimpi, kerana kepulangan ini tanpa dirancang pada awalnya. Pulang dengan penerbangan Airasia, everybody can fly :)

Musim jerebu

Hanya pulang bertiga dengan anak anak. Suami jauh di Labuan. Hari ke 5 dia di sana. Rindu pastinya sangat rindu, kerana perginya kali ini sangat lama. Lama berbanding biasa. Kalau seminggu sudah dirasakan lama, kali ini lebih dari seminggu. 

Aku cuba memahami rentak kerjanya. Kerja kapal, meskipun kerjanya berjadual namun banyak faktor yang menyebabkan jadual kerjanya sedikit berubah. Kalau ikutkan, perginya tak lama seperti ini. Namun apa nak buat.... Bukan kemahuannya juga. Kapal yang sepatutnya masuk, delay pulak..

Kerana itu kami tiga berana mengambil keputusan untuk balik kampung, tak mahu terus berkurung di rumah itu. Insya Allah menanti kepulangan suamiku di kampung.

Kesian anak anak. Perjalanan yang agak memenatkan siang tadi. Kehulu kehilir... Memang penat sedikit. Kesian Anas... Kesian Mussaab. Aku juga tak kurang penatnya. Dengan beg, dengan anak anak... Perlu berjalan jauh pula ke balai berlepas. Terasa sangat sukarnya bermusafir tanpa suami. Klia 2... Masih tak biasa dengan airport ini. 

Tapi Alhamdulillah... Segalanya berjalan lancar dan selamat sampai ke destinasi. Anak anakku penat bercampur gembira, dapat berjumpa sepupu di rumah nenek. Dalam kepenatan masih riang bermain. 

Masing masing sudah lena dalam kepenatan. Aku juga... Bakal melelapkan mata.

Rindu pada suamiku... Kesian pada anak anakku.. Semoga Allah menjagamu sayang. Semoga Allah mendamaikan jiwamu anak anakku... Semoga Allah menyinari keluarga kita dengan cahaya petunjuk dan kebahagiaan :')
Friday, 11 September 2015 0 comments By: Naemah

AHLI SYURGA INI :')




Lena tidurmu anakku..
Tenang wajahmu, selayak gelaran ahli syurga..
Hari harimu yang penuh ceria dan bertenaga..
Tiada kegusaran dan tiada masalah untuk difikirkan..
Hati bersih seputih salju..
Tiada dosa, tiada noda, tiada marah, tiada dendam..
Sering membuat hati si ibu terhibur dan bahagia.
Sering juga membuat hati si ibu runtun kesedihan lantaran dosa...
Banyak dosa terhadap ahli syurga ini..
Semoga diberi kesempatan dan ruang untuk memperbetulkan kesilapan..
Menjadi ibu yang terbaik..
Ibu perlu lebih bermujahadah..
Kerana tugas dan tanggungjawab ibu pada ahli syurga ini bukan suatu yang mudah!!
Sunday, 6 September 2015 0 comments By: Naemah

RINDU PREGNANT LAGI

Pertamanya, alhamdulillah dan syukur atas nikmat kehidupan, kesihatan, dan keluarga yang lengkap sempurna ini. Alhamdulillah ada suami di sisi, ada anak anak penghibur hati. 

Bersyukur dianugerahkan dua cahaya hati, Anas Zaydan dan Abdullah Mussaab. Anas sudah berusia 3 tahun 8 bulan dan Mussaab pula 1 tahun 8 bulan. 

Bila anak sudah besar, terasa rindu nak pregnant lagi :) rindu nak rasa saat saat manis ketika mengandung, dan rindu nak belai baby. 

Pengalaman mengandung dan bersalin sebenarnya bukan mudah. Banyak cabarannya, dan sering pula berhadapan dengan situasi mendebarkan. Apatah lagi pernah keguguran semasa kandungan pertama, membuat diri lebih berhati hati. 

Sakit bersalin tu, tak perlulah nak cakap. Semua ibu yang pernah bersalin pasti dapat membayangkan bagaimana 'kenikmatan' sakit bersalin itu. Untuk memikirkannya memang terasa gerun, tapi untuk mengatakan diri sudah serik untuk bersalin lagi, mungkin tidak kot :)

Aku tidak mengambil sebarang ubat atau suntikan sebagai perancang kehamilan. Sekadar menggunakan kaedah natural planning. Kini rasanya hati sudah bersedia untuk hamil lagi. 

Persediaan yang bagaimana?? Should be mentally and physically prepared... 

Menjadi seorang ibu yang hamil, melahirkan dan sehingga peringkat menguruskan bayi dan anak kecil itu satu tugas yang agak mencabar, maka persediaan itu sangat penting. Lebih lebih lagi baiknya jika kita dalam keadaan yang sentiasa bersedia. Kerana rezeki Allah, bila bila saja boleh datang :)

Untuk hamil, seorang ibu perlu sihat. Mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Kalau ibu sihat, insyaAllah mudah untuk hamil dan insyaAllah baby di dalam kandungan juga akan sihat. Amalan hidup yang sihat juga dapat menjauhkan ibu dari menghadapi masalah kesihatan sepanjang kehamilan. 

Dari segi mental, seorang ibu perlu bersedia untuk berhadapan dengan situasi yang 'mungkin' sepanjang kehamilan hingga kelahiran. Boleh jadi kita akan menanggung alahan yang kuat ketika hamil, hati pula mudah tersentuh dan tersinggung, pergerakan tidak boleh lagi selincah sebelum kehamilan. Bersedialah untuk berdepan dengan semua itu. Bagi yang punya 2 anak kecil sepertiku ini, saat hamil boleh menjadi tempoh yang mungkin lebih mencabar kerana dalam masa yang sama perlu melayan dan menguruskan anak anak yang masih belum mampu berdikari. 

Belum masuk bab kelahiran dan sesudah kelahiran. Proses bersalin itu semua pasti tahu ianya 'sakit', dan untuk menjaga anak yang baru lahir juga sangat  memerlukan ketelitian di samping pergerakan kita yang terbatas ketika itu.

Kerana itu perlunya persediaan. Perlu memikirkan tentang semua itu, dan bersedia untuk menghadapinya dengan hati yang lapang, insya Allah. 

Dalam masa yang sama kita memerlukan sokongan dan bantuan suami. Kerana zuriat itu milik kita berdua, bukan kita seorang. Perlunya ada perbincangan dan perancangan, agar isteri tak merasakan dia seorang yang perlu menanggung segalanya. Pastinya suami tak rasa bagaimana sukarnya mengandung, dan bagaimana sakitnya bersalin, namun percayalah sokongan dan bantuan suami sedikit sebanyak memudahkan isteri mengharungi segalanya tanpa keluhan yang berat. 

Aku dengan penuh harapan menantikan kehadiran anak ketiga kami. Bersedia untuk hamil lagi, dan bersedia mengharungi tempoh kehamilan dan kelahiran yang mungkin berbeza dari yang lepas. Namun kuharapkan semuanya akan dipermudahkan. 

Aku juga percaya Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya. Cepat atau lambat rezeki Allah pasti hadir meski bukan pada saat yang kita jangkakan. Semoga tak jemu berdoa dan berharap  :)

Aku juga mendoakan agar insan insan lain yang sedang mengharapkan kehadiran zuriat di dalam hidupnya akan dipermudahkan urusan mereka dan dikurniakan zuriat untuk mereka. Aameen


Sedang berusaha khatamkan buku ini. Agak menarik dan banyak ilmu yang dapat dikutip dari ibu yang berpengalam melahirkan 9 zuriat ini.



Buku catatan yang 'wajib' ada sepanjang kehamilahku. Sudah beli buku yang ketiga :)




Cahaya hati yang semakin membesar ceria dan membahagiakan