Monday, 21 December 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 211215

Hari ketiga suamiku di Labuan. Insya Allah akan balik esok. Anas bangun jam 6.30 pagi, Mussaab pula jam 8 pagi. Malam tadi juga kerap bangun menangis dan mengigau. Badan panas lagi :'(

Anas bermain dengan kereta permainannya yang disusun semalam. Mussaab bangun ketika ummi sedang masak untuk sarapan. Bangun menangis juga, hingga ummi pujuk dan suapkan nasi bersama along. Lepas tu mood dah ok. Boleh main main sambil ummi kemas dapur.

Pukul 8.30, tengok upin ipin tv9. Ummi sambung kerja yang masih tak siap. Lepas tu mandikan along dan adik. Kemudian main permainan yang ada di dalam bakul. Bersepah habiss.Ummi biarkan saja. Alhamdulillah hari ini dah datang mood nak main. Kalau semalam, mainan tak bersentuh. Badan adik pun dah tak panas lagi. Alhamdulillah :)


Dah jemu main, Anas ambil buku dan minta ummi bacakan. Buku tentang human body. Berminat dia nak tahu, walaupun sebelum ni dah pernah khatam buku tu. Tengah baca, adik pula menangis minta susu. Kena layan adik pula, meskipun along menangis juga minta ummi sambung baca buku. Tapi terpaksa juga ummi dahulukan adik yang dah meraung. Ummi susukan dan tidurkan adik. Kemudian sambung baca buku tadi sampai habis. 

Adik tidur tak lama. Kemudian bangun dan main lagi. Minta pen dengan ummi untuk menulis sambil tunjukkan kertas lukisan. Ummi bagi pen pada along dan adik. Melukis pula kali ni.

Kemudian mewarna pula. Adik, along dan ummi mewarna bersama. Ketika ummi solat zohor, along dan adik leka dengan busy book masing masing. 


Lepas solat zohor, ummi ajak tidur tapi semua nak main. Ummi pun tak dapat nak lelapkan mata. Pukul 3 petang, barulah terlena keduanya. Ummi pula dah hilang rasa mengantuk. Sambil tunggu whatsapp abi juga, dah lebih satu hati tak berhubung ni. Risau mestilah ada..insya Allah abi baik baik je.

Pukul 4 petang bangun dari tidur dan keluar dari bilik. Ummi terus masak kerana perut dah lapar. Tengahari tadi tak makan nasi. Bakar ayam yang telah diperap dan panaskan sup daging yang ada dalam freezer. Kemudian makan bersama. Adik hanya makan lauk. 

Lepas tu mandi dan ummi solat asar. Masih menunggu khabar abi. Risau kerana masih belum ada berita darinya. Semoga Allah melindungi abi. Kemudian sambung mewarna lagi. Anas pula asyik mengasah pensel warna menggunakan sharpener. Baru pandai guna, habis pensel warna diasahnya. Lepas tu pandai pulak pergi ambil penyapu dan sapu habuk  pensel yang bersepah. Bagusnya anak ummi :D


Lepas tu ummi buatkan coffee nak minum dengan roti. Along dan adik pun minta juga. Share la segelas 3 orang.  Kemudian buat aktiviti sendiri. Ummi bersiap untuk solat maghrib. Along dan adik leka sekejap dengan hp dan ipad. Ummi solat maghrib, adik dah mula menangis minta susu. Along buka buku elmo belajar reading. 

Siap solat ummi susukan adik sampai tidur. Masih menanti khabar abi. Tapi ummi tahu abi masih di laut. Sempat tadi ummi buka emel abi untuk dapatkan info. Lega sikit hati ummi bila tahu serba sedikit hal abi. 

Menunggu azan isyak bersama along. Adik terjaga beberapa kali. Entah kenapa setiap malam tidurnya susah nak lena. Along pula dari tadi minta nak cal abi. Rindu sangat barangkali. Tapi nak buat macamana. Masih tak dapat nak hubungi abi. 

Jam 9 malam, Anas akhirnya terlena diiringi surah hafazan yang sering ummi perdengarkan untuknya.

Masih menanti khabar dari suamiku yang sangat dirindui. Aku percaya dia baik baik saja di sana dalam lindungan Allah. Semoga bertemu esok. Insya Allah. Semoga lena anak anak ummi. 

Love u all.
Sunday, 20 December 2015 0 comments By: Naemah

SEMOGA DILAPANGKAN



2/3 bulan Disember telah berlalu. Tinggal lagi 10 hari. Disember bakal ditinggalkan, sekaligus menutup tirai 2015. 

Kata orang, 2016 lebih mencabar buat seluruh penduduk Malaysia. Mana taknya, harga barang dan perkhidmatan semakin meningkat tinggi. Kos sara hidup meningkat tinggi. Rakyat menderita pedih. Menanggung segala keperitan ini.

Setiap tahun dan setiap bulan pun begitu juga. Memang kos sara hidup semakin meningkat, tak pernah berkurang pun. Keperluan rumah, dapur, sekolah, petrol, tol, tambang kenderaan awam, dan macam macam lagi. Yang pasti, gaji pekerja kebanyakannya maintain saja. Mana tak terasa sesak dan tertekan.

Sekarang ni, nak pergi ke mana mana, nak makan minum, nak masuk toilet, nak buat apa saja, semuanya berbayar. Tiada yang free dah..

Orang kampung pun kesian juga. Kalau yang menoreh getah, berapa sen sangatlah dapat sekarang ni. Nak belanja dapur, anak sekolah lagi, sakit kepala juga dibuatnya.

Kesempitan hidup ini jugalah yang menjadi punca meningkatnya kes jenayah di sana sini. Atas desakan hidup yang melampau, manusia sanggup buat apa saja untuk cari pendapatan lebih. 

Entahlah.. Sedih memikirkan apa yang perlu ditanggung rakyat Malaysia hari ini. Sedih melihat mereka yang tidak mampu dan yang menjadi mangsa. Berkeringat melakukan kerja, sekelip mata duit gaji kering dibelanjakan untuk memenuhi keperluan. 

Semoga Allah lapangkan rezeki buat semua yang ikhlas melakukan kerja halal, menyara keluarga. Meskipun tak banyak, mudah mudahan ia mencukupi. Jangan pula mengambil jalan mudah dengan membuat perkara yang dimurkai Allah hanya semata untuk memenuhi desakan hidup. Ingatlah Allah... Berdoa dan mengadu sajalah pada DIA yang Maha Mendengar. 

Semoga kita tidak merasa sempit meskipun dihimpit. Semoga Allah sentiasa memberkati rezeki dan perjalanan hidup ini. 

Aamen


HARI INI SESUDAH SEMALAM

Hari ini, hari kedua suamiku di Labuan. Hari ini, keadaan anak anak bertambah baik. Aku sedikit kelegaan setelah semalaman tidur dalam kebimbangan dan tidak mampu lena dengan baik. Dengan keadaan Mussaab yang kerap terjaga dan menangis, juga Anas yang dua kali bangun muntah dan buang air. 

Pagi ini badan Mussaab tidak sepanas semalam. Makin kurang panasnya, namun ada ketikanya merengek juga mahukan perhatian ummi. Ada ketikanya juga datang tantrum tanpa ummi tahu sebabnya. Makan juga masih belum berselera.

Anas pula tadinya mengadu sakit perut lagi. Ummi sapukan minyak dan memantau keadaannya. Alhamdulillah ada selera makan. Tiada minat untuk bermain, tapi pagi ni sempat siapkan satu lukisan dan minta ummi tampalkan di dinding.

Hari ini juga hari 'membaca buku' untuk Anas dan Mussaab. Tiada minat untuk bermain. Masing masing asyik dengan buku. Belek buku, dan juga mewarna. Buku buku di rak diangkut ke bawah untuk dibelek dan minta ummi bacakan. Ada juga aktiviti di dalam buku dilakukan bersama. 

Menjelang tengahari, masuk tidur dalam bilik. Semuanya tidur lena. Mungkin kerana malam tadi kurang lena tidur masing masing. 

Semoga anak anakku semakin sihat dan bertenaga hendaknya. Aku tahu suamiku di sana juga tak jemu mendoakan. Aku juga tahu, dia di dalam kebimbangan memikirkan anak anaknya. Hari ini dah tak dapat berhubung dengannya untuk melaporkan hal anak anak. Mungkin esok petang baru dapat kembali berhubung. Semoga Allah lindungi dia dan kami.

Saat muhasabah: tika anak sihat dan cergas, bermacam perkara yang anak lakukan. Bermacam hal, bermacam karenah, hingga sering menguji sabar dan mencetus marah. Tika anak tidak sihat dan lemah, yang dia mampu hanya menangis. Hati ibu menjadi sayu dan pilu.  Rasa bersalah dan berdosa apatah lagi. Kesian, pada batang tubuh kecil itu menanggung sakit. Tak jemu berdoa agar segalanya berakhir. Agar anak kembali sihat, ceria dan bertenaga seperti sediakala. Ummi tak nak marah marah lagi. Ummi hanya mahu anak anak ummi sihat. Bermain dan lakukakan segala aktiviti yang membuatkanmu gembira. Semoga sihat sayang ummi...




Saturday, 19 December 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 191215

Hari ini suamiku berangkat ke Labuan setelah 5 hari bercuti. Meninggalkan rumah jam 6.45 pagi. Mungkin melangkah keluar dalam keadaan berat hati kerana anak anak kurang sihat. Tapi apakan daya, demi tugas dan tanggungjawab.

Kini sudah berada di Kajang setelah lebih seminggu berada di kampung. Mussaab bangun ketika ummi nak siapkan sarapan pagi. Bangun dalam keadaan menangis dan tak mahu sendirian. Badan masih panas. Terpaksa ummi tangguh memasak hingga abi balik dari masjid. Bila abi balik, cepat cepat ummi masakkan nasi goreng kerana jam dah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Mujur juga segala bahan abi dah sediakan dari awal. Mudah kerja memasak ummi :) Alhamdulillah sempat abi makan sebelum bertolak pergi.

Anas juga bangun ketika abi siap untuk tinggalkan rumah. Bangun dalam keadaan menangis juga, sakit perut nak 'buang'. Sempat salam dan cium abi dalam keadaan menangis sayu keduanya.

Breakfast hari ni dengan roti dan cheese. Tak nak makan nasi goreng yang ummi masak. Sempat facetime sekejap dengan abi yang berada di airport. Anas juga muntah dan mengadu sakit perut. Risau ummi dibuatnya. Ummi sapukan minyak yuyi di perut Anas. Alhamdulillah Mussaab dah makin ok dan nak main. Boleh ummi tinggalkan untuk buat kerja rumah. 

Anas beransur baik walaupun masih kurang aktif. Ummi banyak buat kerja rumah hari ni disebabkan dah lama tinggal rumah, banyak baju yang tak berlipat dan banyak habuk juga di sana sini. Anas dan Mussaab asyik dengan ipad dan sesekali bermain. Anas banyak baring di sofa.

Pagi ini juga melakukan aktiviti mewarna bersama. Tapi ummi pulak yang kena warnakan gambar. Anas langsung tak nak warna dan minta ummi yang warnakan. Mussaab turut sama mewarna dengan ummi dan asyik dok pilih color. Tv juga menjadi teman di hari ini. Bermula rancangan Nasi Lemak Kopi O dan seterusnya. 

Ummi siapkan lunch, tapi Anas masih belum ada selera nak makan. Adik juga makan sedikit saja. Akhirnya ummi juga yang perlu habiskan semuanya. Sempat juga whatsapp dengan abi, share picture dan audio.







Lepas solat zohor, semua tidur. Jam 3.30 masing masing bangun. Badan Mussaab lebih panas berbanding pagi tadi. Kesian,  merengek saja. Minta macam macam tapi tak makan pun. Anas Alhamdulillah ok je. Dah mula nak makan. Minta biskut oat dan nasi. Ummi suapkan nasi lepas solat asar. Adik hanya makan lauk. Ummi masak popcorn yang abi beli, tapi Anas dan Mussaab rasa sikit je. Anas minta roti cheese lagi. Ummi buatkan untuk Anas.

Menjelang petang, ummi kemas rumah dan sapu lantai. Adik ok sekejap. Ummi mandi dan bersiap untuk solat Maghrib. Adik kemudiannya merengek lagi. Badan masih panas. Minta bacakan buku dan minta susu. Ummi susukan adik hingga masuk waktu Maghrib. Along melukis, tapi sehelai kertas saja dah tak nak lukis lagi. Ummi solat maghrib dan kemudian tidurkan adik. Ummi risaukan adik. Badan masih panas. Cek suhu badan, 40.2•c. Memang ummi risau sangat...

Adik tak dapat tidur lena. Asyik terjaga dan menangis. Mujur juga adik masih nak menyusu. Ummi hanya mampu lapkan badan adik dengan kain lembap dan susukan adik. Hati ummi sayu, walau ini bukan kali pertama berseorangan menjaga anak yang demam dan tak sihat. Setiap kali berhadapan dengan ujian ini, ummi jadi sedih dan takut. Tapi ummi percaya Allah sentiasa ada untuk menjaga dan memberi pertolongan. Ummi juga percaya abi tak jemu mendoakan kita.

Anas tidur jam 9 lebih. Kesian, malam ini ummi tak dapat nak layan along sangat. Ummi kena tenangkan adik yang asyik menangis. Tapi ummi ambil juga peluang berbual dengan along sebelum along lena. 

Malam ini ummi tak buat apa apa. Rumah dah bergelap. Adik pula kerap bangun menangis. Ummi pun rasa nak menangis.. Ummi tak mampu nak buat apa.. Doa saja untuk kesihatan anak ummi yang tercinta. Semoga segalanya berakhir. Semoga esok adik kembali sihat dan cergas bermain. Along juga, semoga esok akan lebih baik...

Ya Allah.. Berikan kesihatan buat anak anakku. Kasihani mereka ya Allah. Aameen :'(


Saturday, 12 December 2015 0 comments By: Naemah

SEKEPING HATI YANG MERINDU




Saat teringat cerita duka itu, aku hanya mampu menarik nafas berat, menghelanya perlahan lahan. Ada kesayuan yang masih berbaki. Ada kekesalan yang masih tersimpan. Masih ada air mata yang minta dilepaskan.

Bukan tidak redha. Bukan...
 Hanya kerana ia terjadi bagai sekelip mata. Hanya kerana cerita duka itu masih benar benar baru berlaku.

Sekeping hati yang sedang merindu. Rindu akan kehadirannya. Rindu untuk menatap wajahnya, membelai tubuhnya, mencium wangi harumnya.

Tetapi mungkin belum masanya. Kini masa untuk mempersiapkan diri agar lebih bersedia. Kerana amanah itu bukan kecil. Tugas menjaganya juga tidak mudah. Kerana itu amanah dari Ilahi. Kerana itu pinjaman dariNya. Untuk menjaga dan mendidik. Agar menjadi hamba yang tunduk pada perintahNya. Agar menjadi Khalifah yang bertaqwa dan memakmurkan.

Insya Allah.. Akan tiba masanya. Khalifah kecil itu akan kusambut dengan dakapan penuh cinta. Kerana aku terlalu merinduinya :')

DIARI ANAKKU: 121215



Catatan aktiviti anak anakku di kampung. Masih di kampung, menanti kepulangan suami tercinta. Hari ke 6 suamiku di Labuan. Insya Allah Akan terbang pulang esok.

Hari ini Anas dan Mussaab bangun tidur dalam pukul 8 pagi. Agak lewat, kerana malam tadi juga tidur lewat. Di awal pagi lagi abang faris dan kak zana dah muncul di depan pintu untuk bermain dengan Anas dan Mussaab. 

Maka pagi ini abg faris dan kak zana menjadi teman Anas dan Mussaab bermain. Baca buku bersama, melukis, melompat, memanjat, main basikal dan macam macam lagi. Sampai masuk waktu zohor, masa dihabiskan dengan kawan. Lepas main makan nasi ayam yang ummi masak. Lepas tu abang faris dan kak zana balik. Tinggal Anas dan Mussaab di rumah mek.

Anas dan Mussaab tetap leka main bersama. Masing masing tak nak tidur. Ummi masuk tidur sekejap jam 2 petang. Pintu semua ummi kunci risau Anas dan Mussaab keluar entah ke mana. Ummi biarkan Anas dan Mussaab bermain dan buat aktiviti sendiri. 

Ummi bangun dan masuk ke dapur. Goreng karipap dan cakoi, makan bersama. Mussaab banyak main di kedai mek. Rajin sangat 'kemas' barang barang dalam kedai :)

Kemudian lepak di ruang tamu. Agak bosan kerana tak tahu nak buat apa. Si rumah mek, tv pun tiada. Tapi Alhamdulillah anak anak ummi tak jemu untuk membelek buku yang ada. Conteng conteng buku dan dinding, main basikal dan juga ipad. Ummi biarkan saja, asal tak menangis dan minta yang bukan bukan. Ummi banyak tangkap gambar Anas dan Mussaab untuk dihantar kepada abi yang jauh. Ummi tahu abi rindu sangat anak anak dia. 

Pukul 5 petang, cik datang. Cik bawa Anas dan Mussaab main kat luar rumah. Ummi ambik peluang sambung buat busy book Anas yang asyik tertangguh. Alhamdulillah dah ada progress. Insya Allah ummi cuba juga untuk siapkan. 

Pukul 6 petang, mandi dan makan malam. Lepas tu sambung belek buku dan main ipad. Mussaab yang dah mengantuk sangat menangis nak tidur   akhirnya. Masing masing tidur awal malam ni. Pukul 8 malam keduanya sudah terlena. Alhamdulillah..

Now ummi boleh sambung untuk siapkan busy book Anas. InsyaAllah.. Cuba buat sampai siap :)

Semoga anak anak ummi tidur lena malam ini. Mimpi yang baik dan indah. Insya Allah nanti jumpa abi ya. Ummi juga rindu :')

Love u 3





Thursday, 10 December 2015 0 comments By: Naemah

CERITA HARI INI




Hari ini pulang ke rumah ibuku setelah berada di rumah mak mertua selama 5 hari. Suamiku pula masih berada di Labuan. Balik bersama abangku yang balik bercuti dari Sabah. 

Hari ini Anas dan Mussaab mendapat kawan baru. Sepupu yang hanya berjumpa setahun sekali. Ingat ingat lupa.. Pada mulanya segan segan nak berkawan. Akhirnya seronok berkawan dan gelak ketawa bersama. Tapi hari ni dapat jumpa kak Madihah dan kak Tirah saja. Sepupu yang lain tak dapat datang lagi.

Di rumah, masing masing asyik bermain dan tak mahu tidur. Anas sibuk juga dengan basikal yang diangkut balik sekali tadi. Buku buku dari big bad wolf juga dibawa. Ipad juga tak dilupakan. 

Hingga hari menjelang petang, tetap cergas bermain dan ketawa. Keluar sekejap membeli keperluan di pasaraya Pantai Timur. Beli vitagen, roti, cheese, coffee, susu dll. 

Balik rumah dah nak masuk waktu maghrib. Hari ni langsung tak makan nasi. Pujuk makan nasi akhirnya makan juga, sikit. Mungkin kenyang tadi makan keropok lekor dan nugget. 

Malamnya pula masih cergas bermain dengan kak madihah yang banyak celoteh. Pak long dan cik datang rumah bertanya khabar. Whatsapp juga dengan suamiku yang sangat dirindui. Cuba nak teruskan buat busy book Anas tapi nampaknya tergendala lagi.

Masuk tidur jam 10 malam. Cepat lena, dek kerana mengantuk yang amat. Ummi  juga mengantuk, tak dapat nak buat apa lagi dah.. Tidur lagi best!!

Selamat malam anak anak ummi..
Selamat malam sayangku..
Salam rindu, salam cinta...
Semoga bersatu dengan kasih dan sayang..
Cinta hingga syurga.. Insya Allah

APA RASA HARI INI

 Apa rasa hari ini?



Bersyukur masih dikurniakan kehidupan untuk hari ini. Diberi kesihatan dan dapat menjalani hidup bersama yang tersayang.  Suami yang jauh, masih dapat berhubung dan bertanya khabar. Anak anak solehku, sentiasa ada di sisi dan sentiasa menghiburkan. Tak lupa ahli keluarga yang lain, yang sentiasa baik dan dekat di hati.

Hari ini, hati dipenuhi rasa tenang dan lega. Kesedihan dan ketakutan lalu telah pergi. Jalan yang dirasakan sempit kini sudah dibuka luas. Kembali ke dunia nyata yang disuluh terang. Menyedari hakikat siapa diri di dunia ini.

Alhamdulillah di atas 'kebebasan' rasa ini. Aku melihat dunia yang terang. Aku dapat bernafas nyaman. Aku mampu tersenyum bahagia. Aku merasakan setiap insan berharga di sisiku.

Yang paling penting, aku mahu sentiasa bersangka baik pada Tuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang. Tak pernah Dia biarkan aku hanyut sendirian dan terkapai kapai tanpa arah. Sakitku sentiasa diubat. Lemahku sentiasa ditiup dengan semangat. Sedihku sentiasa rasa dipujuk. 

Kekuatan dan keyakinan ini bukan dari sesiapa. Hanya dari DIA yang Maha Penyayang. Hanya dari DIA...

ANNIVERSARY: 111210-111215



11/12/10: Hari ini dalam sejarah :)
Hari pernikahan, hari perkenalan, dan hari ini sebuah percintaan bermula :b

5 years ago, pada tarikh inilah aku dan dia diijabkabulkan. Pada hari inilah aku dan dia mulakan perkenalan dalam keadaan keduanya malu malu kucing :D

Hari ini, pada tarikh yang sama, perkenalan dan percintaan kami genap 5 tahun. Tiada kata seindah bahasa, selain lafaz ALHAMDULILLAH di atas ikatan dan jalinan yang indah ini. 

Hari ini juga, setelah 5 tahun berkongsi hidup dan menjalin cinta, aku dan dia bahagia bersama dua permata hati kami. ALHAMDULILLAH, mereka pengikat kasih dan penghibur kami. 

Untuk kesekian kali ALHAMDULILLAH, dia insan yang terbaik yang Allah hadirkan dalam hidupku. Dia bukan insan sempurna, namun dia yang paling sempurna buatku. Banyak bersabar dengan sikapku, berjiwa pengasih dan penyayang, sering menghiburkan, rajin membantu, memilih damai berbanding marah, nasihat dan tutur bicara yang baik dan menyenangkan... Itulah dia yang kukenal.

Aku dan dia, bukan juga pasangan sempurna. 5 tahun bersama, tetap ada ujiannya. Asam garam rumahtangga sudah banyak yang kami kecapi. Pahit manis, suka duka, semuanya sudah dirasa. Dalam mengharapkan sebuah kebahagiaan dan ketenangan, adakala ribut melanda juga. Namun Itulah masa untuk bermuhasabah dan menilai tingkat iman diri.

Sejujurnya, 5 tahun ini tempoh yang membahagiakan diriku. Bahagia dikurniakan suami sepertinya, bahagia dianugerahkan cahaya mata yang cerdik dan soleh. Mereka adalah kehidupanku. Mereka hadir membawa sinar dalam  hidupku.

Di hari ulangtahun ini, dia tiada di sisiku. Namun perpisahan kami hanya kerana jarak. Dia masih sebagai suamiku, dan aku isterinya. Kami masih pasangan kekasih yang akan terus bercinta dan berkenalan dengan izinNya. Insya Allah

Harapanku di hari ulangtahun ini, ingin menjadi isteri dan ibu yang lebih baik dan matang. Ingin menjadi isteri dan ibu yang membahagiakan. Insya Allah...

SEMOGA ALLAH MEMBERKATI IKATAN SUCI INI..
KURNIAKAN KAMI SAKINAH, MAWADDAH WA RAHMAH...

Aameen


Wednesday, 9 December 2015 0 comments By: Naemah

CATATAN KEGUGURAN


Pada 19/11/15 ke klinik kesihatan Ayer Lanas untuk membuat ujian kehamilan. Kebetulan ketika itu juga demam, batuk dan selesema. Gembira dan bersyukur dengan keputusan ujian yang menunjukkan aku positif mengandung. Bermakna ini kehamilanku yang ke 4 (kandungan pertama gugur). 

Namun takdir Allah menentukan kandungan ini juga tidak bertahan lama. Akhirnya berlaku keguguran di minggu yang ke 7.

Catatan ringkas dari awal hingga terjadinya keguguran yang kedua ini:

28/11/15: hari pertama suamiku di Bintulu. Bleeding start di waktu petang sekitar pukul 6. Rasa mencucuk di pinggang. Darah coklat cair (spotting je)

29/11/15: bangun pagi takde apa apa pada pantiliner. Pergerakan yang banyak menyebabkan keluar darah lagi. Sikit juga, dan tak kena pada pantiliner. Hingga petang hari, keadaan masih sama.

30/11/15: tiada apa apa dari bangun pagi hingga tidur malam

1/12/15: berulang perkara yang sama seperti 29/11/15

2/12/15: suami ada di rumah. Darah lebih banyak dari semalam. Warna coklat cair dan kadang kemerahan. Ke klinik Dr Najwa di bandar baru bangi. Scan hanya nampak kantung, anggaran 5 minggu (kalau ikutkan dah 6++ minggu). Doc suruh repeat scan selepas 2 minggu. Ke wet world shah alam untuk meraikan anak anak. Tukar pantiliner setiap kali waktu solat, darah masih turun. 

3/12/15: hanya berehat di rumah. Semua kerja rumah dan anak anak diuruskan suami. Namun masih ada pendarahan seperti semalam dan tidak berkurang. 

4/12/15: ke Big Bad Wolf dan balik kampung. Keadaan masih seperti semalam. Tukar pad setiap 3-4 jam. Darah coklat gelap. Minta nasihat biras dr Nasibah. Kena repeat scan 

5/12/15: rehat di rumah mak mertua. Keluar sekejap beli barang di Kubang Kerian. Bleeding makin banyak dan darah bertukar merah terang (fresh blood)

6/12/15: check up di klinik kesihatan Badang. Upt positif, scan nampak kantung, tapi dah tak cantik, dan tiada bukaan rahim. Doc akan bagi tarikh appointment dengan pakar. Darah seperti hari ke 2-3 period, dan kadang kadang rasa cramp di bahagian rahim. Suami bertolak ke kl.

7/12/15: suami di labuan. darah kurang sikit hari ni. Rasa cramp sesekali datang. Ada darah bercampur lendir dan sedikit darah beku. Tidur malam terasa sakit belakang yang amat

8/12/15: bangun pagi untuk solat subuh, rasa seperti senggugut (tak teruk sangat) dan terasa keluar darah. Buka pad tiada darah, rupanya turun darah beku. Kali kedua ke toilet turun lagi seketul yang lebih besar. Bermakna sudah keguguran:'(

Begitu kisahnya..
Ia bermula dengan sebuah harapan dan khabar gembira. Di pertengahannya sebuah dugaan yang mengundang pelbagai rasa, sedih, kecewa, takut, juga bersama harapan yang belum padam. Akhirnya segalanya berakhir dengan ending yang agak mendukakan ini. Tapi benarlah, Allah menduga kerana dia tahu kita mampu menghadapinya. Hati ini redha menerima takdir ini meskipun di awalnya agak sukar. 

Tiada siapa yang dapat melawan takdirNya. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.. Insya Allah.

Tuesday, 8 December 2015 0 comments By: Naemah

KEHILANGAN YANG DIGANTI



081215: berakhir penantian dan tanda tanya. Kandungan yang berusia 7 minggu berakhir dengan keguguran. Keguguran kedua yang perlu aku terima dengan hati yang redha. Keguguran pertama pada bulan Mac 2011, dan yang kedua ini pada Disember 2015.

Yang pertama, lebih menyakitkan dan lebih menghibakan. Tika itu, usia kandunganku 11 minggu, dan tika itu juga suami tiada di sisi kerana jauh di lautan.  Belayar hingga ke Jepun. Emel saja penghubung ketika itu. Tambahan pula itu kandungan pertama. Bayangkan kesedihanku. Benar benar merasakan kehilangan dan kesunyian.

Hari ini berhadapan dengan situasi yang sama. Cuma dugaan ini lebih ringan aku rasakan. Tidak sesakit dulu, tidak sehiba dulu. Suami juga tiada di sisi, tapi tidak terpisah jauh, malah boleh kerap berhubung melalui telefon atau whatsapp. Namun tetap merasakan kehilangan. Pun begitu, hati redha dan pasrah, mungkin belum rezeki untuk kami. 

Mengenangkan kesedihan yang lalu, sebenarnya sudah hampir melupakannya. Malah Allah sudah gantikan apa yang telah aku kehilangan. Anas dan Mussaab, pengubat luka yang lalu. Luka yang sudah sembuh sepenuhnya. Luka yang sudah dilupakan. Masya Allah... Perancangan Allah itu yang terbaik, takdirNya yang terbaik, meski dalam keadaan sukar untuk kita menerimanya.

Kesedihan hari ini, hakikatnya adalah sebuah kelegaan. Beberapa hari lepas dalam mood kecewa, sedih dan penuh tanda tanya. Tika itu juga hati sudah bersedia untuk menerima takdir Allah. Kerana Anas dan Mussaab juga yang menjadi ubatnya. Allah telah kurniakan aku anak anak yang sihat dan cerdas ini. Jika takdirnya ini bukan rezeki buat kami, aku redha sepenuh hati, dan aku yakin akan ada rezeki yang lain di masa yang akan datang. Insya Allah.

Kesedihan itu biarkan ia berlalu. Kehilangan itu, pasti akan diganti dengan yang lebih baik. Kerana kita hakikatnya tak punya apa, dan tak punya kuasa. Allah memberi pinjam, dan berhak mengambil semula. Allah menduga, kerana Dia tahu kita kuat untuk menghadapinya. 

Redhalah wahai hati yang sedang bersedih..



Monday, 7 December 2015 0 comments By: Naemah

ANAKKU: DI RUMAH NENEK

Hari ketiga di kampung, juga hari pertama tanpa suamiku. Alhamdulillah dia selamat tiba di Labuan. 

Aku dan anak anak meneruskan hari di rumah ibu mertuaku di Kota Bharu. Anas dan Mussaab keduanya bangun awal hari ini. Alhamdulillah ada sepupu mereka yang boleh tolong tengokkan mereka. Bebas bermain di rumah nenek yang besar dan luas. Ummi pun tak dipedulikan. Hanya sesekali mencari ummi di bilik, takut ummi hilang :) Mussaab pula mencari ummi bila nakkan susu.

Di rumah nenek, memang agak bebas dan seronok bermain. Pagi pagi lagi dah bermain pasir, berlari dan berbasikal. Puas main barulah mandi. Breakfast dengan kuih cakoi dan pulut serunding.

Hari ini sempat membelek buku yang dibeli di Big Bad Wolf. Banyak buku yang dibawa keluar dari bilik dan buku buku itu juga berjaya buat Anas dan Mussaab asyik dengannya. Kalau ikutkan mahu dibawa keluar semua buku yang ada, apakan daya beg berat ummi x larat nak angkat dan keluarkan bukunya.

Ummi banyak berehat di bilik. Anas dan Mussaab ummi biarkan bermain di luar. Mujurlah ada abang Rizqin, abang Faiz, Kak Zawiah dan mak su yang boleh tolong tengokkan Anas dan Mussaab. Jadi takdelah ummi risau sangat. Entah main apa, ummi pun tak tahu. Yang pasti bila naik rumah, habis badan berpasir. 

Anas langsung tak tidur hari ni. Hanya Mussaab yang tidur dari jam 12.30-2.30 petang. Lepas tu leka bermain lagi dan tak hiraukan ummi dah. 

Dalam pukul 6 petang, adik ipar datang ke rumah mak. Bertambah lagi kawan Anas dan seronok bermain dengan sepupu walaupun banyak bergaduh juga. Biasalah budak budak :)

Di waktu malam, suasana lebih meriah kerana semua ada di rumah. Tambahan pula cucu cucu mak yang tak tahu erti rehat. Sentiasa aktif bermain dan bergurau, termasuk anak anakku. Mainlah sayang, kat rumah kita pastinya tak semeriah ini. 

Alhamdulillah dalam asyik dan leka anas bermain sempat juga baca surah hafazan bersama. Hari ni baca surah al fajr dan al ghasyiah lagi, sambil surah hafazan yang seterusnya (al-a'la) diperdengarkan. Hajatnya mahu kembali fokus pada hafazan bulan ini, tetapi dalam keadaan sekarang mungkin tak mampu nak fokus sepenuhnya juga. Tak mengapa.. Cuba sedaya yang mampu. Insya Allah.

Malamnya, keduanya sukar untuk disuruh tidur. Masih nak bermain walaupun sebenarnya mata dah mengantuk. Akhirnya terlena juga lebih kurang pukul 9.30 malam. 

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Alhamdulillah anak anakku sihat dan ceria. Bermain dan bergembira menerika kehidupan di zaman kecil mereka. Semoga hari esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Insya Allah :)






PASTI AKAN BERAKHIR



Allah telah memberi kesihatan yang panjang. Sesekali diuji dengan kesakitan dan tidak sihat badan. Masa sakit ini baru berfikir betapa nikmatnya sebuah kesihatan. Nikmat kesihatan yang jarang disyukuri.

Di situasiku hari ini. Bukanlah sakit perit atau terlantar lemah. Masih sihat, cuma ada emosi yang sedang bermain. Takut dan gentar, dan dihantui berbagai sangkaan dan tekaan di atas apa yang bakal berlaku pada diri. Apakah keadaan diri akan semakin baik atau sebaliknya. Keadaan yang hanya akan difahami oleh insan bergelar wanita, yang pernah mengalami situasi begini.

Tapi diri perlu kuat untuk menempuh segala. Perlu positif, agar tidak terasa terbeban. Tambahan pula suami tiada di sisi. Aku akui, kehadirannya membuat diri jadi lebih 'manja' kerana ada bahu untuk bersandar, melepaskan keluhan dan meluah rasa terpendam. Boleh menangis dan ada yang sudi memujuk.

Namun bila dia tiada, aku perlu kuat berdiri sendiri. Aku punya anak anak yang memerlukan jagaan dan perhatianku. Tiada lagi bahu untuk aku bersandar dan mencurah rasa. 

Namun masih bersyukur di rumah ibu mertua ini, aku diberi kerehatan yang banyak, meski mungkin sedikit sebanyak menjadi beban buat mak. Aku rasa bersalah, tapi aku tahu hatinya lebih mulia untuk mengerti keadaanku dan menerima kehadiranku bersama anak anak.

Dugaan 'sakit' ini masih terlalu kecil jika ingin dibandingkan dengan kesakitan lain. Aku juga percaya, semua ini hanya untuk seketika. Allah pasti akan membawa diri ini keluar dari kesukaran ini. Pasti...


Sunday, 6 December 2015 0 comments By: Naemah

BIG BAD WOLF AND ROAD TO KAMPUNG

Alhamdulillah berkesempatan mengunjungi pesta buku Big Bad Wolf yang berlangsung di The Mines, Seri Kembangan. Kali ke tiga kami mengunjungi pesta buku ini yang diadakan setiap hujung tahun. 

Sebelum ni perjalanan agak jauh, kerana kami menetap di Melaka. Kini dah berpindah ke Kajang, jadi jarak juga semakin dekat. 

Oleh kerana kami merancang untuk balik kampung pada hari tersebut, maka kami ke pesta buku di awal pagi. Kebetulan pula hari itu adalah hari pertama ia berlangsung, maka terpaksa beratur panjang untuk menunggu ia dibuka. Jam 7 pagi, semua masuk ke dalam dewan dan memulakan pencarian buku buku.

Seperti biasa, pilihan buku sangat banyak, untuk peringkat usia kanak kanak hingga dewasa. Kesimpulannya, banyak dan murah. 

Kerana kami juga sedang mengejar masa, hanya fokus pada buku kanak kanak. Sangat banyak buku yang menarik. Harga antara rm6-rm15. Buku juga berkualiti. Memang rasa rugi kalau tak beli.

Lebih kurang 2 jam berada di situ, kami membuat pembayaran dan meninggalkan tempat tersebut. Anas pun dah mula tunjuk rasa kepuasan, penat berjalan dan lapar. Mussaab pula asyik nak berdukung je. Mungkin cukuplah dulu apa yang sempat dicapai. Agak banyak juga. Lebih kurang 100 buah buku dengan harga sekitar rm700. Rasanya sangat berbaloi dan berpuas hati. 

Kami meninggalkan tempat itu, dan terus menuju ke kampung. Sempat breakfast di Leha Kelfood yang terletak di Taman Melati. Kemudian meneruskan perjalanan ke Kelantan melalui Terengganu. Dalam perjalanan, anak anak asyik membuka buku yang dibeli tadi. Masing masing happy dapat buku baru. Perjalanan yang jauh juga tak membosankan. 

Singgah di Pantai Bukit Keluang untuk kesekian kalinya. Makan malam di sini, dan sempat mandi laut juga. Memang tak sah la kalau tak mandi. Hari Jumaat, ramai pengunjung dan meriah sekali. Hampir 2 jam di situ, kami bertolak balik ke Kota Bharu. Tiba di rumah mak dalam pukul 8 malam.

Satu perjalanan yang panjang dan memenatkan. Tapi masing masing seronok, dapat buku baru dan dapat mandi pantai. Alhamdulillah... Aku juga tumpang seronok melihat anak anak yang ceria. Suamiku yang pastinya lebih penat, memandu dari awal hingga akhir perjalanan tetap ceria dapat memuaskan hati anak anak. Dia yang paling awal tidur, kemudian anak anak dan akhirnya aku juga..

Alhamdulillah :)






MEREKA INSAN BERJASA



Hari ini, 07/12/15. Alhamdulillah masih diberi kehidupan, meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak berapa baik. 

Masuk hari ke tiga di kampung, di rumah mertuaku. Suami pula hari ini terbang ke Labuan untuk menyambung tugas. Juga akan berada di sana selama seminggu. Tinggal aku dan anak anak di kampung.

Kandunganku dianggarkan berusia 7 minggu, tapi diuji dengan pendarahan sejak seminggu yang lalu. Darah yang semakin banyak, tanda tanda diancam keguguran. Mungkin berehat di rumah mak mertua lebih baik, walaupun sebenarnya berbelah bagi nak tinggal sini atau rumah ibuku. Akhirnya memilih untuk tinggal di sini atas banyak sebab.

Pun begitu, aku hanya ingin menyatakan rasa terharu dan rasa disayangi di atas sikap seluruh ahli keluarga terhadapku. Khas buat keluargaku dan keluarga mertuaku seluruhnya.

Dalam keadaan aku sekarang, meskipun bukan dalam keadaan sakit terlantar, tetap mereka mengambil berat dan menjaga. Tambahan pula suamiku kini jauh. 

Perasaan sendiri sering diusik rasa sedih, kerana merasakan aku hanya sendirian menghadapi ketakutan ini. Namun hakikatnya ya, tak siapa merasa apa yang aku tanggung, tapi hakikatnya juga, masih ada yang sudi mengerti dan mengambil berat. Dan aku percaya, suamiku yang jauh pastinya x jemu mendoakan aku. 

Di sini, di rumah ini, setiap orang juga memainkan peranan dalam menunjukkan rasa simpati dan empati dengan cara tersendiri. Dengan mak mertua yang sangat baik, juga ipar duai yang sangat membantu. Aku tak rasa aku keseorangan. 

Tak lupa juga family ku yang sentiasa baik padaku dari dulu hingg kini. Abang abangku, kakak dan kakak ipar, juga anak anak saudara. Mereka tak lupakan aku, ziarah dan kata kata yang menyuntik semangat. 

Tak lupa juga pada ibuku. Aku sebenarnya masih belum khabarkan keadaan aku pada dia. Tapi aku percaya dia sudah tahu, dan aku percaya dia antara insan yang sedang risaukan aku dan dia juga insan yang takkan jemu mendoakan aku, anaknya. 

Allah.. Terima kasih kerana menghadirkan mereka dalam kehidupanku. Meskipun aku hanyalah yang begini, tetap juga aku merasakan aku dihargai dan disayangi. Yang pasti, aku tak merasakan aku hanya sendirian menempuh semua ini. Walau hakikatnya aku tahu, selamanya aku takkan sendiri kerana Allah sentiasa ada untukku.

Di saat begini juga, aku diberi masa untuk bermuhasabah. Betapa berharganya setiap insan di sekelilingku ini. Sikit atau banyak, mereka tetap berjasa padaku. Aku tak mampu untuk membalasnya, hanya Allah yang layak membalas segala kebaikan mereka. Aku mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dalam kehidupan mereka dan kehidupanku. Aameen

Sesekali diuji... Saat mengukur tahap sabar dan redha, saat muhasabah segala dosa dan khilaf. Namun hakikatnya, Allah menguji tanda Dia kasih. Dan setiap kesulitan pasti hadir kesenangan. Dan pada setiap ujian ini pasti terkandung hikmah. Insya Allah

Redhalah wahai hati...


KITA SEMUA AKAN MATI

Dalam menjalani hidup ini, sering kita terlupa bahawa kematian pasti datang menjemput. Kita menjalani hidup, seolah kita akan hidup untuk selamanya. Hingga  berlaku kematian demi kematian di depan mata, baru kita tersentap dan berfikir. 

Namun ada juga, saat menerima berita kematian orang lain, kita jadi lupa yang kita juga akan mati. Alangkah malangnya..

Sedang kita diingatkan agar banyak mengingati mati, dan banyak berbekal untuk sebuah kematian. Kerana janji Allah itu benar, setiap yang hidup pasti akan mati. 

Kita tak tahu bila kita akan mati, di mana dan bagaimana bentuk kematian kita. Kita mengharapkan kematian yang baik, namun terlalu sedikit amal baik yang kita lakukan. Malah, kematian itu sering menggerunkan hati, kerana sedar betapa diri tidak bersedia untuk menghadapinya. 

Kadang sedih memikirkan diri yang hanyut dengan dunia. Mahukan kesenangan hidup, hingga lupa hidup hanya untuk sementara. Mahukan keselesaan, kemewahan, kecantikan, dan segala yang kononnya dapat memberi kepuasan pada diri. Hakikatnya, semua itu hanya untuk sementara, jika ianya hanya untuk dunia semata.

Betapa hati ini perlu sentiasa dibersihkan. Agar sentiasa ingat pada kematian yang pasti.

Ya, mati itu pasti. Aku dan kamu... Akan pasti menghadapinya di suatu masa yang  kita sendiri tidak tahu..