Monday, 30 November 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 301115

Hari ke 3 suamiku di Bintulu. Insya Allah esok akan pulang ke rumah. 

Anas dan Mussaab bangun sekitar jam 7.30 pagi. Mulakan pagi dengan sarapan, roti+cheese+sos yang menjadi kegemaran Anas. Adik makan sikit je. Lepas tu mandi dan main. Ummi pasangkan surah al ghasyiah dan alfajr untuk melancarkan hafazan. Dah lama tak tasmik surah baru. Surah lama pun dah ingat ingat lupa. Insya Allah bulan 12 ummi kena gigih semula untuk membantu hafazan Anas.

Pagi ini juga sempat menguji hafazan kedua surah al ghasyiah dan al fajr dan sama sama membacanya. Hafazan masih belum sempurna, dan tersekat sekat. Tak mengapalah, insya Allah Anas akan hafal dengan baik nanti. Asalkan Anas dan ummi konsisten dan tak skip  lagi. Mussaab juga ikut menghafaz dan tak mengganggu.

Pagi ini juga Anas sambung belajar membaca, menggunakan set buku read easy. Alhamdulillah dah habis siri ke 6. Bacaan Anas baik, dan dah boleh membaca ayat ayat simple. Good job Anas!! Tinggal lagi 2 siri untuk completekan set bacaan tersebut. Tak lupa belekkan buku untuk Mussaab. Tapi sekejap je, dia dah bosan. Bila bosan, mesti minta susu kononnya nak tidur :)







Selepas itu buat aktiviti sendiri. Anas asyik dengan ipad. Setakat ini anak anak tidak sampai tahap ketagih ipad. Ada ketikanya ipad langsung tidak disentuh, adakala berebut juga bila tiada benda lain nak buat :) tapi tetap ia dalam pantauanku. Mereka hanya asyik dengan application yang berbentuk education seperti agnitus, sesame street, dream English, dll. Anak anak juga belum pandai surf internet dan tak kenal youtube atau online games. Insya Allah takkan dedahkan mereka dengan semua tu kerana pasti banyak mudharatnya buat anak kecil ku.

Pukul 11 pagi, ummi memasak, Anas dan Mussaab main mainan. Lepas masak, makan bersama. Lauk hari ni, ayam masak merah. Anas makan berselera. Mussaab banyak main macam biasa. Lepas tu menonton tv sambil ummi tunggu nak solat zohor. Tak dapat nak mainkan video kegemaran Anas dan Mussaab disebabkan pc yang dah lama rosak. Tv pun bukan ada rancangan best. Wanita Hari Ini pun oklah :)

Selepas solat zohor, pakat masuk ke bilik untuk tidur. Akhirnya hanya Mussaab saja yang terlena. Anas asyik dengan ipad lagi, ummi pula tak dapat lena walaupun dah cuba pejamkan mata. Dalam pukul 2 lebih, dapat msj abi yang dah selesai kerjanya, tapi masih di laut. Alhamdulillah lega dapat berita darinya setelah lebih satu hari tak berhubung. 

Pukul 3 petang, semua keluar dari bilik. Tak tau nak buat apa. Makan sambil menonton tv drama 'the 3rd hospital'. Anak anak juga tumpang sekaki. Anas minta ummi melukis vehicles yang ada dalam bukunya. Ummi tak pandai lukis, memang buruk sangat la hasilnya. Rumah dah jadi macam tempat pameran lukisan dah. Penuh dinding ditampal lukisan. 

Lepas asar, main apa yang ada. Pukul 5 petang, mandi. Pukul 6, makan lagi. Hari ni juga dapat dengar suara tangis yang bergantian. Ada saja yang nak menyakat dan berbalas pukul. Naik angin ummi dibuatnya. Semoga nanti Anas dan Mussaab akan mengerti makna kasih dan sayang dan saling mengalah dan saling memaafkan. Semoga ikatan adik beradik lebih erat dan hidup dengan lasih sayang. Insya Allah.

Sempat facetime dengan abi. Tapi sekejap je sebab abi kat luar tengah beli barang.

Selepas maghrib, sama sama mengulang bacaan surah al ghasyiah, al fajr dan al balad. Kemudian masuk ke bilik untuk tidurkan keduanya. Akhirnya tidur juga. Penat seharian bermain, bergelak tawa, menangis, melompat dan macam macam aktiviti lagi. 

Semoga esok lebih baik dan lebih ceria anak anak ummi. Maafkan ummi atas segala yang terkurang dalam menjagamu... Love u both very much!!




Saturday, 28 November 2015 0 comments By: Naemah

HARI INI UMMI MASIH ADA

Hari ini ummi masih ada untuk anak anak ummi. Uruskan setiap hal yang tak mampu kalian uruskan sendiri. Ummi masak dan suapkan makan, ummi mandikan, tukarkan pakaian dan pampers.

Hari ini ummi masih ada untuk anak anak ummi. Saat lapar ummi suapkan, tika mengantuk ummi tidurkan, tika menangis ummi pujukkan, tika sakit demam ummi jaga sepenuh hati bersama doa. 

Hari ini ummi masih ada untuk anak anak ummi. 24 jam sehari, hanya untuk menjaga dan melindungi kalian. Ummi lupakan kerjaya, ummi berbakti untuk rumahtangga. Ummi menjadi guru yang mengajar, menjadi chef yang memasak, menjadi penjaga yang menguruskan segala hal ehwal keluarga.

Hari ini ummi masih ada untuk anak anak ummi. Saban waktu melayan karenah dan segala pertanyaan. Dalam tegas dan marah, masih tersimpan sayang yang tak terbanding. Peluk dan sayang ummi sentiasa ikhlas dan penuh dengan cinta agar kalian merasa disayangi dan dillindungi. 

Hari ini ummi masih ada untuk anak anak ummi. Hari esok tak tahu bagaimana. Ummi sedih memikirkan andai ummi tiada untuk kalian. Ummi sayu memikirkan mereka yang tak punya. Ummi bersyukur kerana anak anak ummi masih punya ummi. Mereka yang kehilangan, pasti kehidupan mereka juga berbeza. 

Namun kerana takdir Allah yang terbaik, pasti ada hikmah di setiap apa yang Allah takdirkan ke atas hambaNya. 

Ummi berdoa semoga Allah panjangkan usia ummi dan diberi kesihatan yang baik untuk terus menjaga anak anak ummi. Semoga ummi akan terus menjadi ummi yang mendengar segala cerita dan celoteh kalian, memeluk dan mendamaikan jiwa kalian, mengajar dan mendidik, menguruskan setiap perkara sebaiknya, dan terus diberi kesabaran melayan segala karenah meskipun amat mencabar. 

Semoga anak anak ummi akan terus membesar dengan baik, dan terurus dengan sempurna... Kerana ummi ada untuk anak anak ummi

Membesarlah sebagai anak yang soleh..
Dengan jiwa yang dipenuhi cinta dan kasih sayang..

Aameen 


Thursday, 26 November 2015 0 comments By: Naemah

SETIAP UJIAN TERKANDUNG HIKMAH



26/11/15: hari kepulangan suamiku dari Bintulu. 

Ditakdirkan Allah, kapal terbang yang sepatutnya mendarat di Klia jam 3.30 petang tak dapat nak mendarat disebabkan oleh faktor hujan lebat dan angin kuat. Penerbangan dilencongkan ke Pulau Pinang dan mendarat di sana. Agak terkejut juga bila suami whatsapp menyatakan dia di airport pulau pinang. 

Lebih kurang 8 jam terperangkap di sana, jam 11.45 malam akhirnya kapal terbang berlepas ke Klia. Selamat sampai ke rumah dalam jam 2 pagi.

Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Segala yang terjadi adalah kehendak Dia, dan tiada siapa yang terdaya melawan takdir dan ketentuanNya. 

Ujian buat suamiku dan semua yang bersama dengannya, juga ujian buat kami anak isteri yang menanti kepulangannya. 

Takdir Allah, meski bukan dalam bentuk yang menyenangkan kita, ia tetap takdir yang terbaik dan pasti terkandung hikmah.

Hari ini, anak anak dapat bersama abinya meskipun hanya untuk satu hari. Esok suamiku bakal terbang ke Bintulu lagi. Kali ni gap antara kapal tak lama. Redhalah hati, insya Allah bersama perpisahan ini tetap akan disusuli dengan pertemuan indah. 

Hikmahnya juga, hari ini meeting suamiku dibatalkan. Kalau tak, satu hari juga tak dapat nak bersama dengannya jika dia perlu menghadiri meeting di KL hari ni. 

Alhamdulillah atas setiap sesuatu. Takdir Allah tetap yang terbaik dan terkandung hikmah. Redhalah wahai hati... Bersangka baik sentiasa pada Allah. Insya Allah

SEMANGAT YANG KEMBALI

Mood kembali untuk menulis dan mencatat. Demam dan selesema dah baik, Alhamdulillah. Batuk juga dah tak kerap sangat. Kalau tak, rasa malas nak buat apa apa. Nak tidur saja...

3 hari tanpa suamiku sangat mencabar. Dengan keadaan aku yang tidak sihat, juga anak keduaku yang juga demam, batuk dan selesema, memang sangat menduga kesabaran. Alhamdulillah Anas sihat dan aktif saja. Cuma Mussaab yang perlukan perhatian hampir setiap masa. Dalam keadaan tidak sihat, dia asyik menangis dan merengek saja. Tak boleh ditinggalkan langsung. Nak masak, nak jemur kain, nak masuk toilet, pun sangat susah. 

Kesian juga pada Anas, dia banyak main dan buat hal sendiri dek kerana masa ummi banyak untuk adik, dan ummi juga tak berapa sihat nak melayan Anas. Banyak permintaan Anas yang ummi tak dapat nak tunaikan. Ummi rasa bersalah sangat, tapi ummi tahu Anas faham keadaan ummi dan adik. Anas tak banyak ragam, dan Anas dengar cakap ummi.

Hari ini Mussaab bangun pagi dengan ceria. Badan dah tak panas, walaupun batuk selesema masih ada. Dah nak main, dan dah ada 'kuasa' untuk terbalikkan mainan sebakul tu :) happy dan syukur rasanya bila anak kembali sihat dan ceria. Dah bebas kesana sini tak berkepit dengan ummi dah. Along juga dah ada kawan nak main sama :)

Menanti kepulangan suamiku hari ini. Semoga Allah selamatkan perjalanan suamiku dan mudahkan segala urusannya. 

Alhamdulillah hati rasa lega dan terasa hilang segala kekusutan. Anak anak bermain ceria, badan juga rasa lebih ringan berbanding sebelum ini. Tapi rumah masih tak terurus. Takpelah... Janji anak anak semua sihat. Biar dia main sepuasnya dulu.

Sungguh, Allah hanya ingin menduga sejauh mana kuatnya hamba untuk menghadapi semua ini. Ujian sakit itu terlalu sedikit, tetapi saat menghadapinya terasa sesak sekali. Bagaimana pula hamba yang diuji dengan kesakitan yang lebih dahsyat? Moga Allah menggugurkan segala dosa bersama kesakitan itu.

Dan sungguh, keadaan anak yang sakit dan tidak aktif memberi kesedihan dan tekanan pada hati seorang ibu, juga bapa. Saat tidak sihatnya, segala mainan tak disentuh. Main langsung tak mahu. Menangis dan menangis. Terasa kelam dan lesu sepanjang hari.

Kini dia sihat, semangat kita juga kembali. Semoga Allah memelihara dan melindungi anak kecil ini. Dia yang membuat hari hari ceria dan menbahagiakan :)











Wednesday, 25 November 2015 0 comments By: Naemah

BALIK KAMPUNG LAGI

Kali ni cerita balik kampung lagi. Rasa macam makin kerap pula kami balik kampung. Sebulan sekali, pastu balik pula tak kurang seminggu :) rasa dekat sangat dengan kampung tu. padahal jarak kajang-kelantan boleh tahan jauhnya. Kesian suamiku... Dialah pemandu cekap kami. 

Balik kali ni kerana ingatkan ibu mertuaku yang baru baru ni dimasukkan di hospital kerana masalah jantungnya. Keadaan mak boleh dikatakan baik, tapi penyakit tu bila bila masa saja boleh menyerang. Juga balik ke rumah ibuku untuk menziarahinya. Keadaan ibuku baik, walaupun sudah sangat tua dan uzur. Semoga Allah melindungi dan merahmati kedua ibu dan ibu mertuaku.

Di kampung juga aku dan Mussaab ditakdirkan demam, selesema dan batuk. Agak teruk juga la. Tak berdaya seluruh badan. Mussaab pula jadi tak aktif dan tak berminat untuk bermain. Alhamdulillah Anas sihat hingga balik semula ke Kajang. 

Sempat ke klinik kesihatan Ayer Lanas untuk ujian UPT dan ambil ubat demam sekali. Alhamdulillah result upt positif, bagai dijangka. Tapi dapat ubat panadol sajalah sebab doktor takde untuk beri prescription untuk ubat lain. Dengan badan lemah tak bermaya ini, tidur dan baring sajalah kerjanya. 

Sebelum balik kajang, kami ke Kuantan untuk menghadiri kenduri rumah saudara dan bermalam di sana satu malam. Menyewa di era villa homestay. Alhamdulillah homestay yang luas dan selesa sangat. 3 bilik 2 bilik air. Cukup untuk penginapan keluargaku, mak dan adik ipar, dan keluarga abang ipar. Rm260 untuk satu malam (weekend)

Keesokannya terus balik ke Kajang. Kuantan-kajang terasa betapa panjang perjalanan dek kerana jem teruk di lebuhraya bermula tol bentong hingga lentang. Ya Allah... Agak menguji sabar. 

Alhamdulillah akhirnya tiba di rumah hampir pukul 10 malam. Solat sudah, makan juga sudah. Anak anak yang mengantuk terus tidur. Aku juga penat dan mengantuk, tidur bersama mereka. Tinggal suami yang entah pukul berapa lenanya. 

Hari seterusnya, suamiku kembali bekerja setelah bercuti panjang. Terbang ke Bintulu, tinggal kami 3 beranak yang pasti merinduinya..

Semoga bertemu lagi, Insya Allah


Monday, 16 November 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 151115

Hari ke 4 suamiku di Bintulu. Insya Allah akan terbang pulang petang ini. Semoga dipermudahkan urusan dan pertemuan. Isteri dan anak anak amat merindui..

Mussaab bangun awal pagi bersama ummi. Temankan ummi solat sambil baca buku bergambarnya. Anas juga kemudian bangun, lebih awal dari biasa juga. Buat hal sendiri, sambil ummi buka tv menonton al kuliyyah, tv3. Sempat juga berfacetime dengan abi setelah 2 hari tak dengar berita. Kesian, abi demam dan selesema.

Dalam pukul 7.30 pagi, ummi masuk ke dapur masak bihun goreng. Anas dan Mussaab dibiarkan main di luar. Kerap kedengaran suara jeritan dan tangisan keduanya. Anas menjerit bila kereta yang disusunnya diusik adik. Adik pula menangis bila Anas bertindak dengan menolaknya. Macam nilah setiap hari. Masing masing bergilir masuk dapur, minta itu dan ini. Kerap juga dimarah ummi yang kurang sabar ini. I'm sorry :'(

Kemudian suapkan makan keduanya. Tugas ummi setiap hari dan setiap waktu makan, sejak dikurniakan anak anak yang soleh dan comel ini :) Entah, bila agaknya Anas nak makan sendiri. Puas ummi suruh makan sendiri, tapi masih nak bersuap juga. 

Lepas makan, Anas mandi. Ummi kemas rumah dan sapu sampah. Kemudian mandikan Mussaab pula. Lepas tu main permainan seperti biasa.

Dalam pukul 9.30 pagi, semua ikut ummi keluar buang sampah, dan Anas pula minta nak melukis kat luar. Bawa kertas dan pen. Anas asyik melukis di depan bangunan. Mussaab jalan sana sini mundar mandir. Ummi hanya memerhati.

Selepas setengah jam, ummi pujuk Anas balik. Kalau ikutkan masih belum puas melukis di situ. Tapi cuaca dah panas, dan berpeluh semuanya. Balik rumah, Anas sambung melukis lagi sementara ummi tidurkan Mussaab yang dah mengantuk dan merengek saja. 

Saat Mussaab tidur, ummi sambung buat busy book. Mussaab punya dah siap semalam, sambung buat untuk Anas pula. Baru siap 10%. Lambat lagilah nampaknya. Dengan barang pun tak cukup. Alahai... 

Anas melukis dan diselangi dengan bermain. Agak sunyi juga bila Mussaab tidur. Mussaab akhirnya bangun dalam pukul 11 pagi. Ummi masuk memasak di dapur untuk makan tengahari. Hari ni masak lauk ayam paprik. Anas dan Mussaab leka bermain dan menyepahkan rumah. Berselerak mainan, kain baju, pen, kertas dan buku. Hai anak... Dah la abi nak balik petang ni.

12.30, suapkan makan tengahari. Lepas makan, kemas tempat makan, dan ruang tamu yang bersepah. Hingga jam 1.30, ummi solat zohor dan masuk ke bilik untuk rehat dan lelapkan mata. Seperti biasa, keduanya pasti mengikut. Bukan nak tidur, tapi nak main saja. Dapat juga la ummi lelap sekejap.

3.30 petang, ummi panaskan bihun goreng dan makan bersama. Abi dah tiba dengan selamat dan masih di klia. Alhamdulillah. Masing masing menanti kepulangan abi.

Abi tiba si rumah dalam pukul 5 petang dengan menaiki teksi. Masing masing happy berpelukan dengan abi. Dapat hadiah lagi. Abi juga bawa balik ketam dan lobster dari bintulu. Wah, dah lama tak makan. Alhamdulillah..

Malam selepas maghrib, ke Mr Diy untuk beli keperluan bagi menyiapkan busy book Anas. Tapi malang, yang dicari dah habis dijual. Takpelah.. Cari kat tempat lain. Dapat lagi hadiah concrete mixer dan sticker vehicles untuk Anas. On the way balik rumah, Mussaab tertidur setelah seharian bermain. Tidur yang sangat lena. Anas juga tidur kemudiannya selepas solat isyak bersama abi.

Esok pagi insya Allah akan pulang ke kampung. Ziarah mek, ziarah nenek yang tak sihat. Semoga Allah permudahkan urusan esok. Ameenn













Saturday, 14 November 2015 0 comments By: Naemah

SEORANG ANAK KECIL


    



Seorang anak kecil, kemampuannya terbatas. Hampir semua perkara memerlukan pertolongan, hampir setiap masa perlu diperhatikan.

Seorang anak kecil, belum mampu membezakan baik buruk, belum dapat mengagak yang bahaya dan selamat. Melakukan kesilapan demi kesilapan. Mendapat sakit, jatuh dan rebah.

Seorang anak kecil, tak mampu meluahkan segala yang dirasai. Saat ketawa dan senyumnya kita tahu dia baik dan ok. Saat menangisnya pula, mengundang berbagai tafsiran.

Seorang anak kecil, bersifat mendesak dan belum mengerti makna sabar. Jika katanya mahu, maka mahulah. Senyum saat kehendaknya dituruti, menangis andai permintaan diabaikan.

Seorang anak kecil, tiada menyimpan marah dan dendam kerana hatinya terlalu suci. Kalau bergaduh sesama mereka, akan baik semula. Kalau dimarah ibu atau bapa, tetap datang mencari dan terus menghiburkan. 

Seorang anak kecil, baru seketika mengenal dunia. Belum mengerti apa apa tentang dunia yang penuh ujian ini. Fikirnya hanya mahu gembira, seronok dan bermain. 

Apa yang diharapkan dari anak kecil ini? Kalau dia berbuat silap, itu biasa. Dia sedang belajar dari kesilapan demi kesilapan. Dia terjatuh sakit, juga biasa. Dia belajar untuk lebih berhati hati dalam melangkah dan bertindak. 

Dia perlukan didikan dan bimbingan kerana dia anak kecil yang tak mampu melangkah sendirian. Usah harapkan kesempurnaan dari dia yang masih kecil. Kerana dia sedang belajar dari kita yang lebih dewasa. Kita sendiri tak sunyi dari membuat salah, apatah dia yang masih kecil dan belum mengerti. 

Marah padanya hanya mengundang sakit dan kesal di hati. Kerana nyata, bukan dia yang bersalah, tetapi kita yang salah bertindak. Bukan mengajar, tetapi menghukum. Hati kita yang akan lebih sakit, sedang dia tetap tak mengerti mengapa dia menjadi mangsa marah. 

Allah.. Sucikan hati hambaMu. Dalam menjaga, mengasuh, mendidik anak kecil ini, hati selalu beremosi. Kerana penat, kerana rasa tak cukup tangan, kerana rasa tiada masa untuk diri, dan segala macam rasa...

Allah.. Kau hadirkan amanah ini sebagai anugerah dan juga ujian. Alhamdulillah... Hadirnya anak kecil ini membuat hari berlalu indah. Cekalkan hati untuk sentiasa ikhlas mendidik. Agar sentiada sabar meski dalam kepayahan dan kepenatan.

Ku hargai dan syukuri anugerah ini :'


DIARI ANAKKU: 131115

Hari kedua suamiku di Bintulu. Kali ni tugasnya di sana pula. Insya Allah 4 hari juga seperti kebiasaan. Dan seperti biasa juga aku ditinggalkan bersama anak anak soleh kami.

Anas dan Mussaab bangun sekitar jam 7 pagi. Masing masing bangun dengan senyuman, Alhamdulillah. Puas tidur agaknya. Maka bermulalah hari mereka. Biarkan mereka bermain seketika sebelum suapkan makan dan mandi. 

Lepas makan nasi lemak dan mandi, mereka bermain sendiri. Mainan sebakul berjaya diterbalikkan Mussaab. Anas pula asyik menyusun keretanya. Tak dapat nak buka video kegemaran Anas dan Mussaab kerana komputer dah hampir seminggu rosak. Bermain dengan apa yang ada.

Selepas bermain Anas dan Mussaab asyik melukis pula . Seperti biasa, kertas yang diberi tak pernah cukup :) ummi bertungkus lumus cuba siapkan busy book untuk Anas dan Mussaab. Dah lama tertangguh, nak kena usahakan sampai siap juga. Tapi faham faham la buat sambil menjaga anak anak :)

Selepas jemu melukis, ummi ajak Anas dan Mussaab main bola. Masukkan bola plastik ke dalam kotak yang dijadikan gol.  Berjaya lekakan keduanya seketika. Ummi sambung buat kerja. Tak lupa surah hafazan diperdengarkan.

Lepas tu sessi reading untuk Anas. Jarang jarang sekali dapat ajar Anas reading. Hari ni menggunakan buku easy read, masuk buku yang ke 5. Alhamdulillah reading Anas dah semakin baik, dah boleh membaca ayat ayat yang simple. Mussaab juga nak membaca, dia sendiri yang cari dan hulurkan buku dan minta ummi bacakan. Kemudian sessi membaca bersama Mussaab pula :)

Selepas itu masuk rehat di bilik. Kerja ummi tertangguh lagi. Kat luar tu bersepah sepah dah dengan mainan. Ummi biarkan dulu. Rasa sakit belakang duduk lama sangat di kerusi. 

Kemudian dengar pula jerit pekik dan tangisan Anas. Ya Allah, jadi mangsa gigitan Mussaab pula. Puas nak tenangkan dia. Sakit tu memang sakitlah, sebab semua pernah kena. Nak buat macamana, Mussaab memang masih suka menggigit di usianya sekarang. Serik kalau kena. Kesian Anas...

Rehat sekejap je, sambung balik kerja. Anas dan Mussaab sambung balik main. Anas angkut kertas lagi untuk menulis. Hai.. Sabar je la. Ummi tak mampu nak melarang dan menghalang minat Anas sekarang. 

Pukul 11.30 pagi, Mussaab tidur lepas menangis minta susu. Anas masih dengan aktiviti dan imaginasinya sendiri. Selepas tidurkan Mussaab, ummi sambung lagi kerja dan Anas terus dengan lukisannya. 

Dalam pukul 12.00, Mussaab bangun dan ummi suapkan nasi sambil menonton WHI :) lepas makan dan kemas semua, ummi solat zohor dan anak anak dengan aktiviti masing masing.

Masuk ke bilik untuk lelapkan mata, tak hirau dah Anas dan Mussaab yang asyik melompat di atas katil, coz mata ummi dah terasa berat sangat. Pukul 2.30, bangun dari tidur. Anas dan Mussaab masih rancak main dengan happynya.

Pukul 3 petang, menonton tv sambil buat kerja ummi. Mainan yang tadinya dah dikemas kembali berselerak. Kertas pen dan segala alat tulis juga sama. Dan buku juga. Tak daya dah ummi nak larang. Sambil main sambil makan coco crunch. Sepah juga sana sini.

Lepas solat asar ummi masakkan tomyam dan ayam 'kuping' permintaan Anas. Belum siap masak terdengar Anas yang tiba tiba menangis. Rindu abi.. Nak call abi.. Aduhai. Sayu hati pulak di petang hari ni. Dipujuk pun tak jalan. Akhirnya lepas makan semuanya ok. Petang ni juga dapat berita nenek ( ibu mertuaku) masuk wad kerana serangan jantung. Tambah sayu hati.. Suami pula jauh di lautan. Pastinya berita ini belum sampai kepadanya. Moga Allah lindungi mak dan suamiku. Hanya tunggu update dari keluarga di sana.

Mussaab sudah terlena tidur sebelum maghrib lagi. Anas yang sendirian asyik dengan lukisan lagi. Hingga akhirnya lena juga dalam pukul 7.45 malam. Keduanya penat dan mengantuk. Semoga lena tidurmu sayang.

Kini ummi sendirian. Masih melayan hati yang sayu atas banyak perkara. Hari ini ummi tak lepas dari marah dan masam muka. Ummi tahu ummi tak patut begitu.. Maaf kan ummi. Marah ummi sering mengundang kekesalan, malah kesedihan. Ummi sayang anak anak ummi. Namun ummi akui ummi juga kurang sabar. Maafkan ummi sayang. 

Semoga esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Insya Allah











Tuesday, 10 November 2015 0 comments By: Naemah

ANAK SOLEH HARTA KE SYURGA





Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Semua pasangan yang berkahwin mengharapkan kehadiran zuriat dalam hidup mereka. Juga mengharapkan anak anak menjadi anak yang soleh serta berguna di masa yang akan datang.

Walaupun semua mengharap dan mengimpikan, namun tak semua yang dikurniakan anugerah cahaya mata ini. Ada pasangan yang diuji tanpa kehadiran anak meskipun sudah lama berumahtangga. 

Ya, anak soleh itu idaman setiap mukmin.  Anak soleh penyejuk hati, juga harta yang akan dibawa bertemu Allah. 

Namun jika takdir Allah kita tidak dianugerahkan dengan cahayamata, bukanlah bererti Allah tak kasih. Bukan juga bererti jalan kebaikan sudah tertutup buat kita. 

Bersyukurlah, pasangan yang dikurniakan anak anak, sedikit atau ramai, lelaki mahupun perempuan. Allah telah sediakan satu jalan untuk kita ke syurga. Bagaimana? Dengan mendidik amanah Allah ini degan sebaiknya mengikut cara yang Allah redhai. Cara mendidik itu ada berbagai, namun niatnya satu mahu membentuk anak anak itu menjadi anak yang soleh dan mentaati Allah.

Namun yang tidak dikurniakan anak anak, pastinya ada banyak jalan lagi untuk kita meraih pahala dan syurga Allah, meski bukan melalui anak yang soleh. Jadi usahlah merasa sedih dan rendah diri. Di sisi Allah, mungkin itu yang terbaik. Maka redhalah..

Namun sangat rugi, orang yang Allah kurniakan mereka anak anak, tetapi anak anak itu tidak mampu menjadi sahamnya di akhirat. Amat malang, jika kita gagal mendidik anak anak  mengenal Allah dan Rasul, gagal menanam rasa cinta si anak pada al Quran, al hadith, juga gagal membentuk mereka berakhlak mulia.

Meski anak ramai, jika terbiar tanpa didikan agama, tetap tiada maknanya. Lebih baik tak punya anak, jika hadirnya anak anak nantinya akan menarik kita ke neraka. Nau'zubillah..

Yang tak punya anak, mogatetap bersabar dengan ketentuan Allah. Barangkali di sisi Allah, anda lebih mulia tanpa kehadiran si anak. Atau barangkali Allah masih menangguhkan waktu untuk detik bahagia itu. Tetaplah berdoa tanpa jemu, kerana tak mungkin doa itu dipersiakan. Tenanglah dengan takdirNya, kerana tak siapa tahu rahsia di sebalik ketentuanNya.

Berdoalah tanpa jemu, berusahalah semoga Allah sentiasa redha :)

Monday, 9 November 2015 0 comments By: Naemah

DI PUTARAN MASA



Dah masuk November 2015. 2015 bakal berakhir dan 2016 bakal menjelang. Seperti biasa, masa berlalu dengan cepat sekali. Masuk bulan ke 11 kami menyewa di Kajang. Apartment Ria Prima ini, bakal menjadi sebahagian  dari kenangan kami sekeluarga. Insya Allah bakal berpindah lagi tahun depan. 

Insya Allah rumah baru nanti akan menjadi rumah sewa terakhir kami :) 
Tak sangka sudah 4 tahun kami sekeluarga di perantaun, 4 tahun juga menyewa. Bermula di Melaka, kemudian ke Kajang. Anak sulungku Anas Zaydan juga menghampiri usia 4 tahun. Abdullah Mussaab pula menghampiri usia 2 tahun pada bulan yang sama, Januari 2016. Oh.. Dah besar anak anak ummi. Rindu untuk mengandung dan melahirkan. Semoga dimurahkan rezeki olehNya. Ameen :)

Usia perkahwinan pula, dah nak masuk 5 tahun pada Disember 2015 :) Alhamdulillah di atas ikatan perkahwinan ini. Dalam tempoh hampir 5 tahun ini juga kami saling berkenalan dan terus belajar untuk saling mencintai kerana Allah :)

Jika nak dihitung, tak terhitung nikmat Allah terhadap diri ini. Mengenang saat dulu dulu yang hidup bersama keluarga, belajar dari peringkat rendah kemudian ke peringkat yang lebih tinggi, berkahwin dan mempunyai anak anak. Allahu Akbar... Terlalu luasnya nikmat Allah kepada diri ini. Setiap kesulitan Allah tunjukkan jalan keluar. Setiap kesusahan akhirnya hadir kemudahan. Setiap sedih, duka dan luka, segalanya telah sembuh hingga terlupa apakah kepahitan lalu yang telah dilalui..

Masya Allah.. Terlalu kasihnya Allah kepada diri ini. Diri yang banyak alpa berbanding syukur. Yang banyak merungut dan mengeluh berbanding redha dan sabar. 

Allah.. Berilah kekuatan untuk terus tetap di jalanMu. Pimpinlah langkah dan sucikanlah hati ini. Agar apa yang kuburu di dunia ini tidak kerana yang lain selain redhaMu. 
 
Pimpinlah keluargaku ini ke jalan yang lurus, jalan yang kau redhai ya Allah :'

Sunday, 8 November 2015 0 comments By: Naemah

FAMILY TRIP TO CAMERON HIGHLAND

Hari Jumaat (6/11/15), berkesempatan untuk ke tanah tinggi cameron highland untuk kesekian kalinya. Kali ini pergi bersama ibu mertua dan 3 orang adik ipar dan seorang biras. 9 orang semuanya termasuk 2 anakku. 

Kami bertolak dari Kajang seawal jam 8 pagi menuju ke matrik uia pj untuk mengambil adik bongsu suamiku yang belajar di situ. Sampai di kolejnya jam 9 lebih, dan terus menuju ke cameron highland. 

Lebih kurang pukul 12 tengahari kami tiba di Lata Iskandar. Seperti biasa suami dan anak anakku akan mandi di situ dengan happynya. Aku dan adik ipar hanya menjadi pemerhati. Biarkan mereka mandi sepuasnya. 





Selepas itu menikmati makan tengahari di kedai makan yang biasa juga kami makan jika berhenti di lata iskandar. Dah kenyang makan, terus naik ke Tanah Rata untuk check in hotel. Kami menginap di Hotel Madani, sebuah hotel muslim. Kami telah menempah 3 buah bilik, 2 bilik king(rm 175) dan satu bilik queen(rm 148).

Mak dan adik ipar yang bertolak dari Kota Bharu masih dalam perjalanan mereka. Kami yang tiba awal berehat dulu di bilik. Niat nak lelapkan mata sekejap, tapi tak dapat juga dek kerana anak yang tengah rancak bermain dan melompat. 

Jam 5 petang kami ke sebuah kedai untuk menikmati kopi strawberry. Kedai yang biasa juga kami singgah, berderetan  dengan time tunnel museum di Brinchang. Setiap kali datang memang kami akan singgah minum kopi strawberry di sini. Sedap dan nikmat rasanya :) kami juga memesan roti dan membeli jagung dan ubi rebus. 

Suasana petang ini sangat nyaman dan dipenuhi kabus. Hujan turun rintik rintik menambahkan kesejukan di puncak cameron highland. Masya Allah, rasa sangat best menikmati suasana sejuk di sini. 






Di kedai ini juga akhirnya berjumpa dengan mak dan adik ipar. Mereka juga menikmati kelazatan kopi di sini. Selepas itu kami semua menuju ke pasar malam di brinchang. Orang ramai memenuhi ruang pasar malam, seperti biasa. Kami membeli sedikit makanan untuk makan malam kami, dan kembali ke hotel. Malam hari hanya berehat di bilik dan makan bersama.




Hari kedua di Cameron highland (7/11/15). Bangun solat subuh seperti biasa. Pagi yang sangat sejuk meskipun tanpa kipas dan aircond. Suasana pagi terasa nyaman dan dilitupi kabus. Anak anak keduanya lena tidur dan susah nak dikejutkan. Sehingga jam 8 pagi, barulah keduanya bangun. Tukar pakaian dan menikmati sarapan pagi yang hotel sediakan. Alhamdulillah untuk 2 bungkus nasi lemak, mengisi perut kami 4 beranak :)

Kemudian ke Taman Agrotek Mardi yang terletak di Tanah Rata, dekat je dengan hotel kami menginap. Kawasannya sangat luas, dan ini kali kedua kami ke sini. Hari ini pengunjung sangat ramai, malah ada banyak bas yang datang membawa rombongan pelawat. Bayaran sebanyak rm3 setiap orang dikenakan untuk masuk ke kawasan tersebut. 









Lebih kurang pukul 10 pagi kami kembali ke hotel untuk check out. Sempat juga membeli t-shirt cameron highland untuk anak dan suamiku. Selesai check out hotel, kami ke Big Red Strawberry Farm yang terletak di Brinchang (dekat je dengan tapak pasar malam). Ini 1st aku dan suami ke sini. Tempatnya juga luas dan best. Kami menikmati makan dan minum di cafe yang disediakan. Macam macam pilihan berasaskan strawberry ada di sini. Aiskrim, smoothies, kek, waffles, salad dan macam macam lagi. Kalau pergi dalam keadaan lapar, memang berbaloi sangat ;) kami yang sudah kekenyangan hanya menjamah sekadar untuk merasa. Anak anak pula asyik berlari sana sini. 








Selesai di situ, kami bertolak ke pasar untuk membeli sayur. Hari ni sesak sepanjang jalan. Merayap naik ke tempat membeli sayuran dan strawberry. Lebih kurang pukul 1 petang, kami tiba di tempat yang dituju. Suamiku turun membeli sayur, strawberry, jagung dan ubi keledek. Selepas itu kami berpisah di situ. Mak dan adik ipar termasuk yang bongsu bergerak balik ke Kota Bharu, dan kami sekeluarga bergerak balik ke Kajang.

Dalam perjalanan pulang sekali lagi singgah di Lata Iskandar. Kami menikmati makan tengahari di kedai yang sama. Hari ni orang sangat ramai, dan sekali lagi suami dan anak anakku sempat mandi manda di sini meskipun cuaca agak sejuk. Selepas puas bermain air, masing masing menukar pakaian dan kami bergerak meninggalkan tempat itu.





Singgah sekejap ke rumah anak saudaraku di MRSM Felda, Trolak dan rumah adik iparku di Kampung Melayu Subang untuk memberi sedikit sayur dan jagung yang kami beli. Selepas itu, terus pulang ke rumah sewa kami di Kajang. Alhamdulillah tiba di rumah dalam pukul 10 malam. Anak anak sudah lama lena di dalam kereta dek kepenatan kerana seharian berjalan ke sana sini.

Alhamdulillah satu percutian yang indah dan menyeronokkan, dapat bersama mak dan adik adik walaupun tak cukup lagi ahli keluarga sebenarnya. 

Alhamdulillah selamat pergi dan selamat pulang. Dan Alhamdulillah dapat luangkan masa bersama, dan menggembirakan hati anak anak.