Monday, 19 January 2026 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ABDULLAH MUSSAAB



19 Januari 2026


Genaplah usia Mussaab 12 tahun. Alhamdulillah. Sudah di tahun terakhir di sekolah rendah. Alhamdulillah, juga membesar dengan sihat, di samping ahli keluarga yang sentiasa dekat. 


‘Angah’ juga kini sudah melangkah ke dunia remaja, walaupun hakikatnya belum cukup matang lagi sikap dan perangainya. 


‘Angah’ yang ummi harapkan dapat berubah menjadi yang lebih baik sebagai anak, sebagai abang dan adik, sebagai student, dan sebagai hamba Allah. Jadi anak yang mendengar kata dan nasihat, adik yang menghormati abang sulungnya, abang yang tunjukkan sayang dan tak kuat menyakat adik-adiknya, student yang tekun belajar dan menghormati guru-gurunya sentiasa, dan yang utama, jadi hamba Allah yang beramal soleh, cintakan ibadah dan menjauhkan diri dari hal yang sia-sia.


Hari ni masuk minggu kedua persekolahan untuk tahun ini. Minggu ni dah mula belajar, dah tak boleh nak main-main sangat dah. Tahun 6, perlu usaha lebih baik dalam pelajaran sebagai persediaan ke sekolah menengah yang lebih mencabar. Dan tahun ni, bakal berdepan dengan PSRA pula. Kini masih menunggu result UPKK.  Semoga cemerlanglah hendaknya.


Hari ini bersekolah pagi (SKKR) dan petang (SRIPN). Bila semua dah balik, abi bawa makan malam di Pawang Corner (atas permintaan Mussaab). Makan special lagi sempena hari lahir Mussaab. Meraikan seadanya, tanda ingat dan syukur. Alhamdulillah atas rezekiNya.  


Selamat hari lahir angah! Semoga usiamu diberkati Allah, hidupmu sentiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNya. Semoga tercapai segala impian dan cita-citamu. Membesarlah baik, jadi insan berguna dan bermanfaat pada yang lain. 


Love you always, Angah!

Semoga bahagia dan cemerlang dunia dan akhirat. Ameen. 



Dinner








Friday, 16 January 2026 0 comments By: Naemah

SESSI PERSEKOLAHAN 2026: SEMINGGU BERLALU


1 minggu sessi persekolahan sudah pun berlalu. Alhamdulillah kehadiran penuh, tanpa sebarang masalah kesihatan dan kesulitan.


Anas tahun ini melangkah ke tingkatan 2. Masih bersekolah sessi petang di SEMEKAR. Tiada banyak karenah sangat la, dah besarkan. Boleh urus uniform sendiri, dan boleh bersiap tanpa disuruh. Tahun ini jadi ketua kelas, semoga dapat memimpin diri jadi yang lebih berdisiplin dan amanah pada setiap tanggungjawab. 


Mussaab pula tahun ini melangkah ke tahun 6, tahun terakhir di SKKR dan SRIPN. Dari segi fizikal, dah besar sangat dah. Cuma tahap kematangan tu belum betul-betul sampai lagi. Paling susah nak kejut waktu pagi, masih obses dengan boboiboy, pantang ada masa terluang, siri boboiboy akan jadi tontonan wajib. Entahlah, harap dah sibuk belajar nanti, dah kurang obses pada hal yang tak bermanfaat. Semoga ada kesedaran untuk perbaiki diri dan perbaiki prestasi pelajaran. Tahun depan nak naik sekolah menengah dah.


Miqdad pula tahun ini melangkah ke tahun 4 di SRAIPB. Dah naik tahap 2. Juga bukan kecil lagi. Sekolahnya paling jauh, tapi masih tetap santai-santai di pagi hari. Lambat bersiap, tak peduli masa berlalu. Masih nak kena ‘ceramah’ hari-hari. Harapnya tak ada buku yang hilang tahun ni. Dialah yang pecah rekod buku selalu hilang dan kena ganti buku teks setiap tahun. 


Suri pula melangkah ke tahun 1. Sessi pagi di KAFAI Al-Mustaqim dan sessi petang di SKKR. Alhamdulillah sepanjang seminggu berjalan dengan lancar. Yang penting Suri tak susah sangat nak dikejut pagi. Pergi dan balik sekolah ceria saja. Dan minggu pertama ni belum mula belajar lagi. Minggu sesuaikan diri dengan sekolah baru. Harapnya minggu depan dan seterusnya tetap semangat pergi sekolah. Jangan ada drama yang bukan-bukan. 


Alhamdulillah untuk 1 minggu yang telah berlalu. Kehadiran penuh, kesihatan juga baik.


Namun untuk ummi personally, terasa masih belum bersedia sebaiknya untuk mendepani rutin 2026 ini. Tak banyak beza, tapi rutin 2025 dan 2026 tetap ada perbezaannya, bila Suri dah melangkah ke tahun satu, dan bersekolah sessi pagi dan petang. Pagi yang perlu serentak bangunkan semuanya. Trip hantar dan ambil anak-anak yang semakin bertambah dari sebelumnya.


Syukur seminggu ini abi masih ada di rumah. Pun begitu, masih kelam kabut juga di pagi hari. Tambahan pula si kecil Nuha tak sihat badan, kerap bangun waktu malam, pagi ummi juga agak kelam dan sedikit huru hara nak uruskan semua.


Pengalaman seminggu ini jadikan iktibar. Ummi perlu lebih bersedia, anak-anak perlu lebih berdisiplin. Moga tahun ini lebih baik perjalanan hari persekolahan semua, insya Allah!


Rehat dulu 2 hari. Buatlah apa yang patut kat rumah ni. Untuk sementara (yang tak pasti sampai bila), handphone tak dibenarkan. Itulah punca lalai, itulah punca sikap berubah kepada yang tak sepatutnya.


Selamat kembali ke sekolah anak-anak! Berjanjilah pada diri untuk lebih fokus pada pelajaran, untuk lebih tekun dan rajin, untuk berdiri di kalangan yang cemerlang!


Ya, doa ummi akan sentiasa mengiringi. Namun kamulah yang sewajarnya berkemahuan dan tekun berusaha. Semoga cemerlang anak-anakku! Insya Allah semua boleh!






Monday, 12 January 2026 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ANAS ZAYDAN

12 Januari 2026


Alhamdulillah genap usia anak sulung ummi 14 tahun. Syukur pada Allah, 14 tahun dulu melahirkanmu, kini semakin membesar dewasa dengan sihat dan dengan segala kecukupan.


Syukur pada Allah, Anas masih setia bersama ummi di sini. Masih ditakdirkan dekat, masih boleh menatap dan mendengar cerita saban hari.


12 Januari 2026 juga merupakan hari pertama persekolahan sessi 2026. Anas kini di tingkatan 2 di SEMEKAR, masih bersekolah sessi petang. Hari ni juga Anas dilantik menjadi ketua kelas, katanya kawan-kawan yang sepakat memilih, terpaksalah terima. Harapan ummi, semoga Anas amanah menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kelas tahun ini. Walaupun ummi tahu Anas nak mengelak dari memegang sebarang jawatan. Insya Allah, ada kebaikannya juga untuk Anas.


Hari ini masing-masing sibuk dengan jadual persekolahan. Abi yang sibuk hantar dan ambil anak sekolah, ummi pula buat apa yang perlu di rumah, termasuk masak special untuk hari lahir Anas. Masak ikut yang Anas request nak makan je, iaitu baked Mac & Cheese , roti garlic dan sup cendawan. 


Lepas semua balik dari sekolah (Anas paling last iaitu hampir jam 7 malam), maka kita menjamu selera bersama-sama sekeluarga. Syukur pada Allah, menikmati rezeki dariNya di hari kelahiran Anas. Syukur kita semua masih bersama-sama menikmati hari biarpun bukan semua cerita indah yang kita kongsi pada setiap harinya.


Hari pertama persekolahan juga berjalan lancar. Pergi dan balik dengan selamat, dan masing-masing bersama cerita tersendiri di hari pertama persekolahan. 


Selamat hari lahir anakku. Terima kasih jadi anak yang baik, yang makin boleh diharap untuk tolong ummi dan abi buat kerja-kerja di rumah, yang baik dengan adik-adik, walaupun ada waktu tak sekepala, semoga terus bersabar dengan adik-adik yang pelbagai ragamnya. Dan semoga dapat jadi contoh terbaik untuk adik-adik. 


Semoga hidupmu sentiasa dirahmati dan diberkati Allah. Semoga tercapai segala impian dan cita-citamu. Insya Allah, ummi akan sentiasa reda, dan sentiasa mendoakan. 


Anakku, semoga langkahmu lurus menuju redaNya. Semoga matlamatmu jelas, mencari syurgaNya. Semoga dirimu beroleh kejayaan cemerlang dan kebahagiaan sejati dunia dan akhirat. Ameen. 



Alhamdulillah syukur atas nikmatNya

Sunday, 11 January 2026 0 comments By: Naemah

QOWIY VILLAGE-MENUTUP CUTI SEKOLAH



Cuti sekolah akhirnya sampai ke penghujungnya. Cuti sekolah yang anak-anak hanya spend masa di kampung, dan balik semula ke rumah. Tak dapat ke mana-mana, kerana abi juga pada kebanyakan masanya berada di laut sepanjang cuti sekolah anak-anak.


Dan akhirnya, pada 9-10 Januari dapatlah ‘bercuti’ sekejap satu keluarga. Alhamdulillah, keperluan dan kelengkapan sekolah dah selesai. Yuran juga dah berbayar. Dapatlah ‘enjoy’ dulu tanpa rasa bersalah. 


Tempat dituju tak jauh dari rumah. Tak sampai 1 jam perjalanan pun (dalam 45 minit saja). Lokasinya ialah Qowiy Village, Hulu Langat. Tempat percutian ala glamping, dikelilingi alam semulajadi. Ada sungai, ada kolam, ada  pokok-pokok hutan dan kebun buah-buahan di sekeliling. Bukan pertama kali menikmati percutian seperti ini, tapi yang pertama kali di Qowiy Village ini, dan ada sedikit kelainan di sini.


Harga penginapan berbeza mengikut unit yang kita pilih (boleh rujuk website atau instagram Qowiy Village). Bulan 10 hari tu ada dibuat promosi (Rm 250) untuk unit Dome Hilltop (atas bukit). Ummi grab la cepat-cepat dengan harga mampu milik ni. Tempoh sah dia setahun, boleh la nak booking bila-bila. Kebetulan masih dalam tempoh cuti sekolah, abi ada kat rumah, dan ada kekosongan, teruslah ummi book tarikh 9-10 Januari 2026 (Jumaat-Sabtu).


Bertolak dari rumah lepas solat Jumaat, sekitar jam 2.30 petang. Sampai sana pukul 3.15 petang. Terus check in, masuk bilik (dome) dan rehat dulu sehingga masuk waktu Asar. Lepas solat asar terus turun untuk mandi kolam. Ada 2 kolam mandi, kolam biasa dan kolam buih. Seronok 5 beradik ni mandi. Mandi sepuasnya.


Pukul 6 lebih, hidupkan api untuk bbq kononnya. Banyak barang yang tak bawa. Ala kadar saja bbq kita. Tapi syukurlah, kenyang juga. Di samping masak, abi order nasi goreng, mi goreng, teh ais dan milo ais di cafe. Alhamdulillah kenyang untuk makan malam kita. 


Malam dah tak ke mana-mana. Solat Maghrib dan Isyak berjemaah, menonton tv, main game, dan keluar ambik suasana luar sambil hirup kopi dan habiskan makanan yang ada. Sampai waktunya, lena semua. Alhamdulillah. 


Hari kedua, solat Subuh berjemaah, pukul 8 pagi ambil sarapan (nasi lemak) di bawah, makan sama-sama. Tak cukup rupanya, turun semula ke bawah dan beli 4 bungkus lagi nasi lemak. Dah kenyang, turun mandi kolam sekali lagi. Mandi puas-puas sebelum check out. Selesai di kolam sambung mandi di bathtub dalam bilik pula. 


Sekitar jam 11 pagi, siap tukar pakaian, kemas segala barang dan beg, bergambar sikit, dan sedia untuk check out. Tamatlah percutian singkat kita sekeluarga. Alhamdulillah, yang penting anak-anak seronok. 


Itulah saja cerita ‘percutian’ kali ini. Cerita penutup cuti sekolah. Hari ni-Ahad, hari terakhir cuti sekolah. Spend masa kat rumah je. Semoga esok kembali ke sekolah dengan penuh semangat dan penuh azam untuk menjadi pelajar yang cemerlang, insya Allah!



Dome Hilltop-ada 2 buah je kat atas bukit niDome Hilltop-ada 2 buah je. Boleh muat 5-6 orang 



Sebelum aktiviti mandi kolam








Seronok mandi kolam. Dari yang kecil hingga yang besar.



Masuk bathtub pula





Bbq dan makan-makan



Solat jangan dilupa



Hari kedua-sarapan nasi lemak














Masuk kolam sekali lagi sebelum balik



Abi belanja aiskrim






Bergambar keluarga sebagai kenang-kenangan

(Gambar kurang jelas -matahari sedang menyinar)


-Tamat-


Thursday, 8 January 2026 0 comments By: Naemah

SIAP UNTUK KEMBALI KE SEKOLAH


 18 hari berada di kampung, akhirnya pulang semula ke rumah. Dah tak boleh bertangguh, kerana ada urusan penting yang perlu diselesaikan, terutamanya bab persediaan sekolah anak-anak.


7 Januari kembali ke rumah. Hari ni selesai ambil buku Anas (tingkatan 2) di SEMEKAR (bayaran sudah dibuat bulan lepas secara online). Abi bawa ke kedai gunting rambut, dan selesailah bab rambut. Hari ni juga sampai uniform yang abi beli di shopee. Mana yang terlebih panjang ukuran, bawa ke kedai untuk dipotong. Selesailah bab uniform.  Semua dah cukup 4 beradik, yang sebahagiannya dah beli di kampung hari tu , termasuk alat tulis dan keperluan lain. Alhamdulillah. 


Oh ya, hari ni juga pastikan buku teks Mussaab dan Miqdad dibalut dan nama diisi lengkap (Anas dan Suri belum dapat buku teks).


8 Januari ummi ada temujanji di KK Beranang. Dah selesai di  klinik, perlu ke SRAIPB untuk ambil buku Miqdad (tahun 4). Abi pula ke sekolah KAFAI Al-Mustaqim untuk bayaran yuran Suri (tahun 1).  Dan kemudian membeli keperluan rumah di Econsave, juga settle bab aircond kereta (viva). Itulah saja urusan penting hari ni.


9 Januari, abi perlu ke SK Kampung Rinching untuk ambil buku Mussaab (tahun 6) dan buku Suri (tahun 1)-juga dah buat bayaran beberapa hari lepas. Ummi pula akan ke SRAIPB sekali lagi untuk selesaikan bayaran yuran makan dan membeli baju sukan Miqdad. Esok juga akan ke Hulu Langat, sebab ummi dah book penginapan di Qawiy Village. Satu-satunya percutian yang sempat, di hujung-hujung cuti sekolah ni. Tak jauh dari rumah dan insya Allah mampu memberikan kenangan yang manis. 


10 dan 11 Januari, 2 hari terakhir sebelum sekolah dibuka. Rasanya dah tak ada urusan luar. 2 hari ni ummi akan ambil masa untuk tampal nama dan lencana pada uniform yang baru dibeli. Pastikan buku kerja dan buku tulis ditulis nama, pastikan semua uniform bergosok rapi, dan semua kelengkapan berada pada tempatnya demi mengelakkan ‘huru-hara’ di hari pertama sekolah. Dan ada dokumen yang perlu dilengkapkan dan disahkan untuk dihantar ke sekolah nanti. Semoga tak lupa. 


12 Januari, bermulalah sessi persekolahan 2026. Anas di tingkatan 2 (SEMEKAR), Mussaab di tahun 6 (SKKR & SRIPN), Miqdad di tahun 4 (SRAIPB) dan Suri di tahun 1 (SKKR & KAFAI al-Mustaqim). Tahun baru, kelas baru, uniform dan kelengkapan baru, semoga anak-anak juga hadir ke sekolah dengan semangat baru untuk menjadi insan yang penuh berilmu. Semoga permulaannya baik, pertengahannya kental dan tetap usaha, dan pengakhirannya kejayaan yang cemerlang, insya Allah!


Terima kasih buat abi yang banyak ber’habis’ untuk keperluan sekolah 4 anaknya. Bukan sekadar beli, bukan sekada transfer duit ke akaun ummi (untuk bayaran online), kerja mengukur saiz baju dan kasut, hantar kedai potong, ke kedai demi kedai mencari keperluan, selain di shopee, banyaklah yang abi buat untuk persediaan lengkap anak-anak ke sessi baru persekolahan. Syukurlah abi ada di hujung-hujung cuti sekolah ni. Kalau ummi seorang tak terkejar rasanya. 


Syukur pada Allah yang mencukupkan rezeki, hingga segala keperluan anak-anak dapat disediakan dengan secukupnya. Ya, bukan sedikit wang yang keluar bila anak-anak dah masuk sekolah semua. Yang anak ramai, apatah lagi. Semoga Allah lapangkan rezeki ibu ayah di luar sana yang sedang berjuang mencukupkan keperluan anak-anak. Ikhlaskan hati, demi anak-anak menjadi manusia berilmu dan berguna di masa depan, insya Allah. Untuk ibu dan ayah, dalam sukar, dalam perit,dan mungkin diiring air mata, percayalah usaha ibu ayah tak terlepas dari perhatian Allah. Mudah-mudahan sesuatu yang lebih besar sedang menanti di depan hari. Ameen. 

Thursday, 1 January 2026 0 comments By: Naemah

CATATAN DI TAHUN BARU

 Melangkah kita ke tahun baru 2026. Tahun baru yang bermula di kampung, di musim cuti sekolah. Sudah 13 hari bercuti, dan masih berbaki 10 hari lagi. Dah tak lama.


Alhamdulillah semalam (31/12/2025) abi sampai, selepas 9 hari keluar bekerja. Dan kita semua bersatu kembali. Hari ni (1/1/2026) ke Kota Bharu, rumah nenek selepas 10 hari berada di Jeli, rumah mek. Sempat menyinggah di Muzium Kota Bharu melihat pameran dinosaur, dan ke kedai kain Nagoya untuk beli kain (untuk hari raya nanti). Keperluan sekolah? Belum lagi…


Then sampai di rumah nenek, ramai sepupu menanti. Seronoknya, dapat jumpa dan main lagi. Tapi abi pula bergegas ke Kuala Terengganu bersama nenek dan adik beradik abi kerana baru menerima berita kematian bapa saudara abi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Ameen. 


Dan petang ini, anak-anak habiskan masa bersama sepupu di sini. Seperti biasa, meriah suasana di sini bila berkumpul bersama. 


Tak lama lagi kita akan kembali ke rumah. Masih ada urusan yang belum selesai. Uniform sekolah belum sedia, keperluan lain juga belum ada, buku kerja semua nak kena beli juga. Tahun ini seorang bersekolah menengah, dan 3 bersekolah rendah. Semua nak kena cukupkan dan uruskan sebelum cuti sekolah berakhir. Dan sudah tentu perbelanjaan juga bukan sedikit. Insya Allah di’cukup’kan dari rezekiNya.


Alhamdulillah, kita diizinkanNya untuk melangkah ke tahun baru. Tidak hanya sekadar melangkah, tapi perlu berazam menjadi yang lebih baik. Baik ummi dan abi, baik anak-anak, semuanya perlu ada usaha untuk menjadi yang lebih baik seiring meningkatnya usia. 


Januari 2026 ini, insya Allah kita mulakan semula. Nak jadi lebih baik, lebih sihat, lebih banyak amal, lebih rajin belajar, lebih berdisiplin dan berdikari, dan memperbaiki mana yang selama ini kurang. 


Selamat tahun baru 2026.

Moga tahun ini ada pencapaian yang mampu kita banggakan, ada rezeki yang tidak kita sangka, ada jalan terang yang akan membawa kita kepada kejayaan dan kebahagiaan. Ameen.